Selesai menghabiskan
makan malam, Dwen duduk di ruang tamu sambil menonton TV. Masak asam rebus ikan
patin dengan daun kesom, sangat menyelerakan. Dia makan bertambah!
‘Esok, saya akan masak
lemak pucuk ubi dengan sambal belacan. Encik nak makan apa-apa lagi?’
Itu nota yang ditulis
oleh Andika dan diletakkan atas meja macam biasa. Dwen tidak membalas nota itu.
Dia rasa dia akan bercakap sendiri dengan Andika pagi esok.
Sedang dia melayan
mata, telefon bimbitnya berdering nyaring. Panggilan dari Datin Rodziah!
“Assalamualaikum mama,”
ucap Dwen, dengan hormat.
“Mama nak Dwen masuk
ofis esok. Cuti Dwen dibatalkan!” Suara arahan Datin Rodziah sangat keras dan
tegas.
“Tapi kenapa, mama?”
“Banyak projek baru
telah lulus. Dwen kena uruskannya. Mama tak nak dengar alasan Dwen lagi.”
“Dwen kan dah janji,
akan ikut cakap mama kalau Dwen gagal bawa balik isteri idaman Dwen.”
“Dah tiga bulan. Dwen
belum jumpa lagi kan? Jadi mama anggap mama dah kalah.”
“Mama, mana boleh macam
tu. Walau sehari pun lagi, janji tetap dikira janji. Masih ada tiga bulan lagi.
Masih lama lagi. Masih ada masa untuk Dwen berusaha,” bantah Dwen dengan tegas
juga.
“Dwen, Karina dah
setuju dan dah tandatangan MOU kerjasama dengan syarikat kita dalam beberapa
projek. Mama tak nak ia gagal. Dwen kena batalkan semua hajat Dwen dan balik
bertugas!”
Dwen buntu. Dia diam
seketika. Suara tegas Datin Rodziah menggugat fikirannya.
“Mama, tolonglah.
Biarkan Dwen selesai hajat Dwen dulu,” rayu Dwen.
“Baiklah. Mama beri
masa sebulan saja lagi. Kalau sebulan ni, Dwen tak bawa calon isteri, maknanya
bulan depan Dwen kena kahwin dengan Karina dan uruskan semua projek itu.
Titik.”
Datin Rodziah mematikan
talian. Dwen masih termangu-mangu, bingung dengan keputusan masa yang amat
mendadak itu.
‘Aku kena nekad kali
ni. Aku kena hadapi apa jua kemungkinan yang keluar dari mulut Andika. Itu
lebih baik dari aku terpaksa ikut kehendak mama,’ bisik hati Dwen, penuh
semangat. Dia tidur dengan azam.
Pagi itu, dia bersedia lebih awal. Duduk di
beranda merenung ke arah jalan dan
menanti Pak Nordin menghantar Andika ke rumahnya. Dia rasa benar-benar
bersedia.
Sebaik sahaja dia
nampak kelibat kereta yang dipandu oleh Pak Nordin memasuki kawasan apartment
itu, amewah Datuk Haris
“Pak Nordin, tolong
jangan pergi dulu. Naik sekejap. Saya ada hal nak bincang ni.” Dwen menelefon
Pak Nordin.
Pak Nordin akur. Dia
meletakkan kereta di tempat parkir. Kemudian dia beriringan menuju lif bersama Andika.
“Ada apa Dwen?” tanya
Pak Nordin selepas duduk dengan selesa di ruang tamu. Andika segera ke dapur,
siapkan minuman.
“Mama saya. Dia nak
saya balik ke ofis. Dia pendekkan masa. Saya hanya ada sebulan saja untuk
membawa calon isteri mengadapnya. Macam mana ni Pak Nordin?” tanya Dwen selepas
yakin, Andika sudah tidak boleh mendengar lagi perbualan mereka.
Pak Nordin termenung
seketika. Dia juga tidak menjangka Datin Rodziah sanggup melanggar janji
begitu.
“Apa nak buat ni Pak
Nordin?” Dwen separuh merengek.
Sebelum sempat Pak
Nordin menjawab, Andika keluar dengan sedulang hidangan. Roti bakar dan
horlicks masih berasap panas.
Dwen menjeling ke arah
Andika. Hatinya menjadi semakin berdebar. Wajah Andika yang ayu. Tidak ada
calitan alat solek. Hanya bedak tetapi menawan.
“Andika, duduk sekejap.
Ada hal Pokdeng nak cakap,” kata Pak Nordin sebelum Andika berlalu.
Andika akur. Tanpa
menoleh kepada Dwen, dia duduk dengan tertib di hadapan Pak Nordin.
“Dwen, apa lagi?” Pak
Nordin berpaling kepada Dwen.
