Nora tercengang-cengang
selepas talian diputuskan. Kenapa dia berbohong dan sembunyikan nama sebenar
Andika?
“Heh, ada apa ni? Muka
monyok semacam je?” Nureen menyinggung pinggang Nora.
“Bos aku baru call.”
“Kena marah?”
“Dia minta aku korek
maklumat bini bos kau dari kau,” jawab Nora dengan jujur.
“Untuk apa? Dia masih
mengharap nak jadi wife Encik Dwen ke?”
“Itu yang aku tak tahu.
Aku rasa dia mesti ada muslihat. ”
“Habis, apa yang kau
cakap?” Nureen ikut cuak.
“Aku beritahu nama dan
tempat asal cik puan kita.”
“Kau beritahu nama cik
puan? Kalau Karina kaki bomoh macam mana?”
“Kau ingat aku tak
fikir macam yang kau fikir?” Nora segera menoleh dan merenung tajam ke arah
Nureen.
“Aku berikan nama
samaran cik puan,” sambung Nora dengan senyum nipis.
“Ratna Kesuma Dewi?”
Nureen beliakkan mata. Nora angguk.
Akhirnya mereka ketawa,
mengekek.
“Kau rasa dia nak buat
ek?” tanya Nureen, selepas ketawa mereka usai.
“Dia tak akan puas hati
tengok bos kau bahagia. Apa daya pun dia akan buat onar. Aku menyampah betul
dengan orang macam ni.”
“Jangan nak menyampah.
Kau tu kerja dengan dia. Sekali dia tendang kau keluar dari ofis ni, padan muka
kau!”
“Dengan pengalaman
kerja yang aku ada, rasanya tak susah nak dapat kerja. Silap-silap bukan dia
yang tendang aku, tapi aku yang angkat tendang dia!” kata Nora.
“Aik? Berani kau nak
tendang dia. Dia anak tan sri tau!” Nureen mula ketawa.
“Anak tan sri bukan
manusia? Aku tengok dia makan nasi macam kita juga,” tingkah Nora. Dia memang
sangat kurang senang dengan layanan Karina terhadapnya. Selama bekerja dengan
Dwen, dia tidak pernah rasa kecil hati dna sakit hati. Dwen melayan baik semua
orang bawahannya. Dia tidak berlagak
sombong walaupun dia pewaris harta kekayaan Datuk Haris.
Nureen mengangkat bahu.
Dia berjalan ke arah mejanya.
**
Karina pula rasa lega
selepas mendapat sedikit maklumat dari Nora. Dia tersenyum. Langkah seterusnya
sudah ada dalam kepalanya. Dia segera mendail nombor telefon Datin Rodziah.
“Untie, Kay nak jumpa
untie.”
“Bila?” Suara Datin
Rodziah menyentuh telinganya.
“Malam ni. Mustahak.”
“Okey. Tunggu untie di
Hotel Istana.”
Karina tersenyum.
Hasrat membalas dendam yang membaluti hatinya semakin terasa segar dan
menggebu.
‘Aku tak akan biarkan
kau bahagia, Dwen. Hanya aku yang layak jadi wife kau, bukan Si Ratna itu,’
bisik hati kecil Karina, penuh yakin.
Malam itu, Karina
sampai di Hotel Istana lebih awal dari masa yang dijanjikan. Dia terus
melangkah ke arah restoren dan memilih sebuah meja yang agak jauh dari kaunter.
Dia perlukan suasana yang tenang untuk merangka agenda bersama Datin Rodziah.
Setengah jam dia
menunggu, Datin Rodziah tidak juga muncul. Karina gelisah. Dia cuba membuat
panggilan. Beberapa kali dicuba, panggilannya tidak juga berjawab.
‘Apa masalah datin yang
sorang ni?’ bisik hati Karina, sebal.
Dia kembali menunggu. Lama.
Dia melihat jam. Sudah dua jam dia duduk membuang masa di situ.
“Kay! Maafkan untie.
Untie terlambat. Ada urusan dengan Datin Norseha di kelab.” Tiba-tiba Datin
Rodziah muncul dengan terkocoh-kocoh.
Karina membalas
kata-kata itu dengan senyuman, jengkel.
Datin Rodziah terus
duduk dan memanggil pelayan. Dia membuat pesanan minuman tanpa mempedulikan
Karina yang sedang memerhatinya.
“Kay, apa yang mustahak
ni?” Datin Rodziah tidak mahu berlengah-lengah lagi. Dia terus kepada tujuan
pertemuan itu.
“Mummy Kay dah setuju
Kay jadi isteri Dwen,” jawab Karina, perlahan. Awalnya dia begitu teruja untuk
menyampaikan berita itu. Namun, kelambatan Datin Rodziah telah mematikan
perasaan terujanya.
