Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 37

Garuda International Hotel, Kota Medan, Indonesia.

Aditya Pratomo tidak mungkir janji. Seawal pagi dia sudah muncul di lobi hotel bersama seorang pemuda.

“Mas, ini keponakanku Wanda. Dia akan membawa mas ke Desa Mangga itu. Mas jangan bimbang. Wanda ini seorang supir yang cekap. Dia tahu semua jalan di kota dan desa. Aku berani jamin, mas mesti akan ketemu dengan gadis Cinderelela yang mas cari itu,” kata Aditya, penuh yakin.

Dwen angguk, tersenyum dan cuba meyakinkan diri juga.

Mereka bersarapan sambil bertukar-tukar cerita. Pukul 9.00 pagi, baharulah Wanda membawa Dwen keluar dari Kota Medan menuju ke alamat yang diberikan oleh Pak Nordin tempoh hari.

“Desa Mangga, Kabupaten Stabat. Jauh juga tempat itu, mas,” kata Wanda sambil memandu. Memang benar kata Aditya, dia seorang anak muda yang cekap memandu dan sangat berhemah.

“Berapa lama kita boleh sampai ke sana, Wanda?” tanya Dwen, ingin tahu.

“Kalau jalan tak macet, dua jam gitu kita dah sampai. Kalau macet, kita kena ambil lebih masa sikit. Harap mas sabar ya!” kata Wanda, bernada sinis. Kemudian dia tersenyum.

Dwen membalas kata-kata itu dengan senyuman. Hatinya memang rasa tidak sabar. Debarannya semakin memuncak. Sangat teruja untuk bertemu gadis itu untuk kali kedua. Bertemu bukan sebagai pekerja dan majikannya. Bertemu sebagai insan biasa ciptaan Tuhan.

Sepanjang jalan dia diam sahaja. Dia menikmati pemandangan indah sepanjang jalan. Ladang-ladang tebu menghijau subur. Setiap kampung ada ladang tebu.

“Apakah ini punca pendapatan masyarakat di sini?” tanya Dwen, dengan rasa kagum. Ladang tebu seluas mata memandang itu menarik minat dan perhatiannya.

“Ini adalah ladang milik kerajaan. Ia untuk diproses sebagai gula oleh kilang yang diuruskan oleh kerajaan,” jawab Wanda sambil matanya terus tertumpu di jalan raya.

Dia membaca tanda nama setiap kampung. Desa Suko Beno, Desa Bulu China, Desa Karang Rejo, Desa Ngam Tandam sudah dilalui.

“Kita sudah sampai di kawasan Stabat, mas. Sekarang kita hanya perlu mencari Desa Mangga dan rumah gadis itu,” kata Wanda.

Dwen angguk perlahan.

“Mas, apa kata kita minum dulu. Aku haus ni. Sambil tu, aku bisa tanya sama orang di sini arah ke desa itu, mas,” cadang Wanda.

“Ya, bolehlah. Saya pun haus juga,” balas Dwen.

Wanda memberhentikan kereta di hadapan sebuah restoren. Dwen membaca nama restoren itu. Restoren Cabe Ijo.

Mereka memesan minuman. Ketika itu juga Wanda dengan ramahnya telah bertanya arah kepada seorang lelaki dalam bahasa Jawa. Kemudian lelaki itu menunjukkan arah. Dwen hanya mendengar. Langsung dia tidak faham maksudnya.

“Lelaki itu kata, desa itu tidak jauh dari sini. Sepuluh minit saja lagi sudah bisa sampai,” kata Wanda menghirup minuman yang dipesan. Dwen juga berbuat begitu. Tekaknya yang kehausan segera basah.

Mereka teruskan perjalanan. Seperti yang diberitahu, memang benar. Hanya sepuluh minit mereka memasuki pintu gerbang yang ditulis dengan nama Desa Mangga. Sekali lagi Wanda turun dan bertanyakan arah ke rumah Ratna Kesuma Dewi.

“Rumahnya di seberang sana tu. Yang ada dua pokok mangga di hadapannya,” tunjuk Wanda.

Hati Dwen semakin berdebar.

Wanda berhentikan kereta di tepi jalan. Mereka turun dan berjalan ke arah rumah yang lengang dan sepi. Pintu dan tingkapnya terbuka luas.

Salam diberi. Tidak ada yang menjawabnya. Wanda mencuba beberapa kali. Tetap tidak ada jawapan.

Mereka duduk di atas sebatang pokok kelapa yang tumbang. Masing-masing membuang lelah.

“Cari siapa mas?” tegur seorang gadis dari belakang.

Dengan cepat mereka menoleh.

Ratna Kesuma Dewi alias Andika Puteri!

“Ermm...Ratna? Ermm... Puteri?” Dwen tergagap.

Gadis itu gugup. Matanya melorot tepat ke wajah Dwen.

“Encik? Apa encik buat di sini? Macam mana encik boleh datang ke sini? Apa tujuan encik ni?” tanya gadis itu dengan hairan. Dia seperti tidak percaya akan apa yang dilihatnya.

Dwen semakin gugup dan kelu.

