Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 25

Nureen tidak terkejut. Malah, dia tersenyum mendengar cemuhan itu. Dia tahu, Dwen sedang memerhati. Dia sedar, markah sedang diberikan oleh Pak Nordin selaku ketua juri.

“Baiklah, kita teruskan kepada soalan yang seterusnya,” kata Pak Nordin, cuba mematikan sindiran sinis dan ejek mengejek itu.

“Ada lagi soalan?” tanya Qalesya dengan kasar.

“Sabarlah. Sebenarnya, markah dan keputusan dah boleh dibuat. Tapi saya saja nak tanya lagi. Mana tahu soalan ini akan menambahkan markah mereka yang terkurang.” Pak Nordin berlagak tenang. Walhal dalam hatinya, sudah mula penuh dengan rasa muak.

Semua diam, menunggu.

“Soalan saya, apakah pandangan anda mengenai hubungan dengan ibu bapa selepas kahwin?” tanya Pak Nordin.

“Dah kahwin, kita dah jadi milik suami. Jadi, kena ikut suami,” jawab Dayana.

“Kita dah terputus hak dengan ibu bapa,” jawab Enie Ros.

“Tidak ada yang berubah. Hanya tanggungjawab kita bertukar kepada suami tapi masih pelu menjaga kebajikan kedua ibu bapa, dengan izin suami,” jawab Hayati, tenang dan senyum.

“Dah kahwin, gadis itu dah jadi hak suami. Ibu bapa, kalau nak datang ke rumah kena dengan izin suami. Dengan kata lain, kena buat temujanji,” jawab Melisa pula.

“Temujanji? Kenapa?” Pak Nordin rasa pelik. Belum pernah didengar hal itu sebelum ini.

Melisa tidak terus menjawab. Sebaliknya dia tersenyum.

“Rumah tangga adalah milik suami dan isteri. Ibu bapa adalah tetamu. Suami isteri pula perlukan privacy dalam hidup mereka. Jadi, kalau ibu bapa tak boleh nak bertamu sesuka hati. Perlu memilih masa yang sesuai yang akan diberikan oleh tuan rumah,” jawab Melisa dengan selamba.

Pak Nordin ternganga. Ini pertama kali dia mendengar ada undang-undang begitu. Dia berpaling kepada Dwen. Namun, Dwen selamba sahaja.

“Bagi saya, ibu bapa tetap disanjung dan dihormati. Tak kira ia ibu bapa sendiri atau ibu bapa mertua. Jadi, kita tak boleh jadikan perkahwinan itu benteng untuk memisahkan kasih sayang mereka. Lagi satu, kita adalah idola kepada anak-anak kita. Kalau kita melayan ibu bapa dengan layanan yang buruk, tak mustahil bila kita dah tua kita akan dilayan begitu oleh anak-anak,” kata Hayati dengan tenang.

Melisa menoleh dengan cepat ke arah Hayati. Wajahnya berubah merah.

Pak Nordin menarik nafas lega. Markah yang tinggi untuk gadis Hayati. Dia menoleh lagi kepada Dwen. Kali ini dia melihat bosnya tersenyum-senyum.

“Baiklah, ini soalan terakhir saya. Berapa orang anak yang anda nak?” tanya Pak Nordin.

“Kalau boleh I tak nak anak. Leceh ada anak ni. Badan rosak. Masa kita pun terbatas. I ada kerjaya. I akan tetap dengan kerjaya I walaupun I dah kahwin,” jawab Dayana dengan cepat sebelum peserta lain mengangkat tangan.

“Betul. I pun sama. Kalau ada anak, banyak yang kita nak kena fikirkan,” sokong Melisa.

“I nak seorang saja. Ramai-ramai I rimas,” kata Enie Ros pula.

“I tak nak bersalin tapi I nak anak,” kata Qalesya,

“Macam mana tu Cik Qalesya? Tolong jelaskan,” kata Pak Nordin.

