Dwen benar-benar rasa gembira dengan misi cutinya.
Langsung dia terlupakan fail-fail projek di pejabatnya. Langsung juga tidak
teringat rumah banglo mewah papanya yang tersergam itu. Juga dia terlupa akan
gadis-gadis genit yang selalu mengejarnya.
Dia
benar-benar menikmati kehidupan cara kampung.Mandi air paip tanpa pemanas. Tidur tanpa kipas dan
penghawa dingin. Makan makanan yang selalu dimakan oleh orang kampung. Dia mula
bertemu menu masakan yang dirasakan sangat pelik dan tidak dijumpai sebelum
ini.
Dia
mula kenal ulam-ulaman dan sayuran kampung seperti pucuk beko, pucuk mata ayam,
daun kadok dan macam-macam lagi. Apa yang dia tidak kenal sebelum ini mula
dikenalinya. Dwen juga sudah pandai
makan budu cicah ikan bakar.
“Sedap
juga budu ni ya pak cik,” kata Dwen sambil mengunyah.
“Bukan
saja sedap, tapi ada khasiatnya,” jawab Pak Nordin pula.
“Khasiat?”
“Kata
anak saya, dia terbaca satu kajian kesihatan yang mengatakan budu kaya dengan
bermacam zat. Tapi saya tak tahu pula zat apa. Kami di sini, memang dah lahir
dengan zat budu. Jadi, tak ada budu memang kami tak hidup!” seloroh Pak Nordin.
Dwen
ketawa. Tidak lama, ketawanya beransur perlahan.
“Sekejap
je masa berjalan. Lusa kita dah kena balik ke KL.Rasa macam berat hati nak balik.”
“Kalau
macam tu, Dwen tinggal saja di sini. Jadi orang sini,” balas Pak Nordin. Kunyahannya
diperlahankan. Hidangan tengah hari itu memang sangat membuka selera mereka berdua.
Gulai siput dengan daun kadok, ikan keli bakar cicah budu bersama ulam daun
serai kayu dan kacang botol.
Pak
Nordin dan Dwen menghadap hidangan itu tanpa menoleh kiri kanan lagi.
“Memang
kalau boleh saya nak jadi orang sini.Kahwin dan bina keluarga di sini. Tapi, setakat ni saya tak jumpa gadis
yang sesuai.”
“Kalau
nak cari anak tan sri dan datuk memang tak ada di sini.Kalau cucu datuk ada ramai. Dwen nak pilih yang macam
mana?” Pak Nordin cuba menduga.
“Saya tak
cari anak datuk yang berpangkat.Saya
nak cari orang biasa. Yang pandai masak dan pandai menguruskan rumah tangga.”
Pak
Nordin termenung seketika. Akalnya merayap mencari. Semua bayangan wajah anak
kampung muncul di ruang mata.
“Di
kampung ini ada ramai juga anak gadis yang cantik dan terpelajar. Tapi semuanya
tak ada di kampung. Masing-masing dah keluar ke bandar mencari kerja. Mungkin lain
kali, kalau musim cuti dapatlah juga Dwen tengok mereka,” kata Pak Nordin.
“Saya
juga tak nak pilih yang pandai dan berkerjaya. Saya nak yang tak kaya dan tak
berkerjaya. Yang boleh uruskan rumah tangga. Saya dah dibesarkan oleh orang
gaji. Saya tak nak anak-anak saya pun sama dengan nasib saya,” kata Dwen pula, terus
menyuap nasi dan mengunyah.Dia
mula rasa setiap kunyahan mengandungi nikmat yang sangat bernilai.
“Tapi,
apa kata Datin? Apa pula pendapat Datuk?”
Dwen
menoleh kepada Pak Nordin. Permintaan mamanya sebelum dia bercuti segera
diingat. Nama Karina juga segera muncul. Cuma wajah gadis itu yang tidak
terbayang kerana dia belum lagi melihat rupa paras gadis itu sebelum ini. Memorinya
belum merakam wajah gadis itu.
“Saya
kena segera mencari gadis idaman saya. Saya tak nak budak Karina itu muncul
dalam hidup saya. Tolong saya Pak Nordin…” Dwen segera memegang tangan Pak
Nordin dengan mata harap. Dia membasuh tangan. Dia tidak berhajat untuk
menambah nasi.
“Ini
bukan perkara mudah, Dwen. Ini soal jodoh. Ini soal masa depan. Kita nak cari
teman hidup bukan macam cari ikan di pasar.”
“Tapi,
kita kena cari juga. Saya mesti bawa balik pilihan saya sebelum mama saya tentukan
jodoh saya,” tingkah Dwen pula.
Pak
Nordin diam lagi.
“Apa
yang orang dua orang ni dok bincang? Nampak macam perkara berat ni?” tanya Mak
Timah yang keluar dari dapur membaca sepinggan tembikai yang siap dipotong
sebagai pencuci mulut.
Pak
Nordin merenung mata Dwen, mencari izin untuk bercerita. Dwen rasa dia memang
perlukan bantuan dua beranak itu. Lalu dia angguk perlahan tanda memberi laluan
izin kepada Pak Nordin untuk membuka cerita.
“Dwen
ni nak cari isteri orang kampung ni mak,” kata Pak Nordin, tidak bertangguh.
“Há,
baguslah tu!” balas Mak Timah dengan senyuman.
“Mak,
bagus tu memang bagus tapi siapa? Anak-anak gadis di sini ramai yang sudah ke
bandar. Ramai yang berpelajaran dan berjawatan tinggi,” kata Pak Nordin pula. Dia
juga membasuh tangan selepas suapan terakhirnya.
