“Ya ALLAH! Betulkah apa
yang aku lihat ni? Gadis yang bekerja di rumah ni adalah Andika Puteri? Tapi,
kenapa nama dia Ratna Kesuma Dewi? Apa muslihat dia?”
Dwen termangu-mangu.
Namun, dia tidak mahu soalan yang berlegar di fikirannya berpusing hingga
memeningkan kepalanya.
Nombor telefon Pak
Nordin ditekan.
“Pak Nordin, betulkah
apa yang saya lihat ni?” tanya Dwen sebelum sempat Pak Nordin memberi salam.
“Benar. Ratna Kesuma
Dewi itu adalah Puteri Andika yang kita cari. Dia anak Pak Said yang lari dari
rumah ibunya di Medan. Saya pun tak tahu menahu mengenai hal ini. Selepas saya
berikan gambar itu kepada Nureen untuk di e-mail kepada Dwen, baru saya tau
bahawa Puteri bekerja dengan Dwen,” jelas Pak Nordin.
“Tapi, kenapa dia tukar
nama?”
“Itu nama ibunya. Dia
menggunakan nama ibunya. Saya pun kurang pasti kenapa.”
Dwen termenung.
“Sekarang, senanglah
kerja Dwen kan? Dwen dah tengok sendiri orangnya. Kalau Dwen berkenan, saya
akan uruskan dengan keluarganya di kampung,” sambung Pak Nordin lagi.
“Masalahnya, Ratna tak
ada di rumah saya sekarang.”
“Dia ke mana?”
“Katanya dia nak ke
Medan, ibunya sakit tenat. Pak Nordin tahu mengenai hal ni?”
“Saya tak tahu. Baru ni
saya dengar,” jawab Pak Nordin.
“Kalau macam tu, tak
apalah. Saya tunggu dia balik sebab dia kata kalau semuanya selesai, dia akan
balik semula ke rumah saya,” kata Dwen.
Ketika perbualan dengan
Pak Nordin selesai, Dwen termenung lama.
Apa yang berlaku, semakin penuh dengan tanda
tanya. Namun, dia perlu sabar menanti khabar dari Pak Nordin dan Ratna Kesuma
Dewi sendiri.
Keesokan pagi, Dwen menerima
panggilan dari Pak Nordin. Panggilan itu lain dari biasa. Ia agak cemas dan
menggugat jiwa Dwen yang memang telah
sedia kacau bilau sejak semalam.
“Dwen, ada berita
buruk. Puteri memang telah pulang ke Medan. Ibunya telah meninggal dunia,”
beritahu Pak Nordin.
“Innalillahiwainnailaihirajiun,”
ucap Dwen. Dia terbayangkan wajah Andika Puteri yang murung. Entah kenapa
hatinya hiba.
“Pak Nordin, kesian
dia...”
“Ya, kesian dia.”
Sepi seketika. Dwen
masih tergapai-gapai mencari kekuatan dan jalan.
“Apa kita nak buat
sekarang?” tanya Pak Nordin selepas lama diam.
“Terpaksa kita tunggu
dia datang,” jawab Dwen.
“Saya rasa dia tak akan
datang.”
“Kenapa Pak Nordin
cakap macam tu?”
“Semalam masa saya
telefon kawan Puteri, dia kata Puteri mungkin tak akan balik ke sini lagi. Sebab
dia kena uruskan kebun milik arwah ibunya. Semua harta itu diserahkan kepadanya
kerana dia tidak mempunyai anak yang lain.”
Fikiran Dwen celaru dan
buntu.
“Pak Nordin, biar saya
ke sana. Saya akan pujuk dia dan bawa dia ke sini,” kata Dwen cuba memecahkan
kebuntuan.
“Dia tak kenal Dwen. Takkan
dia nak ikut,” balas Pak Nordin.
“Dia kan pembantu rumah
saya. Dia dah kenal saya. Lagipun, dia dah janji nak datang.”
Tiada suara dari Pak
Nordin.
“Bolehkah Pak Nordin?”
“Tapi, apa tujuan Dwen?
Adakah kerana nak jadikan dia pembantu rumah?”
“Pak Nordin lupa akan
misi saya. Saya ada lima bulan sahaja lagi. Saya rasa Ratnah Kesuma Dewi itulah
jodoh saya. Walaupun saya belum kenal dia secara dekat, namun naluri saya
berkata begitu. Apa yang saya cari ada pada dia. Dialah gadis yang saya
idamkan. Tolong saya Pak Nordin,” jawab Dwen bersungguh-sungguh.
“Saya pun sukakan
Puteri tu. Cuma, saya bimbang dia tak akan terima.”
“Sebab itu saya nak ke
sana. Saya mesti pujuk dia balik ke sini. Hanya dia yang boleh selamatkan saya
daripada Karina tu!”
Senyap. Sekali lagi
Dwen tidak mendengar apa-apa suara samada setuju atau tidak dari Pak Nordin.
“Pak Nordin?”
“Dwen, saya menjadi
takut.”
“Apa yang Pak Nordin
takutkan?”
