Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 42

Jeritan Dwen yang ceria itu, membuatkan Syerif membalasnya dengan pekikan juga.

“Helo bro! Kau jerit macam tu, ingat aku pekak ke? Atau kau ni memang spesis tarzan!” balas Syerif di hujung talian.

Dwen ketawa. Sangat segar.

“Kaulah sahabatku. Kau hadir ketika fikiran aku sedang buntu.”

“Yalah, masa susah baru kau nak cari aku. Tapi, apa masalahnya ya?” tanya Syerif pula.

Dwen bercerita.

“Kau nak tumpangkan Andika kau tu? Bila?”

“Kalau boleh malam ni juga. Sebab, tak baiklah kami tinggal serumah kan? Kalau dia datang siang untuk buat kerja, itu lainlah.”

“Nanti aku tanya mama aku dulu. Kalau dia izinkan, aku tak kisah. Tapi, kau percaya ke dengan aku ni?”

“Kenapa pula?”

“Mana tahu Andika kau tu jatuh cinta dengan aku yang jejaka Melayu terakhir ni? Aku ni dahlah kacak, berbudi pulak tu!” jawab Syerif dengan ketawa.

Dwen ikut ketawa.

“Kalau dah jodoh kau dengan dia, apa salahnya.”

“Kau rela? Selepas kau berjuang habis-habisan hingga ke Medan untuk mencari dia?”

“Aku akan berkorban demi seorang kawan. Hei, malas aku nak layan kau ni. Kau tanya mama kau sekarang. Aku tunggu.”

Talian diputuskan.

“Harap-harap masalah kita selesai dengan baik, Pak Nordin,” kata Dwen dengan senyum lebar.

Pak Nordin ikut tersenyum. Dia kenal Syerif, kawan baik Dwen itu. Dia percaya kepada Syerif seperti dia percayakan Dwen.

Lima minit kemudian, Syerif mengirim mesej persetujuan dari ibunya. Dwen segera ke dapur dan menyampaikan berita itu kepada Nureen dan Andika.

“Jom kita ke sana sekarang. Nanti kalau dah malam, lagi susah.”

“Sebelum tu, boleh tak Encik Dwen hantarkan saya balik dulu. Dah malam ni. Nanti bimbang pula kakak saya. Saya ni masih dara pinggitan walaupun dah lama tinggal di KL ni,” kata Nureen pula.

Ketawa Dwen pecah.

“Apa pasal encik ketawa pulak ni? Apa yang lucu?”

“Benarkah awak ni dara pinggitan. Kalau macam tu, jodoh awak mesti kampung boy!” jawab Dwen di celah ketawanya.

Nureen mengetap bibir dan melorotkan mata. Dia berpura-pura marah.

“Encik Dwen dan Cik Nureen ni nampaknya serasi sangat. Suka bergaduh-gaduh sayang. Macam pasangan orang bercinta,” kata Andika Puteri, ikut ketawa.

Namun ketika itu juga, ketawa Dwen dan Nureen terhenti. Yang semakin kuat berdekah ialah ketawa Pak Nordin. Dia mengenyit-ngenyitkan mata kepada Dwen dan Nureen.

“Eh, marilah. Jangan berlengah lagi,” ajak Dwen, cuba melarikan wajahnya yang memang berubah.

Mereka berjalan keluar dari apartment itu.

Andika menurut walaupun hatinya berat. Dia tidak mengenali orang yang dikatakan oleh Dwen itu. Namun dia sudah tidak ada pilihan. Selain percaya dengan keputusan yang dibuat oleh Dwen, dia juga yakin dengan Pak Nordin.

**

Mak Cik Ruslina menerima tetamu malam yang sampai ke rumahnya itu dengan segala senang hati. Ketika matanya menatap wajah manis Andika Puteri, dia segera mengangguk dengan cadangan Dwen untuk menumpangkan Andika di rumahnya.

“Mak cik suka. Tambahan pula ada satu bilik yang kosong. Syerif pula selalu outstation. Tinggal pak cik dan mak cik saja sekarang,” kata Mak Cik Ruslina dengan senyuman senang.

“Pak cik pun suka. Sebab sejak akhir-akhir ni, pak cik pun selalu berjalan jauh. Dah pencen ni, banyak pula jemputan bercakap dalam majlis tertentu. Jadi, kalau Andika ada taklah pak cik risau sangat nak tinggalkan mak cik ni,” balas Pak Cik Zaki, ayah Syerif.

“Saya tumpangkan Andika untuk beberapa bulan saja, sementara saya dapat carikan dia rumah yang sesuai. Harap tak menyusahkan mak cik dan pak cik,” kata balas Dwen pula.

“Taklah. Mak cik suka sebab mak cik ada teman berbual. Asyik nak berbual dengan pak cik dan Syerif je. Bosan juga mak cik. Sekali-sekala berbula pasal dunia perempuan, kan bagus,” tambah Mak Cik Ruslina lagi.

“Saya tumpang tidur saja mak cik. Siang saya akan keluar bekerja di rumah Encik Dwen,” kata Andika Puteri pula.

“Ya mak cik. Andika akan jadi pembantu rumah saya. Siang dia akan di rumah saya. Hanya waktu malam dia balik ke sini. Pak Nordin akan hantar dan ambil dia.” Dwen mengenyitkan mata kepada Mak Cik Ruslina. Dia tidak mahu Andika mengetahui hajatnya sebelum tiba masanya.

