Pagi itu, Dwen menerima
tetamu merangkap pembantu rumah yang akan menguruskan semua kerja di rumah itu.
Dia datang bersama Nureen.
“Encik, inilah orang
yang saya beritahu encik semalam,” kata Nureen. Dia hanya angguk tanpa menoleh
dan melihat wajah orang yang dikatakan itu sepenuhnya. Ketika membuka pintu
tadi, dia melihat Nureen bersama seorang gadis. Gadis itu berbaju kurung dan
bertudung. Dwen melihat sekilas pandang.
“Awak dah cakap syarat
yang saya berikan?”
“Dah. Dan dia faham.”
“Kalau macam tu,
baguslah. Ini kunci rumah. Saya harap awak jaga rumah saya baik-baik. Kunci pintu bila awak nak keluar. Awak boleh makan apa yang ada di dapur saya, saya
izinkan. Saya harap awak dapat kerja dengan amanah. Kalau kerja awak bagus dan
saya puas hati, saya akan naikkan gaji awak,” kata Dwen, masih tidak menoleh.
“Terima kasih encik,
Saya janji akan kerja dengan baik,” jawab gadis itu, sedikit gugup.
“Awak anggap ini rumah
awak dan awak kemas ikut cita rasa awak. Cuma jangan alihkan barang-barang
penting saya. Masak pula, saya suka masakan kampung. Saya akan tulis apa yang
saya nak makan. Kalau awak pandai, awak masak. Kalau tak pandai, awak beritahu.
Jangan awak hentam masak nanti asam pedas jadi kari!” kata Dwen lagi.
Tidak lama, Nureen
meninggalkan rumah itu. Dwen pula mencapai kunci kereta dan keluar dari rumah.
Dia sengaja memberi ruang selesa untuk gadis itu memulakan kerja. Rumahnya
memang agak berhabuk. Kali terakhir lantai dilap tiga bulan lalu oleh pekerja
agensi pembersihan yang diupah.
Selepas sepuluh minit
memandu, Dwen singgah di sebuah restoren. Perutnya mula berkeroncong. Baru dia ingat bahawa dia belum bersarapan. Kedatangan
Nureen dan gadis itu menyebabkan dia terlupa untuk minum kopi seperti biasa.
Lalu, sekeping roti
banjir dan secawan nescafe dipesan untuk mengisi permintaan perut. Sambil
mengunyah roti, fikirannya menerawang kosong.
Tiba-tiba matanya
terpandang kepada seorang gadis yang berjalan masuk ke dalam restoren itu. Maisara!
Dwen tunduk sembunyikan
wajah. Kalau boleh dia tidak mahu bertembung mata dengan gadis itu selepas
acara di hotel tempoh hari. Tutup buku. Yang lama tidak mahu dikenang lagi. Dia
melihat Maisara berjalan beriringan dengan seorang lelaki. Boleh tahan
kacaknya.
Mereka duduk di sebuah
meja yang agak terlindung dari Dwen. Hati Dwen lega. Dia meneruskan makan
dengan selesa.
“Hai sayang.”
Dwen angkat muka.
Maisara tersenyum, manja.
Dwen membalas dengan
senyum juga. Namun dia sebenarnya gugup.
“Kenapa you makan
sorang ni? Mana gadis idaman you tu? Begitu ramai you girl friend you, akhirnya
makan sorang juga?” sindir Maisara.
Dwen hanya senyum.
“You ni melampau tau! I
sayang you setengah mati, you buat I macam ni. I kecewa dengan you,” sambung
Maisara lagi.
Dwen masih senyum.
“Apa hal you ni? Dah
bisu ke?” tanya Maisara, meninggikan suara.
Dwen tidak tersenyum.
Kali ini dia tersengih-sengih, sengaja membakar hati Maisara. Sengaja
membuatkan Maisara bosan melayannya. Akhirnya, memang benar. Maisara merengus
dan segera berlalu.
Dwen rasa ingin ketawa
panjang melihat wajah kelat Maisara. Tetapi ketika mendapati ramai orang di
sekelilingnya, dia cuba menahan.
Selepas bersarapan, dia
tidak tahu ke mana arah nak di tuju. Untuk pulang ke rumah, masih awal. Tentu
gadis itu ada di sana.
Akhirnya dia memandu
tanpa haluan menyelusuri jalan keluar menuju ke lebuh raya menuju ke arah Selatan.
Dalam fikirannya, dia tergambarkan keindahan pantai Port Dickson. Dia teringin
mengadap lautan yang membiru. Dia ingin segarkan jiwanya.
Dwen berkira-kira. Dia
akan bermalam di sana. Namun, tiba-tiba dia teringat dia tidak membawa apa-apa.
Sehelai sepinggang sahaja. Dia juga mula teringat, hari itu hari pertama gadis
pembantu rumah itu bekerja. Dia belum sempat menilai kejujuran gadis itu.
Dia juga teringat
sesuatu. Siapa nama gadis itu?
Dengan cepat dia
mencapai telefon dan menelefon Nureen.
