Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 34

Masuk hari keempat, Dwen rasa dia perlu bergerak dari situ. Dia rasa seperti sedang melakukan kerja bodoh dan membuang masa. Dia mencari calon isteri di kawasan peranginan itu? Ada ramai gadis yang ditemuinya. Namun entah kenapa tidak ada yang menarik dan melekat perhatiannya.

Dia rasa ingin menyelusuri seluruh Semenanjung dari utara hingga ke selatan. Dia rasa ingin memasuki semua kampung dan mencari seorang gadis yang baik sebagai isterinya. Namun, tidak mudah untuk berbuat begitu. Sekurang-kurangnya mesti ada orang yang dia kenal dan memperkenalkan seorang gadis untuk dia memilih.

Fikirannya kusut seketika. Dia rasa semakin bimbang.

Telefon berdering. Panggilan dari Pak Nordin. Hati Dwen riang seketika.

“Pak Nordin, apa khabar?”

“Alhamdulillah. Dwen, dah dapat gambar tu?”

“Belum lagi.”

“Saya dah berikan pada Nureen semalam. Ada satu kejutan. Nampaknya kerja Dwen semakin mudah. Saya doakan yang terbaik untuk Dwen.”

“Kejutan apa, Pak Nordin?” Dwen teruja.

“Dwen call Nureen. Nanti Dwen akan tahu. Okey, saya nak pergi kerja dulu ya,” kata Pak Nordin dengan ketawa perlahan.

Dwen termenung seketika. Dia terfikir-fikir apa kejutan yang dikatakan oleh Pak Nordin itu. Ketika itu bunyi isyarat sms berbunyi.

Dia membaca: Encik Dwen, saya dah e-mailkan gambar itu. Jangan terkejut!

Hati Dwen semakin teruja. Dengan cepat dia mencapai laptop. Apakah teka-teki yang sedang dimainkan oleh Pak Nordin dan Nureen?

Berulang-kali dia mencuba. Tetapi kotak e-mailnya tidak dapat dibuka.

“Ish! Apa masalah ni?”

Akhirnya dia menutup laptop dan mendail nombor Nureen.

“Apa yang awak e-mail? Saya tak dapat nak buka,” kata Dwen, tidak sabar.

“Alamak, encik belum tengok lagi? Saya ingatkan encik dah tengok dan diamkan diri kerana terkejut,” balas Nureen pula.

“Apa dia?”

“Saya tak nak cakap dulu. Lebih baik encik balik. Hentikan pencarian encik yang tak berhaluan tu. Tak payahlah jadi Tun Nila dalam Musang Berjanggut tu.”

Dwen semakin gelisah. Pak Nordin dan Nureen benar-benar sedang mengkucar-kacirkan fikirannya yang memang sudah bercelaru.

“Nureen, tolonglah. Beritahu saya apa yang berlaku. Apa kena mengena semua ni dengan pencarian saya. Kenapa awak suruh saya balik?”

Nureen tidak menjawap. Dia hanya ketawa.

“Apa ni? Apa yang sedang awak rancang ni?” Dwen meninggikan suara.

“Kami tak rancang apa-apa. Cuma rancangan encik tu yang mula menampakkan hasil,” jawab Nureen.

“Berterus-teranglah. Jangan buat saya macam ni.”

“Encik buka e-mail tu atau encik balik dengan segera,” kata Nureen lagi.

Dwen tidak mampu bertahan lagi. Selepas mematikan telefon, dia segera berkemas. Dia mesti segera balik.

“Encik Dwen dah nak check-out? Kan masih ada dua hari?” tanya gadis penyambut tamu di kaunter.

“Tak apalah. Saya ada hal dan kena balik KL dengan segera,” jawab Dwen sambil menyerahkan kunci bilik.

“Encik Dwen? Dah nak balik?” Tiba-tiba Chef Roszita keluar dari dapur membawa masakan yang masih berasap.

Dwen angguk.

“Oh, kalau macam tu Encik Dwen tunggu sekejap ya. Masih ada janji, yang belum saya tunaikan.” Chef Roszita segera meletakkan makanan yang dibawanya ke atas meja. Dia kemudian berjalan masuk.

“Ini dia yang Encik Dwen minta tempoh hari. Simpanlah. Mana tahu satu hari saya sesat ke rumah encik dan encik masak gulai siput dengan daun kaduk untuk saya,” hulur Chef Roszita dengan ketawa perlahan.

“Terima kasih chef. Saya tak akan lupa jasa ini. Kalau saya masak dan tak menjadi, saya akan call chef. Boleh?” gurau Dwen.

“Apa salahnya. Saya sedia mengadakan kelas memasak melalui telefon,” jawab Chef Roszita, semakin galak ketawa.

Dwen segera meninggalkan Cendana Resort. Dia perlu segera sampai ke rumahnya.

