Hampir waktu asar, Dwen
sampai ke Cendana Resort, Port Dickson. Selepas masuk ke bilik, dia terus berbaring
di katil dengan mata yang cuba dipejamkan. Dia cuba membuang letih. Baru terasa bahunya lenguh
kerana mencempung Rina tadi.
‘Nampak kurus dan kecil
molek tetapi berat macam pikul batu!’ rungut Dwen dalam hati.
Dia berguling ke kiri
dan ke kanan dan berharap agar dapat lena seketika. Namun semuanya tidak
berlaku. Matanya keras tidak mahu pejam. Fikirannya melayang. Tiba-tiba wajah
Rina muncul depan mata.
‘Boleh tahan juga budak
tu. Mungkinkah dia calon yang sesuai untuk menjadi isteriku?’ Dwen berkira-kira
dalam hati. Kemudian dia tersenyum dan dia terasa begitu gelojoh.
Lalu dia bangun dan
mandi. Lepas mandi, dia keluar duduk di beranda yang mengadap ke laut. Hembusan
angin sedar menerjah wajahnya. Segar dan nyaman. Sudah lama dia tidak
merasainya.
Telefon bimbitnya
berdering. Dengan malas dia bangun dan berjalan masuk untuk menjawab panggilan
itu.
“Assalamualaikum Encik
Dwen.” Sebuah suara menyapa lembut. Dwen cuba mencari-cari siapa gerangan yang
menelefon.
“Siapa ni?” tanya Dwen
selepas tidak mampu mengingat suara yang didengarnya.
“Saya Rina, yang tadi
berlanggar dengan encik.”
“Ohh... maafkan saya.
Awak apa khabar?”
“Saya okey je. Cuma
saya terlupa nak minta kunci motor saya dari encik?”
Dwen menepuk dahi.
Memang kunci itu ada dalam poketnya. Dan dia langsung tidak ingat untuk
memulangkan kunci itu selepas mengunci motor itu tadi.
“Maafkan saya. Saya
lupa. Kalau macam tu, saya akan hantarkan kunci tu sekarang,” kata Dwen.
“Encik ada di mana
sekarang?”
“Saya di Port Dickson.”
“Jauh tu...”
“Tak apa. Motor itu
lebih penting dari segalanya. Awak tunggu ya. Nanti saya datang.”
“Encik, tak apalah.
Saya ada kunci spare. Saya cuma nak maklumkan. Mungkin on the way
balik, encik boleh singgah dan pulangkan pada saya. Atau kalau saya free dan
dah sihat saya akan pergi ofis encik,” kata Rina.
Dwen diam. Betul juga
kata Rina. Dia sudah berada jauh dari Petaling Jaya.
“Baiklah kalau macam
tu. Saya nak balik, saya akan call awak.”
“Encik lama di sana?”
“Belum tahu. Sebab
mungkin lepas ini saya akan terus ke tempat lain. Atau kalau awak nak, saya
boleh poskan melalui Pos Laju.”
“Tak apa. Bila encik
dah ada di KL, encik call saya,” jawab Rina.
Dwen setuju dengan
cadangan itu. Perbualan selesai. Dwen kembali merenung lautan luas. Dia kembali
menikmati angin laut dan deruan ombak.
Tiba-tiba Dwen teringat
pada masa kecilnya. Ketika itu mama dan papanya hanya seorang pegawai biasa di
sebuah syarikat. Setiap hujung minggu mereka memang ada masa untuk beriadah
bersama.
Seringkali mereka ke
pantai untuk berkelah bersama. Atau ke kawasan air terjun. Atau kadang-kadang
mereka keluar menonton wayang. Namun, selepas Encik Haris menjadi Datuk Haris
dan Puan Rodziah menjadi Datin Rodziah semuanya berubah.
‘Sedangkan pantai lagi
berubah. Inikan pula manusia...’ Dwen mengeluh sendirian.
Perutnya berkeroncong
lapar. Dia segera bersiap untuk ke restoren yang ada.
Sampai di restoren, dia
segera meneliti menu. Banyak menu masakan kampung!
“Encik, di sana ada
buffet kalau encik nak,” kata seorang pelayan.
“Hmm... menarik juga.”
Dwen bangun menuju ke meja buffet. Ada beraneka juadah. Ada masakan kampung dan
masakan bandar. Mata Dwen terbuka luas dan liurnya pecah melihat masak lemak
pucuk ubi, masak lemak daun turi, ikan keli goreng berlada dan sambal belacan
bersama ulam-ulamnya.
Dia segera mengambil
pinggan. Nasi diambil sedikit sahaja. Yang banyak ialah lauk pauknya.
“Encik tak suka ke
makan siput masak lemak dengan daun kaduk?” tanya pelayan yang menjaga meja
buffet.
“Ada ke?” Secepat kilat
Dwen menoleh.
“Ada. Ni,” tunjuk
pelayan itu ke arah sebuah periuk.
Dwen segera menjengah
ke dalam periuk. Matanya bersinar.
“Encik suka?”
