Dwen dan Andika Puteri
beriringan keluar dari Balai Ketibaan. Dari jauh Dwen melihat Pak Nordin dan
Nureen melambaikan tangan. Hatinya segar. Semua kebimbangan dan keresahannya
semasa di Kota Medan, lebur.
“Itupun Pak Nordin dan
Nureen,” kata Dwen sambil membalas lambaian Pak Nordin. Mereka berjalan keluar
menuju ke arah Pak Nordin dan Nureen.
“Apa khabar Pak
Nordin?” sapa Dwen sambil memeluk Pak
Nordin. Nureen pula bersalaman dengan Andika Puteri.
“Alhamdulillah. Saya
cuma bimbangkan Dwen. Maklumlah di tempat orang. Syukurlah tak berlaku
apa-apa,” kata Pak Nordin ketika melepaskan pelukannya. Ketika itu juga
dia terpandang kepada Andika Puteri yang
berdiri di sebelah Dwen. Dia melepaskan pelukannya.
“Apa khabar Mek Yie?”
tanya Pak Nordin dengan senyum ramah.
“Mek Yie?” tanya Dwen, sebelum
sempat Andika Puteri menjawab. Dia terkejut dengan nama yang dipanggil oleh Pak
Nordin itu. Baru kali ini dia mendengar
panggilan itu.
“Khabar
baik Pokdeng,” jawab Andika Puteri pula.
Sekali lagi Dwen
terteleng-teleng. Kedua-duanya ketawa melihat wajah bingung Dwen.
“Maaflah. Puteri ni
kalau di kampung dipanggil Mek Yie. Orang Kelantan, akan panggil mek tanda
panggilan manja,” kata Pak Nordin cuba menjawab kekeliruan Dwen.
“Yie tu pulak?”
“Yie tu, sebutan
budak-budak yang pelat untuk sebutan akhir ejaan Puteri,” jawab Pak Nordin
lagi.
Dwen ketawa
berdekah-dekah. Dia rasa lucu. Dan dia juga rasa nama itu sangat manis. Mek
Yie!
“Terima kasih kerana
ketawakan saya!” kata Andika Puteri, olok-olok marah.
“Ops! Maafkan saya.
Saya tak berniat begitu. Saya suka dengan nama itu. Bolehkah saya panggil awak
Mek Yie?” tanya Dwen merenung Andika Puteri.
Andika Puteri diam. Dia
tunduk merenung lantai. Tiba-tiba dia teresak perlahan.
“Eh! Kenapa pulak ni?”
Dwen semakin hairan dan rasa bersalah. Dia menoleh kepada Pak Nordin. Mereka
berpandangan dan Pak Nordin mengangkat bahu.
“Mek Yie, kenapa ni?
Kalau ada masalah, cakaplah dengan Pokdeng. Ayahmu dan dah tak ada. Pokdeng ni
kawan baik dia dari kecil lagi. Anggap Pokdeng ni saudara kamu,” kata Pak
Nordin.
Andika Puteri mengesar
air mata.
“Boleh tak kalau saya
tak dipanggil Mek Yie atau Puteri,” kata
Andika Puteri, perlahan.
“Tapi kenapa?” tanya
Pak Nordin.
“Saya... saya rindukan
ayah dan mama saya. Panggilan tu buat saya rindukan mereka. Hanya mereka yang
kerap panggil saya begitu. Tolonglah. Panggil saja Andika.”
Pak Nordin angguk
faham. Dia akan cuba biasakan lidahnya menyebut Andika sebagai menggantikan
Puteri atau Mek Yie.
“Marilah kita balik ke
rumah. Andika pasti penat. Saya juga penat. Berapa hari saya tidak cukup rehat
dan tidak cukup tidur,” ajak Dwen, cuba menukar suasana pilu menjadi ceria
semula.
Pak Nordin menjinjit
beg pakaian milik kedua-duanya. Dwen masuk dan duduk di tempat duduk di
hadapan. Sementera Nureen dan Andika pula masuk dan duduk di tempat duduk
belakang.
Sepanjang perjalanan,
masing-masing diam.
Kereta yang dipandu Pak
Nordin berhenti di hadapan apartment milik Dwen.
“Pokdeng, takkan saya
nak tinggal di sini dengan Encik Dwen?” tanya Andika Puteri dengan wajah resah.
Dwen dan Pak Nordin berpandangan.
Mereka langsung tidak terfikir hal itu.
“Tak apa, kita naik
dulu. Nanti kita bincangkan hal ini,”
kata Dwen. Andika Puteri akur. Dia berjalan beriringan dengan Nureen, naik ke
apartment Dwen.
Dwen
membuka pintu. Dia melangkah masuk dengan semangat baru. Ruang tamu itu masih
segar sesegar waktu Andika meninggalkannya.
“Biar
saya buatkan minuman dan tengok apa yang boleh dimasak. Kita makan malam dulu.”
Andika berlalu tanpa menoleh lagi.
“Budak
tu memang dilahirkan rajin dan ringan tulang,” kata Pak Nordin sambil duduk di
sofa membuang lenguh.
“Sementara
dia sibuk memasak, mari kita bincang apa yang kita nak buat dengan ofis kita
tu,” kata Nureen.
