Tidak lama, tiba-tiba
pintu bilik diketuk.Dwen mengangkat
kepala. Andika segera bangun dan berjalan membuka pintu. Dia tidak mahu
mengganggu konsentrasi Dwen.
“Ratna, boleh
tolong mama tak? Esok mama ada function.Baju mama belum gosok. Bik Ijah
dah tidur. Kesian pulak nak kejutkan dia,” kata Datin Rodziah, berdiri dengan
sepasang baju di tangannya.
Andika mengambil
baju itu dengan senyum. “Boleh saja mama. Apa salahnya seorang anak berkhidmat
untuk ibunya,” jawab Andika.
Datin Rodziah terkebil-kebil.
‘Anak?Bila pulak aku
lahirkan dia?’bisik hati Datin Rodziah, geram. Dia
berjalan ke biliknya.
Sepuluh minit kemudian, Andika mengetuk pintu dan
menghulurkan baju yang sudah siap bergosok.
“Nah, mama. Dah siap. Cantik baju ni. Tentu mahal kan
mama?” Andika menyerahkan baju itu kepada Datin Rodziah yang menunggu di ruang
tamu.
“Ya, memang
mahal. Tak ada di sini. Mama beli di Paris. Bukan semua orang boleh dapat baju
macam ni di sini. Kalau orang macam Ratna, lagilah tak mampu!” jawab Datin
Rodziah dengan sinis.
Andika angguk.
Darahnya berderau. Ada nada sumbang dalam kata-kata Datin Rodziah. Begitu juga
ada bunga-bunga kebencian dilihat berkembangan dalam senyuman yang terpaksa
itu.
“Ratna,
memandangkan Bik Ijah tak berapa sihat boleh tak Ratna bantu dia buat
kerja-kerja di rumah ini. Kami nak ambil seorang pembantu lagi tetapi rasanya
ia tak penting sangat memandangkan kerja di rumah ini pun taklah banyak sangat.
Kalau dibuat berdua dengan Ratna, mungkin ringan sikit beban Bik Ijah,” kata
Datin Rodziah.
“Mama, kami dah
pun berbincang hal ini,” balas Andika dengan sopan.
“Apa yang kamu
semua bincang?” Datin Rodziah rasa hairan.
“Abang dah beri
arahan untuk Bik Ijah berehat saja.Dia tak payah buat kerja lagi.”
“Habis, siapa yang akan buat? Dia nak ambil pembantu lain?
Tidak. Mama tak setuju. Itu namanya membazir saja!”
“Bukan pembantu lain tapi saya yang akan buat semuanya.”
“Kamu?” Datin Rodziah sedikit terkejut.Dia cuak dengan apa yang didengarnya.
Benarkah budak kampung ini akan melakukan semua kerja di rumah banglo itu?
“Saya dah biasa
buat kerja ni semua mama. Usah bimbang.”
Datin Rodziah
rasa sedikit hampa. Hajatnya untuk mendera Andika tidak menjadi sebaliknya
Andika dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk melakukan semuanya!
“Baiklah. Kalau
macam tu, kita mulakan dengan sarapan pagi esok. Mama nak kamu siapkan sarapan
pagi untuk kita semua, termasuk Bik Ijah,” perintah Datin Rodziah.
“Insya-ALLAH
mama. Tugas seorang menantu adalah melakukan apa saja suruhan mertuanya selagi
tidak melanggar hukum. Mama nak makan apa?” tanya Andika pula.
Datin Rodziah
rasa tersindir. Dia merenung wajah Andika dengan geram.
“Kenapa mama
renung saya macam tu? Mama tak yakin saya dapat siapkan sarapan pagi esok? Mama
cakap saja mama nak makan apa, saya akan masak.” Andika cuba menyakinkan. Datin
Rodziah melangkah pergi dengan dada yang pecah!
Keesokan paginya
Andika bangun seperti biasa, sebelum azan subuh. Walaupun sedang ‘bercuti’, dia
tetap akan bangun pada waktu itu. Sudah terbiasa sejak kecil lagi. Arwah
abahnya memang mengajarnya begitu. Katanya, bangun seawal pagi itu digalakkan
untuk menerima pembahagian rezeki dari ALLAH. Kalau lambat, semua rezeki sudah
dipatuk ayam!
Dia duduk
berjuntai kaki di birai katil. Matanya melihat ke sekeliling. Dia berada di
sebuah bilik tidur yang mewah.Tidak pernah
termimpi sebelum ini. Dia teringat cerita Cinderalela. Betapa beruntungnya dia!
Kemudian matanya
beralih kepada lelaki yang tidur dengan dengkuran kecil di sebelahnya.
‘Suamiku?’
Dia meneliti
wajah Dwen. Sebelum ini, belum pernah dia menatap wajah itu secara dekat dan
lama. Perasaan malu masih menghantuinya. Lelaki itu muncul dalam hidupnya
seperti pelangi selepas hujan. Sekejap sahaja dia muncul, terus melekat menjadi
sebahagian dari warna hidupnya!
‘Mungkin inilah
takdirku. Aku harus reda.’
Kemudian dengan
rasa malu dan bimbang dia menepuk-nepuk tubuh Dwen.
“Abang,
bangunlah. Dah nak masuk waktu subuh,” bisik Andika perlahan di telinga Dwen.
