Ah,
pedulilah siapa pun Andika itu. Melisa bukannya tahu dia berbohong. Melisa
bukan tahu dia sengaja menyebut nama Andika untuk menutup cerita.Dan Melisa pun tak tahu bahawa dia sendiri tak tahu siapa
Andika.
Dwen keluar
dari bilik selepas berpakaian rapi. Dia rasa selesa dengan seluar jeans dan
t-shirt biru itu. Saban hari memakai kemeja, tali leher dan kot sering
membuatkan dia rimas. Hari ini, dia rasa sangat santai.
“Dwen, dah
siap. Jom kita ke warong. Misi kita yang pertama akan bermula,” kata Pak Nordin
ketika Dwen sudah tercegat di hadapannya. Mereka ketawa. Langkah mereka
menghala ke pintu.
“Apa yang
Pak Nordin beritahu mak cik?”
“Saya kata,
Dwen ni tukang kebun syarikat. Datang ke sini nak cari benih-benih pokok bunga
yang tak ada di KL. Sambil tu, kalau ada anak dara yang sesuai dia nak cari
bini juga!” kata Pak Nordin dengan ketawa.
Dwen ikut
ketawa. Ketawanya segar.
“Okey tak
cerita bohong tu?”
“Okey
sangat. Tapi, tak logik kalau orang tahu. Syarikat kita tu langsung tak ada
tanah dan kebun yang nak dijaga. Kalau kata tukang cuci tandas tu, bolehlah
juga.” Ketawa Dwen semakin melata. Pak Nordin juga.
“Jauh ke
warong tu?” tanya Dwen selepas ketawanya usai.
“Di jalan
besar sana. Kita naik motorlah.”
“Motor
siapa?”
“Motor
saya. Ada di belakang rumah. Dwen tunggu, saya pergi ambil,” kata Pak Nordin
berjalan ke arah belakang rumah.
Sementara
menunggu Pak Nordin mengambil motornya, Dwen duduk di atas tunggul kayu di
halaman rumah. Dia mendongak ke langit. Awan memutih dan berarak tenang. Di
kaki langit, terlihat bukit bukau yang menghijau.
“Cantiknya,”
bisik Dwen. Kemudian dia menoleh ke arah kirinya. Kawasan sawah padi yang luas
menghijau.Dadanya terasa
lapang. Matanya juga terasa senang. Jiwanya apalagi, tenang dan aman.
Dia
keluarkan telefon bimbitnya. Semua pemandangan indah itu dirakamkan.
Deruan
enjin motor Pak Nordin mendekat.
“Naiklah,”
lawa Pak Nordin. Mata Dwen terpukau. Tadinya dia membayangkan motor yang
dikatakan Pak Nordin hanya Vespa atau Honda Cup biasa.
“Kenapa
pandang macam tu?”
“Scrambler?”
Dwen terbeliak.
“Ini motor
masa saya bujang dulu. Inilah juga motor yang saya beli dengan hasil titik
peluh saya semasa kerja buruh di Singapura. Naiklah. Saya dah lapar ni,” jawab
Pak Nordin dengan senyuman.
Dwen
melangkah naik. Dia benar-benar rasa hebat ketika berada di atas motor yang
besar itu. Untuk pertama kali dia dapat merasa naik motor. Angin yang menerpa
wajahnya disedut nyaman. Seperti orang kampung masuk ke bandar, begitulah
telatah Dwen.
Mereka
sampai ke sebuah warong di tepi jalan masuk ke kampung itu. Ramai orang sedang
bersarapan. Ramai juga yang menegur Pak Nordin dengan mesra.
“Nak
minum apa, Pak Din?” tanya Pak Lazim, tuan punya warong.
“Kopi
O satu. Dwen?” Pak Nordin berpaling kepada Dwen.
“Saya
nak teh tarik,” jawab Dwen.
“Makan?”
tanya Pak Lazim lagi.
“Nasi
kerabu daging bakar. Dwen?” Sekali lagi Pak Nordin berpaling kepada Dwen.
Kali ini Dwen
termangu-mangu seketika. Dia tidak tahu apa menu yang sedap dimakan diwarong
itu. Selama ini, dia hanya bersarapan di kafetaria pejabat. Yang ada di situ,
segala macam mi. Tapi, dia hanya makan roti bakar dengan butter atau keju.Sarapan yang sangat ringan. Di sini pula, ada segala
macam nasi. Apa yang akan dimakannya?
“Dwen,
cubalah makan nasi berlauk.”
Dwen
tersenyum.Memanglah nasi
dimakan dengan lauk. Kalau nasi tanpa lauk, itu namanya nasi goreng. Nasi lemak pun ada lauknya iatu
ikan bilis.
“Nasi
berlauk ni nama untuk hidangan nasi. Ada bermacam nasi berlauk. Nasi berlauk
ayam, ikan, itik dan ikan darat. Pilih saja ikut selera Dwen,” kata Pak Nordin
seperti tahu apa yang ada dalam fikiran Dwen ketika itu.
“Apa-apa
sajalah Pak Nordin. Saya ikut apa yang Pak Nordin makan,” jawab Dwen. Dia
keliru untuk memilih. Lalu Pak Nordin membuat pesanan.
“Kuih
badak ada lagi?” tanya Pak Nordin kepada Kak Nik Mah, isteri Pak Lazim yang
sedang menyusun kuih di meja.
