Sudah dua minggu masa
berlalu tanpa apa-apa tindakan. Dwen pergi dan balik kerja dengan aman. Dia
tidak diganggu oleh panggilan dari sesiapa. Datin Rodziah dan Datuk Haris pula
sibuk dengan urusan masing-masing. Langsung mereka tidak ada masa untuk berbual
dan bertanya khabar lagi.
Dia menghitung hari.
Masa setahun itu tidaklah lama sangat. Pejam celik pejam celik, 20 haribulan
Julai tahun 2015 akan muncul.
Petang itu, selepas
waktu pejabat dia mengajak Pak Nordin singgah minum di kedai mamak.
“Saya dah ambil
keputusan nak ambil cuti panjang Pak Nordin. Saya kena keluar cari calon isteri
saya. Saya tak nak buang masa lagi. Masa setahun ni kejap saja,” kata Dwen
sambil menghirup teh tarik.
“Dwen nak ke mana?”
“Itulah yang saya tak
tahu Pak Nordin. Setakat ni, tak ada petunjuk dan jalan untuk saya mulakan
langkah. Sebenarnya pintu jodoh saya belum terbuka lagi agaknya,” jawab Dwen
dengan ketawa.
“Apa kata kalau Dwen
cari budak Hayati tu. Rasanya hanya dia yang sesuai untuk Dwen,” usul Pak
Nordin.
Dwen diam. Dia
mencongak-congak lagi. Dia tidak rasa Hayati akan memaafkannya selepas apa yang
berlaku. Sebenarnya, Hayati juga bukan calang-calang orang. Dia adalah kerabat
diraja Selangor. Nama penuhnya Tengku Hayati Puteri. Namun sejak di kolej dia
tidak suka menggunakan nama penuhnya.
“Saya rasa dia tak akan
sudi jadi isteri saya, Pak Nordin.”
“Kenapa?”
“Dia tu tak setaraf pun
dengan saya. Dia tu keturunan ayam Belanda. Saya pula keturunan ayam kampung.
Kalau tinggal sereban, mati saya kena pijak-pijak dia,” jawab Dwen dengan
ketawa.
Pak Nordin ikut ketawa.
“Saya kena keluar juga
dari rumah Datuk Haris tu. Selagi saya tinggal di situ, saya tak akan jumpa
isteri impian saya,” kata Dwen, ketika ketawa Pak Nordin belum usai.
“Tapi, Dwen nak ke
mana?” Sekali lagi soalan itu keluar dari mulut Pak Nordin.
Diam. Dwen bermain
dengan hujung sudu dengan fikiran yang kosong. Wajahnya berkerut.
“Apa kata Dwen keliling
Malaysia. Dua belas negeri, dua belas bulan,” usul Pak Nordin.
“Kenapa dua belas?
Bukankah Malaysia ada tiga belas negeri?”
“Dwen dah ke Kelantan
hari tu. Tak ada yang sesuai di sana,” jawab Pak Nordin.
“Saya tak jelajah
Kelantan pun. Saya hanya ke kampung Pak Nordin saja,” pintas Dwen pula.
“Jadi, Dwen nak ke sana
lagi?”
“Hati saya berat
mengatakan jodoh saya ada di sana. Cinderelela saya ada di sana. Pak Nordin
lupa pada misi gulai siput daun kadok saya? Di tempat lain mana ada resepi tu.”
Pak Nordin ketawa
panjang. Tidak disangka resepi gulai siput itu masih melekat di minda bosnya.
“Pak Nordin juga
terlupa pada Andika Puteri tu?”
“Anak Pak Said tu?”
Angguk.
“Kenapa dengan budak
tu? Dia kan tak ada di kampung?”
“Saya tahu dia tak ada
di kampung. Dia ada di Medan. Kampung ibunya. Saya nak cari dia di sana. Macam
yang cakap hari tu. Pak Nordin kena temankan saya ke sana. Kalau tidak, macam
mana saya nak kenal gadis itu,” jawab Dwen.
“Dwen, jauh tu.
Lagipun, saya ni kerja. Mana boleh ambil cuti lama-lama.” Pak Nordin berpaling
dengan wajah ragu-ragu.
Dwen termenung. Benar
juga kata Pak Nordin. Datuk Haris tidak akan meluluskan cuti yang
berbulan-bulan. Kalau seminggu tu pun sudah dianggap lama, apa lagi kalau minta
cuti berbulan-bulan sehingga misi itu selesai.
“Saya rasa, baik Dwen
pergi saja dulu. Nanti saya berikan gambar budak tu pada Dwen. Kalau benar-benar
dah jumpa, baru saya akan ke sana untuk mengesahkannya,” kata Pak Nordin,
dengan senyum.
“Pak Nordin ada gambar
dia?”
“Sekarang tak ada.
Nanti saya cuba dapatkan dari kampung. Mungkin mak saya boleh dapatkan dari
kawan-kawannya di kampung, macam kita dapatkan alamatnya tu!” kata Pak Nordin,
bersungguh.
Dwen tersenyum senang.
Dia rasa ada benarnya pendapat Pak Nordin. Biarlah dia yang memulakan
pengembaraan itu dulu. Dia sendiri belum tahu tenggelam atau timbul nasib
dirinya. Entah jumpa atau tidak Andika Puteri itu. Atau, dia hanya membuang
masa dan pengakhirnya dia terpaksa menerima jodoh pilihan ibu bapanya.