“Senang je. Zaman ni ramai orang buang bayi. Daripada mereka buang, baik kita minta dengan mereka. Kita buat anak angkat. Senangkan? Tak payah nak fikir nak mengandung. Tak payah nak rasa sakit bersalin,” jawab Qalesya, tersengih.

Pak Nordin terdiam. Dengan perlahan, tanpa disedari dia menggelengkan kepala.

“Macam mana kalau suami anda nakkan zuriat sendiri. Anda tak nak beranak lalu dia ambil keputusan kahwin lain?” tanya Nureen, dengan soalan panas.

“Kalau dia berani buat, silakan.” Qalesya menyingsing lengan.

“Tapi, anda yang buat mereka cari lain. Cuba kalau anda jadi isteri yang serba boleh. Anda memasak, mengemas dan menguruskan rumah tangga kemudian anda melahirkan anak-anak untuk mereka. Dah tentu cinta dan kasih sayang mereka hanya kepada anda,” kata Nureen tanpa mempedulikan kemarahan Qalesya.

“Oi! Cik juri ni nampaknya pro-poligami. Cik juri ni dah kahwin ke belum? Kalau belum, jangan cakap ikut sedap hati saja. Awak pun tak tahu perangai orang jantan ni!” jerit Dayana dengan kuat. Bergema seluruh dewan suara jeritannya itu.

Melebar senyuman Nureen. Pak Nordin dan Syerif juga.

“Saya memang belum kahwin. Tapi teorinya begitu. Lelaki berkahwin untuk mendapat khidmat isteri. Mereka nak halalkan sebuah hubungan. Mereka nak jadi bapa kepada anak-anak. Kalau boleh mereka nak anak sorang setahun sebagai bukti mereka jantan perkasa,” balas Nureen lagi. Dia sedang menahan lukah. Mencari siapa lagi antara lapan orang itu yang akan bangun dan menjerit kepadanya.

“What! Sorang setahun? Ingat kami ni kilang beranak ke? Nonsense!” Maisara bangun dengan suara lantang.

Enie Ros, Narita, Dayana, Qalesya, Melisa dan Julie Hanan berdiri sebagai tanda sokongan padu kepada Maisara. Yang terus duduk tanpa berganjak ialah Hayati.

“Cik Hayati, apa pandangan awak?” Nureen mengalihkan soalan kepada Hayati.

“Pandangan saya sangat mudah. Kalau tak nak buat kerja rumah, tak nak ada hubungan dengan keluarga, tak nak beranak, baik jangan kahwin. Terus hidup bujang sampai ke tua. Tak ada orang nak marah kita. Tak ada orang nak perintah kita. Kita boleh buat apa yang kita suka. Kita boleh pakai apa yang kita nak. Kita tetap jadi raja untuk diri kita selama-lamanya, habis cerita kan?” Suara Hayati kali ini tidak mendatar dan tenang seperti biasa. Suaranya lebih tegas dan lantang. Dia tidak peduli langsung kepada berbelas mata yang sedang menatapnya!

“Cik kak oi! Teori memang senang cakap. Praktikalnya siapa pun tak nak buat. I rasa you pun tak nak beranak ramai-ramai dan buat kerja rumah macam hamba abdi!” jerit Narita ketika orang lain masih diam.

Hayati tidak melatah. Dia masih duduk dengan tenang. Langsung tidak menoleh ke arah suara yang menjerit kepadanya.

“Teori itu tidak wujud tanpa dicipta oleh manusia. Teori dicipta untuk memudahkan kerja-kerja praktikal. Teori itu seperti asas dan formula. Jadi ia saling kait mengait dengan praktikal. Jadi, kita kena tahu teori untuk buat praktikal. Begitu juga kita kena buat praktikal selepas tahu teori,” sambung Hayati.

