Semuanya sudah diatur
dengan baik. Nureen menggunakan semua kepakaran dan pengalamannya dalam
mengatur sebuah majlis. Walaupun majlis yang diatur kali ini amat lain dari
biasa, namun ia tetap akan menjadi santai dan tetap seronok.
“Dah ada yang berikan
jawapan untuk undangan awak tu?” tanya Dwen ketika Nureen masuk dengan fail di
tangannya.
“Daripada lima belas
orang calon itu, hanya sepuluh orang yang akan datang. Yang lain, memberi
alasan ada hal lain. Daripada sepuluh tu pula, masih ada yang was-was dengan
majlis ini. Bila melihat kad undangan, mereka ketawa dan rasa jemputan ni
main-main.” Nureen memberi laporan.
“Tak apa. Awak berikan
saya nama yang cuak tu. Nanti saya akan call mereka sendiri,” kata Dwen.
“Encik...” Nureen
teragak-agak.
“Hah, kenapa pulak ni?”
“Encik rasa betul ke
apa yang kita buat ni?”
“Apa yang tak betulnya.
Hotel awak dah tempah. Peserta pun awak dah jemput. Juri juga awak dah undang.
Apa masalahnya lagi?”
Nureen diam. Hujung pen
dipusing-pusing. Fikirannya memang tengah berpusing. Walaupun ia tidak ligat,
ia tetap membuatkan dia pening.
“Entahlah, saya rasa
kita seperti bertindak macam budak-budak.”
“Maksud awak?”
“Yalah... macam Encik
Dwen ni ramai sangat peminat hingga susah nak pilih bakal isteri. Macam encik
ni tak ada pendirian hingga tak tahu nak buat keputusan. Encik tak rasa macam
tu?” tanya Nureen, jujur.
Dwen ketawa. Namun
ketawa itu hambar dan tidak ceria.
“Sebenarnya Nureen,
saya tahu apa yang saya cari ni tak ada
dalam pemilihan ni,” kata Dwen perlahan.
“Hah? Jadi buat apa
encik nak membazir masa, tenaga dan wang untuk
hal ni?”
“Sebab saya terdesak.
Kalau saya tak dapat calon dalam masa sebulan ni, maknanya saya kena terima
Karina tu. Adui, tak sanggup nak bayangkan hidup saya nanti...” keluh Dwen.
“Habis, encik kata
encik dah tahu semua itu tak layak.”
“Mungkin ada seorang
dua yang ada markah walaupun tak penuh. Nah yang ini saya boleh pertimbangkan. Yang
tak pandai masak, kalau dia sopan dan ada budi bahasa mungkin saya boleh
terima. Sebab saya boleh hantar dia belajar masak.”
Nureen angguk. Dia rasa
sedikit sebanyak dia dapat tangkap kehendak Dwen.
Telefon berdering. Dwen
menjeling skrin.
“Karina,” bisik Dwen
sambil mencebik.
Nureen menyengih. Mimik
muka Dwen mencuit hatinya. Dia melangkah keluar dari bilik itu. Biarlah Dwen
bercakap dengan bakal isteri pilihan mamanya itu dengan selesa
“Dwen, I dah dapat kad
jemputan dari you. Thanks. I suka sangat. Akhirnya you tahu juga taste I ya.”
Suara Karina kedengaran ceria.
“Ya, saya harap awak
sudi datang.”
“Of course I akan
datang. Tapi, majlis apa sebenarnya ni?”
“Awak dah baca pada kad
tu kan?”
“Majlis Minum Petang
Bersama Romeo? Siapa Romeo?”
“Awak datang je. Nanti
awak tahu. Ini acara santai dan seronok.”
“Maknanya, ini bukan
majli untuk kita berdua saja?”
“Saya jemput
kawan-kawan. Saja nak berkenal-kenalan.” Dwen menjawab selamba. Kepada Karina,
memang dia kena menipu dan berbohong. Kalau dia berkata benar, Karina pasti
tidak akan datang.
“Oh! I tahu. You mesti
nak kenalkan I pada kawan-kawan you. Okey, I akan datang. I akan buat you
berbangga dengan kawan-kawan you,” kata Karina, semakin bernada riang.
Dwen tersenyum sumbing.
Hingga talian dimatikan, senyumannya masih menguntum di bibir. ‘Nanti kau akan
tahu siapa kau, Karina.’ Dwen berbisik dalam hati.
Dia menekan interkom
dan memanggil Nureen semula.
“Encik Dwen nak kopi?”
tanya Nureen ketika membuka pintu.