“Kalau
dah berkenan, kita boleh suruh mereka balik.”
“Mak
cik, kalau boleh saya nak cari yang tak belajar tinggi dan tak bekerja,” celah
Dwen.
“Kenapa
pulak? Orang sekarang cari bini bukan macam orang dulu.”
“Orang
dulu macam mana?”
“Orang
dulu cari bini, tengok pandai mengaji, pandai menjahit, pandai memasak dan
pandai urus rumah tangga. Orang sekarang cari bini yang cantik, pandai dan
kaya.Kalau ada pangkat, lagi bagus
dan dikejar orang,” kata Mak Timah pula.
Mata
Pak Nordin dan mata Dwen bertentangan.
“Saya
ni hanya tukang kebun, mak cik. Kalau nak pilih yang berpangkat dan cantik,
mereka tu mana nak dengan saya. Lagipun, saya ni nak pilih isteri macam orang dulu-dulu.
Biar kekal dan jodoh berpanjangan,” kata Dwen cuba memberi sebab yang logik
agar tembelangnya tidak pecah.
Mak
Timah angguk perlahan. Mungkin dia faham kehendak Dwen itu.
“Ada
ke mak cik?”
“Apa?”
Mak Timah segera menoleh kepada Dwen.
“Gadis
yang macam saya nak tu?”
Mak
Timah termangu-mangu. Dia memaksa fikirannya bekerja mencari jawapan. Selama
beberapa hari mengenali anak muda itu, dia rasa berkenan. Malangnya dia tidak
ada anak perempuan yang belum berkahwin. Semuanya sudah ada suami. Kalau tidak,
hendak juga dia serahkan kepada anak muda yang kacak dan baik seperti Dwen.
“Susah
sikit sekarang. Sebab tak ada anak dara yang tak sekolah dan tak kerja.
Semuanya berlumba-lumba cari kerja.”
Dwen
mengeluh berat.Mangkuk yang
berisi gulai siput direnung dengan pandangan kosong. Dulu dia tidak pandai
makan siput. Dia pernah nampak menu masakan siput sedut di sebuah restoren tetapi
sekali pun dia tidak berselera untuk mencuba. Kali ini?Sudah dua kali dia makan gulai siput selama lima hari
berada di kampung itu.
Tiba-tiba
matanya bersinar.Gulai siput dengan
daun kadok itu merentap mindanya.
“Mak cik,
saya ada satu idea.”
“Apa dia?”
“Gulai
siput ni,” kata Dwen sambil menunjukkan
ke arah mangkuk di hadapannya.
Pak Nordin
dan Mak Timah saling berpandangan. Wajah mereka bersulam keliru. Apa yang tidak
kena dengan gulai siput itu?
Dwen membetulkan
duduk. Dengan senyum senang dia menceritakan idea yang baru muncul dalam fikirannya. Awalnya mereka hanya
terdiam. Tidak ada kata-kata yang mampu diucap. Tidak lama, Pak Nordin ketawa perlahan.
Kali ini,
giliran Dwen pula rasa keliru.
“Pak
Nordin, kenapa ketawa? Apa yang lucunya?”
“Pak cik teringatkan
cerita Musang Berjanggut,” jawab Pak Nordin di celah ketawanya.
“Oh, yang
masa anak raja tu merantau merantau untuk mencari calon isteri,” kata Mak Timah
ikut ketawa.
Dwen
tersenyum.
“Bezanya,
Tun Nila membawa uncang mengandungi rempah ratus dalam pencariannya. Dan kamu? Mencari
gadis yang pandai memasak siput sedut sesedap masakan mak saya!” Ketawa Pak
Nordin berdekah kuat.
Dwen
tersengih-sengih. Dia sendiri baru tersedar akan kelucuan ideanya.
“Kita
nak mulakan dari mana?” tanya Pak Nordin, mula serius.
“Mungkin
elok dari kampung ini.”
“Tapi,
masa kita tinggal dua hari je lagi.Mana
sempat nak panggil peserta masak siput untuk Dwen?”
Dwen
angguk setuju.Mereka diam
melayan fikiran masing-masing.
“Kalau
macam tu, kita mulakana dari KL. Kita buat iklan mencari tukang masak siput
sedut. Umur peserta dalam lingkungan dua puluhan. Apa macam?” tanya Dwen.
“Okey
juga cadangan Dwen tu. Tapi, kita nak panggil mereka masak di mana?”
“Kita
pergi ke rumah mereka dan rasa masakan mereka,” jawab Dwen.
“Wah,
ni misi mencari isteri yang tercanggih dalam abad ini. Tapi, mampukah Dwen nak
lawan kehendak kedua ibu bapa Dwen nanti,” kata Pak Nordin, dengan wajah
ragu-ragu.
“Pak
Nordin, kali ini saya nak pastikan isteri saya mengikut pilihan saya. Ini soal masa depan saya. Dah
banyak perkara saya ikut cakap mereka. Kali ni, biar saya ikut kata hati
sendiri.”
“Kenapa
dengan mak dan ayah Dwen? Mereka tu memilih sangat ke?” Tiba-tiba Mak Timah
mencelah. Mendengar perbualan kedua-duanya, hatinya rasa bimbang dan ragu-ragu.
Dwen
dan Pak Nordin saling berpandangan. Dwen menggelengkan kepala tanda rahsia tidak
boleh didedahkan.