Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 28

Dengan segera Dwen bangun dan mencapai telefon. Dia mendail nombor Pak Nordin. Dia perlu bercakap dengan pemandu yang mula merangkap penasihatnya itu.

“Pak Nordin, esok Pak Nordin tak payah kerja. Esok Pak Nordin balik ke kampung.”

“Dwen, kenapa ni?”

“Keadaan dah semakin terdesak. Masa setahun yang papa saya beri tu dah dipendekkan menjadi enam bulan sahaja. Kita mesti segera bertindak!” kata Dwen, bersungguh-sungguh. Kemudian apa yang terjadi diceritakan.

“Gadis tu berkenan sangat kat Dwen nampaknya. Dia yang sedang mengejar Dwen. Sepatutnya selepas majlis hari tu, dia dah tak muncul lagi. Tapi, kenapa dia tak malu walaupun orang kata tak nak dengan dia!” komen Pak Nordin, geram.

“Itulah yang saya tak faham ni. Dia seperti sengaja nak cabar saya.”

Pak Nordin memberi janji akan segera dapatkan gambar Puteri Andika dari sumber yang boleh diharapkan.

Selepas perbualan usai, Dwen mengemas barang-barang dan pakaiannya. Dia rasa tidak mahu berlama-lama lagi di rumah itu. Dia akan keluar. Esok, dia akan keluar dan tidak akan balik lagi tanpa membawa calon isterinya.

Dua beg besar sudah siap dikemas. Semua barang-barang penting miliknya dibawa. Dia mengambil kelendar. Enam bulan dari hari itu. Sekarang bulan Ogos. Maknanya bulan Februari tahun depan, dia mesti kembali ke rumah itu.

Pagi-pagi sebelum orang lain bangun, Dwen sudah mengisi barang-barang dalam boot keretanya. Hari itu dia tidak akan menunggu Pak Nordin. Hari itu dia akan memandu sendiri. Sebab dia tidak akan terus ke pejabat. Dia akan singgah di apartmentnya. Dia akan tinggalkan barang-barangnya di situ.

“Awal Dwen bangun. Dah siap-siap ni nak ke mana?” Datin Rodziah menegur ketika Dwen sedang mengadap sarapan.

“Nak ke pejabat, mama. Ada meeting penting pagi ni,” balas Dwen, selamba.

“Meeting penting? Mama tak tahu pun? Papa tak ada cakap apa-apa.”

“Oh, ini meeting saya dengan client.”

Datin Rodziah angguk perlahan.

“Mama, hari ni saya akan keluar dari rumah ini. Saya akan balik selepas enam bulan. Saya akan cari calon isteri saya. Dapat atau tidak, saya akan balik bulan Februari tahun depan.”

“Dwen serius?”

“Ya. Selepas enam bulan, baru kita jumpa. Saya pergi dulu. Maafkan salah silap saya pada mama selama ini.” Dwen bersalam dan mencium tangan Datin Rodziah. Sebelum sempat mamanya memberi komen lanjut, Dwen sudah berjalan ke pintu. Tidak lama, deruman enjin keretanya berlalu menjauh dari rumah banglo milik Datuk Haris itu.

Datin Rodziah masih terkebil-kebil. Semalam kepalanya bengal dengan perangai Dwen di hadapan Karina. Dia tidak tahu kenapa Dwen tidak suka sangat dengan anak Tan Sri Halim itu. Apa yang tidak kena dengan anak lelaki bongsunya itu. Dia tidak sama dengan anak-anaknya yang lain.

“Mana anak jantan awak tu?” tegur Datuk Haris ketika melabuhkan punggungnya di hadapan Datin Rodziah.

“Dah pergi.”

“Ke mana?”

“Ke ofis. Katanya ada meeting penting pagi ni,” jawab Datin Rodziah, mengunyah makanan.

Datuk Haris menghirup kopi yang masih panas.

“Dia kata tak akan balik ke sini selama enam bulan. Dia nak keluar cari calon isterinya tu. Hah! Saya harap dia tak akan jumpa!” sambung Datin Rodziah, mencebik.

“Jumpa atau tidak, dia tetap kena kahwin dengan Karina. Saya dah janji dengan tan sri. Takkan saya nak mungkir pulak!”

“Habis, abang nak dia beristeri dua?” tanya Datin Rodziah dengan mata sedikit terbeliak. Diam. Kunyahan Datuk Haris menjadi perlahan.

“Terserahlah nanti macam mana,” balas Datuk Haris.

“Entah apa yang dia nak. Degil betul budak ni sorang,” rengus Datin Rodziah lagi. Hatinya memang sakit bila teringatkan sikap Dwen.

Dwen sampai di pejabat awal dari biasa. Hajat awalnya untuk singgah di kondominium miliknya di Putrajaya, tidak dibuat. Dia terus ke ofis kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Selamat pagi bos!” sapa Nureen ketika Dwen masuk.

“Awal awak datang?”

