Home Novel Thriller/Aksi CINTA M-16
CINTA M-16
Fida Rohani
19/8/2016 03:12:09
7,262
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4 (ii)

“Ya Allah! Ir! Apa yang kau buat ni, Ir?” Sayup-sayup kedengaran suara Hajah Sobi di hujung telinga. Irsyad membuka mata. Dia mengamati. Benar, itu memang wajah tenang ibunya. Wajah orang yang telah melahirkannya.

“Mak tunggu Ir di rumah. Ayah kata Ir nak datang duduk sana. Mak suka sangat. Mak dah kemaskan bilik untuk Ir. Tapi, mak telefon berkali-kali Ir tak angkat. Itu yang mak ajak ayah datang. Mak bimbangkan Ir. Apa yang kau buat ni nak?” Hajah Sobi duduk di sebelah Irsyad. Dia merenung wajah anaknya yang cengkung itu. Kemudian dia menoleh memerhati keadaan sekeliling. Berserak dan bersepah dengan kain baju dan buku-buku.

“Dahlah. Mari kita balik ke rumah kita. Esok lusa kita datang kemas,” kata Haji Malek kepada Hajah Sobi. Dia seakan tahu apa yang sedang bersarang di fikiran isterinya. Hajah Sobi angguk.

“Marilah Ir, hari dah lewat ni. Ir dah makan ke belum?”

Irsyad geleng. Dia bangun dan dengan perlahan berjalan ke arah beg yang sudah dipenuhi kain bajunya. Beg itu diangkat dan dia terus berjalan ke pintu tanpa menoleh lagi. Haji Malek dan Hajah Sobi mengekorinya. Kemudian mereka mengunci pintu dan berjalan ke kereta.

“Naik kereta ayah saja,” suruh Haji Malek. Irsyad angguk. Tidak membantah. Seperti sakit lamanya sudah datang semula.

Ketika kereta meninggalkan rumah itu, Irsyad menoleh dan merenung rumah itu dengan wajah redup. Dia berdiam diri. Dia cuba bertenang dan memujuk hati supaya tidak bercelaru lagi. Dia ingin belajar menerima kenyataan bahawa apa yang berlaku itu benar belaka. Kematian Nur Sarah itu benar. Pemergian Nur Sarah ke alam baqa’ itu tidak dusta. Dan dia hampir mampu melakukannya.

Namun persoalan siapa Danny masih menerawang di fikirannya. Dia tidak menemui satu jawapan yang logik untuk apa yang dimusykilkannya itu. Siapa Danny? Siapa lelaki yang didapati mati bersama isterinya dalam pesawat itu?

**

Malam itu selepas makan malam, Irsyad terus ke bilik. Kebetulan ibu dan ayahnya tidak ada di rumah kerana menghadiri satu majlis di rumah seorang kenalan. Yang ada hanya pembantu rumah yang sibuk mengemas dapur.

Dia merebahkan diri ke katil. Satu ketenangan dan kedamaian jiwa sedang dicari. Mata dipejamkan dengan harapan dapat lelap dan fikiran mampu berehat.

“Abang, kenapa abang tinggalkan rumah kita? Dulu abang janji tak akan tinggalkan rumah itu walaupun apa yang berlaku. Abang mungkir janji!” Suara Nur Sarah berdesir dari celah langsir.

Irsyad bangun dengan tergesa. Dia menoleh dan meninjau ke sekeliling bilik. Tiada sesiapa. Kemudian dia melihat langsir bergerak. Irsyad berlari ke arah langsir dan menyelaknya. Nur Sarah tercegat dengan wajah muram.

“Abang tak pernah mungkir, Nur. Abang tak mungkir.” Irsyad segera memeluk isterinya.

“Kalau abang tak mungkir, abang mesti terus tinggal di sana. Kenapa abang pindah ke sini? Abang saja nak tinggalkan Nur kesaorangan di sana. Mana janji abang?”

“Abang sunyi di sana Nur. Abang tak sanggup hidup dengan kenangan Nur di sana. Abang tak sanggup,” rintih Irsyad perlahan.

“Nur kan dah pulang. Nur akan menemani abang. Kenapa abang tak nak percaya dan curigakan Nur?”

“Abang tak nak mencurigai Nur. Selama ini memang abang mempercayai Nur sepenuh hati. Abang tak pernah rasa syak walau sebesar hama. Abang ingat Nur jujur pada abang. Tapi ada banyak perkara rahsia yang Nur sembunyikan dari abang membuatkan abang mula rasa curiga pada Nur.”

“Abang salah sangka. Abang dengar cakap orang,” tingkah Nur Sarah pula.

“Tidak. Tak ada sesiapa yang menghasut abang. Tak pernah ada orang yang dah ceritakan apa-apa kepada abang. Hanya abang yang menilai dan berfikir sendiri.”

“Kenapa abang cakap macam tu? Apa maksud abang sebenarnya?”

Irsyad menarik Nur Sarah duduk di birai katil. Dia ingin meluahkan semua isi hatinya. Kalau boleh perkara yang sedang berkecamuk dalam fikirannya ingin diluahkan semuanya. Biar Nur Sarah tahu.

“Siapa Danny tu, Nur? Kenapa lelaki itu berada bersama Nur?”

Diam.

Irsyad merenung Nur Sarah. Dia mencari-cari jawapan yang jujur. Namun Nur Sarah tidak menjawab. Diatetap diam membatu. Seperti ada yang ingin dirahsiakan.

“Selagi Nur tidak menjawap, selagi itu Nur meletakkan abang di celah rasa ragu dan curiga,” kata Irsyad cuba berdiplomasi dengan Nur Sarah.

“Abang akan tahu nanti. Nur tak akan jawap soalan abang. Masa akan sampai dan abang akan tahu juga nanti.”

“Tapi kenapa? Kenapa susah sangat Nur nak cerita pasal Danny?” tengking Irsyad dengan kuat.

“Abang tak nak faham kenapa? Abang tak sabar kenapa? Kan Nur kata, tunggu!”

“Sampai bila? Sampai abang jadi gila dengan keadaan ini. Nur nak abang hangus dengan api cemburu dan marah ini?”

“Yang abang nak marah kenapa?”

“Siapa yang tak marah kalau isteri berpergian dengan lelaki lain yang tak dikenalinya? Abang sayang Nur. Abang tak nak Nur keluar dengan lelaki lain.”

“Abang pentingkan diri sendiri. Abang tak nak faham perasaan Nur!”

“Sebab Nur tak nak beritahu abang mengenai rahsia hati Nur itu.”

“Abang tak faham!” jerit Nur Sarah.

“Sebab Nur tak nak buat abang faham!” tengking Irsyad pula.

“Abang bencikan Nur?”

“Sebab Nur pun tak pernah sayangkan abang!”

“Siapa cakap?”

“Sikap Nur yang membuktikannya. Nur tak sayang abang! Nur tak pernah cintakan abang. Sebab tu, Nur sembunyikan sesuatu dari abang!”

“Kalau macam tu, biarlah Nur pergi saja. Nur tak akan balik lagi!”

“Pergilah! Memang itu yang Nur nak buat pada abang, kan?”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.