Karina melenggang masuk
ke ofis barunya di Bangunan Melati Holdings dengan senyum senang. Dia tahu itu
hari pertamanya dia berada di situ. Hari itu juga hari pertama dia duduk dalam
satu bangunan dengan Ridhwan Datuk Haris, lelaki yang difikirkan begitu syok
hebat itu.
Dia tercabar dengan
lelaki itu. Belum pernah sekali pun dalam hidupnya dia ditolak oleh seorang
lelaki. Kalau dilihat dari mata kasarnya sebagai gadis yang ada segalanya, anak
bujang Datuk Haris itu tidak ada apa yang istimewanya.
Kalau nak dikatakan
kacak, lebih kacak lagi Hasrul bekas teman lelakinya.
Kalau nak dikatakan
kaya, lebih kaya lagi Tengku Ezani anak Tengku Zain. Juga bekas kekasihnya.
Kalau nak dikatakan
bijak, bijak lagi bekas teman lelakinya semasa di London Nik Jimi.Nik Jimi,
usahawan yang memiliki berpuluh cawangan syarikat di seluruh dunia.
Redhwan Datuk Haris,
langsung tidak ada dalam senarai cita rasanya. Namun, kenapa dia begitu
terkejar-kejar dengan lelaki itu?
“Mammy dan daddy nak Kay
kahwin dengan dia,” kata Puan Sri Norlaila, ibunya. Ketika itu dia masih di
London. Masih dalam rangka persiapan untuk pulang ke Malaysia.
“But why? Hebat sangatkah
lelaki itu?”
“Dia tak hebat. Tapi
demi urusan perniagaan antara keluarga kita.”
“Mummy! Cubalah cari
alasan lain. Itu adalah alasan yang dah basi. Klise!” jeritnya.
“Biar klise! Biar basi,
tapi itulah alasan yang kami ada.”
“Bukankah empayar
bisnes keluarga kita lebih luas dari empayar dia. Apa yang kita nak kejar?”
“Kay tak akan faham.
Jadi Kay tak perlu nak berbahas perkara yang Kay tak tahu. Tak banyak pun yang
kami minta. Hanya Kay kahwin dengan dia. Jadi isteri Dwen. Jadi menantu Datuk
Haris dan Datin Rodziah itu. Itupun tak boleh?” desak ibunya.
Hatinya memang
memberontak. Dia tidak suka hidup dengan keputusan yang ibuat oleh orang lain.
Lalu dia bertekad, akan segera balik ke Malaysia dan mengenali Dwen dengan
lebih baik sebelum memberi keputusan.
“Ini nombor telefon
dia. Kay call dia dan berkenalan.” Tan Sri Halim menghulurkan sekeping kad
nama. Tercatit nama dengan pangkatnya sekali. Tercatit juga nombor telefon
ofis, nombor telefon bimbit dan alamat e-mail.
Dia membuat panggilan.
“Encik Dwen tak ada.
Dia dah keluar. Ada apa-apa pesan?” seorang gadis yang mengenalkan dirinya sebagai PA kepada Ridhwan melayannya.
“Tak apa. Biar saya
call handphone dia.”
“Handphone dia ada pada
saya. Dia bos yang tak suka bawa telefon,” jawab gadis itu lagi.
“Kalau macam tu, suruh
dia call me back.” Dia membacakan nombor telefonnya.
“Siapa nama cik ni?”
“Cakap dengan dia,
Karina anak Tan Sri Halim. Bakal isteri dia!”
“Bakal isteri!” Gadis
itu ketawa.
Hatinya sakit. Belum
pernah orang tertawakan dia seperti itu.
“Apa yang lucu sangat
ni? Apa yang awak nak kurang ajar dengan saya ni?”
“Tak ada yang lucu.
Tapi semua yang call dia mengaku bakal isteri. Hebat juga bos saya ni,” jawab
PA Dwen tu.
Hati Karina sakit. Dia
semakin teruja untuk mengenali lelaki yang dikatakan menjadi kegilaan
gadis-gadis itu. Hebat sangatkah dia?
Sampai ke petang dia
menunggu call dari lelaki itu. namun, habuk pun tiada. Lalu dia menelefon
semula ke pejabatnya. Juga tidak ada. Sudah keluar. Dia semakin rasa tercabar
dan tercalar hati.
“Kay dah berkenalan
dengan Dwen tu?” tanya Puan Sri Norlaila.
“Belum. Nak kenal macam
mana, call tak jawab. Tinggal pesan pun dia tak call balik. Sombong sangat!”
rengusnya.
“Kalau macam tu, apa
kata kalau mummy jemput dia makan malam di sini. Mungkin cara itu saja Kay
boleh kenal dia.”
“Suka hati mummy. Tapi kalau dia tak datang juga, macam mana? Mummy
jangan salahkan Kay pulak!”
Jemputan makan malam di
rumahnya dipenuhi. Dwen datang bersama Datuk Haris dan Datin Rodziah. Itulah
pertama kali bertemu muka dan mendengar suara lelaki itu. hatinya langsung
tidak tertarik. Namun, dia sengaja ingin menggoda. Belum pernah tidak ada yang
tidak tergoda dengan gaya seksi dan manjanya.
Hanya Dwen. Hatinya
tiba-tiba semakin berdenyut. Dia teringatkan semua layanan Dwen kepadanya terutama
semasa majlis minum petang di hotel tempoh hari. Majlis itu rupanya yang
menghimpunkan semua teman wanita Dwen.