“Apa
yang berlaku di ofis? Ada masalah ke?” Dwen segera menoleh. Wajahnya cemas.
“Masalah
tu belum bermula. Tapaknya dah ada,” jawab Pak Nordin dengan ketawa santai.
“Pak Nordin? Mengenai apa?”
Pak
Nordin memandang kepada Nureen. Dia cuba memberi peluang kepada Nureen sebagai
PA untuk menerangkannya. Dia akan bertindak menokok tambah sahaja.
“Saya harap apa yang
kami bimbang ni tak menjadi nyata,” kata Nureen, perlahan.
“Cakaplah. Jangan buat
saya keliru macam ni!”
Nureen rasa tidak mahu
berlengah dan berahsia. Memang hal ini perlu diberitahu kepada Dwen sebab hal
ini adalah yang bersangkutan dengan Dwen.
Nureen mula bercerita.
Selepas cerita usai,
Dwen hanya terdiam dan terkelip-kelip merenung lantai.
“Apa yang encik nak
buat sekarang?”
“Saya tak terfikir
sampai ke situ mama saya bertindak. Demi Karina tu, dia sanggup buat joint
venture dengan Diamond Holdings. Apalah bagus sangat budak sengal tu!” kata
Dwen, sedikit meninggi.
“Kita tak boleh nak
fikirkan kenapa dia buat macam tu. Kita kena fikir, apa yang patut kita buat
untuk menepis masalah nanti. Encik faham maksud saya kan?” Nureen merenung
Dwen. Ketika itu, hidung Dwen terbau aroma masakan dari dapur.
“Aduh, lapar pulak saya
tercium bau masakan Mek Yie ni...” keluh Dwen.
“Syyy... jangan sampai
dia dengar lagi nama itu. Menangis lagi dia nanti.” Pak Nordin meletakkan
jarinya ke bibir.
Dwen menutup mulut. Dia
terlupa. Kemudian dia ketawa mengekek. Hilang seketika, kekusutan fikirannya.
“Encik, Cik Nureen,
Pokdeng, marilah makan. Dah siap ni!” laung Andika dari ruang makan.
Dwen bangun dengan
cepat. Nureen dan Pak Nordin ikut bangun dan mengekorinya.
“Wah! Udang masak lemak
dengan nenas. Sambal ikan bilis. Sayur capcai. Cepatnya awak masak, Andika?”
tanya Dwen, dengan sangsi.
Andika ketawa perlahan.
Dia terus mencedok nasi ke dalam pinggan. Kemudian menghulurkan pinggan nasi
kepada Dwen, Pak Nordin dan Nureen.
“Jangan tanya macam
mana saya masa. Asalkan makanan ni cukup masak dan halal, makan saja.”
“Marilah makan sekali,
Andika,” ajak Dwen, cuba singkirkan rasa sangsinya.
“Encik makanlah dulu,
nanti saya makan di dapur.”
“Andika, mulai hari ini
saya tak nak anggap awak sebagai pembantu rumah saya. Saya nak awak jadi tetamu
saya. Sebagai tetamu, awak kena dihormati. Awak duduk dan makan dengan saya.
Atau, saya pun tak makan!” tegas Dwen.
Akhirnya Andika menarik
kerusi dan duduk di sebelah Nureen, bertentangan dengan Dwen.
Mereka mula makan.
Penuh selera.
“Seminggu saya tak
makan macam ni,” kata Dwen dengan mulut yang penuh.
“Kat Kota Medan tak ada
makanan?” tanya Nureen, ikut mengunyah.
“Makanan banyak. Tapi
tak kena dengan selera saya. Tapi, air tangan Andika ni sangat memuaskan selera
saya,” jawab Dwen, mengunyah tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan.
Andika tersenyum senang.
Bukan kerana pujian Dwen tetapi kerana melihat cara Dwen makan seperti orang
tidak makan setahun!
Selesai makan, Dwen dan
Pak Nordin kembali ke ruang tamu.
“Mana kita nak letak
Andika ni Pak Nordin?”
“Macam mana kalau kita
tumpang dengan Nureen?”
“Rasanya tak sesuai.
Sebab Nureen tu menumpang dengan keluarga kakaknya. Saya tak nak susahkan
Nureen pula.”
“Kalau macam tu, kita
carikan rumah sewa untuk Andika,” kata Pak Nordin.
Dwen termenung.
Wajahnya berkerut.
“Tak boleh Pak Nordin.
Saya rasa itu tak selamat. Saya bimbang kalau bapa tiri Andika dapat menemui
dalam masa lima bulan ini,” kata Dwen.
“Kalau macam tu, biar
dia tinggal di rumah ini dan Dwen keluar tinggal di tempat lain. Atau... atau
Dwen balik ke rumah datuk.”
“Oh! Tidak. Itu lagi
tak boleh. Saya tak akan balik ke sana tanpa membawa isteri. Itu janji saya
semasa keluar dari rumah. Andika pula tak boleh tinggal di sini sendirian.
Banyak bahayanya!” kata Dwen bersungguh-sungguh.
Tiba-tiba telefon Dwen
berdering. Dia menjeling ke arah skrin
telefonnya.
“Syerif!” jerit Dwen
dengan kuat. Suaranya ceria dan wajahnya kembali riang.