Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 29

Malam itu Dwen tidak balik ke rumah banglo papanya. Dia balik ke apartmentnya di Mutiara Tanjung. Semua barang-barang milik peribadinya yang dibawa dalam beg, dikeluarkan. Ada beberapa trofi semasa menuntut di luar negeri. Ada beberapa hadiah dari kawan-kawan. Gambar-gambar dalam beberapa album yang sangat bermakna kepadanya.

Telefon berdering. Dia menjeling. Nama Pak Nordin keluar di skrin telefonnya. Tanpa berlengah, dia menjawab.

Salam Pak Nordin dijawab dengan hormat.

“Dwen, ada khabar baik dari kampung.”

“Apa dia, Pak Nordin?” Mata Dwen terbuka. Hatinya teruja.

“Gambar Puteri saya dah dapat. Kawan dia tu dah e-mailkan. Nanti esok kita suruh Nureen printkan.”

“Ya ke? Alhamdulillah... esok saya dah tak ke ofis. Tak apa. Nanti saya call Nureen suruh forwardkan gambar tu pada e-mail saya pula.”

“Kenapa Dwen tak ke ofis esok?”

“Sebab saya dah mula bercuti. Tak apa. Kita jumpa tempat biasa petang esok. Saya tunggu Pak Nordin di sana,” jawab Dwen, dengan segala senang hati.

“Lagi satu, Dwen tak perlu ke Medan dulu.”

“Kenapa?”

“Sebab Andika Puteri tak ada di sana. Dalam surat kepada kawannya, dia dah lari dari kampung ibunya.”

“Jadi, dia ada di mana?”

“Itu belum pasti. Kita kena tunggu sampai dia balas surat kawannya itu,” jawab Pak Nordin dengan nada kesal.

Dwen mengeluh. Kali ini dia rasa harapannya menemui jalan buntu. Dia menyandarkan diri ke sofa selepas Pak Nordin usai berkisah.

Dia memandang ke sekeliling apartment itu. Sudah setahun dia membelinya. Ini dari hasil gajinya setiap bulan. Satu sen pun mama dan papanya tidak membantu. Memang dia hendak macam tu, membeli rumah dengan wang sendiri.

Dia jarang ke situ. Hanya kalau dia bosan di banglo Datuk Haris, baru dia akan ke apartment itu. Kadang-kadang dia akan mengajak Syerif bermalam di situ. Kadang-kadang dia mengajak Pak Nordin juga. Hanya dua orang itu yang tahu akan tempat itu. Datuk Haris dan Datin Rodziah juga tidak tahu. Mereka hanya tahu dia ada apartment sendiri tetapi mereka tidak pernah tanya di mana.

Untuk sementara waktu, dia akan tinggal di situ.

“Siapa yang akan mengemas dan membasuh baju-baju aku? Takkan nak hantar dobi je? Takkan nak makan kat luar je? Takkan nak kemas sendiri?” tanya Dwen, kepada dirinya.

Dalam duduk bermenung itu, dia teringat untuk mengambil seorang pembantu rumah separuh masa. Mungkin ini lebih baik. Tak payah tinggal bersama. Datang pagi dan petang balik.

Dia menelefon Nureen. Mungkin gadis itu dapat membantunya.

“Esok, awak iklankan. Saya nak segera.”

“Encik dan yang tempatan ke yang asing?”

“Kalau ada yang tempatan lagi baik. Tapi kalau tak ada, yang asing pun boleh tapi jangan yang muda-muda. Yang separuh umur saja.”

“Kenapa tak nak yang muda?” Suara Nureen kedengaran bersulam ketawa yang mengekek.

“Saya takut tergoda. Mana tahu kan?”

“Kalau encik tergoda, baguslah. Selesai misi pencarian encik tu!”

“Ish! Awak ni...”

“Kenapa? Encik kata nak calon isteri yang pandai mengemas dan memasak. Hanya mereka dari golongan ini yang ada kepakaran itu,” balas Nureen lagi.

Hati Dwen mengiayakan. Namun, ada satu rasa cuak juga. Apakah dia akan berkahwin dengan seorang pembantu rumah?

“Apa-apa sajalah. Esok awak uruskan. Saya tak nak yang melalui agen. Saya nak awak iklankan dan awak temuduga mereka. Yang awak rasa sesuai baru awak hantar ke rumah saya” kata Dwen.

“Baik bos! Bos memang yang terbaik!”

Dwen mematikan talian. Bibirnya menguntum senyuman. Nureen memang boleh diharapkan dan dia amanah. Dia bukan sekadar PA di pejabat. Tetapi dia adalah kawan ketika di luar masa pejabat.

Malam itu Dwen tidur dengan resah. Mimpinya juga mimpi resah. Dua tiga kali dia terbangun kerana mimpi-mimpi ngeri. Berpeluh-peluh tubuhnya. Namun mimpinya yang terakhir sebelum azan subuh adalah sangat manis.

