Home Novel Komedi/Romantik Komedi ABANG CIK. COM.MY
ABANG CIK. COM.MY
Fida Rohani
17/6/2015 03:26:44
50,055
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 32

Sejak seminggu, wajah Najihah muram tidak berseri. Dia seperti orang hilang arah. Termenung dan mengeluh. Berdiam diri dan tidak mesra. Fikirannya benar-benar terganggu. Dia cuba melupakan semuanya. Namun, kata-kata Puan Rohana sangat menyakitkan hatinya.

Kalau dia ada kuasa ghaib, hendak benar dia mencekik wanita itu. Kalau dia hilang akal, hendak pula dia bomohkan wanita itu hingga jadi sasau!

“Astaghfirullahhalazim...” Dia mengucap panjang, menghalau syaitan yang cuba menghasut.

Jojo pula pulang ke Kuala Lumpur atas urusan peribadi katanya. Najihah mampu meramal. Mungkin Jojo akan berdepan dengan kehendak keluarganya. Puan Rohana akan mencari gadis terbaik untuk Jojo. Biarlah. Taraf dan darjat mereka tidak sama.

“Awak jaga restoren kita dengan baik. Saya ada hal seminggu di KL. Kalau semuanya dah selesai, saya akan cepat balik ke sini.” Itu yang diberitahu oleh Jojo kepada Fitri dan Nikko.

“Bos ambil cuti kenapa?” tanya Nikko kepada Najihah.

“Mana aku tahu. Kau ingat aku ni PA dia ke?”

“Eh, kau kan rapat dengan dia. Takkan pak we tak cakap dengan mak we ke mana dia nak pergi?” tanya Nikko dengan ketawa. Dengan cepat, Najihah mencubit bahu Nikko hingga suara mengaduh Nikko memenuhi restoren itu.

“Wah, bos tak ada kau orang seronok bersantai-santai ya!” Muncul Fitri menyergah dari belakang.

“Apa yang seronok sangat ni?” tanya Fitri, ingin berkongsi cerita.

“Ni ha, ada mak we yang kena tinggal dengan pak we. Tengok wajah dia, muram dan hilang cahaya.”

Najihah tunduk. Kali ini dia tidak berniat untuk membalas kata-kata Nikko.

“Boleh aku tanya kau sikit, Jihah?” tanya Fitri lagi.

Najihah mengangguk. Namun matanya masih merenung lantai.

“Aku tengok, sejak seminggu ni kau tak ceria. Kenapa? Kau ada masalah dengan bos?” Kalau masalah kerja, bolehlah aku bantu. Tapi kalau masalah hati, tak pandailah pula aku.”

Najihah tetap membatu.

“Fit, dia mana nak kongsi cerita dengan kita lagi. Sejak dia baik dengan bos, dia dah tak perlukan kita lagi.” Suara Nikko tiba-tiba berubah nada.

“Apa kau cakap ni? Aku tak pernah anggap kau berdua macam tu. Kau tahu aku tak ada kawan yang lain selain kau berdua, kan?” Najihah melenting.

“Habis, kau sekarang semakin diam dan tak banyak bercakap dengan kami. Aku rasa ada perkara yang sedang kau fikir, tapi kau rahsiakan dari kami,” balas Nikko pula.

“Benar Jihah. Kalau kau anggap kami ni sahabat kau, apa salahnya kau ceritakan apa yang sedang mengganggu kau. Mana tahu kami dapat tolong.”

“Terima kasih atas perhatian kau berdua pada aku. Tapi, aku rasa kali ini aku tak dapat nak kongsi masalah ini dengan kau berdua. Ini masalah yang sangat peribadi. Maafkan aku,” kata Najihah sambil merenung wajah Fitri bersilih ganti dengan Nikko.

“Kalau macam tu, tak apalah. Kami tak akan paksa kau. Tapi kau kena tahu satu perkara bahawa di saat kau susah dan sedih, carilah kami.” Nikko bersungguh.

“Ya, aku tahu. Kau berdua memang sahabat yang baik. Aku rasa selamat setiap kali berada di sisi kau berdua.”

“Nasib baik kan? Kalau kami jenis jantan buaya, dah lama kami ngap kau!” gurau Nikko cuba meredakan suasana.

Najihah mula tersenyum.

“Aku suka tengok kau senyum macam ni. Silap-silap aku boleh jatuh cinta,” kata Nikko lagi.

Najihah pura-pura mengilai. Nikko menoleh ke arah Fitri. Wajah Fitri yang sedia kusam diamati lama. Lalu Nikko segera bangun. Dia sengaja meninggalkan kedua-duanya di situ. Dia sengaja memberi peluang Fitri meluahkan rasa kepada Najihah sementara Jojo tiada di situ.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.