“Apa yang you merepek dan berbelit-belit ni? You cakap sajalah, you sanggup buat apa saja termasuk merendahkan maruah you demi nak kahwin anak Datuk Haris ni!” Julie Hanan menyergah.

Kali ini, dengan cepat Hayati berpaling. Dia merenung wajah Julie Hanan dengan senyuman sinis.

“Apa yang tak kena? Kenapa you senyum ni?” Julie Hanan rasa tercabar dan tidak berpuas hati.

Suasana senyap seketika. Pak Nordin, Nureen dan Syerif sibuk mencatit. Dwen dan Nora pula tersenyum-senyum memerhati.

“Cik, sejak hampir dua jam saya berada dalam dewan ini saya telah melihat dan mendengar macam-macam kerenah. Inikah maruah yang cik semua nak pertahankan? Cuba tilik diri cik semua, dekat mana maruah yang cik kata tu?” tanya Hayati.

“Eh! You nak kata kita ni semua tak ada maruah? You nak kata you sorang saja yang ada maruah sebab berpakaian sopan?” sergah Maisara, kasar.

“Yalah. Mentang-mentang dia sorang pakai tudung dan berbaju kurung, dia perasan dialah gadis yang paling bermaruah!” sampuk Enie Ros, mengejek.

“Bermaruahlah konon! Kalau you pun datang ke sini kerana nak menagih cinta Romeo, tak payahlah nak cakap pasal maruah!” jerit Melisa pula.

Kali ini, perasaan Hayati tergugat.

“Romeo? Siapa Romeo itu?” tanya Hayati kepada Melisa.

“Heh, yang anjurkan majlis ini kan Dwen. Dialah Romeo itu!” jawab Narita.

Hayati berpaling pula kepada Dwen. Dia mencari-cari jawapan yang benar. Benarkah sahabat yang dikenali cukup baik dan sopan semasa di luar negeri itu seorang Romeo? Ya. Mungkin benar, sebab gadis-gadis celupar yang ada di situ semuanya mengaku kekasih dia!

Hayati tersenyum. Dia bangun.

“Maaflah cik-cik semua, anda tersalah kalau anda rasa saya datang ke sini kerana nak berebut Romeo dengan anda. Saya dijemput datang ke majlis minum petang tanpa diberitahu pun program realiti mencari calon isteri ini. Kalau saya tahu, memang saya tak akan masuk bertanding.” Hayati berjalan ke arah pintu.

Dwen ikut bangun, dia tidak mahu Hayati pergi begitu sahaja.

“Yati, maafkan saya. Jangan pergi dulu. Saya boleh terangkan semuanya,” pujuk Dwen.

“Ridhuan, maafkan saya. Saya datang sebagai kawan. Saya tak berminat untuk berebut cinta awak dengan mereka. Saya masih ada harga diri. Awak buatlah pilihan awak. Mereka tu, semuanya bagus-bagus. Anak orang kaya-kaya dan setaraf dengan awak. Selamat tinggal,” kata Hayati sambil melangkah pergi. Tanpa menoleh lagi!

Dwen terpinga-pinga seketika. Namun tidak lama, dia sedar bahawa dia masih dikelilingi oleh tujuh orang gadis.

“Baiklah, sesi kita berakhir di sini. Anda semua dijemput menjamu selera dulu sementara kami mengira markah,” kata Dwen, cuba meredakan suasana.

Mereka akur. Mereka menuju ke meja buffet.

“Pak Nordin, macam mana?” tanya Dwen ketika semua gadis itu sibuk menjamu selera.

“Semuanya tak ada markah. Kita jangan buang masa lagi dengan mereka,” jawab Pak Nordin sambil matanya masih memerhati gelagat gadis-gadis itu.

“Sayangnya Cik Hayati dah tarik diri,” kata Syerif, kesal. Kata-kata Syerif itu membuatkan Dwen mengeluh. Ada bayangan kecewa di sebalik wajahnya.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.