Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 3

Nureen keluar dari bilik Encik Ridhwan Haris dengan wajah ceria. Lawak bodoh lelaki yang lebih mesra dipanggil Encik Dwen itu menyenangkan.

“Ni apa hal ceria sangat ni?” tegur Niza, yang duduk bertentang meja dengannya.

“Bos kau tu lah, ada saja loyar buruk dia.”

“Apa pula loyarnya hari ni?”

Nureen mula bercerita.

Usai cerita Nureen, Niza ketawa mengekek-ngekek.

“Aku rasa dia ni salah ambil jurusan dulu.Sepatutnya dia jadi peguam kan?” kata Niza.

Telefon di meja Nureen berdering. Dengan cepat Nureen berkejar ke mejanya dan mengangkat gagang.

“Helo, boleh I bercakap dengan Romeo?” Suara seorang wanita menerjah telinga.

“Romeo? Siapa?” Nureen terpinga-pinga. Serentak itu matanya bertembung dengan mata Niza. Kedua-duanya mengangkat bahu.

“Dia ada tak?” tanya suara itu lagi.

“Tak ada orang nama Romeo di sini. Mungkin anda salah nombor.”

“Heh, I tak salah nombor. Ini memang ofis Romeo. You jangan nak main-main dengan I. I ni Melisa, bakal tunang dia!” Suara wanita itu meninggi, marah.

“Saya peduli apa awak bakal tunang dia ke siapa. Masalaahnya orang yang bernama Romeo itu tak ada di sini.Faham?” Nureen ikut marah.

“Jaga you! I beritahu bos you nanti. You ni kurang ajar kan? Biar dia yang ajar you!”

“Siapa bos I?”

“Dwen alias Romeo.”

Nureen terdiam. Tiba-tiba dia rasa ingin ketawa. Baru dia tahu bahawa Romeo itu adalah panggilan untuk Encik Dwen, bosnya.

“Oh, maksud awak Romeo tu Encik Dwen. Lain kali jangan guna nama samaran. Nama dia Redhwan bin Datuk Haris. Kami tak layan nama samaran macam ni!” balas Nureen, tegas. Tanpa membuang masa dia menyambungkan panggilan itu ke bilik bosnya.

“Huh, bos kita ada nama samaran rupanya,” kata Nureen kepada Niza yang masih tercegat, ingin tahu.

“Tak ada ciri-ciri Romeo langsung!” kata Niza dengan ketawa. Dia berlalu meninggalkan meja Nureen.

Nureen termenung seketika. Dia teringat kata-kata wanita itu. Dwen bakal bertunang! Benarkah wanita tadi bakal tunangnya?

Dwen pula menyambut panggilan yang disambungkan tanpa bertanya siapa pemanggilnya. Mendengar suara Melisa, tiba-tiba hatinya menjadi marah.

“Melisa, apa yang awak nak ni? Berapa kali saya cakap, saya tak suka awak call saya waktu kerja!”

“Romeo, kenapa dengan you ni.Takkan I call pun tak boleh?”

“Ada apa ni?” Dwen rasa malas berlama-lama lagi. Gadis itu memang tak faham bahasa.

“Kita keluar malam ni? I nak beritahu you satu perkara.”

“Malam ni saya ada hal. Cakap saja, apa perkara tu sekarang!” kata Dwen, tegas.

“I tak nak cakap kat sini.I nak jumpa you malam ni. You ni kenapa, asyik nak mengelak diri dari I saja ni?” tanya Melisa.

“Awak nak tahu kenapa? Sebab awak ni tak faham bahasa dan mengada-ngada. Saya tak suka gadis yang mengada-ngada dan gedik sangat.”

“Romeo!”

“Nama saya Ridhwan. Siapa yang suruh awak suka-suka tukar nama saya ni?Saya tak suka. Lagi sekali awak panggil nama tu, saya putuskan talian ni!” Suara Dwen semakin meninggi. Anginnya yang tidak baik selepas menerima arahan papanya tadi, menjadi lebih panas selepas mendengar suara Melisa.

“Kenapa baru sekarang you tak suka. Dah hampir setahun kita kenal dan I panggil you dengan nama itu. You tak pernah marah pun! Kenapa sekarang baru nak marah? You dah ada perempuan lain ke?” Suara Melisa ikut meninggi.

“Dari dulu memang saya tak suka. Cuma awak tu tak faham-faham. Dengar sini baik-baik, saya memang dah ada perempuan lain. Jadi apa masalah awak?”

“Berani awak tipu saya?”

“Tipu apa? Saya dan awak tak pernah ada hubungan apa-apa kan? Saya tak pernah janjikan awak apa-apa.”

