Dwen memang sudah
mengagak, Karina pasti tidak akan berdiam diri dengan apa yang berlaku
kepadanya. Sudah pasti dia akan mengadu kepada Datin Rodziah. Sudah tentu pula,
Datin Rodziah akan menyoalnya sebagai pesalah.
“Mama tak sangka Dwen
sanggup layan Karina begitu. Apa kata tan sri kalau dia tahu?” Mata Datin
Rodziah merenung tajam.
“Apa yang Dwen buat?
Dwen tak sentuh dia pun!”
“Memang Dwen tak sentuh
tubuh badannya tapi Dwen dah sentuh hatinya. Dia menangis ketika call mama
tadi. Dia kata Dwen aniaya dia!”
“Aniaya?” Dwen
terkejut. Matanya bulat bertentang dengan tatapan tajam Datin Rodziah. Kali ini
hatinya semakin meluat.
“Dwen, apapun alasan
Dwen, mama tak suka Dwen layan dia macam tu. Dia bukan gadis biasa seperti yang
Dwen usung ke hilir tu. Dia gadis berpelajaran tinggi, kaya, cantik dan ada
kedudukan,” kata Datin Rodziah, dengan nada tegang.
“Jadi? Apa masalahnya,
mama?”
“Dia tak sesuai untuk
makan di restoren murahan macam tu! Kenapa Dwen buat macam tu? Sengaja nak
malukan mama?”
“Mama, Dwen juga tak
suka cara mama menyanjung dia. Belum apa-apa dia dah mengada-ngada macam tu. Dah
kahwin nanti, dia akan naik tocang. Silap-silap dia akan buli mama saja,”
bantah Dwen.
“Mama tak dengar apa alasan
Dwen lagi. Mama nak Dwen minta maaf dengan Karina dan bawa dia pergi dinner di
tempat yang selesa dan sesuai dengan martabatnya,” kata Datin Rodziah sambil
berlalu meninggalkan Dwen terkebil-kebil.
‘Martabat? Martabat apa yang sedang diperjuangkan ni?
Kalau bercakap tak ada sopan. Kalau pakai baju tak cukup kain. Kalau muka dicat
bermacam warna. Kalau rambut yang asal hitam diwarnakan merah. Masih adakah
martabat dia ni sebagai orang? Aku nampak macam kambing je...’ Dwen berkata
kepada dirinya. Kemudian dia tersenyum sendiri, cuba menghiburkan hati yang
baru dicelur mamanya.
Malam itu tidur Dwen
terganggu. Bermacam perkara muncul. Dia juga memerah otak, memikirkan apakah
strategi yang perlu dibuat untuk membuang Karina dari hidupnya.
Esoknya, awal pagi Dwen
sudah sampai di ofis.
“Eh, awalnya bos sampai
pagi ni?” tegur Nureen dengan wajah kelam kabut.
“Saja nak terjah awak.
Nak tahu setiap hari pukul berapa awak sampai,” jawab Dwen, selamba.
“Maaflah, hari ni memang
saya lambat sikit sebab bas yang saya naik tu tersangkut-sangkut. Biasanya saya
lebih awal dari ini,” kata Nureen. Dia gemuruh seketika.
Dwen tersenyum. Dia suka
tengok wajah Nureen yang sedikit gusar itu.
“Oleh kerana awak dah
buat salah, saya nak denda awak pagi ni.” Dwen berpura-pura marah. Wajahnya dipaksa
masam.
“Encik Dwen bos, saya
kuli. Jadi apa denda pun saya akan terima kerana saya memang salah.”
“Kalau macam tu, jom
kita pergi,” kata Dwen sambil melangkah mendahului Nureen.
“Kita nak ke mana?”
“Nak hantar awak ke
tempat hukuman dan denda.”
Dwen berjalan tanpa
menoleh. Nureen mengekori tanpa bertanya lagi. Dia diam dan akur. Dia taat dan
setia kerana memang itu tugasnya sebagai PA.
Mereka sampai ke
kafetaria. Nureen semakin keliru. Apa sebenarnya hukuman denda yang akan
dikenakan kepadanya?
“Awak nak makan apa? Hari
ni saya belanja awak makan kenyang-kenyang sebagai denda awak datang lambat dari
saya pagi ni,” kata Dwen. Ketika itu dia sudah tidak mampu berlagak garang dan
serius lagi. Dia ketawa.
Nureen ikut ketawa. Hatinya
lega. Akhirnya mereka makan dengan santai.
“Boleh saya tanya Encik
Dwen sesuatu?”
“Apa dia?”
“Apa yang buat encik
datang awal dari saya pagi ni? Encik ni bermimpi ke apa?”
Dwen tidak segera
menjawab. Dia mengunyah makanan yang ada dalam mulutnya dengan tertib. Dia tidak
mahu tergesa-gesa. Ada banyak agenda yang sedang berlegar dalam otaknya.
Melihat Dwen tidak
bersedia untuk menjawab, Nureen ikut diam. Dia ikut mengunyah dalam diam. Namun
dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang menghantui fikiran bosnya pagi itu.
Mungkinkah kerenah teman wanitanya yang bersepah itu?