Dwen menggeliat.
Kemudian dengan perlahan dia membuka mata dan merenung wajah Andika dalam
kesamaran cahaya lampu tidur.
“Imam kena
bangun sebelum makmum,” kata Andika, cuba bergurau.
“Ya ke? Bukan ke
makmum yang kena bangun dulu dan tunggu imam?” tanya Dwen dengan ketawa kecil.
“Apa-apa
sajalah. Saya nak ke bilik air dulu.” Andika bangun. Namun ketika itu, Dwen
menarik tangannya.
Andika gugup.
Sentuhan tangan Dwen begitu ajaib hingga mampu menggetarkan jiwanya.
Andika cuba
menarik tangannya dengan lembut dan penuh hormat.Dia
tidak mahu Dwen tersinggung. Namun, genggaman Dwen bertambah erat. Malah tanpa
segan, Dwen mengucup tangan Andika yang mula sejuk itu.
“Abang, kenapa ni?” Andika rasa kurang selesa. Dia rasa
malu dengan renungan mata Dwen.
“Boleh abang tanya sesuatu?”
“Tanyalah.”
“Apa perasaan sayang selepas jadi isteri abang?” tanya
Dwen tanpa melarikan matanya dari merenung wajah Andika yang semakin hari dirasakan
semakin menawan walaupun ketika bangun tidur.
Andika cuba tersengih dan menyembunyikan resah hatinya.
“Jawab dengan jujur. Abang tak kisah kalau sayang kata
sayang tak sukakan abang. Sebab abang faham, kita belum saling mengenali.”
“Jujurnya, saya memang masih keliru dengan takdir ini.
Begitu cepat dan mendadak. Jadi, saya pun belum tahu perasaan saya ketika ini.
Maafkan saya, abang.”
Dwen tersenyum. Dia tahu Andika ikhlas. Seperti Andika,
dia juga sedang keliru dengan perasaannya.
“Kenapa sayang
bangun awal ni?Bukankah sayang cuti?”
“Cuti solat tapi tak cuti kerja rumah yang lain. Mama
minta saya gantikan Bik Ijah untuk siapkan sarapan pagi.”
“Sarapan pagi?” Dwen mengesat mata. Kemudianterpisat-pisat. Ada kehairanan di hatinya.
Sejak bila mamanya pandai bersarapan di rumah? Yang dia tahu, Bik Ijah hanya
siapkan sarapan untuk dia seorang sahaja. Mama dan papanya jarang menyentuh
sarapan di rumah.
Andika terus masuk ke bilik air untuk mandi.Dia mandi dan membersihkan diri. Dia
perlu segar dan cergas untuk meneruskan tugas di rumah itu.
Ketika dia
keluar, Dwen masih termenung.
“Apa lagi yang
abang menungkan?”
“Tak ada
apalah.”
“Saya turun ke
dapur dulu. Abang jangan terlambat solat pulak,” kata Andika. Dia segera
meninggalkan bilik dan terus melangkah
turun ke dapur.
Ketika dia
sampai di dapur, lampu sudah terang benderang. Bik Ijah sedang mengupas bawang.
“Bik? Dah bangun?”tegur
Andika.
“Sudah. Eh, kok kamu pun dah bangun? Kenapa awal
sangat?” Bik Ijah terpinga-pinga hairan.
“Saya dah biasa bangun awal, sebelum subuh. Mama minta
saya siapkan sarapan. Bibik pergilah rehat. Kebetulan saya pun sedang cuti
solat.Biar saya buat
kerja ni semua. Bik nak masak apa ni?” Andika mengambil pisau dari tangan Bik
Ijah.
“Entahlah. Dah
lama tak masak nasi goreng. Rasa macam nak masak nasi goreng je,” jawab Bik
Ijah.
“Bik,Datuk
danDatin suka makan apa?”
“Mereka tak kisah sangat. Apa saja yang bibik masak,
mereka makan. Sebenarnya, mereka jarang bersarapan di rumah. Makan tengah hari
dan makan malam, lagi jarang. Masing-masing balik dah malam, dah siap makan kat
luar,” jawab Bik Ijah, jujur.
“Habis, kita nak
siapkan sarapan untuk siapa ni?” Andika mula hairan. Macam ada yang tak kena
dengan perintah Datin Rodziah malam tadi.
“Untuk kita
bertiga. Kita perlu makan kan? Dwen suka bersarapan di rumah. Masa dia ada,
bibik akan sediakan sarapan. Kalau tidak, bibik masak untuk makan sendiri,”
jawab Bik Ijah dengan ketawa kecil.
“Kalau macam tu,
biar saya masak. Bik pergilah solat. Dah nak azan ni,” kata Andika dengan senyum
yang tulus.
Bik Ijah akur.
Dia segera melangkah ke biliknya.
Andika terus
menyiapkan bahan-bahan untuk memasak nasi goreng. Kalau untuk selera Dwen, dia
sudah tahu apa yang disukainya. Pengalaman menjadi pembantu rumah kepada Dwen,
walaupun sekejap cukup untuk dia belajar kesukaannya.
Setengah jam
sahaja, nasi goreng kampung dengan telur mata lembu terhidang di meja! Kemudian
dia membancuh seteko Nescafe untuk diletakkan bersama nasi goreng
itu.