Dwen akan berangkat ke
Medan petang itu.
Nureen sudah menyiapkan
semuanya. Tiket dan hotel penginapan semuanya sudah sedia. Sekejap lagi Pak
Nordin akan datang mengambilnya, sekali gus menyerahkan semua dokumen
perjalanan yang disiapkan oleh Nureen.
Dwen berdiri di hadapan
peti sejuk. Dia rasa haus. Ketika membuka pintu peti, dia ternampak susunan
bekas lauk yang dimasak oleh Ratna Kesuma Dewi. Dia belum menghabiskannya.
“Andika Puteri, kau
gadisku!” Tiba-tiba terkeluar kata-kata itu dari celah bibirnya.
Dwen segera minum.
Kemudian dia segera keluar dari ruang dapur. Dia tidak sanggup untuk
berlama-lama di ruang itu. Rasa seperti ada sepasang mata yang sedang merenung
ke arahnya. Tidak lama, Pak Nordin sampai. Dwen segera menyandang sebuah beg ke
bahunya. Dia tidak membawa banyak pakaian. Hanya beberapa helai sahaja.
“Masih awal lagi. Kita
singgah makan tengah hari dulu,” kata Dwen ketika masuk ke dalam kereta.
“Dwen belum makan?”
“Ada banyak lauk pauk
yang sedap dalam peti sejuk saya. Tapi, saya tak selera nak makan,” jawab Dwen
dengan jujur.
“Siapa yang masak?”
“Ratna Kesuma Dewi.”
Pak Nordin tidak
menyoal lagi. Dia memandu sambil melayan fikirannya.
Mereka sampai di sebuah restoren. Mereka mencari
tempat duduk. Suasana di Restoren Dahlia tidak begitu sibuk. Mungkin sebab
waktu itu waktu kerja.
Seperti biasa, Dwen
akan memilih lauk pauk yang disukainya. Begitu juga Pak Nordin. Mereka mengadap
hidangan tanpa berkata sepatahpun. Ada kegusaran di wajah masing-masing.
“Dwen dah hubungi kawan
Dwen di Medan tu?”
“Dah. Kata Aditya,
hotel yang Nureen tempah itu memang dalam kawasan bandar. Hotel itu juga yang
terbaik di Medan,” jawab Dwen sambil mengunyah nasi dan sayur petola masak
lemak dengan udang.
“Kalau macam tu, senang
sikit hati saya. Alamat kampung Puteri masih Dwen simpan?”
“Ada. Dalam wallet
saya. Pak Nordin jangan bimbang. Cuma saya nak minta tolong sikit dari Pak
Nordin.”
“Apa dia? Kalau saya
mampu, akan saya tolong.”
“Tolong rahsiakan semua
ini dari mama dan papa saya.”
“Tentang itu, Dwen
jangan bimbang. Percaya dengan saya,” jawab Pak Nordin.
Selesai makan, Pak
Nordin menghulurkan sebuah sampul surat kepada Dwen.
“Apa ni?”
“Berikan sampul ini
kepada Puteri apabila Dwen dah jumpa dia. Kirim salam saya kepadanya,” jawab
Pak Nordin dengan senyum senang.
Dwen menyimpan sampul
surat yang diterimanya. Itu amanat Pak Nordin, dia akan menjaganya dengan
selamat hingga ke tangan penerimanya.
“Dan ini, dari Nureen.
Semua dokumen perjalanan dan peta siap diberikan. Memang budak Nureen tu boleh
diharap,” hulur Pak Nordin.
Huluran itu diterima
oleh Dwen. Nureen sudah memaklumkan semuanya. Jadi dia rasa tidak perlu untuk
membuka sampul besar itu. Nanti di lapangan terbang boleh dibuka.
Akhirnya mereka
bergerak dari restoren, menuju ke lapangan terbang. Dwen sudah bersedia. Kalau
Nureen menganggapnya sebagai perwira cinta, dia akan mulakan langkah perjuangan
hari itu.
Puteri Andika anak
kepada Ratna Kesuma Dewi harus dibawa ke dalam hidupnya.
**
Penerbangan dari KLIA 2
ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan
hanya memakan masa 45 minit sahaja. Sepanjang jalan, ada berbagai agenda yang
muncul di dalam fikiran Dwen.
Sampai sahaja di
Kualanamu, Dwen sudah ditunggu oleh sahabat lamanya Aditya Pritomo.
“Selamat datang ke
Medan, mas. Dari dulu Mas Dwen asyik janji sama aku. Baru sekarang, Mas Dwen
sampai ke sini. Ketika aku terima mesej mas, aku macam nggak percaya. Kok bisa,
mas mahu datang ke tempat aku kalau nggak ada urusan lain,” kata Aditya Pritomo
ketika bersalaman dengan Dwen.
Dwen memeluk Aditya.
Kali terakhir bertemu anak muda itu ketika sama-sama berada di London. Kemudian
dia hanya beberapa kali mereka berhubung melalui e-mail. Setiap kali, memang
Aditya selalu menjemputnya. Setiap kali itu juga dia hanya memberi harapan
dengan ucapan: Insya-ALLAH.