“Nureen, tambahlah
lagi. Makan apa yang awak nak makan. Saya benar-benar nak belanja awak pagi ni.
Sebab lepas ni saya perlukan banyak buah fikiran awak. Dan awak kena kerja
sampai saya kata berhenti,” kata Dwen.
“Oh, jadi encik belanja
ni sebab nak rasuah saya. Kalau setakat kerja, tak payah encik buat macam ni
pun saya memang dah bersedia untuk kerja
sebab saya datang ke sini untuk bekerja,” balas Nureen, senyum sinis.
“Ini agenda peribadi,
di luar kerja syarikat Datuk Haris,” balas Dwen dengan senyuman juga.
“Wah, bunyi macam hebat
saja. Nak suruh saya susun acara untuk majlis pertunangan atau pernikahan ke?”
“Pertunangan? Calonnya pun
belum ada macam mana nak bertunang?”
“Karina?” Nureen
menduga.
“Huh!” Dwen mencebik.
“Kenapa Encik Dwen, ada
masalah dengan anak tan sri tu?”
“Bukan masalah lagi,
tapi bala kalau saya hidup dengan dia. Sombong dan bongkak!”
Nureen terdiam. Dia tidak
berani menyambung lagi. Dia bersedia untuk mendengar sahaja. Kalau diberi
tugas, dia akan laksanakan.
“Saya nak minta tolong
awak aturkan satu pertemuan dengan semua girl friend saya. Nanti saya berikan senarai
dan alamat mereka.”
Nureen tergelak.
“Kenapa awak ketawa ni?
Saya serius ni. Hal makan minum ni dah habis, sekarang hal kerja pula. Okey?” kata
Dwen dengan wajah serius.
Nureen menutup mulut. Namun
perkataan ‘senarai’ itu menggeletek hatinya. Kemudian dia teringat kepada Melisa
yang memanggil Dwen dengan panggilan
Romeo.
“Saya nak awak cipta sebuah
majlis yang santai. Mungkin high-tea. Tempatnya di hotel lima bintang. Jemputannya,
selain gadis-gadis itu ialah Pak Nordin,
kawan saya Syerif dan awak sendiri.”
“Saya? Adakah Encik
Dwen nak suruh saya letakkan nama saya dalam senarai tu? Saya memang tak layak
dan tak nak,” kata Nureen.
“Awak tak ada dalam
senarai itu. Saya nak awak, Pak Nordin dan Syerif hadir sebagai juri,” kata Dwen, semakin
serius.
“Juri? Kita nak buat
pertandingan ratu cantik ke? Maaflah, saya tak pandai nak menilai kecantikan
orang ni. Encik Dwen lantik orang lainlah.”
“Nureen, saya bukan nak
buat pertandingan ratu cantik. Tapi saya nak buat pemilihan calon isteri. Nanti kita bincangkan
lagi apa isi dan pengisian majlis itu.”
Nureen rasa ingin
tergelak lagi. Tetapi dia tidak berani kerana ketika itu mata Dwen sedang
melorot tajam ke arahnya.
“Saya tahu awak nak
ketawakan saya. Saya tahu awak nak kata idea saya ini gila. Saya tak kisah awak
nak cakap apa, tapi saya kena cari calon isteri secepat mungkin sebelum mama
saya aturkan majlis pertunangan dengan anak tan sri tu. Tak berkenan saya!”
kata Dwen, seolah-olah sedang membaca apa yang tertulis dalam fikiran Nureen
ketika itu.
Nureen memang rasa pelik dengan rancangan itu. Namun
dalam masa yang sama, dia mula mencium kebimbangan bosnya.
“Kalau macam tu, saya
akan segera uruskan. Hari ini juga saya akan uruskan hotel dan jemputan. Tapi
nak namakan majlis apa ya?”
“Uji bakat mencari
isteri,” kata Dwen dengan ketawa.
“Terlalu formal
tajuknya tu,” balas Nureen, ikut gelak. Kali ini dia berani ketawa gelak kerana
Dwen sendiri mula mengendur dan ketawa.
“Habis, nak letak
majlis apa?” Dwen merenung wajah Nureen.
“Majlis ramah mesra bersama
Romeo!” usul Nureen.
Dwen diam seketika. Dia
berfikir.
“Suka hati awaklah nak
letak nama apa. Saya tak kisah. Yang saya nak, kesemua dalam senarai itu nanti
datang. Awak kena pastikan, hidup atau mati mereka datang.”
Mata Nureen semakin
ghairah dan teruja. Dia membayangkan bagaimanakah wajah dan sikap para peserta
itu nanti bila bersua muka dengan madu-madu tak resmi mereka itu.
“Nak buat kain rentang
dan gegantung?”
Dwen diam berfikir.
“Ya, rasanya itu akan
lebih meriah dan mendebarkan!”
Nureen menyengih. Dia mula
faham apa yang patut dibuat. Dalam kepalanya mula beratur aturcara yang perlu.
“Jangan lupa, Pak
Nordin adalah ketua juri.” Dwen angkat ibu jari.
Kali ini Nureen terus
tergelak. Dia rasa rancangan itu akan benar-benar menyeronokkan!