Seperti yang
dijanjikan, keesokannya Dwen membawa Andika ke Menara Melati Holdings. Kepada
Nureen dan Nora, hal itu sudah dimaklumkan.
“Saya akan bawa isteri
saya pergi shopping dulu. Mungkin sebelah petang baru saya sampai di ofis.
Aturkan majlis ringkas. Buat sedikit jamuan ringan. Saya nak kenalkan isteri
saya kepada semua,” kata Dwen, memberi arahan awal pagi lagi.
Kerana arahan itu,
Nureen dan Nora agak sibuk hari itu. Makanan dan minuman sudah dipesan dari
sebuah syarikat katering. Meja dan kerusi sudah disusun. Mereka inginkan majlis
ringkas dan santai.
“Apa hal ini? Jamuan
apa?” Ramai yang mula bertanya.
“Nanti makan
kenyang-kenyang dahlah. Tak payah nak tanya lebih-lebih. Ada peluang makan
free, makanlah,” jawab Nora, selamba.
Dua tiga kali ditanya,
itu juga jawapannya. Akhirnya tidak ada yang bertanya lagi melainkan melakukan
kerja masing-masing sambil menunggu dengan sabar.
“Helo, ada majlis apa
ni? Kenapa saya tak tahu?” Tiba-tiba Karina muncul.
Nureen dan Nora saling
berpandangan. Tidak lama mereka gelengkan kepala, tanpa menyimpan rahsia.
“Saya tanya awak ni.
Nureen, majlis apa ni?” tanya Karina lagi. Kali ini suaranya mula kering dan
meninggi.
“Ada jamuan petang.
Encik Dwen yang suruh siapkan.”
“Kenapa I tak tahu?
Kenapa dia tak beritahu I pun?”
“Mana saya tahu. Cik
Karina kena tanya dia sendiri,” balas Nureen, cuba menahan senyuman.
“Nora! Call Encik Dwen
sekarang. I nak bercakap dengan dia!” laung Karina kepada Nora yang sedang
menyusun gelas di atas meja.
Nora tidak membantah.
Dia malas melayan kemarahan Karina.
Beberapa kali didail,
hanya deringan yang kedengaran. Dwen langsung tidak menajwab panggilan Nora.
“Dia tak jawab, Cik
Karina.”
“Call sampai dia
jawab!” tengking Karina.
Nora mencuba dan
mencuba. Namun, tetap tidak berjawab.
“Dia tak jawab,” kata
Nora, meletakkan gagang ke tempatnya.
“Saya kata call sampai
dapat!”
“Kalau Cik Karina degil
sangat, apa kata Cik Karina saja yang tunggu di sini. Saya banyak kerja nak
buat ni!” balas Nora sambil berlalu meninggalkan Karina.
“Kurang ajar!” Karina
melepaskan marahnya. Namun ketika itu Nora sudah hilang di sebalik tembok
menuju ke pantry.
Karina masuk ke
biliknya. Pintu dihempas kuat. Geramnya tak tertanggung lagi! Perangai Dwen
semakin menjadi-jadi. Mampukah Datin Rodziah mengotakan janjinya? Bolehkah pernikahannya dengan Dwen disegerakan seperti
yang dijanjikan.
Jam 4.00 petang,
suasana riuh dengan gelak ketawa di luar biliknya. Seperti ada yang sedang
diraikan.
Karina menjengah.
Memang benar. Dwen sedang memimpin seorang gadis dengan senyum riang. Kemudian
Dwen duduk sebelah menyebelah dengan gadis itu.
Karina keluar. Dia
ingin bersama Dwen dalam majlis yang tidak diketahui hujung pangkalnya itu.
“Hai Dwen!” tegur
Karina, cuba tersenyum.
Dwen menoleh.
“Oh, awak ada di
pejabat hari ni. Marilah, kita minum petang bersama. Dah lama saya tak bersama
staf saya bersuka ria macam ni,” jawab Dwen, selamba. Langsung tidak teruja.
Karina hanya memerhati.
Tidak terbuka seleranya untuk duduk dan makan seperti yang Dwen minta.
“Bos, tak nak beri
ucapan ke?” tanya seorang staf.
“Ucapan? Oh ya! Saya
nak ucapkan terima kasih kepada anda semua kerana bekerja kuat untuk menaikkan
nama syarikat. Terima kasih kerana anda semua tetap setia dengan syarikat. Saya
berjanji, akan menjaga kebajikan anda semua jika saya masih diberi mandat
menguruskan syarikat ini,” kata Dwen.
“Apa maksud bos? Adakah
bos akan meninggalkan kami?” tanya seorang yang lain.
“Anda kena ingat, ini
bukan syarikat saya. Ini syarikat Datuk Haris, papa saya. Saya pun macam anda,
hanya bekerja di sini. Satu hari mungkin saya tak diperlukan di sini. Jadi,
kita kena bersedia.”
