Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 26

Semua sudah menunggu di tempat duduk masing-masing dengan wajah teruja. Dwen dan para juri juga sudah berdiri dan bersedia untuk membacakan keputusan.

“Saya minta maaf kepada anda semua. Selepas saya meneliti markah yang diberikan, saya ambil keputusan untuk membuat ucapan penyingkiran ini,” kata Dwen, meneliti wajah tujuh orang gadis di hadapannya. Gaun petang yang menampakkan separuh dari tubuh mereka sangat menyakitkan matanya. Kenapa mereka suka sangat mendedahkan tubuh mereka. Tidak takutkah kepada hukum Tuhan? Itu yang difikirkan oleh Dwen ketika itu.

“Mesti Romeo pilih I kan? Kita memang secocok. Sejak dulu I dah kata. I ni terbaik untuk you!” kata Melisa, tersenyum-senyum.

“Tak. I yang akan terpilih. Banyak perkara kami sependapat. Betulkan sayang?” Narita pula bangun dan tersengih-sengih.

“Oh no! I lebih sesuai untuk you, dear. Keluarga I kenal keluarga you. Kita tak akan hadapi banyak masalah untuk meneruskan rancangan perkahwinan kita,” kata Maisara pula.

Dwen diam. Wajahnya serius.

“Sayang, kenapa ni? I tahu you mesti pilih I. Mesti you susah nak cakap keputusan you ni kerana you tak nak kecilkan hati yang lain-lain,” kata Julie Hanan pula.

“I tak kisah Bi. Kalau you malu nak cakap keputusan you sekarang, you boleh call I nanti. Atau you hantar sms. I tahu you mesti pilih I kerana jiwa kita sama. Kita akan hidup bahagia nanti. Percayalah,” kata Enie Ros, tersipu-sipu.

Dwen tetap diam.

“Dear, you mesti tak lupa saat-saat manis kita dulu. I rindukan masa itu. My parent dah janji untuk sponsor majlis perkahwinan kita. Kita hanya mencari masa yang sesuai saja untuk dinikahkan. I tak kisah majlis tu dibuat kat mana pun,” kata Dayana, tersenyum senang.

“Come on sayang. Beritahu semua yang ada di sini, bahawa hati you tetap pada I. You tak akan pilih orang lain kan?” kata Qalesya, penuh yakin.

“Ueks! Aku rasa loya betul. Cepatlah bos beri keputusan, aku dah muntah ni,” kata Nora, berbisik ke telinga Nureen.

“Aku bukan saja nak muntah, terus nak gelak guling-guling lagi. Tak malu betul!” balas Nureen pula.

“Dwen, cepatlah beri jawapan. Biar mereka cepat sedar diri dan pergi dari sini. Aku rasa mabuk ni...” kata Syerif tersengih-sengih.

“Dengar sini semua. Selepas meneliti semua markah dari juri dan juri awam, saya membuat keputusan bahawa semua anda akan saya singkirkan dari hidup saya.” Dwen berhenti dan meneliti wajah mereka satu per satu.

“Apa maksud you, sayang?” tanya Dayana.

“Maksud saya senang saja. Semua yang ada di sini, tak layak untuk jadi isteri saya. Saya perlukan seorang isteri yang pandai menguruskan rumah tangga. Sebab nanti dalam rumah saya tak akan ada orang gaji. Saya perlukan anak untuk menyambung legasi keturunan saya. Saya perlukan silaturahim yang baik dengan kedua-dua belah pihak keluarga. Tapi, nampaknya apa yang saya suka itu anda semua tak suka. Jadi, saya tak ada pilihan lain selain menyingkirkan anda semua. Lepas ni, tolong jangan ganggu saya lagi. Hubungan kita secara resmi putus di sini!” tegas Dwen.

Senyap. Tidak ada yang berani bersuara. Wajah masing-masing masam mencuka. Akhirnya seorang demi seorang meninggalkan dewan itu.

Dwen termenung seketika.

Dewan itu sudah kosong. Semua gadis-gadis itu sudah pergi.

“Apa usaha kita sekarang?” tanya Pak Nordin.

“Saya akan cari jalan lain pulak. Yang nyata, balik nanti saya pasti berperang dengan mama dan papa saya. Karina tak akan biarkan saya hidup aman. Dia akan balas dendam melalui mama saya. Aduh! Sakit kepala saya dengan budak sorang tu!” kata Dwen menepuk dahi. Nureen dan Nora berpandangan. Melihat wajah Dwen yang mula kusut itu, mereka mula simpati.

Apa yang diduga Dwen itu benar.

“Apa yang Dwen cuba nak buat ni sebenarnya?” serang Datin Rodziah ketika kaki Dwen melangkah masuk ke ruang tamu.

“Apa maksud mama?”

“Karina datang ke sini menangis-nangis. Dia ceritakan semuanya. Dwen nak uji dia. Dwen nak letak dia sebaris dengan gadis-gadis lain tu?”

“Saya cuma nak uji siapa yang kuat dan sesuai dengan saya. Dan terbukti, dia tak sesuai untuk saya, ma.”