Tidak lama, Nureen
masuk dengan menatang secawan kopi. Masih berasap dan aromanya menyegarkan
semangat Dwen.
“Karina akan datang.
Dia sangat teruja.” Dwen melaporkan sebelum Nureen bertanya.
“Apa sebab dia nak
teruja pulak?”
“Sebab dia sangka,
majlis tu untuk saya nak kenalkan dia kepada kawan-kawan dan rakan bisnes saya.
Dia akan menjerit kalau tahu hal yang sebenar,” jawab Dwen dengan senyum.
Nureen diam termenung.
Dia membayangkan ‘kekecohan’ yang akan dibuat oleh Karina nanti. Dia bimbang
kalau majlis itu akan jadi haru biru. Semua calon-calon yang dijemput itu
mulutnya memang macam berteh goreng.
“Boleh saya tanya encik
sesuatu?”
Dwen angguk,
membenarkan Nureen bertanya.
“Ada beberapa orang
dalam senarai tu yang tak pernah saya kenal dan dengar nama dia disebut sebelum
ini. Siapa mereka tu?”
“Semuanya bekas kawan
saya.”
“Bekas? Maknanya
sekarang encik tak berkawan lagi dengan mereka?”
“Mereka jauhkan diri
dari saya. Biasalah, mereka salah sangka terhadap layanan saya. Mereka ingat
saya jatuh cinta pada mereka. Bila saya berterus terang, mereka hilangkan
diri.”
“Kenapa mereka
dijemput? Tidakkah nampak macam encik nak berikan harapan baru kepada mereka?”
“Saya memang nak
berikan peluang kedua kepada mereka. Kalau mereka lulus dalam ujian yang akan
diberikan nanti, saya akan pilih mereka untuk calon isteri saya.”
Nureen angguk. Dahsyat juga bosnya itu.
“Esok kita meeting.
Jemput semua juri,” kata Dwen, menyengih. Dia cuba untuk bersikap serius,
tetapi dia juga seperti Nureen, rasa agenda yang hendak dibuat itu jarang
dibuat orang.
“Pak Nordin dan Syerif?
Ada yang lain lagi?” tanya Nureen pula.
“Awak bertiga tu dah
cukup untuk duduk di meja juri.”
“Kenapa Encik Dwen tak
duduk sama?”
“Saya nak jadi
pemerhati. Setiap kali mereka jawab soalan, saya nak tengok air muka mereka.
Samada mereka ikhlas atau plastik!”
Nureen tersenyum lagi.
Dia semakin rasa tidak sabar dan berdebar. Layakkah dia menjadi juri. Yang
hendak dihakimi pula ialah anak-anak datuk dan tan sri serta kalangan elit.
Sedangkan dia?
“Saya nak awak
berpakaian glamour dari biasa pada hari tersebut,” kata Dwen setelah meneliti wajah
Nureen yang cerah ceria.
“Kenapa pulak?”
“Sebagai juri awak kena
lebih dari mereka. Kalau tak, mereka akan pertikaikan kebolehan awak.”
“Alamak, ini yang payah
ni. Saya ni bukan pandai nak glamour. Apa lagi nak bermake-up tebal macam
mereka tu. Nak berkasut tinggi tu, lagi saya menggeletar,” kata Nureen, jujur. Dia
meneliti pakaiannya. Hanya berblaus dan berseluar panjang dengan sehelai tudung
untuk menutup aurat. Bibirnya hanya berlipstik nipis. Tidak ada bulu mata palsu.
“Dah elok dah cara awak
ni. Cuma saya nak ia lebih sikit dari ni. Kalau boleh, awak pakai tudung yang
lebih mengerlip. Pakai barang kemas sampai ke siku macam Mami Jarum,” balas
Dwen dengan ketawa berdekah.
Nureen rasa canggung
dengan idea bosnya itu. Dia ligat berfikir mengenai fesyen yang akan digayakan.
Aduh! Berat juga kes ini.
“Awak pakailah apapun.
Saya sebenarnya tak kisah. Cuma saya tak nak awak kalah dengan mereka. Sebab awak
tu juri.”
“Yalah, nanti saya
fikirkan.”
“Kalau perlu, awak kena
lantik perunding imej,” sambung Dwen. Ketawanya usai namun senyumnya bersambungan.
Nureen rasa kalut. Dia melangkah
keluar dengan langkah bingung. Apakah dia mampu menandingi Narita, Melisa,
Qalesya, Karina, Dyana dan semua gadis-gadis yang menjadi calon dalam pemilihan
itu?