Dwen
menguap beberapa kali. Filem yang
sedang ditonton terasa sangat membosankan. Kisah warga planet yang memberontak
kerana tidak berpuas hati dengan ketua mereka, menjemukan.
“Huh,
mengarut je cerita ni! ” rengusnya. Dia menekan remote control dan
menutup TV.
Dia
mengambil telefon dan mendail nombor Syerif, teman baiknya. Memang mereka
sangat baik. Semua perkara dikongsi bersama. Dari sekolah tadika hingga ke
kolej, mereka kekal berkawan. Rumah Syerif juga tidak jauh dari situ. Dengan
semua ahli keluarga Syerif pun dia rapat, terutamanya Mak Cik Ruslina, emak
Danish.
“Syerif, jom
lepak kat kedai mamak. Aku bosanlah,” katanya selepas Syerif menjawab
panggilannya itu.
“Mak aku
tinggal sorang weh. Abah dan adik-adik aku balik kampung. Abah aku dah pesan,
jangan tinggalkan mak aku sorang-sorang. Nahas aku kalau engkar perintah bekas
sarjan Askar Melayu tu!” jawab Syerif dengan ketawa terbahak.
“Alah…
sekejap je. Kau ni memang betul anak mak.Asyik
nak berkepit dengan mak je. Kau tak jemu ke?”
Syerif ketawa
berdekah.
“Jomlah.
Kalau kau takut mak kau sepi, kau ajak mak kau sekali!” ajak Dwen
bersungguh-sungguh.
“Apa, kau
ingat mak aku tu minah rock macam minah-minah yang pernah jadi girlfriend kau?
Mak aku tu kaki masjid tau! Duduk melepak kat kedai mamak ni bukan cara dia.” Syerif
cuba mempertahankan emaknya.
“Sekali
sekala kau suruh mak kau tukar selera dan tukar tempat. Apa salahnya sekali
sekala dia tinggalkan sejadah dan duduk di kerusi kedai mamak tu,” kata Dwen
dengan ketawa juga.Namun tidak lama,
ketawanya terhenti. Dia terdiam, lama. Tiba-tiba hatinya rasa bersalah. Gurauan
apa yang sedang dicakapkan kepada sahabat karibnya itu.
“Syerif,
aku minta maaf,” kata Dwen.
“Untuk
apa?”
“Kerana
mulut aku yang jahat ni. Aku lupa yang mak kau tu mak aku juga. Aku lupa mak
kau tak patut dibawa ke kedai mamak. Sorry bro!” jawab Dwen, bernada
kesal.
“Sejak
bila kau jadi adik-beradik aku? Sejak
bila mak aku beranakkan kau? Oi, Mamat ni berangan nak jadi keluarga aku
pulak!” Syerif menjerit.
“Perlahanlah
sikit, Rif. Sakit telinga aku ni.”
“Telinga
kau bukan telinga aku!”Suara Syerif
semakin bergema, kuat.Rasa macam nak
pecah telinga Dwen. Kurang asam punya kawan.
“Tak
apalah kalau kau tak nak keluar. Aku keluar sorang.”
“Dwen,
kenapa malam ni kau nak jadi malaikat pulak. Mana pergi buah hati kau yang
keliling pinggang tu? Pertama kali aku dengar kau bosan dengan malam. Selalunya
kau raja malam,” perli Syerif.
“Kau
tak nak ikut, tak apa. Aku pergi dulu,” kata Dwen. Talian dimatikan. Dia tidak
mahu membiarkan telinganya mendengar suara Syerif yang sinis itu. Dicapainya kunci
kereta. Tidak lama deruan enjin kereta kedengaran membelah malam.
Dia
memparkir kereta betul-betul di hadapan Restoren Ayub. Suasana di restoren itu riuh
rendah sebab pada layar besar, pasukan Mancester
United sedang bergasak berebut sebiji bola dengan pasukan Chelsea.
“Encik,
nak minum apa?” Seorang pelayan datang.Itu
yang Dwen suka datang ke restoren mamak. Kita belum duduk mereka sudah tunggu. Mungkin
itu salah satu sebab di mana-mana
restoren mamak, sentiasa penuh dengan pelanggan. Cepat dan ramah.
“Teh tarik
satu.”
“Makan?”
Dwen
termenung dan berfikir seketika. Perutnya memang lapar.
“Roti
banjir, dua keping,” jawab Dwen memberi isyarat jari. Pelayan itu berlalu. Dwen
mengeluarkan sebatang rokok dari porch di pinggangnya. Dengan rasa
segar, dia menyedut asap rokok itu.
Perlawanan
bola bertambah sengit. Suasana makin riuh dengan sorakan penyokong kedua belah
pihak. Dia ikut menonton. Dari awal dia memang penyokong Chelsea. Cemas juga
bila bola asyik berada di pintu gol pasukan kesukaannya itu.
Roti banjir
yang dipesan sampai. Dua keping yang dikecaikan kemudian disirami dengan kuah
yang meladung.Itu yang dikatakan
banjir. Seleranya muncul dan perutnya semakin lapar.
Sebelum
dia menyuap, telefon bimbitnya berdering.