“Badak dah
habis, Pak Din.Yang ada ni hanya
kuih peria, cek mek dan karipap.”
“Bawalah
cek mek tu. Lama juga tak makan cek mek,” balas Pak Nordin pula.
Kuih yang
disebut itu diletakkan di hadapan mereka.Fikiran Dwen masih berputar ligat. Nama kuih yang disebut
tadi sangat pelik dan jarang didengarnya.
“Ini
cek mek. Ia campuran keledek dan tepong gandum. Di dalamnya ada gula. Sedap ni,
makanlah. Kat KL ada dijual, tapi tak sesedap di kampung ni,” kata Kak Nik Mah
dengan senyum mesra.
“Kak,
kuih badak tu macam mana?Daging
badak ke?” tanya Dwen, perlahan separuh berbisik.
Kak Nik Mah
mengilai. Namun tidak lama, hilaian itu terhenti.Di wajahnya terbayang rasa bersalah dan kesal.
“Maafkan
akak. Akak tak berniat nak ketawakan awak.”
Dwen segera
angguk dan menyengih agar kesal yang berputik di hati wanita itu segera gugur.
Dia tahu soalannya agak bodoh dan mampu membuat orang ketawa. Namun dia
bertanya jujur. Memang dia keliru dengan nama kuih itu.
“Kuih badak
tu bahannya ialah tepong pulut dan kelapa. Ia digoreng kemudian disira dengan
gula. Nantilah, kalau esok ada akak simpankan untuk awak,” kata Kak Nik Mah.
Dwen angguk
lagi.
Tidak lama
hidangan yang dipesan sampai. Minuman juga tiba.
“Nah, mari
kita bersarapan. Nasi berlauk ikan darat,” kata Pak Nordin sambil membaca
bismilah. Sekali lagi Dwen terteleng-teleng.Ikan darat?
‘Hebatnya
kampung ni. Ikan hidup di darat.Selalunya
ikan hidup di air…’ getus hati Dwen. Kali ini dia tidak mahu bertanya lagi. Dia
menunggu masa yang sesuai untuk bertanya. Mungkin di rumah nanti ketika berdua
dengan Pak Nordin sahaja. Malu kalau diketawakan orang lagi.
Kuah ikan
itu pekat kekuningan. Seleranya terbuka. Apa lagi bila hidungnya terbau aroma
daun kesom. Dia mencubit isi ikan itu dan menyuap ke mulut. Diam seketika.
“Ikan apa
ni Pak Nordin?” bisik Dwen.
“Ikan keli. Kenapa? Dwen tak suka?” tanya Pak
Nordin, dengan wajah bimbang.
“Ini yang
dipanggil ikan darat? Kenapa?Ia
hidup di atas darat?”
Pak Nordin
tersenyum. Dia cuba untuk tidak ketawa agar tidak ketara rasa lucu yang sedang
merayap di hatinya.
“Ia
bukan hidup di atas darat tanpa air, tapi sebab ia tak hidup di laut.Kalau ikan biasa seperti kembung, pari, bawal dan yang
lain-lain tu hidup di laut. Tapi ikan keli, haruan, talapia ni hidupnya dalam
air tawar.Di darat tu
maknanya dalam air tawar di darat ni, bukan di laut nun.”
Dwen
tersengih.Dia mengutuk
dirinya yang tersangat dungu.
“Ada
banyak lagi yang Dwen akan tahu.Harap
Dwen tak jemu untuk bertanya.”
“Saya ni
yang takut, orang jemu nak menjawab sebab soalan saya semuanya soalan bodoh dan
tak masuk akal,” balas Dwen.
Akhirnya,
Dwen yang tidak pernah bersarapan nasi menghabiskan dua pinggan nasi berlauk
ikan keli masak lemak daun kesom. Dia kekenyangan.
“Kalau
sebulan saya di sini, gemoklah saya,” kata Dwen melepaskan sendawa berulang-kali.
Pak Nordin
menyambut kata-kata itu dengan ketawa.
Tidak lama,
telefon bimbit Dwen berdering perlahan kerana volumenya sudah dikecilkan. Dwen
melihat skrin. Nama Nureen tertera.
“Maafkan
saya Pak Nordin. Nureen call,” kata Dwen sambil bangun dan berjalan agak jauh
dari tempat itu. Dia tidak mahu orang yang ada di sekelilingnya, mendengar. Dia
tidak mahu rahsianya akan terbongkar.
“Nureen,
ada apa?”
“Encik
Dwen, saya tak larat nak jawap panggilan dari teman-teman wanita encik. Sejak semalam
mereka telefon. Pagi-pagi ni, bila saya masuk ofis pun sama.” Suara Nureen
kedengaran sebal dan kesal.
“Teman-teman
wanita? Siapa?”
“Melisa,
Narita, Qalesya, Adrina dan Erina. Semuanya tanya kenapa tak dapat nak hubungi
encik. Saya jawab encik bercuti. Mereka tanya
macam-macam. Ish! Pening saya macam ni.”
“Nureen,
saya faham. Kalau mereka telefon lagi.Awak
cakap dengan mereka, saya bercuti dengan bakal isteri saya.”
“Encik
suruh saya bohong lagi? Encik nak suruh saya tambah dosa saya yang melambak ni?”
Dwen
ketawa panjang. Dia tahu Nureen orangnya tegas. Kadang-kadang dia polos dan
tulus.