Dan dia, disuruh duduk
semeja dengan orang-orang yang tidak setaraf dengannya!
“Huh! Berlagak macam
bagus sangat!” rungut Karina sambil mengetap bibir. Ketika itu kakinya sudah
keluar dari pintu lif dan terus ke biliknya.
“Selamat pagi Cik
Karina,” sapa Noraziah yang hanya dipanggil Nora di muka pintu.
Dia tidak menjawab,
sebaliknya hanya merenung wajah gadis yang memang sengaja diminta dari Datin
Rodziah untuk menjadi pembantunya. Alasannya juga logik ketika membuat
permintaan itu.
“Kay rasa Nora tu
sesuai dengan Kay. Lagipun, dia tu baik dengan Nureen PA Dwen. Kita boleh jadikan
dia jambatan untuk mengorek rahsia dan pergerakan Dwen.”
“Baiklah, untie akan
minta HR Manager sediakan surat perlantikan.”
Datin Rodziah memang
terlalu berhajat untuk jadikan dia menantu. Dia boleh gunakan kesempatan itu
untuk ‘mengenakan’ Dwen.
“You masuk bilik I
sekarang!” arah Karina. Nora angguk dengan patuh.
Karina masuk ke ofisnya
dan duduk dengan selesa di kerusi empuk yang baru dibeli. Semua perabut dan
peralatan dalam ofis itu semuanya baru. Dia tidak suka menggunakan barang yang
sudah dipakai orang lain.
Nora berdiri di
hadapannya, menunggu untuk menerima tugas. Di tangannya sebatang pen dan sebuah
diari.
“Baiklah, hari ni hari
pertama awak bekerja dengan saya. Yang pertama saya nak ialah, awak kerja
dengan taat kepada saya. Jangan nak banyak curi tulang. Lupakan nak jadi ular
dan berlengkar.Boleh?”
Nora angguk. Hatinya
rasa resah dan cuak.
“Awak tahu bahawa
syarikat I ni dah buat joint venture dengan syarikat Dwen. Ini kerana tak lama
lagi kami akan berkahwin. So semua aktiviti Dwen perlu I pantau. Awak kena catit
agenda hariannya sebagaimana awak buat untuk I. Faham?” Karina meneliti wajah
Nora kemudian menyelusuri seluruh tubuhnya. Nora berbaju kurung dengan tudung
yang kemas. Nora dengan make-up yang nipis.
“I juga nak awak ikut ke mana I pergi, termasuk
ke kelab VIP dan ke salon rambut atau ke butik kesukaan.”
“Saya akan ikut Cik
Karina semasa waktu pejabat. Lepas waktu pejabat, ia sudah di luar masa
bertugas saya. Saya juga akan pergi ke tempat-tempat yang sesuai untuk wanita
muslimah. Kalau ke kelab yang ada arak dan tempat maksiat, saya tak akan
izinkan kaki saya memijaknya!” jawab Nora, tegas.
Karina tersentak. Dengan
pandangan yang tajam, dia merenung Nora.
“Berani awak nak lawan
perintah saya? Awak dibayar gaji untuk dengar dan patuh semua arahan I!”
“Saya akan dengar
perkara yang tak melanggar hukum. Sungguhpun Cik Karina bos saya, tak
semestinya saya akan ikut kalau Cik Karina nak bawa saya terjun ke neraka,”
balas Nora, tanpa rasa bimbang.
“Baik, kita tengok
nanti samada kuasa I besar atau prinsip
awak itu benar. Awak boleh pergi sekarang.” Karina menarik muka masam. Hari pertama
dia di situ, cakapnya sudah dilawan. Nampak macam Nora agak berani dari yang
disangkanya.
“Cik Karina tak nak minum
apa-apa ke?”
“Kenapa awak tanya
macam tu?”
“Kalau nak, saya boleh
buat. Itu memang bidang tugas saya.” Nora tersenyum. Namun Karina rasa senyuman
itu menyakitkan matanya.
“Tak payah. Saya akan
suruh tea lady yang buatkan kalau saya nak. Siapa tea lady kat sini?”
“Kak Rozi. Boleh tekan
interkom ke pantry. Nombor-nombor sambungan telah saya catatkan di atas meja
cik tu. Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu.” Nora melangkah ke pintu.
“Tolong dapatkan agenda
bakal suami I untuk hari ini,” kata Karina sebelum Nora memegang tombol pintu.
“Siapa?” Nora berpusing.
“Siapa lagi, Encik Dwen.
Awak ni tak dengar ke apa yang I beritahu tadi?” tanya Karina dengan wajah
geram.
“Encik Dwen bercuti
selama enam bulan. Sekarang dah dua bulan, lagi empat bulan baru dia masuk
ofis. Jadi tak ada agenda kerja dibuat untuk orang yang tak bekerja!” Nora
keluar dengan senyuman.
Hati Karina bertambah
sakit. Kenapa Datin Rodziah tidak memberitahunya akan hal itu? dia segera
mendail nombor telefon ‘rakan kongsi’nya itu. Namun, panggilannya tidak berjawab.
“Huh! Apa masalah dia
bercuti lama-lama macam tu?” rungut Karina sambil mengetap bibir. Geram yang
ada kepada Nora, menular pula kepada Dwen dan Datin Rodziah!