Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 6

Bandar Pasir Puteh, Kelantan.

Ketika bas sampai ke destinasi itu, hari masih gelap. Belum masuk waktu subuh.

“Kita dah sampai ke Pasir Puteh,” kata Pak Nordin mengejutkan Dwen yang tidur lena.

Dwen menggeliat dan segera menyandang begnya lalu berjalan mengekori Pak Nordin turun dari bas.

“Best juga naik bas, Pak Nordin,” kata Dwen selepas kakinya sudah berpijak di bumi Cik Siti Wan Kembang.

“Sakit tak badan?” tanya Pak Nordin dengan ketawa kecil.

“Taklah juga. Saya tidur tak sedar apa.Jauh lagi ke rumah Pak Nordin?”

“Lagi 10 kilometer. Kita kena naik prebet sapu,” jawab Pak Nordin. Dia melambai ke arah seorang lelaki.

“Abang, nak ke mana?” tanya lelaki itu.

“Saya nak ke Kampung Teratak Batu.”

Lelaki itu angguk, tanda setuju. Dia menjinjit beg untuk dimasukkan ke dalam boot kereta.Dwen ikut mengisi beg yang disandang dan dijinjitnya. Mereka masuk dan duduk dengan selesa.

Sepanjang jalan, mereka berdiam diri. Dwen menjengah-jengah keluar, namun satu apapun tidak dapat dilihatnya kerana suasana masih gelap. Hanya angin yang sejuk dan segar mampu disedut dengan nyaman.

“Nah, kita dah sampai. Rumah abang ikut jalan mana?” tanya pemandu prebet sapu itu, memecah sunyi suasana.

“Ke depan lagi. Rumah yang tepi sawah tu!” tunjuk Pak Nordin.

Pemandu itu akur. Tidak lama, dia memberhentikan keretanya di hadapan sebuah rumah separuh batu.

Kampung Teratak Batu, Pasir Puteh, Kelantan.

Akhirnya kaki Dwen dapat juga menjejak kaki ke sebuah kampung.Hatinya tiba-tiba rasa girang. Dia tidak pernah ada kampung. Kampung yang selalu dia pergi hanya Kampung Baru, di tengah kepesatan Kuala Lumpur.

“Inilah rumah saya, Dwen. Tak tahulah Dwen boleh selesa ke tidak,” kata Pak Nordin ketika Dwen melangkah keluar dari kereta. Duit tambang dibayar. Deruman enjin kereta prebet sapu itu berlalu pergi.

“Pak Nordin, ingat janji kita. Saya tak nak Pak Nordin ceritakan identiti sebenar saya kepada penduduk kampung. Saya nak jadi orang biasa. Kenalkan diri saya sebagai orang biasa ya,” balas Dwen pula.

“Itu yang berat tu,” kata Pak Nordin, tersenyum.

“Apa yang beratnya. Bukannya orang kenal saya pun!”

Pak Nordin termenung sekejap.

“Dwen nak jadi apa?”

“Apa-sapa saja. Asal jangan jadi bos dan anak orang kaya.”

“Apa kata kalau Dwen jadi drebar, konon kawan sekerja saya,” kata Pak Nordin.

“Ish, dah ramai orang menyamar jadi drebar tu. Saya nak jadi yang lebih mencabar.”Dwen menyengih lagi.

Tidak lama, pintu rumah berkeriut dibuka. Seorang wanita tua muncul di muka pintu.

“Assalamualaikum mak!” Pak Nordin terus meluru memeluk wanita itu. Mereka berbalas pelukan.

Dwen memerhati dengan sebak.

“Mak, apa khabar mak?”

“Alhamdulillah, mak sihat saja. Mana isteri dan anak-anak kamu?” tanya wanita itu.

“Mereka tak balik mak. Din balik dengan kawan Din ni.Dwen namanya. Dwen, ini mak saya Mak Timah,” Pak Nordin memperkenalkan.

“Mudanya kawan kau Din? Mak ingat sebaya kau. Tak sangka kau bawa balik anak muda kacak pula,” kata Mak Timah dengan senang hati.

Dengan penuh hormat, Dwen menghulur tangan untuk bersalam.

“Maafkan mak cik nak, mak cik ada wuduk. Masuklah,” kata Mak Timah dengan senyum ramah.

“Masuklah. Mari saya tunjukkan bilik Dwen. Mak saya dah siap kemas.Mak saya tu suka kalau orang datang bermalam di sini.Sebab itu, masa saya telefon dia semalam dia gembira sangat,” kata Pak Nordin pula

Dwen semakin terharu. Layanan dan sambutan Mak Timah sangat menyentuh jiwanya. Ketika dia berbaring di katil, tiba-tiba dia teringat kepada mamanya.

“Dwen, naik flight kan senang.Buat apa nak naik bas? ”

“Mama, berilah peluang Dwen enjoy dengan percutian ni. Dwen nak rasa perkara yang tak pernah Dwen rasa sebelum ini.”

“Termasuk bercinta dengan budak kampung?” Mamanya mencelikkan mata.Dia tersenyum membalas kata-kata itu.