“Ya? Alhamdulillah. Maknanya
masalah kita selesai,” kata Datin Rodziah dengan wajah ceria.
“Ada syaratnya. Dwen kena
ceraikan isterinya dulu, baru kami dapat kahwin,” balas Karina dengan cepat.
Serta merta Datin
Rodziah terdiam. Air yang baru dihantar oleh pelayan restoren itu segera di
hirup. Basah tekaknya basah juga akalnya yang semakin kering dengan masalah
demi masalah yang muncul.
“Maknanya, masalah tak
akan selesai,” kata Datin Rodziah,
“Apa susahnya. Untie hanya
paksa Dwen ceraikan isterinya tu.”
“Kay, bukan senang nak
perintah dia sesuka hati kita. Kerana perempuan tu, dia sanggup tinggalkan
rumah dan langgar kehendak kami!”
Karina terdiam. Apa
yang dikatakan oleh Datin Rodziah itu benar belaka.
“Kalau macam tu, kita
kena tukar strategi kita.” Karina menghirup minuman di hadapannya.
“Macam mana?” Datin
Rodziah merenung wajah Karina.
“Semuanya ada di tangan
untie. Hanya untie yang boleh buat mereka bercerai!” tegas Karina, sedikit
kasar.
“Yalah. Tapi macam
mana?” Datin Rodziah semakin keliru.
“Untie buat baik dengan
mereka. Untie ajak mereka balik tinggal bersama. Kemudian, pandai-pandailah
untie dera Si Ratna tu,” jawab Karina.
“Ratna? Siapa dia?”
Datin Rodziah berpaling kehairanan.
Karina senyum.
“Menantu untie tulah.”
“Budak tu orang Indon
ke?” Mata Datin Rodziah terbeliak.
Karina angguk. Anggukan
bohong. Dia cuba sembunyikan susur galur sebenar. Dia sengaja berbuat begitu.
“Aduh! Kenapa Dwen ni
buta mata hati macam tu sekali. Macam tak ada orang sini, orang seberang juga
yang dicarinya,” rungut Datin Rodziah, penuh kesal. Dia termenung. Usul Karina
dipertimbangkan.
“Baiklah. Untie akan
bincang hal ini dengan uncle. Betul kata Karina. Kita singkirkan dia dalam
baik. Tapi...”
“Kenapa untie?”
“Kalau Dwen berdegil?
Kalau dia tetap tak nak tinggal bersama kami?”
“Untie ugutlah dia. Dia
mesti nak untie berbaik-baik dengan wife dia tu. Masa tu, untie beri dia syarat
suruh dia balik tinggal bersama.”
Datin Rodziah seperti
murid yang akur pada gurunya. Dia angguk perlahan.
Lalu malam itu juga
semua usul Karina itu disampaikan kepada Datuk Haris.
“Awak sanggup ke nak
tinggal serumah dengan budak tu?” tanya Datuk Haris.
“Itu bukan soalnya,
bang. Saya akan cuba sabar. Tak lama. Saya yakin sebulan dua saja. Dia mesti
tak tahan dan bergaduh. Kalau mereka dah bercerai, Karina setuju berkahwin
dengan Dwen,” jawab Datin Rodziah.
Datuk Haris termenung.
Dia rasa kurang selesa dengan cadangan itu. Wajahnya berubah kelat.
“Kenapa bang?”
“Saya kurang setuju.
Mereka dah kahwin. Tak baik nak pecah belahkan lagi. Kalau Karina betul nakkan
Dwen, dia akan sanggup bermadu. Tak perlu kita nak ‘ceraikan’ Dwen dengan
bininya tu.”
“Karina memang nak
bermadu, tapi Puan Sri Norlaila yang tak setuju.”
“Habis, awak nak ajak bini
Dwen tinggal di sini dan nak dera dia supaya dia jemu dan tinggalkan Dwen?”
Datin Rodziah angguk.
“Datin oi! Itu taktik
lama. Filem dan drama pun dah banyak buat cerita yang macam tu. Hentikanlah.”
Datuk Haris ketawa.
“Saya tak peduli!
Taktik lama ke, taktik lapuk ke, saya tetap nak buat apa yang dah dirancang.
Saya dah janji dengan Karina. Dia mesti jadi menantu saya!” tegas Datin Rodziah.
Dia bangun dan berjalan ke dapur, mencari segelas air. Rasa haus dan kering
tekaknya. Apa lagi bila mendengar ketawa sinis Datuk Haris itu.
“Bila awak nak jemput
anak menantu awak tu ke sini!” laung Datuk Haris dari ruang tamu.
“Esok pagi!” jawab Datin
Rodziah dengan kuntuman senyum.
Akhirnya, lelaki itu
faham juga tujuannya. Dia akan segera bertindak. Tidak mahu bertangguh. Lagi
cepat, lagi bagus.