Mereka saling
berpandangan.
“Eh, janganlah stress
sangat dengan kata-kata saya tu. Marilah, kita makan dan raikan hari yang baik
ini,” kata Dwen cuba mematikan rasa risau yang mula terbayang di wajah kaki
tangan dan pegawai yang ada.
“Maafkan I kalau
bertanya. Majlis ni meraikan siapa?” tanya Karina yang sejak tadi diam.
Dwen tersenyum. Matanya
merenung Andika yang tunduk diam.
“Encik Dwen, janganlah
nak berahsia lagi. Takkan kita nak makan dan minum saja tanpa tahu apa yang nak
diraikan?” Nureen sengaja menebas jalan untuk Dwen.
“Baiklah. Kalau itu
yang kamu semua nak tahu. Saya tak akan berahsia lagi. Sebenarnya, majlis ini
adalah untuk meraikan kehadiran sesaorang dalam hidup saya. Dia yang akan
menemani saya meneruskan hidup ini.” Dwen berhenti. Matanya masih merenung
Andika.
Dada Karina berdebar
kencang. Apa makna semua ini?
“Siapa gadis ini?
Tunang atau kekasih?” tanya Nora pula.
Dwen menggenggam tangan
Andika.
“Ini Andika. Bukan
tunang. Bukan kekasih. Tetapi dia adalah segala-galanya untuk saya,” jawab
Dwen dengan senyum senang.
“Jangan berteka-teki,
bos. Terus teranglah. Siapa gerangan si cantik manis ini?” tanya seorang
pegawai lelaki.
“Andika ialah isteri
saya,” jawab Dwen, tenang dan selamba.
“What?” jerit Karina.
Matanya berpinar. Dadanya seperti dipanah lembing tajam!
Namun Dwen langsung
tidak mempedulikan Karina. Dia terus merapatkan mukanya hingga hidungnya
menyentuh pipi Andika.
Sorakan riang
kedengaran memenuhi ruang. Kemudian ucapan tahniah dihulurkan dengan gembira.
Karina melarikan diri
ke biliknya. Dia membawa sebak dan sakit hatinya. Dia rasa benar-benar kalah!
Lama dia duduk menahan
jiwa yang bergoncang. Akhirnya dia segera menelefon Datin Rodziah.
“Untie...” Suara Karina
sebak bergetar.
“Kay, kenapa ni?” tanya
Datin Rodziah ketika mendengar suara Karina yang sangat lain dari biasa.
“Sampai hati untie buat
macam ni pada Kay. Apa salah Kay pada untie dan Dwen?” Karina mula menangis.
Tangisan itu bukan tangisan sedih tetapi tangisan geram dan sakit hati.
“Buat apa? Untie tak faham.
Cuba Kay cakap betul-betul”
“Untie janji nak
segerakan pernikahan Kay dan Dwen, tapi dalam masa yang sama untie dah nikahkan
dia dengan gadis lain.”
“Apa yang Kay cakap ni?
Siapa yang bernikah?”
“Siapa lagi, Dwenlah.
Sekarang dia bawa isterinya tu ke ofis ini. Dia kenalkan kepada semua pegawai
di sini. Memang dia saja nak malukan Kay. Kay malu untie...macam Kay ni tak
laku sangat...” rintih Karina.
“Kay, sabar Kay.
Sumpah, untie tak tahu menahu hal ni. Untie tak pernah tahu kalau Dwen dah
berkahwin. Untie memang tak diberitahu langsung!” kata Datin Rodziah
bersungguh-sungguh.
“Apa kita nak buat
sekarang, untie?”
“Kay bertenang dulu.
Untie akan selidik hal ini.”
“Nak selidik apa lagi,
untie? Semuanya dah jelas. Dia dah kenalkan isterinya kepada semua orang. Tanpa
fikirkan langsung air muka Kay,” balas Karina, geram.
Senyap. Tidak ada
jawapan dari Datin Rodziah ketika itu.
“Untie, apa Kay nak
cakap dengan daddy, dengan mummy? Mereka harap sangat Dwen jadi suami Kay. Tiba
masa, macam ni jadinya,” rungut Karina.
“Kay sabarlah dulu.
Bagi untie masa nak selesaikan hal ini dengan Dwen. Kay sabar ya. Tahulah untie
macam mana nak ajar Dwen dan budak
tomboy tu!”
“Untie, Dwen tak kahwin
dengan budak tomboy tu!” kata Karina separuh menjerit.
“Habis tu, dengan siapa?”
“Entahlah. Kay tak
kenal budak tu. Tak pernah nampak sebelum ni. Masa Dwen buat agenda gila dia di
hotel tempoh hari, pun tak ada muka budak ni!”
Sekali lagi Datin
Rodziah terdiam.
Sehingga talian
diputuskan, tidak ada suara Datin Rodziah yang kedengaran.