“Kenapa mama fikir sampai ke situ?”

“Dah banyak cerita yang mama dengar, kalau pergi ke sana pasti akan terpikat dengan gadis-gadis di sana. Sampaikan kawan mama kata syarikat bas SKMK tu singkatan dari perkataan Sampai Kelantan Mesti Kahwin!”

Dwen ketawa.

“Dwen, kenapa ketawa ni?” Terjengul Pak Nordin di muka pintu bilik.

Dwen menutup mulut. Baru dia sedar dia sekarang berada di rumah Pak Nordin, pemandu syarikat yang kini menjadi sahabatnya dalam misi percutian itu.

“Saya teringat pada mama saya.” Dwen menceritakan apa yang Datin Rodziah bimbangkan.

Giliran Pak Nordin pula ketawa berdekah-dekah. Walaupun dia orang Kelantan, belum pernah dia mendengar singkatan perkataan itu.

“Dwen nak mandi dulu ke? Saya nak bawa Dwen pergi bersarapan di warong kampung ini. Nak ajar Dwen makan nasi kerabu dan nasi dagang,” kata Pak Nordin.

“Biar saya mandi dulu. Segar sikit dan berselera sikit saya makan,” balas Dwen. Dia mengeluarkan sehelai tuala dari beg.

Selepas itu Pak Nordin membawa Dwen ke belakang rumah.

“Maaflah, bilik air kami di luar rumah. Mungkin tak selesa macam bilik air Dwen, dalam bilik tidur sendiri,” kata Pak Nordin.

“Pak Nordin, boleh tak berhenti minta maaf dengan saya.Saya ni nak bercuti dengan santai. Saya akan hadapi apa jua keadaan. Kalau boleh saya nak rasa mandi sungai dan makan masakan kampung. Jangan rosakkan mood saya ya!” Dwen memberi amaran.

Pak Nordin akur. Namun dari riak wajahnya, Dwen tahu dia masih rasa bimbang kalau-kalau Dwen tidak selesa dengan keadaan rumahnya.

“Kalau macam tu, Dwen mandilah. Saya tunggu di dalam. Nak solat subuh dan bersembang dengan mak saya tu. Lama tak sembang, ” kata Pak Nordin, berlalu meninggalkan Dwen.

Bilik air yang dikatakan sangat sederhana. Ia beratap dan berpagar zink. Dwen terpaksa mandidengan memakai kain batik yang tersidai di atas dinding. Kemudian dia duduk di bawah paip air.

Air sangat sejuk. Hampir dia terjerit bila air itu mengena tubuhnya. Kemudian baru dirasakan kesegarannya. Hajat hati ingin mandi lama-lama.Namun, dia rasa tidak tahan dengan kesejukan yang teramat. Dia menggigil.

Ketika dia masuk ke dalam, bibirnya masih terketar-ketar kerana kesejukan.

“Dwen, sejuk ke?” tanya Mak Timah dengan senyuman.

“Ya mak cik.Air di sini sangat sejuk. Kalau di KL, tak adalah sejuk macam ni,” balas Dwen, menyengih.

Kata-kata itu disambut dengan ketawa oleh kedua-dua beranak itu. Dwen masuk ke bilik untuk segera memakai baju. Dia ingin bersiul-siul macam biasa, namun bibirnya yang terketar menyebabkan siulannya menjadi sumbang!

“Macam mana orang kampung boleh mandi setiap pagi dengan air sesejuk ini,” komennya sendiri.

Jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Telefon bimbitnya berdering. Tanpa melihat skrin, dia segera menjawab.

“Helo, siapa di sana?” Dwen menjawab dengan suara ceria.

“Gembira sangat ni kenapa?” Suara seorang perempuan. Dwen kenal suara itu. Hatinya yang girang, sedikit terganggu.

“Ada apa awak telefon saya pagi-pagi ni?” tanya Dwen, sedikit kasar.

“Sejak bila I tak boleh call you?”

“Awak ni Melisa, memang jenis yang tak faham bahasa. Berapa kali saya nak cakap, saya tak suka awak. Saya tak nak awak ganggu saya!”

“Kenapa dulu you suka I? Kenapa sekarang tak suka?” Suara Melisa didengar melengking.

“Dulu saya suka awak sebagai kawan. Awak dah salah anggap. Saya tak pernah kata saya cintakan awak. Sekarang saya sedang bercuti. Jangan ganggu mood happy saya ni,”

“Bercuti? Sampai hati you tak cakap dengan I pun nak ke luar negeri. Dengan siapa?”

“Saya tak bercuti ke luar negeri.Saya bercuti dalam negeri saja.Dengan bakal tunang saya, Andika.”

“Bakal tunang? Andika? Indon?” Suara Melisa menjadi nyaring seperti bunyi cengkerik kepanasan. Dwen matikan talian. Dia tersenyum senang. Kata-katanya itu mungkin boleh membuatkan Melisa berhenti mengejarnya. Tetapi, siapa Andika?


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.