“Apa maksud you?Habis, selama ini you usung I ke sana sini tu kenapa? Bukankah sebab you cintakan I?”

Dwen ketawa terbahak-bahak. Kata-kata Melisa meredakan marahnya. Sebaliknya hatinya bagai digaru-garu, lucu.

“Melisa, awak ni dah salah anggap. Saya bawa awak keluar sebab awak yang sibuk sangat nak keluar dengan saya. Keluar bersama tak semestinya saya dah jatuh cinta dengan awak. Hoi, Cik Melisa, setiap hari saya bawa perempuan keluar. Adakah semua itu kekasih saya? Tidak. Belum ada seorang pun yang melekat di hati saya ni, terutama awak!”

“Jadi, awak keluar dengan perempuan lain di belakang saya?” Melisa separuh berjerit.

“Ya. Kenapa?”

“Romeo! Sampai hati you!” Kali ini jeritan Melisa bergema seperti guruh.

Seperti yang dijanjikan, Dwen menghempaskan telefon. Tidak mahu dia mendengar suara itu lagi. Sakit hatinya. Geram jiwanya. Kalaulah Melisa ada di hadapannya ketika itu, sudah tentu penamparnya melayang ke pipinya.

Kemudian dia menekan interkom dan menyuruh Nureen masuk.

“Encik Dwen, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Nureen dengan buku catatan di tangannya.

“Lain kali kalau ada orang bernama Melisa call saya, tolong jangan sambung. Ingat! Melisa!” kata Dwen dengan tegas.

Nureen mencatit nama itu.

“Bukankah dia bakal tunang encik?”

“Siapa cakap?” Dwen mencelikkan mata. Dia rasa aneh dengan apa yang didengarnya.

“Dia yang cakap tadi.”

Dwen mengetap bibir. Makin melampau gadis yang bernama Melisa itu. Belum ada yang seberani itu. Narita dikenali lebih lama. Qalesya juga sangat rapat. Maisara begitu juga. Namun semuanya tidak seberani Melisa.

“Budak tu gila bayang. Tolong jangan biarkan dia dekat-dekat dengan saya. Saya geli!” kata Dwen, selamba.

“Encik nak saya buat apa?” Nureen sengaja menduga. Dia teringat kata-kata angkuh Melisa sebentar tadi.

“Awak buatlah apapun. Kalau dia datang, awak halau dia. Kalau dia call, awak tak usah sambungkan. Saya hanya tak nak mata saya melihat dia.”

Nureen angguk faham.

“Jangan angguk je. Saya serius. Kalau sampai dia muncul depan saya, saya rela jadi raksaksa dan serang dia!”

Nureen tersenyum.

“Jangan senyum. Awak nak tengok saya jadi raksaksa?”

“Kalau encik jadi raksasa, dia akan jadi Power Rangers dan lawan encik. Habislah ofis ni. Saya nak jadi apa?” gurau Nureen.

“Awak jadilah Teletubies…” Dwen ketawa berdekah.Nureen senang hati melihat ketawa bosnya.

“Tapi, kenapa encik tak suka dia?Dia tak cantik ke?” tanya Nureen.

“Dia memang sangat cantik, sexy dan sangat menawan mata siapa saja yang melihatnya. Tapi, bukan mata saya.”

“Mata encik kenapa, sakit?”

“Saya ni alergik perempuan cantik tapi kurang ajar!” kata Dwen, jujur. Kali ini wajah Dwen mula bersalut geram.

Nureen diam. Kali ini dia tidak berani menyampuk lagi.Dia rasa semuanya di luar bidang tugasnya. Hal peribadi Si Romeo itu bukan urusannya. Asalkan dia tidak terjebak dengan cinta anak Datuk Haris yang terkenal kacak dan bijak.

“Kenapa awak diam?” tanya Dwen selepas lama membiarkan suasana sepi.

“Saya nak cakap apa?” tanya Nureen pula.

“Awak cakaplah saya ni kacak sangat hingga dipanggil Romeo.Walhal saya tak kenal pun siapa Romeo itu.” Dwen mula bergurau. Dia cuba meredakan denyutan di dadanya.

“Encik memang tak ada tokoh Romeo pun!”

“Siapa cakap?” Dengan cepat Dwen merenung Nureen yang tercegat setia itu.

“Sayalah cakap. Tadi encik suruh cakap,” balas Nureen dengan ketawa perlahan.

Dwen ketawa bergegar.

“Boleh tahan loyar buruk awak ya!” ujar Dwen. Dia senang dengan gurauan Nureen. Gadis itu bukan sahaja cekap bekerja malah dia boleh diajak berbual dalam semua hal. Pengetahuannya luas. Tidak rugi papanya menggaji gadis itu sebagai pembantu peribadinya.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.