“Walaupun Puteri itu
bukan keluarga saya, tapi dia orang kampung saya. Arwah ayahnya tu kawan
sepermainan saya. Malah Puteri itu masa kecilnya pernah turun naik di rumah
saya. Dia manja dengan mak saya,” jawab Pak Nordin, perlahan.
“Jadi, Pak Nordin tak
setuju kalau saya nak ambil dia sebagai isteri saya?”
“Saya kenal Dwen. Saya tahu
hati budi dan kejujuran Dwen. Tapi, apakah datuk dan datin akan terima Puteri
sebagai menantunya? Selain miskin, dia anak yatim piatu. Saya tak nak hidupnya
merana dalam sangkar emas milik keluarga Dwen.”
“Kalau pasal itu, Pak
Nordin jangan susah hati. Saya tahu apa yang saya buat. Saya akan
bertanggungjawab atas apa yang saya buat. Saya akan jaga dia nanti,” kata Dwen
dengan bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu, saya tak
boleh kata apa lagi. Saya doakan Dwen bertemu jodoh dengan dia. Kita hanya
mampu berusaha, ALLAH yang akan menentukannya. Kalau benar, takdir Puteri menjadi
isteri Dwen bermakna ALLAH membalas semua kesusahannya selama ini dengan
kebaikan,” balas Pak Nordin.
“Apa maksud Pak Nordin?”
“Nanti bila Dwen jumpa
dia, Dwen akan tahu siapa Puteri itu sebenarnya. Bila Dwen dan ke sana?”
“Saya akan suruh Nureen
tempahkan tiket untuk saya.”
“Sebelum pergi, saya
nak jumpa Dwen sekejap.”
“Kalau macam tu, saya akan
call Pak Nordin. Pak Nordin hantar saya ke airport nanti,” kata Dwen.
Perbualan dengan Pak
Nordin diakhiri dengan rasa senang. Dwen mula bersemangat. Dia ingin segera ke
sana dan membawa gadis itu ke rumahnya. Kali ini bukan lagi sebagai orang gaji
tetapi sebagai isteri.
Dia segera menghubungi
Nureen. Apa yang dirancangkan diberitahu. Dia minta Nureen uruskan pemergiannya.
“Tapi, awak mesti
ingat. Hanya awak dan Pak Nordin yang tahu pemergian saya ke sana.”
“Hal itu, encik jangan
bimbang. Rahsia encik selamat dalam kocek saya,” balas Nureen cuba bergurau. Dia
cuba ringankan beban fikiran Dwen ketika itu.
“Mana tahu kalau kocek
awak tu bocor,” kata Dwen, senang dengan guruan Nureen.
“InsyaALLAH tidak sebab saya jahit dengan benang yang
kuat. Encik pergilah. Bawa balik gadis kesukaan encik tu. Tapi...”
“Apa lagi?”
“Benarkah encik memang
sukakan dia?”
“Kenapa? Awak cemburu?”
balas Dwen dengan ketawa.
“Come on bro! Saya ni
dah memang siang-siang lagi tak layak masuk bertanding. Jadi, saya akan terima
siapa yang bro pilih. Asalkan bro bahagia!” kata Nureen, dengan ketawa galak.
Dada Dwen rasa lapang. Gurauan
Nureen sangat menyegarkan. Selama ini dia lemas dengan protokol yang dicipta mamanya. Dia cuba hidup santai dan
bebas dari benteng darjat. Baginya, benteng antara pekerja dan majikan hanya
ketika di pejabat. Langkah keluar dari pintu pejabat, benteng itu akan pecah!
“Encik, maafkan saya kerana
gurauan yang kasar tadi,” kata Nureen bernada kesal.
“Eh, taklah. Saya suka.”
“Tapi, encik diam kenapa?”
“Sebab di hati dan di
mata saya penuh dengan wajah Ratna Kesuma Dewi. Awak rasa saya sedang jatuh
cinta?” tanya Dwen, jujur. Dia memang tidak pernah menyukai seorang gadis
sebelum ini. Apa lagi untuk jatuh cinta. Dunianya masa remaja hanya belajar dan
belajar. Sudah berjaya, kerja dan kerja mengikut acuan yang telah dibuat oleh
papanya Datuk Haris.
“Mungkin juga. Tapi
peliklah kalau encik jatuh cinta. Sebab encik tak kenal rapat dengan dia. encik
jumpa dia sekali saja. Takkan cinta pandang pertama pulak,” jawab Nureen.
“Apapun, saya hanya
berharap akan segera jumpa dia dan bawa balik ke sini. Saya dah tak ada banyak
masa untuk cari calon yang lain selain dia. Lima bulan saja lagi. Kalau saya
gagal, alamatnya saya kena mengadap jodoh yang diberikan oleh mama dan papa
saya. Huh!” rengus Dwen.
“Saya doakan encik
berjaya. Saya akan uruskan encik pergi ke sana segera. Pergilah aduhai perwiraku!”
gurau Nureen lagi. Kali ini ketawanya pecah berderai.
“Perwira?”
“Ya. Perwira cinta. Ada
banyak halangan yang encik kena hadapi. Dan encik perlu berjuang habis-habisan
untuk menang!”