“Bukan saya yang awal, tapi Encik Dwen yang awal. Saya ikut jam dan masa saya. Encik Dwen tu yang dah ikut jam saya,” jawab Nureen dengan senyum.

Dwen melihat jam di tangannya. Dia tersengih-sengih. Memang dia awal satu jam dari biasa.

“Tak apalah. Saya ni ada hal nak bincang dengan awak. Nanti masuk bilik saya ya. Bawakan saya kopi dan jemput-jemput sekali!” kata Dwen, terus melangkah ke biliknya.

“Jemput-jemput?” Nureen tersentak.

“Panggil Nora sekali!” kata Dwen sebelum tangannya menolak pintu.

Nureen terpinga-pinga. Jemput-jemput? Bila pula dia pernah hidangkan kuih itu kepada bosnya. Tiba-tiba Nora muncul dari pantry.

“Nora! Bos panggil!”

“Aku? Kenapa?” tanya Nora sambil meletakkan cawan di tangannya ke atas meja.

“Ada hal. Aku pergi buat kopi dulu. Kau bawa masuk fail-fail ni.” Nureen bergegas ke belakang.

Tidak lama, kopi susu berasap panas ditatang penuh hati-hati. Mereka beriringan masuk ke bilik Dwen.

“Silakan duduk dua puteri,” kata Dwen dengan senyuman, mesra.

Nureen dan Nora berpandangan. Lain macam bunyi gurauan bos kecil mereka pagi itu. Bunyi macam mesra. Juga seperti menyindir!

“Nak tahu kenapa saya panggil awka berdua?”

Geleng.

“Macam ni, awak berdua bukan sahaja staf saya tetapi juga saya anggap seperti rakan kongsi saya.”

“Rakan kongsi? Bila pulak kami melabur dengan Encik Dwen?” tanya Nora dengan keliru.

“Awak tak melabur duit. Dan kita bukan rakan kongsi dalam syarikat ini. Ini syarikat papa saya. Saya pun hanya bekerja di sini. Tak ada share apa-apa.”

Nora dan Nureen masih berwajah cuak dan keliru.

“Awak berduakan juri untuk calon isteri saya. Awak berkongsi rahsia dengan saya. Terutama Nureen. Awak PA saya. Awak juga penyimpan mohor rahsia saya. Jadi saya percayakan awak berdua sebagai rakan kongsi saya.”

“Ingatkan apa.... Encik Dwen ni pandai buat saya takut,” keluh Nora dengan senyuman senang.

Dwen ketawa kecil. Namun tawanya tidak lama. Dia merenung wajah kedua-duanya dengan pandangan sayu.

“Saya akan bercuti panjang. Enam bulan.”

“Hah? Encik nak sambung belajar ke?” tanya Nora.

“Saya dah tak minat nak belajar lagi. Saya minat nak kahwin saja sekarang ni. Dan setakat ni, tak ada calon isteri yang sesuai untuk saya. Papa dan mama saya semakin mendesak. Kalau dalam masa enam bulan ni saya tak dapat calon, saya kena kahwin dengan Karina. Awak ingat Karina tu kan?”

“Siapa tak ingat anak tan sri tu, bos. Sombong, bongkak dan kurang ajar.” Nureen mencebik.

“Itulah sebabnya saya tak sudi nak buat dia isteri. Bukan taste saya!” balas Dwen, ikut mencebik.

“Habis, macam mana? Apa usaha bos?” tanya Nora pula.

“Itu yang saya nak cuti ni. Saya akan cari sampai dapat. Saya tak akan balik kalau tak dapat. Pilihan saya ialah yang pandai masak gulai siput daun kadok. Awak ada calon-calonnya?”

“Siput?” Nora tersentak. Bulu romanya meremang.

“Kenapa, awak tak makan siput?” tanya Dwen pula.

“Encik Dwen makan benda tu?”

“Ya. Sedap. Saya dah masukkan siput dalam menu kegemaran saya. Rugi kalau awak tak makan. Sebab siput sangat berkhasiat.” Dwen ketawa kecil melihat wajah Nora yang ketakutan.

“Jadi, encik nak kami buat apa?” tanya Nureen.

“Saya cuma nak awak berdua simpan rahsia ini. Jangan ceritakan kepada sesiapapun, termasuk keluarga saya mengenai pencarian saya ini. Selama saya tak ada, saya nak awak kerja seperti biasa. Saya akan pantau dari jauh. Ada masalah besar, call saya.”

Nureen angguk, Nora ikut angguk. Mereka berjanji dalam hati.

“Nureen, tolong buat tempahan tiket ke Medan esok. Dengan hotelnya sekali. Saya nak tempat yang selesa. Saya nak yang murah sikit kerana saya nak tinggal lama. Kalau awak kurang pasti, hubungi syarikat pelancongan,” kata Dwen.

Nureen tercengang. Kenapa Medan? Sudah tidak adakah gadis Melayu hingga Dwen hendak terpaksa mencari gadis Indon?


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.