Datin Rodziah menjeling
ke arah Andika. Gadis itu tunduk diam. Baju kurung warna hijau lumut dengan
tudung putih yang dipakai Andika dilihat sangat menjelekkan. Bagai langit
dengan bumi bezanya dengan Karina.
‘Entah orang kampung
mana yang dikutip Dwen buat bini ni? Tak ada klas langsung!’ bisik hati Datin
Rodziah.
“Sia-sia aku hantar kau
belajar sampai ke luar negeri. Aku ingat, bila kau sekolah tinggi kau boleh
fikir untuk lebarkan empayar kekayaan keluarga. Rupanya, kau balik untuk nak
malukan kami!” Suara tengkingan Datuk Haris bergema kuat.
“Papa, mama, saya minta
maaf. Saya tak berniat nak malukan keluarga. Tapi, ini soal hidup saya. Saya berhak
memilih dengan siapa saya nak hidup. Karina memang baik tapi dia tak sesuai
dengan jiwa saya. Maafkan saya,” jawap Dwen perlahan. Dia tidak mahu bertegang
urat mengenai perasaannya. Dia tahu mama dan papanya tidak akan faham.
“Itu semua tak penting!
Cinta dan persefahaman jiwa itu mengarut saja. Dalam hidup ini, yang penting
adalah duit dan kekayaan. Kalau kau tak ada duit, tak ada siapa nak sayang dan
cintakan kau!” tengking Datuk Haris, kasar.
“Minta maaf papa, itu
tidak benar,” sampuk Andika yang sejak tadi mendengar semua kemarahan ibu bapa
mertuanya.
Serta merta pula Datuk
Haris dan Datin Rodziah kepada Andika. Mata mereka bagai nak terkeluar. Andika
direnung tajam!
“Awak siapa nak campur
urusan keluarga kami?” tengking Datuk Haris.
“Saya isteri Dwen,
menantu papa. Menantu di rumah ini,” jawab Andika dengan tenang. Ketika itu dia
memang agak gugup dan ketakutan. Namun, dia rasa dia perlu berani berhadapan
dengan kenyataan. Walaupun dia tidak tahu hati dan perasaan Dwen terhadapnya,
namun Dwen telah menjadi suaminya. Tugas seorang isteri berada di belakang
suami!
“Heh, kau ni memang
muka tak malu. Berani kau jangan nak mengaku kau tu menantu rumah ini?”
Tiba-tiba suara Datin Rodziah melantun dari bibirnya yang bergetar.
“Dia isteri saya,
mama.” Dwen menarik tangan Andika dan menggenggamnya. Ada getaran dalam
genggamannya. Dia menoleh dan merenung wajah Andika. Renungannya bertembung
dengan kerdipan mata Andika yang lembut. Dada Dwen berdebar.
“Dia memang isteri kamu
tapi tak semestinya dia menantu rumah ini. Yang akan datang ke rumah ini
sebagai menantu hanya Karina!” sambung Datin Rodziah lagi.
“Mama, berapa kali saya
nak jelaskan. Karina tu tak sesuai dengan saya. Hati saya langsung tak ada pada
dia,” kata Dwen bersungguh-sungguh.
“Habis pada perempuan
ni kau cinta?” tanya Datuk Haris dengan kasar.
Dwen menelan air liur.
Dia serba salah. Dia keliru dengna perasaannya ketika itu.
“Ya. Saya sangat
cintakan dia. Hanya dia dalam hati saya, papa.” Dwen pejamkan mata. Dia cuba
meresapkan kata-kata itu ke setiap pelusuk nubarinya. Tiba-tiba dia merasainya!
Andika mendengar luahan
itu dengan hati yang kosong. Dia tahu, Dwen terpaksa mengatakan begitu.
Biarlah. Biarlah Dwen berkata bohong asalkan suaminya itu rasa bahagia
seketika.
“Dari mana kau kutip
dia ni? Entah-entah dia hanya nak kikis harta kita. Entah-entah dia ni menyamar
jadi baik, semata-mata nak hidup senang,” tingkah Datin Rodziah, masam.
Dwen menoleh kepada
Andika sekali lagi. Andika tersenyum nipis. Dia gelengkan kepala, tanda tidak
mahu Dwen berdebat lagi.
Suasana sepi. Datuk
Haris kehabisan ayat. Datin Rodziah juga begitu. Namun wajah mereka masih merah
padam.
Dwen tetap menggenggam
tangan Andika. Kali ini, dia rasa genggamannya penuh makna. Dia rasa kuat dan
bersemangat.
“Kami balik dulu mama,
papa,” kata Dwen, memecah sunyi.
“Kami belum habis
dengan kau, Dwen!” jerit Datuk Haris, dengan tiba-tiba.
“Katakan apa lagi,
papa. Dwen akan dengar,” balas Dwen pula.
“Apa kau nak buat
dengan Karina? Apa aku nak jawab dengan keluarganya?”
“Kami memang tak ada
jodoh. Kita pun belum ada apa-apa hubungan lagi. Orang yang dah kahwin pun
boleh bercerai, inikan pula kami yang masih tidak terikat.”
“Senangnya kau lepas
diri.”
“Habis papa nak saya buat
apa?”