“Helo,
sayang. Awak ada kat mana?” Suara Narita menyentuh kuping.
“Restoren
Ayub, tengok bola,” jawab Dwen sambil matanya belum lepas dari skrin. Satu
suapan roti banjir menyentuh mulutnya.
“Tak ajak
pun?” Suara Narita seperti merajuk.
“Saya ingat
awak dah tidur,” jawab Dwen, selamba.
“Sayang,
awak ni selalu macamtu. Suka ingat
sendiri. Lain kali, call saya dan tanya. Jangan nak suka-suka ikut fikiran
sendiri!” marah Narita. Suara itu didengarnya kering.
“Sorry sayang.Lain
kali kita keluar okey?Hari ni, saya
tak ada mood. Nak sendirian tengok bola. Awak rehatlah. Esok kita jumpa.”
Tut!
Talian diputuskan.
“Kurang
asam budak ni!” rungut Dwen, geram. Dia meletakkan telefon dan matanya kembali
tertumpu ke arah perlawanan. Teh tarik dihirup perlahan berselang-seli dengan
kunyahan roti banjir.
Akhirnya
dia sendawa, kekenyangan.
“Hai,
Romeo!” Seorang gadis menyapa sambil menepuk bahunya.
Dwen mendongak.
Matanya bertembung dengan lirikan manja seorang gadis yang memang sangat
dikenalinya. Melisa Syukri.
“Mel? Awak
dari mana? Tak semena-mena muncul kat sini?” Dwen agak terkejut. Dia bangun
dan mempersilakan Melisa duduk.
“I dari
rumah. Nak jumpa kawan I. Dia suruh I tunggu di sini.You pula, buat apa di sini?” Melisa berdiri dan enggan
duduk. Di wajahnya, nampak macam dia geli untuk duduk.
“Saja
lepak sambil tengok bola.”
Melisa
ketawa, manja dan sedikit mengada-ngada.
“Tak
sangka pulak you suka melepak di kedai mamak!” ujar Melisa, bersama ketawanya
yang makin jelek.
“Salahkah?
Saya tak pernah memilih tempat, asal halal.”
“Bukankah
taraf you bukan di sini?” tanya Melisa lagi.
“Siapa yang
berikan taraf itu?” Dwen berpaling dengan cepat.Mata Melisa yang kebiruan dengan bulu mata palsu yang
sejengkal itu ditatap.
“Romeo, tak
sesuailah tempat macam ni untuk orang sekacak you. You tak malu kalau
kawan-kawan kita yang lain nampak you makan kat sini. Eeee…”
Sebelum
sempat Dwen menjawab, pelayan datang untuk mengambil pesanan.
“Mel, awak
nak makan apa?”
“Ermm… I
tak selera makan di sini. Boleh kita ke tempat lain?” Melisa menjuihkan mulut.
Matanya meleret kepada pelayan yang berdiri menunggu
“Tapi, awak
kata tunggu kawan awak?”
“I boleh call
dia dan batalkan pertemuan. Senang kan? Asal hari ni, I dapat bersama you.
Romeo, jom kita pergi makan tempat lain. Tempat yang lebih privacy untuk
kita. Please…” rengek Melisa.
Dwen hanya
tersenyum. Dia tahu Melisa hanya seorang pegawai kerajaan kelas A. Tetapi
egonya melebihi anak tan sri. Makan di warong dan kedai mamak bukan selera dia.
Berpakaian dari jenama tersohor. Kalau boleh yang impot sahaja. Yang di pasar
malam usah hulur, termuntah dia.
Berkawan
pun dia memilih.Hanya anak-anak
dari golongan elit sahaja. Lagaknya macam dia dari kalangan istana.
“Apa yang you senyum-senyum ni?”
“Saya
teringat awak kata awak jarang datang kedai mamak. Tapi hari ni, kenapa kaki
awak tu sampai ke sini ya?” Dwen sengaja cuba sakitkan hati Melisa.
“Sebab
kawan I suruh tunggu di sini,” jawab Melisa dengan muka kelat. Matanya melilau
ke kiri kanan.
“Sejak saya
kenal awak sampai sekarang, awak tetap tak berubah.”
“Apa yang
tak berubah?”
“Selera
awak tu, tinggi sangat. Lagak awak tu melangit. Hei, kata orang tua-tua : kalau
mendongak bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Janganlah awak nak
pandang rendah pada orang-orang yang makan di kedai mamak ni. Entah-entah
mereka ni lebih hebat dari awak. Entah-entah ada anak raja di sini!” perli Dwen
dengan ketawa yang sengaja dibuat-buat.
“I bukan
nak menyombong, tapi memang I tak tertelan makan di tempat-tempat macam ni.”
“Bersyukurlah,
awak masih diberi selera untuk makan. Kalau ALLAH tarik selera awak, sedap
macam mana pun makanan awak tetap tak boleh makan. Dah nanti macam cicak berak
kapur!”
Melisa
menarik muka masam. Dia melangkah pergi tanpa ucapan selamat tinggal. Datang
tak bersalam pergi tak melambai. Itulah Melisa Syukri yang ego!