“Okey. Tak kisah nak tinggal sekejap atau lama. Yang penting, mari mak cik tunjukkan bilik Andika.” Mak Cik Ruslina mengangkat beg Andika dan menarik tangannya ke arah bilik.

“Sukanya mama kau Rif,” kata Pak Cik Zaki kepada Syerif.

“Dia rindukan seorang menantu tu,” sampuk Pak Nordin yang diam sejak tadi.

“Betullah. Kau tu jangan nak jadi bujang terlajak pulak!” kata Dwen, menumbuk bahu Syerif dengan ketawa.

“Mengata dulang paku serpih. Mengata orang dia pun tak lebih!” balas Syerif, membalas tumbukan Dwen.

“Dua orang ni kalau jumpa, macam nilah Encik Nordin. Ada masa tu berguling-guling. Gurau biawak kata orang tua-tua!” kata Pak Cik Zaki.

Pak Nordin hanya angguk dengan senyuman. Jauh di sudut hatinya, dia gembira kerana adanya keluarga itu tempat Dwen bermanja dan bergurau senda. Kalau nak diharapkan dia ketawa gembira dengan keluarganya, memang tiada langsung.

Datin Rodziah serius dengan badan-badan kebajikan isteri VIP. Juga urusan perniagaannya sendiri. Datuk Haris dengan hobinya mengumpul harta. Setiap langkahnya adalah untung. Kalau rugi sikit sahaja, amukannya bukan sahaja satu pejabat malah dibawa pulang ke rumah. Langsung tidak ada gurau senda antara mereka!

“Pak Nordin, setiap pagi selepas Pak Nordin selesai urusan lain Pak Nordin kena datang ke sini ambil Andika ke rumah saya. Saya tak nak dia naik bas atau LRT. Bahaya!” kata Dwen kepada Pak Nordin.

“Bro! Sejak tadi kau ni asyik dok sebut bahaya saja. Apa kes ni? Boleh cerita sikit?” tanya Syerif. Dia memang tidak tahu cerita keseluruhannya mengenai Andika Puteri itu selain hal Dwen pergi mencarinya hingga ke Medan dan membawanya pulang.

Dwen memandang ke arah Pak Nordin. Dia mencari persetujuan dan izin.

“Terlanjur Andika dah menumpang di sini, Dwen kena ceritakan semuanya. Jangan berahsia apa-apa dari keluarga ini,” kata Pak Nordin.

“Ada rahsia apa ni? Macam serius saja,” kata Pak Cik Zaki pula.

Dwen menjenguk ke arah bilik dan cuba memastikan pintu bilik Andika tertutup rapat. Dia memang tidak mahu Andika mendengarnya.

“Pak cik, Andika itu sebenarnya calon isteri saya. Saya membawa dia lari dari Medan,” kata Dwen kepada Pak Cik Zaki.

“Hah? Ini kes jenayah Dwen! Kami tak nak terbabit.” Wajah Pak Cik Zaki mula berubah.

“Pak cik, jangan salah sangka. Ia bukan seperti yang pak cik sangka. Saya bawa Andika lari ke sini agar dia tak terus menjadi mangsa nafsu serakah bekas bapa tirinya. Semasa arwah ibunya masih hidup, dia dah beberapa kali cuba diperkosa. Sekarang, ibunya sudah tiada. Dna Andika sendirian di sana. Itu yang saya bawa dia balik tanpa pengetahuan sesiapa melainkan jirannya. Rasanya ini bukan jenayah,”

Pak Cik Zaki termenung sejenak. Sementara itu Pak Nordin pula menokok tambah cerita untuk membuatkan Pak Cik Zaki semakin faham.

Lama. Baru Pak Cik Zaki angguk perlahan.

“Saya tak ada pilihan selain melindungi dia pak cik,” tambah Dwen lagi.

“Hanya nak tolong? Tak ada sebab lain?” tanya Syerif memperli.

Dwen tunduk diam. Dia keliru dengan perasaannya.

“Cakaplah, kau dah jatuh cinta dengan dia. Jadi kau cemburu kalau Andika tinggal kat tempat lain dan jumpa pak we lain yang lebih ganteng!” Syerif semakin galak bergurau. Namun Dwen hanya tersenyum hambar dan tawar.

“Rif, cuba serius sikit. Kita sedang berdepan dengan satu misi penting,” kata Pak Cik Zaki. Dia bercakap seperti seorang anggota perisik di dalam sebuah angkatan perang.

“Ayah, ayah ingat ini misi perang dalam Angkatan Tentera Darat ayah tu? Sekarang, bukan misi penting tapi misi kahwin, ayah.” Syerif menyinggung bahu Dwen.

Dwen tetap selamba,

“Kamu serius nak kahwin dengan dia?” tanya Pak Cik Zaki kepada Dwen.

Angguk.

“Kalau macam tu, jangan berlengah. Kita segerakan. Kita hantar utusan peminangan. Kita atur acara pernikahan. Misi ni mesti segera dilaksanakan. Jangan beri peluang kepada musuh untuk masuk dalam misi kita. Pak Nordin, macam mana?” Pak Cik Zaki semakin bersungguh-sungguh. Pak Nordin angkat ibu jari, tanda bersetuju dengan kata-kata Pak Cik Zaki.


Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.