“Aku nak kau berkahwin
dengan dia.” Suara Datuk Haris bergema memecah ruang.
“Nak madukan Andika?”
Tiba-tiba Dwen angkat muka.
“Apa salahnya? Kau tu
mampu. Nak kahwin empat pun, layak!” balas Datuk Haris dengan sombongnya.
“Papa, janganlah
berfikir macam tu.”
“Habis nak fikir macam
mana? Kau cuma ada dua pilihan. Samada kau ceraikan isteri kau ni dan kahwin
dengan Karina atau kau madukan mereka berdua!” tegas Datuk Haris.
Dwen tunduk diam.
Andika juga.
“Adakah Karina setuju
dia dimadukan? Adakah keluarganya setuju dengan keputusan papa ini? Saya rasa mereka tak akan suka.”
“Kalau kau tahu mereka
tak suka, buatlah apa yang mereka suka,” celah Datin Rodziah.
“Apa maksud mama?”
“Kau ceraikan isteri
kau ni dan kahwin dengan Karina!”
Dwen bangun. Dia
menarik tangan Andika.
“Saya tak akan ceraikan
Andika dan tak akan kahwin dengan Karina. Saya tak akan rosakkan hidup saya
kerana empayar perniagaan papa ni. Saya balik dulu, papa.”
Dengan tenang, Andika
melangkah ke pintu.
“Bi, kenapa buat macam
ni?” tanya Andika separuh berbisik.
“Sayang, awak tak
dengar apa yang mereka nak?”
“Saya dengar semuanya.
Tapi, ini bukan caranya kita selesaikan masalah. Jangan biarkan hati mereka
terluka.”
Langkah Dwen terhenti.
Dia segera berpaling. Wajah Andika direnung penuh makna.
“Bi, ikutlah cakap
mereka. Kahwinlah dengan Karina,” bisik Andika lagi.
“Tidak. Abang tak akan
buat macam tu. Abang tak akan lukakan hati sayang,” balas Dwen sambil menarik
tangan Andika dan berjalan lebih laju ke kereta.
Datuk Haris dan Datin
Rodziah saling berpandangan. Mereka terpaku melihat langkah Dwen yang begitu
yakin dan tegas.
“Apa kita nak buat sekarang?”
tanya Datin Rodziah.
“Kita terpaksa
menyerahkan kepala kita ini untuk dipancung oleh Tan Sri Halim. Itu saja
jalannya,” jawab Datuk Haris dengan nada geram.
“Saya akan cuba
bercakap dengan Karina dulu.”
“Awak fikir budak tu
setuju untuk kahwin dengan Dwen dan jadi isteri kedua?”
“Tak cuba, kita tak
tahu,” jawab Datin Rodziah, tanpa berpaling.
Datuk Haris melangkah
masuk ke bilik. Fikirannya amat bercelaru dengan apa yang berlaku. Projek
Hartamas Delima di Kuala Selangor baru sahaja mencapai kata sepakat. Tan Sri
Halim setuju untuk bekerjasama semata-mata kerana menghormati hubungan keluarga
yang bakal terjalin. Sekarang? Semuanya akan hancur.
“Kurang ajar punya
anak!” rengusnya.
Esok paginya, tanpa
berlengah Datin Rodziah membuat temu janji untuk bersarapan pagi bersama Karina
di Hotel Seri Pacifik.
Karina datang tepat
pada masanya.
“Ingatkan untie dah tak
nak jumpa Kay. Maklumlah dah ada menantu.” Karina memperli.
“Kay, jangan cakap
macam tu. Kay tak tahu betapa hancurnya hati untie dengan perbuatan Dwen ni.”
“Untie dah jumpa
menantu tu?”
“Dah. Tapi, macam
langit dengan bumi kalau nak bandingkan dengan Kay. Untie memang tak suka dia.
Sangat-sangat tak suka. Sungguh.” Datin
Rodziah berkata bersungguh-sungguh.
Karina
tersengih-sengih. Dia membelek dirinya
dengan segala senang hati.
“Entah budak kampung
mana yang dia bawa. Pakai tudung bagai,” sambung Datin Rodziah lagi.
“Dia memang tak akan
dapat kalahkan Kay,” balas Karina, sombong.
“Benar Kay. Dia memang
tak boleh nak lawan Kay dalam segala segi. Tapi...”
“Tapi apa untie?”
Karina segera menoleh. Dia kurang senang dengan kata-kata Datin Rodziah itu.
“Dia dah jadi isteri
Dwen. Semua keistimewaan Kay langsung tak dipandang oleh Dwen. Kay dah tewas di
tangan budak kampung tu!” Datin Rodziah sengaja membakar hati Karina.
Karina tercabar.
Hatinya memang terbakar hangus. Hampir rentung. Belum pernah dia kalah dalam
setiap langkahnya. Sekali dia tewas dengan Dwen. Kali ini dia tewas pula dengan
isteri Dwen.
“Tak. Kay belum kalah,”
kata Karina dengan penuh yakin.
“Apa maksud Kay?”
“Kay akan kahwin dengan
Dwen dan kalahkan perempuan tu!”
“Kay sanggup bermadu?”
tanya Datin Rodziah, sengaja menguji.