“Suka sangat. Dah lama
tak makan benda ni,” jawab Dwen sambil menyendok gulai siput itu ke dalam
sebuah mangkuk yang berasingan dari nasi yang sudah berlonggok lauk pauk tadi.
Dwen makan penuh
selera. Sungguh berselera.
“Cik, boleh saya tahu
nama chef yang masak gulai ni?” tanya Dwen ketika pelayan tadi melintas di
hadapannya.
“Kenapa encik? Ada
masalah dengan masakan ni?” Pelayan itu nampak bimbang.
“Tak. Masakannya sedap.
Sama seperti masakan mak cik saya di kampung,” jawab Dwen, mereka cerita.
Pelayan itu tersenyum
senang. Hilang rasa bimbangnya.
“Encik nak berkenalan
dengannya?”
“Boleh juga. Kalau
muda, boleh dipilih sebagai calon isteri. Kalau tua boleh dibuat mertua. Itupun
kalau dia ada anak dara!” balas Dwen dengan ketawa.
“Kalau lelaki?” Pelayan
itu sengaja menduga.
“Sama juga. Kalau muda
boleh dibuat adik ipar. Kalau tua, boleh dibuat bapak mertua. Kalau dia tak ada
anak dara, buatlah bapa angkat. Bolehkan?”
Giliran pelayan itu
pula ketawa. Dia semakin senang melihat Dwen makan dengan begitu berselera.
“Encik nak saya
panggilkan dia?”
“Kalau awak rasa saya
perlu berkenalan dengan dia!” jawab Dwen tanpa menoleh. Perhatiannya tertumpu
pada siput-siput dalam mangkun, yang menunggu untuk disedut. Dia sendiri tidak
tahu kenapa sejak akhir-akhir ini dia suka makan siput.
“Assalamualaikum
encik!” tegur seorang wanita.
Dwen angkat muka.
Berdiri di hadapannya seorang wanita.
“Waalaikummusalam,”
jawab Dwen, masih selamba menyedut siput.
“Sedap ke?” tanya
wanita itu.
Kali ini Dwen berhenti
mengunyah. Makanan yang ada dalam mulutnya ditelan perlahan. Tubuh wanita yang
berdiri di hadapannya dengan uniform chef diteliti. Dia segera faham akan
maksud pertanyaan wanita itu.
“Akak yang masak ke?”
Wanita itu angguk
dengan senyum.
“Sedap sangat. Macam masakan
mak cik saya. Akak ni asal orang Kelantan ke?” tanya Dwen, tanpa segan.
“Kenapa? Orang Kelantan
saja ke yang pandai masak macam ni?”
“Itu yang saya nak
tahu. Sebab pertama kali saya makan masakan ni di Kelantan. Saya ingat ia
masakan tradisi di sana. Rupanya di sini pun ada,” jawab Dwen dengan ketawa
kecil.
“Sebenarnya setiap
negeri ada resepi masakan siput. Masak lemak atau gulai ni ada di setiap
negeri. Cuma mungkin caranya yang berbeza. Memang kalau dicampur dengan daun
kadok ni, biasanya dari Kelantan. Saya akan tukar-tukar resepi. Kalau minggu
depan, mungkin resepi siput ni dah berubah jadi goreng atau sambal.”
Dwen rasa tertarik
dengan penerangan itu. Dia menjenguk dan cuba membaca nama wanita itu. Chef
Roszita!
“Chef Roszita, alangkah baik kalau saya ada kakak
yang pandai masak macam chef.”
“Terima kasih kerana
suka dengan masakan saya. Encik...”
“Dwen. Kalau saya
tinggal seminggu di sini dan makan masakan chef ni, alamtnya akan naik
mendadaklah berat badan saya!” balas Dwen, jujur.
Ketawa Chef Roszita
pecah lunak di pendengaran Dwen.
Dwen meneliti lagi. Chef
Roszita, orangnya kecil molek dan cantik. Dengan topi chef di kepalanya, ia
nampak anggun dan berwibawa.
“Kenapa Encik Dwen
tengok saya macam tu?” Chef Roszita membelek diri.
“Ermm... saya tertarik
dengan chef. Pandai masak dan cantik,” jawab Dwen sedikit gugup.
“Amboi! Puji saya
melambung-lambung ni, kenapa?” Chef Roszita ketawa lagi.
“Saya berkata benar. Mana
tahu kalau chef ada adik atau saudara mara yang masih solo dan pandai masak gulai
siput? Ada peluang kita jadi saudara!” balas Dwen pula.
Ketawa Chef Roszita
semakin lunak. Dwen ikut ketawa dengan santai dan senang.
Namun, Dwen tiba-tiba
tunduk malu dengan keceluparannya. Rasa macam ingin saja menampar mulutnya yang
tidak malu itu.
“Terima kasih sekali
lagi. Saya undur diri dulu. Ada banyak siput lagi yang nak dimasak di dapur tu,”
kata Chef Roszita, di celah ketawa lunaknya.
Dwen angguk perlahan. Fikirannya
tiba-tiba bercelaru seketika.