“Jadi, Dwen nak tolak rancangan kami? Atas alasan sekecil itu?” tanya Datin Rodziah lagi.

“Mama, jangan paksa saya, ma. Karina tu tak sesuai langsung dengan saya. Dia bukan calon isteri dan menantu yang baik. Saya tak nak kahwin dengan dia. Ini keputusan muktamad saya ma.” Dwen cuba bertegas.

“Kalau Karina tu bukan gadis yang sesuai dengan kau, gadis yang macam mana kau nak cari?” Datuk Haris naik angin.

“Saya nak isteri yang ada budi bahasa. Pandai uruskan rumah tangga. Pandai masak,” jawab Dwen.

“Itu semua boleh diajar!” tengking Datuk Haris.

“Mengajar orang bodoh yang ingin jadi pandai memang senang, papa. Tapi kalau nak ajar orang yang bodoh tapi berlagak pandai, itu sangat susah.”

“Aku tak kisah. Apapun jawapan kau, kau mesti kahwin juga dengan Karina tu! Jangan malukan kami. Tan Sri Halim dah setuju nak berikan sebahagian dari kontrak yang dia ada kepada kita kalau kamu berdua kahwin,” kata Datuk Haris dengan suara yang semakin meninggi.

“Papa, berilah saya peluang. Ini soal masa depan saya. Saya yang nak hidup berumah tangga. Saya tak nak jadi banduan dalam rumah tangga sendiri,” rayu Dwen. Dia memang sangat berharap agar Datuk Haris faham kehendaknya. Dia berharap Datin Rodziah bersimpati dengannya.

“Sampai hati Dwen nak sakitkan hati mama,” kata Datin Rodziah.

“Hati saya lebih sakit kalau saya berkahwin dengan budak tu, mama.”

“Budak mana?” Datin Rodziah memandang geram.

“Anak tan sri kebanggaan mama tu lah. Daripada kita bergaduh nanti, lebih baik kita berlawan sekarang.”

Datuk Haris dan Datin Rodziah saling berpandangan. Ternyata semua kata-kata mereka tidak didengari Dwen.

“Mama, tolonglah. Jangan paksa benda yang saya tak suka. Ini dah bukan zaman kahwin paksa lagi.”

“Apa yang kau nak sebenarnya?” Datuk Haris melengking.

“Saya nak kahwin dengan perempuan yang saya cintai.”

“Kau dah ada calonnya?”

“Saya akan cari asal papa beri saya peluang.”

“Berapa lama kau nak cari?”

“Saya akan cari sampai jumpa. Saya nak isteri untuk rumah tangga. Bukan isteri untuk perniagaan dan empayar kekayaan papa.” Dwen nekad. Dia perlu berani melawan kehendak mama dan papanya. Ini soal masa depannya. Hanya dia yang patut berjuang. Orang lain tidak akan dapat membantu kalau dia sendiri tidak bertindak.

“Baik. Aku cabar kau. Kau cari isteri pilihan kau dalam masa setahun mulai hari ni. Kalau kau tak jumpa, kau kena ikut cakap kami,” putus Datuk Haris.

“Abang! Abang cakap apa ni? Apa kita nak jawab dengan Tan Sri Halim tu nanti?” jerit Datin Rodziah.

“Habis, awak nak seret budak ni suruh kahwin dengan Karina tu? Tak apa. Kita beri dia peluang terakhir. Kalau dia tak dapat cari isteri yang dia kata tu, kita usung dia kepada Karina!”

“Terima kasih papa.”

“Jangan lupa, setahun mula hari ni.”

“Abang, setahun tu lama sangat. Beri dia masa sebulan saja!” tingkah Datin Rodziah.

“Sebulan tu pendek sangat. Ini bukan nak cari anak itik atau anak ayam. Ini nak cari anak orang. Kita tengok, macam mana rupa isteri pilihan dia! Ingat, kalau dah cukup tempoh kau tak bawa balik bini, kau kena bersedia untuk ikut cakap kami!” Datuk Haris memberi amaran.

“Saya janji, papa. Kalau saya tak jumpa calon isteri yang saya cintai, saya akan kahwin dengan Karina dengan senang hati,” kata Dwen dengan senyum senang.

Datuk Haris dan Datin Rodziah bangun dan meninggalkan Dwen sendirian di ruang tamu itu.

“Yes! Akhirnya aku bebas dari badi Karina.” Dwen melompat riang. Dia rasa kepalanya ringan dan tidak terbeban dengan apa-apa masaalah lagi.

“Tapi, kat mana aku nak cari calon isteri yang aku cintai dan yang sempurna sebagai wanita?” kata Dwen lagi.

“Tak apa, esok aku akan bincang dengan Pak Nordin. Kalau patut ambil cuti, aku akan ambil cuti untuk pergi merantau cari calon isteri yang aku suka.”

Dia tersenyum-senyum bila tersedar dia sedang bercakap sendirian.

‘Belum apa-apa dah cakap sorang-sorang.’ Itu yang berdetik di hatinya.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.