**

Ketika dia sampai di rumah, tidak ada sesiapa. Hanya sekeping nota diletakkan di atas meja.

‘Encik, saya tak dapat datang kerja selama beberapa hari ini kerana saya perlu pulang ke Medan. Ibu saya sakit tenat. Saya akan pulang ke sini kalau keadaan ibu saya kembali pulih. Itupun kalau encik masih perlukan khidmat saya. Saya sudah siapkan lauk untuk encik untuk seminggu. Semuanya ada dalam peti sejuk. Encik cuma perlu panaskan saja.

Mohon maaf kalau saya ada buat salah.

Daripada: Ratna Kesuma Dewi.

Dwen berkerut. Perasaannya mula cuak.

‘Huh, baru je kerja dah cuti. Nasib baik aku balik. Kalau aku tak balik, tentu aku tak tahu. Entah betul entah tidak emaknya sakit. Entah-entah dia yang nak kahwin.’ Rungut Dwen dalam hati.

Dia menuju ke arah peti sejuk dan cuba memeriksa, apakah betul apa yang ditulis oleh gadis itu.

Ketika peti sejuk bahagian beku dibuka, matanya terpaku melihat susunan lauk pauk memenuhi ruang itu. Pada setiap bekas siap ditulis namanya. Sambal petai dengan udang. Sambal sotong. Ayam masak merah. Ayam masak kicap. Rendang daging serta beberapa bekas lagi.

Tiba-tiba, mata Dwen terpaku kepada satu bekas yang agak besar diletakan berasingan di bahagian atas.

Gulai siput daun kaduk!

Bekas itu segera ditarik keluar. Dia membukanya. Aroma bau daun kaduk menyerbu hidung. Walaupun sudah beku, aromanya tetap ada. Kemudian dia menyimpan semula bekas itu dengan senyum yang menguntum. Hatinya sangat senang.

“Hmmm... pandai budak ni masak. Dia masak ke dia beli ni?”

Kemudian Dwen meninjua-ninjau pula ke seluruh rumah. Bersih dan berseri. Di atas meja siap dengan gubahan bunga. Langsir juga sudah ditukar dengan warna yang lebih ceria dan berbunga-bunga.

“Mana dia dapat langsir ni? Cantik pulak!”

Dwen masuk ke bilik. Matanya terpaku seketika. Warna langsir dan warna cadar, biru muda. Itu warna kegemarannya. Gubahan bunga terletak cantik di atas meja solek. Di sebelah kanan dan kiri katil, buku-buku bacaannya tersusun kemas. Di atas katil, diletakkan sejambak bunga sebagai penyerinya.

“Huh! Macam bilik pengantinlah pulak budak ni kemas!”

Pendek kata, Dwen memang sangat berpuas hati dengan hasil kerja gadis yang bernama Ratna Kesuma Dewi itu.

“Dah kita suka, dia pula buat hal. Huh! Lantaklah. Kalau nak datang, datanglah. Kalau tak datang, kenalah cari yang lain,” kata Dwen, bercakap sendiri. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Kemudian dia tersenyum kerana sejak tadi dia asyik bercakap sendiri.

Dia teringat akan kejutan dan teka-teki yang dibuat oleh Pak Nordin dan Nureen. Serta merta dia bergegas ke bilik bacaan, mencuba sekali lagi untuk membuka e-mail yang dikatakan oleh Nureen.

Telefon berdering. Nureen di talian.

“Encik, dah tengok?” Suara Nureen gemersik segar.

“Saya baru sampai. Budak yang awak bawa untuk jadi pembantu rumah saya tu dah balik kampung,” kata Dwen, mengadu.

“Hah? Bila? Dia tak cakap pun?” Nureen terkejut. Hilainya yang tadi ceria terhenti.

“Mana saya tahu. Saya balik, tengok dia dah tak ada. Hanya nota yang ditinggalkan.”

“Apa yang dia tulis?”

“Dia kata, dia terpaksa balik kampung kerana ibunya sakit tenat. Entah betul entah tidak,” jawab Dwen sambil tangannya masih menekan keyboard.

“Biar saya tanya Pak Nordin,” balas Nureen pula.

“Apa kena mengena dengan Pak Nordin. Dia tak kenal pun budak tu?” tanya Dwen. Namun ketika itu, talian sudah terputus. Yang kedengaran hanya bunyi ‘tut’ yang panjang.

“Huh! Kau pun sama dengan budak tu Nureen. Suka-suka hilang macam tu je,” rungut Dwen. Telefon bimbitnya diletakkan. E-mail sudah dibuka. Fail yang dikirimkan oleh Nureen pula dibuka. Matanya terpaku pada sekeping gambar yang disertakan. Terasa denyut nadinya terhenti seketika. Sungguh terkejut. Sungguh tidak menyangka.

“Ratna Kesuma Dewi?”


Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.