“Hai, bos dah jatuh
cinta pada gadis tu ke?” gurau Nureen sebaik sahaja terdengar suara Dwen.
“Ish! Apa awak ni.
Takkan saya nak jatuh cinta dengan dia pulak. Ni, saya lupa tanya nama dia.
Saya juga lupa nak ambil nombor telefon
dia.”
“Saya ingat.”
“Habis, kenapa awak tak
beri pada saya?”
“Sebab encik tak minta.
Saya ingat encik tak perlukan nama dia sebab encikkan tak nak jumpa dia.”
“Awak ni, kalau lurus
macam bendul,” kata Dwen, mula ketawa.
“Siapa nama dia? berapa
nombor telefonnya?”
“Jap lagi saya sms.
Sekarang saya kat luar. Nak kena balik ofis dulu,” kata Nureen.
“Awak merayap ke mana?
Mentang-mentang saya tak ada kat ofis, awak jadi ular sawa ya!”
“Ular sawa ni tengah
nak selesaikan tugas-tugas ular lidi yang tertinggal.”
“Siapa ular lidi tu?”
“Di sana tu lah.”
Kedengaran ketawa Nureen pecah ceria.
Hati Dwen ikut senang.
Gadis itu memang seorang yang ceria. Tidak pernah dia nampak Nureen muram atau
bersedih. Dia pandai mengawal perasaan.
“Encik, datin baru call
saya,” kata Nureen.
“Apa dia nak?”
“Dia merisik khabar
mengenai encik. Dia tanya, adakah saya tahu apa rancangan encik. Dia juga tanya,
adakah saya kenal mana-mana gadis yang agak rapat dengan encik. Nampaknya kali
ini, dia benar-benar ambil berat tentang encik.”
“Habis, apa awak
jawab?”
“Saya jawab tak tahu.
Saya kata, encik tak pernah kongsi rahsia peribadi dengan saya. Tapi, dia marah
saya.”
Dwen menelan air liur.
“Sebabnya?”
“Karina beritahu dia,
saya yang jadi juri masa majlis di hotel hari tu. Karina beritahu datin,
sayalah yang pengaruhi encik agar tak pilih dia,” jawab Nureen.
Karina? Kenapa
nama itu muncul lagi di tengah ketenangannya.
“Kalau mama saya call
lagi, awak tak payah nak berbohong apa-apa. Awak cakaplah saya apa yang awak
tahu pasal saya. Cuma, tolong rahsiakan tempat tinggal saya. Saya tak nak dia
tahu di mana saya berada selama enam bulan ni,” kata Dwen, tegas.
Nureen tidak banyak
bertanya lagi.
Dwen mengambil
keputusan untuk berpatah balik. Dia tidak boleh ke Port Dickson hari itu. pembantu
rumahnya perlu dipantau dulu.
Beep. Beep. Bunyi isyarat
untuk mesej masuk kedengaran. Dwen tidak segera melihatnya. Ketika itu matanya
tertumpu ke jalan raya.
Setengah jam kemudian,
dia sampai ke Apartment Mutiara Tanjung.
Dia masuk ke dalam
rumah. Ruang tamu yang bersih dengan lantai yang mula berkilat, sangat
menyenangkan hatinya. Dia meninjau pula ke dapur. Bersih.
Di atas meja makan, telah
siap dihidangkan dua jenis lauk. Sambal udang dan kangkong goreng belacan. Dwen
menghidunya.
“Perghh! Sedapnya bau.
Boleh tahan Minah ni,” kata Dwen.
Ada sekeping nota diselitkan
di bawah pinggan.
‘Harap
encik suka masakan saya ni. Saya balik dulu. Esok, saya akan kemas semua bilik
pula. Kalau encik nak suruh saya masak apa, tinggalkan saja pesan.’
Dwen meneliti tulisan
tangan gadis itu. Kemas dan teratur. Kata pakar psaikologi, tulisan
menggambarkan diri kita. Lalu dia cuba membuat penilaian. Gadis itu mesti
seorang yang pembersih dan tenang.
Melihat sambal udang,
liurnya pecah. Dia segera duduk, mencedok nasi lalu menyuapkan ke mulut tanpa bertangguh.
“Hmmm... sedap!”
pujinya sendiri.
Segera dia terlintas kepada
SMS yang dikirimkan oleh Nureen. Dengan tangan kirinya, dia menekan butang
mesej. Dia membaca nama gadis itu.
“Ratna Kesuma Dewi? Huh!
Dahsyatnya nama! Nama betul ke nama samaran ni? Ah! Tak kisahlah. Janji kerjanya
bagus dan dia bukan pendatang asing. Kalau tak teruk juga aku kalau tertangkap,”
kata Dwen dengan senyuman.
Dia makan dengan selera.
Sambil makan dia berkira-kira untuk ke pasar dan membeli barang-barang dapur. Biar
penuh peti sejuk dua pintu itu dengan lauk pauk dan sayur. Biar mudah sedikit
Ratna Kesuma Dewi memasak.
Ratna Kesuma Dewi...