Kononnya dia berjalan-jalan di sebuah kampung dan bertemu dengan seorang gadis. Mereka berbual-bual dan bergurau mesra. Dia rasa sangat gembira. Bila tersedar, dia masih tersenyum. Namun, dia lupa akan wajah gadis itu. Puas cuba diingat, tapi tetap tidak muncul.

Selepas menunaikan solat subuh, dia ke dapur. Hari itu untuk pertama kali dia membancuh kopinya sendiri. Bukan susah sangat, hanya masukkan satu paket kopi segera ke dalam sebuah mug dan tuang air panas.

Kemudian dia pasang tv. Perlu juga mengetahui berita-berita semasa. Tidak ada yang menarik. Semua cerita biasa sahaja. Dia menukar saluran.

Telefon berdering. Dia segera menjawab.

“Selamat pagi Encik Dwen. Dah minum kopi?” Suara Nureen menerjah telinga.

“Dah. Awak nak tahu, hari ni saya dah pandai bancuh kopi sendiri. Awak mungkin tak percaya!” jawab Dwen, ketawa.

“Alah, budak tiga tahun pun boleh buat kalau setakat kopi tiga dalam satu.” Nureen membalasnya dengan ketawa.

“Mana awak tahu? Awak pasang CCTV kat apartment saya ya?”

“He! He! He! Saya tak perlu pasang benda tu. Saya ni kan PA encik. Semua hal mengenai encik saya tahu. Jadi, jangan nak berlagak dengan saya!” Ketawa Nureen semakin segar. Dwen rasa senang dengan suara ketawa yang manja itu.

“Encik, saya call ni bukan nak cerita pasal kopi encik tu,” kata Nureen.

“Habis tu kenapa? Awak rindukan saya ke?” gurau Dwen lagi.

Ketawa Nureen gemersik lagi.

“Saya ada berita baik untuk encik. Saya dah dapat pembantu rumah yang encik nak tu.”

“Aik! Cepatnya. Awak dah iklan ke belum?”

“Saya tak sempat nak iklan. Pagi ni saya berbual dengan bibik yang kerja di rumah saya. Dia kata dia ada seorang kenalan. Baru datang dari Indon. Tengah nak cari kerja,” jawab Nureen.

“Tak ada permit? Pendatang asing?”

“Tak. Dia orang sini. Ada kad pengenalan. Dia mengikur keluarganya ke sana. Sekarang dia balik ke sini kerana nak cari kerja.”

Dwen menarik nafas. Dia rasa lega.

“Tapi, dia muda lagi. Baru dua puluhan.” Nureen menambah.

“Tahu ke dia buat kerja? Jangan-jangan saya kena minum kopi segera dan mi segera!”

“Kata bibik saya, dia memang tip-top. Rajin dan pandai masak. Encik kan nak cari yang pandai masak?”

Dwen diam.

“Tapi, dia muda. Saya bimbang akan timbul fitnah.”

“Dia datang siang saja. Encik berikan dia masa. Tak boleh lebih dari pukul 7.00 malam.”

Dwen diam lagi. Akalnya menjalar, berfikir. Memang benar kata Nureen. Siang hari mungkin dia tidak ada di rumah. Mungkin mereka tidak akan bertembung pun. Kalau Pak Nordin sudah tahu di mana Puteri berada, dia akan penuhi masa mencari Puteri. Sementara itu, esok dia akan mula keluar mencari calon isterinya. Mungkin dia akan dapat sesaorang yang dia berkenan selain Andika Puteri.

“Baiklah. Awak datang bawa dia esok,” kata Dwen.

“Berapa encik nak bayar gaji dia? Senang saya nak cakap nanti.”

“Saya nak tengok cara dia kerja dulu. Untuk sementara saya nak dia datang empat jam sehari. Bukannya ada banyak kerja pun di rumah saya ni. Saya cuma nak dia mengemas, masak dan basuh kain baju saya. Berapa awak rasa sesuai nak beri?”

“Encik berilah RM700.00,” balas Nureen.

“Cukup ke? Macam nak aniaya oranglah pulak!”

“Kalau macam tu, encik beri dia RM3,000.00.”

“Kalau saya beri banyak tu, awak akan berhenti kerja di ofis dan datang jadi pembantu rumah saya pulak!” kata Dwen dengan ketawa. Nureen ikut ketawa. Sangat santai.

“Tapi, saya ada syarat.”

“Syarat?”

“Saya nak dia mengelak dari jumpa saya. Semua arahan akan saya tinggalkan atas meja. Dia juga hanya tinggalkan mesej kalau ada hal nak cakap dengan saya. Saya tak nak jumpa dia.”

Semuanya menjadi begitu mudah. Nureen memang amat cekap. Maknanya selama enam bulan ini, dia akan diurus oleh seorang pembantu rumah yang baru. Ia pembantunya sendiri, bukan lagi pembantu yang dibayar gajinya oleh ibu bapanya.


Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.