Aditya Pratomo memandu
keluar dari kawasan lapangan terbang menuju ke Kota Medan.
“Maaflah mas. Jalan
raya di sini selalu begini. Macet!”
Dwen tersenyum.
Perkataan ‘macet’ mencuit hatinya.
“Apa sih yang bikin
kamu ke mari?” tanya Aditya Pratomo. Dia seperti terlalu ingin tahu sebab
sebenar Dwen datang ke Medan.
“Aku kangen sama kamu!”
gurau Dwen dengan ketawa.
“Terus terang dong!”
balas Aditya Pratomo pula.
“Kamu tahu tempat ini?”
Dwen menghulurkan sekeping kertas. Alamat kampung halaman arwah Ratna Kesuma
Dewi. Alamat tempat tinggal Andika Puteri.
Kertas itu bertukar
tangan. Aditya termenung selepas membaca alamat itu.
“Kalau tak silap aku,
desa ini masih jauh dari sini. Kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Medan.”
“Ada kenderaan ke
sana?”
“Pasal itu, kamu jangan
susah. Aku akan minta keponakanku menghantar kamu ke sana. Cuma, aku kepingin
tahu. Kamu ini mencari siapa?” tanya Aditya.
Dwen diam seketika. Dia
masih sangsi samada akan menceritakan semuanya atau merahsiakannya dan
mengarang cerita bohong agar Aditya berpuas hati dan tidak bertanya lagi.
“Ada apa sebenarnya.
Kenapa sih, kok kamu termenung. Mahu berahsia sama saya ya?”
Dwen serba salah.
“Tapi, kamu jangan
ketawakan aku ya!” kata Dwen sengaja mengajuk pelat Aditya.
Aditya ketawa berdekah.
“Aku sudah bilang, kamu
jangan ketawa. Kok kamu ketawa,” kata Dwen dengan ketawa juga.
Dwen melemparkan
pandangannya ke kiri kanan jalan. Dia melihat kesuburan pokok-pokok kelapa
sawit yang menghijau. Kemudian ada juga sawah padi yang menghijau. Ia seperti
pemandangan di Malaysia. Inilah yang dikata orang negara serumpun!
“Cepatan dong!” kata
Aditya lagi. Ketika itu ketawanya mula usai. Dia memandu dengan penuh hemah.
Lalu Dwen mula
berkisah. Semuanya diceritakan. Dari awal pencarian calon isteri hingga kepada
bertemunya dia dengan gadis itu dan apa yang berlaku hingga membawa langkahnya
sampai ke kota itu.
“Jadi kamu ke sini
kerana gadis itu? Siapa namanya?”
“Andika Puteri.”
Aditya termenung lama.
Dahinya berkerut.
“Kenapa Aditya?”
“Nama itu, sepertinya dia
bukan orang sini.”
“Hanya ibunya orang
sini. Ayahnya orang Malaysia. Dia dibesarkan di Malaysia. Cuma selepas ayahnya
meninggal, ibunya membawa dia ke sini,” kata Dwen seperti sudah lama mengenali
Andika Puteri.
Aditya Protomo angguk
faham.
“Kalau macam itu, esok
saja mas ke sana. Malam ini mas rehat dulu. Aku akan usahakan sampai mas dapat
jumpa gadis itu. Aku janji!”
Dwen menarik nafas
lega.
Hampir dua jam baru
mereka sampai ke Garuda International Hotel yang letaknya di tengah-tengah
kesibukan Kota Medan.
“Mas rehat dulu ya.
Nanti malam, aku bawa mas makan malam dan kita jalan-jalan pusing kota. Mas
kena lihat kehidupan kami di sini,” kata Aditya dengan senyum ramahnya.
“Aditya, tak usah
susah-susah. Saya tak mahu ke mana-mana. Saya rehat saja. Esok pagi-pagi kamu
datang. Saya hanya perlu ke kampung itu. Selagi saya tak jumpa gadis itu, hati
saya tak akan senang,” balas Dwen pula.
“Wah! Bapak ini sudah
jatuh cinta bangat!” Aditya separuh menjerit. Ketawa ceria mengiringi
kata-katanya itu.
Dwen ikut ketawa. Namun
dia belum pasti dengan perasaan cinta yang dikatakan oleh Aditya itu.
Matlamatnya hanya ingin mencari calon isteri untuk dibawa ke hadapan Datuk
Haris dan Datin Rodziah dalam masa lima bulan ini. Persoalan rasa, akan
diletakkan di tepi dahulu. Mungkin dia akan bercinta selepas kahwin.
Kahwin? Benarkah apa
yang difikirkannya?
Selepas Aditya pergi,
Dwen berbaring. Tidak ada yang lebih baik ketika itu selain tidur dan
merehatkan badan dan minda. Esok, biarlah masa yang menentukannya.
Ketika matanya hampir
terlelap, dia teringat untuk mengirim berita kepada Pak Nordin dan Nureen. Dia tidak
mahu mereka rasa bimbang. Dengan segera dia menghantar mesej melalui sms.