“Minggu depan saya nak
ke Medan. Hujung minggu ni, Pak Nordin pergilah balik kampung. Saya beri duit
tambang. Saya nak ikut ke sana tak boleh. Sebelum nak cuti panjang, saya kena
selesaikan semua kerja dulu.”
Pak Nordin angguk.
Selepas selesai minum,
Pak Nordin menghantar Dwen balik ke
rumah. Dek kerana hari pun sudah lewat, dia terus memandu pulang tanpa singgah
di rumah Datuk Haris.
Dwen melangkah masuk.
Namun langkahnya terhenti dan dia terkejut. Datin Rodziah dan Karina sedang
bersembang di ruang tamu dengan mesranya.
Dia berundur. Baru beberapa langkah, namanya dipanggil.
“Dwen, nak ke mana? Ni,
Karina datang nak jumpa Dwen ni!” Datin Rodziah cuba mesrakan suara.
Dwen berpaling dan
tersengih-sengih. Dia paksa kakinya
untuk melangkah ke arah mereka.
“Dwen, apa khabar?”
“Saya baik-baik je.
Awak apa khabar?” Dwen berlagak bodoh. Dia cuba mengawal rasa bosannya dengan
gadis itu.
“I pun okey. I baru
balik dari London. Bercuti, seminggu.” Karina mula bermegah diri.
Dwen mula rasa meluat.
“Dwen, Karina nak ajak
kamu keluar makan malam. Pergilah bersiap,” suruh Datin Rodziah dengan senyuman
senang.
“Saya baru lepas makan.
Terima kasih sajalah ya,” kata Dwen, selamba.
“Dwen, tak baik menolak
rezeki,” kata Datin Rodziah dengan cepat. Dia melorotkan matanya ke arah Dwen. Dia
cuba memberi isyarat agar tidak menolak ajakan Karina.
“Lebih tak baik lagi
kalau kita membazir, mama. Saya dah kenyang. Jadi, buat apa saya nak makan
lagi. Rasullullah s.a.w pun suruh kita berhenti makan sebelum kenyang,” balas
Dwen semakin selamba. Dia tidak menoleh langsung kepada ibunya. Apa lagi kepada
Karina Tan Sri Halim!
Wajah Datin Rodziah serta
merta berubah.
“Tak apalah kalau dia
tak sudi, untie. Yalah, saya ni siapakan?” Karina seolah-olah merajuk. Wajahnya
ikut berubah. Malu. Belum pernah dia ditolak mentah-mentah oleh seorang lelaki.
“Jangan cakap macam tu
Rina. Rina ni calon isterinya! Hari ni dia tak nak keluar, esok lusa dia pasti
akan keluar juga. Nanti kalau dah kahwin, mungkin akan keluar setiap hari.” Suara
Datin Rodziah sinis. Matanya semakin meleret tajam.
“Bersembanglah ya. Saya
nak rehat. Penat.” Dwen melangkah tanpa menoleh lagi. Dia semakin selamba. Hatinya
tidak tersentuh langsung dengan suara sinis Datin Rodziah itu. Dia juga tidak
bimbang dengan lerekan mata ibunya itu.
Sampai di biliknya, dia
terus merebahkan diri. Dia cuba membuang
rasa meluat dan rasa rimas terhadap Karina.
Pukul 10.00 malam,
pintu bilik Dwen diketuk. Datin Rodziah muncul membawa arahan bahawa dia dipanggil
ke ruang tamu oleh Datuk Haris. Dwen sudah agak. Mesti mamanya mengadu hal yang
berlaku tadi. Mesti dia akan kena teruk kali ini.
“Kenapa Dwen jadi macam
ni?” serang Datuk Haris sebelum sempat Dwen duduk. Wajahnya bengis.
“Macam apa?”
“Kamu tahu Karina tu
siapa? Kenapa buat dia macam tu. Hari tu, kamu dah buat acara yang tak masuk
akal. Belum pernah dibuat orang! Hari ni, kamu tak layan dia seperti yang sepatutnya!”
“Saya hanya akan layan
dia seperti kawan-kawan saya yang lain. Tak lebih dari itu!” Dwen beranikan
diri untuk menjawab. Dia bukan hendak menderhaka. Tetapi dia rasa berhak untuk bersuara.
“Kamu tahu dia tu bakal isteri kamu!”
“Papa, kan kita dah
bincang hal ini. Papa dah setuju beri saya masa setahun untuk mencari calon
isteri saya sendiri. Sekarang, belum sebulan papa dah berubah?”
“Kamu ingat boleh dapat
isteri sebaik Karina?”
“Apa yang bagusnya dia,
papa. Sombong, berlagak dan kurang ajar. Yang macam tu ke saya nak buat bini?”
“Dia anak orang kaya. Jadi
memang patut dia berlagak. Yang kamu saja nak cari kesalahan dia ni kenapa? Aku
tak nak kau buang masa lagi. Aku beri kau masa enam bulan sahaja. Kalau dalam
masa tu, kau tak dapat bawa balik calon isteri yang kau kata tu, kau kena
kahwin dengan Karina. Titik. Tak ada alasan lagi!” kata Datuk Haris dengan
kasar.
Dwen ditinggalkan. Lama
dia terdiam. Masa setahun sudah dipendekkan menjadi enam bulan. Fikirannya semakin
bercelaru. Wajah Karina yang gedik itu meniti di ruang mata.
“Tidak. Aku tak akan
kahwin dengan dia. Biar aku membujang sampai tua tak apa. Asal aku tak hidup
dengan dia...tak berkenan!” kata Dwen kepada dirinya.