“Aduh neng! Soalnya satu satu nih! Jemput dulu kami mampir. Kami penat nih!” kata Wanda dengan ketawa kecil.

Gadis itu mempersilakan mereka masuk ke rumah. Dia segera ke dapur dan tidak lama keluar dengan menatang sebuah dulang minuman.

“Jemput minum encik, mas,” kata gadis itu dengan senyum sebagai basa basi.

“Ratna...”

“Panggil saya Puteri. Nama saya Andika Puteri. Nama Ratna Kesuma Dewi itu adalah nama almarhum ibu saya,” kata Andika Puteri memotong kata-kata Dwen.

Hati Dwen lega. Akhirnya dia mendengar sendiri pengakuan dari bibir gadis itu. memang sah. Itulah Andika Puteri yang dicari.

“Kenapa awak gunakan nama ibu awak?” tanya Dwen.

“Sebenarnya, saya curi paspot ibu saya dan lari dari sini dulu.”

“Tapi kenapa?”

“Masalah keluarga. Saya minta maaf kerana tipu encik. Tapi percayalah, saya tak berniat buruk. Saya cuma nak kerja. Kalau saya tak tipu, mungkin saya susah nak capat kerja.”

“Kenapa macam tu? Bukankah awak ada kad pengenalan Malaysia? Bukankah awak orang sana?” tanya Dwen.

Andika Puteri segera menoleh. Wajahnya semakin cuak.

“Apa maksud encik datang ke sini? Saya rasa tak ada hutang apa-apa dengan encik!” suara Andika Puteri mula meninggi.

“Saya datang nak bawa awak balik ke Malaysia. Saya nak awak kerja dengan saya.”

“Tapi encik, saya dah tak boleh ke sana lagi. Saya perlu uruskan kebun milik arwah ibu saya. Tidak ada sesiapa lagi yang tinggal.”

Dwen mati akal. Dia tidak pandai memujuk. Apa lagi untuk merayu.

“Tak apalah. Awak fikirlah dulu. Saya akan tunggu awak fikir dan buat keputusan. Berapa hari pun saya tunggu,” kata Dwen. Dia mengambil minuman yang dihidangkan. Segera air sirap itu dihirup perlahan. Dia mengawal dirinya yang gementar.

“Maksud encik, encik akan tinggal di sini sehingga saya beri keputusan?” Andika Puteri terkejut.

“Ya. Saya beri awak peluang berfikir dulu.”

“Tapi, kan saya dah kata saya tak boleh ikut encik. Saya tak akan ke Malaysia lagi,” balas Andika Puteri dengan bersungguh-sungguh. Dia cuba membuat Dwen faham akan keputusannya.

“Puteri, saya merayu pada awak. Bolehkah awak ikut saya balik. Saya akan tambah gaji awak. Saya akan tunaikan semua syarat dan permintaan awak asal awak sudi ikut saya,” kata Dwen, merayu bersungguh-sungguh untuk meyakinkan Andika Puteri

“Tapi kenapa? Apa sebenarnya yang encik nak. Kalau setakat nak pekerja, encik boleh cari orang lain, kan?”

“Puteri, saya memang boleh dapatkan pekerja yang lain. Tapi saya tak nak yang lain. Saya nak awak. Sebabnya? Itu saya akan jawab bila kita sampai di sana nanti,” jawab Dwen lagi.

Andika Puteri terdiam.

“Tak apa. Saya akan tunggu awak. Tak perlu beri kata putus sekarang. Fikirlah dulu malam ni. Esok saya akan datang lagi,” kata Dwen sambil bangun.

“Wanda, mari kita pergi dari sini. Esok, kita datang lagi.”

Wanda angguk. Dia faham apa yang perlu dibuatnya. Kata pamannya Aditya Protomo, dia perlu memberi khidmat yang terbaik kepada Dwen.

“Wanda, kita cari hotel untuk bermalam sehari dua ini.”

“Baik, mas. Saya rasa di Stabat ada hotel. Kita cari di sana,” balas Wanda dengan patuh.

“Saya akan tunggu sampai dia setuju ikut saya.” Tidak ada jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu. Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Lalu Dwen memujuk hatinya supaya bersabar. Sekali dia melangkah, dia tidak akan undur lagi.

Wanda hanya diam dan tidak berani memberi komen lagi. Kalau itu kehendak Dwen, dia akur dan mengikut sahaja. Tugasnya setakat menjaga dan melindungi sahabat pamannya itu. Dengan segera dia mencari tempat penginapan yang sesuai di sekitar Kacamatan Stabat itu.

“Di sini nggak ada hotel yang besar, mas. Hanya penginapan biasa saja. Bolehkan?”

“Saya tak kisah Wanda. Asal ada tempat untuk mandi, solat dan tidur.”

Wanda mengangguk dengan senang hati. Tidak susah rupanya menguruskan orang yang bernama Dwen ini. Tidak seperti yang difikirkan bila pamannya memberitahu bahawa Dwen anak orang kaya dan anak seorang datuk.

Rupanya, sikapnya begitu sederhana dan tidak cerewet langsung!


Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.