Dwen tunduk gugup. Dia
rasa seram sejuk dan menggeletar.
“Ada apa Pokdeng?”
tanya Andika pula.
“Dwen ada hal nak
cakap. Kita dengar apa dia nak ucap,” jawab Pak Nordin, tersenyum-senyum.
Andika menanti. Pak
Nordin menunggu. Namun butir-butir bicara tidak juga terlontar dari bibir Dwen.
“Dwen, boleh Pak Nordin
tolong?” Akhirnya Pak Nordin membuka mulut.
Dwen angguk. Namun dia
tetap tunduk dan tidak berani angkat muka.
“Mek Yie... Ops! Minta
maaf. Andika...” kata Pak Nordin, juga sedikit kelam kabut.
Andika kelihatan
tenang.
“Andika, Dwen berkenan
nak jadikan Andika isterinya. Adakah Andika setuju?” Pak Nordin berkata lancar.
Andika angkat muka. Dia
sedikit terkejut. Kemudian dia menoleh kepada Dwen. Namun, matanya tidak mampu
mencari jawapan kerana Dwen masih tunduk gugup.
“Andika, macam mana?”
tanya Pak Nordin lagi.
Andika membetulkan
duduknya.
“Betulkah apa yang saya
dengar ni?” tanya Andika kepada Pak Nordin.
“Eh, betullah. Tak kan
benda ni nak buat main-main pulak.”
Andika tersenyum.
“Dia tak cakap pun?
Jangan-jangan Pak Nordin paksa dia tak?” Andika menjeling kepada Dwen. Dengan
serta merta, Dwen menoleh kepada Andika.
Mata mereka bertemu.
“Memang Pak Nordin tak
paksa saya. Saya memang nak kahwin dengan awak. Sudikah awak jadi isteri saya,
Andika?” tanya Dwen, mula bersemangat.
Kali ini giliran Andika
pula tunduk gugup.
“Awak dah ada pilihan
hati?”
Geleng.
“Awak tolak lamaran
saya?”
Juga geleng.
“Kalau macam tu, awak
terima lamaran saya?” Mata Dwen mula bercahaya.
Diam. Andika matikan
diri. Tidak angguk dan tidak juga menggeleng. Hati Dwen kembali risau. Dia
berpaling kepada Pak Nordin.
“Andika, Pokdeng setuju
kalau Andika jadi isteri Dwen. Dah lama dia cari calon isteri. Sekarang baru
dia jumpa,” kata Pak Nordin memberi sokongan ikhlas.
“Kenapa saya? Bukankah
ramai lagi gadis cantik dan kaya di KL ni? Saya ni anak yatim. Tak ada harta.
Tak ada pelajaran. Dan juga tak ada keluarga. Kita tak setaraf,” kata Andika.
Perlahan dan merintih.
Tiba-tiba hati Andika
disentuh sayu.
“Andika, jangan cakap
macam tu. Manusia itu sama di sisi ALLAH. Yang membezakan bukan harta dan rupa,
tapi iman.” Dwen beranikan diri.
“Encik pilih saya
kerana apa?” Sekali lagi Andika menduga.
“S...sebab saya sukakan
Andika,” jawab Dwen dengan gagap.
“Suka saya? Tapi kita
tak pernah kenal pun?”
“Kita cuma tak pernah
berbual mesra. Tapi kita dah saling mengenali. Semasa di Medan, kita mula
berkenalan. Sikit sebanyak kita dah kenal hati diri masing-masing. Saya rasa
selesa dengan awak. Saya rasa awaklah gadis yang saya cari.”
Andika senyum sinis.
“Jangan senyum Andika.
Saya tak bohong!”
“Saya pun tak kata
encik bohong. Cuma saya heran, cepatnya orang lelaki buat keputusan. Belum
kenal saya betul-betul, encik dah ajak kahwin. Saya bimbang bila dah kenal,
mudah pula encik buang saya,” balas Andika.
“Janganlah cakap macam
tu. Jangan ingat saya ni tak ada pegangan agama hingga jadi manusia munafik
yang lupa janji.” Wajah Dwen berubah.
“Andika, Dwen ikhlas
nak jadikan kamu isterinya. Pokdeng tahu kamu dah tak ada tempat menumpang
lagi. Pokdeng kenal kamu sejak kecil. Pokdeng kenal Dwen juga. Kamu berdua
memang dah secocok. Perjalanan takdir untuk kamu berdua memang yang terbaik.
Jangan tolak jodoh ini Andika. Fikirkan masa depan kamu. Kamu perlukan
sesaorang dalam hidup kamu. Dwenlah orangnya,” kata Pak Nordin dengan
bersungguh-sungguh.
Lama Andika berfikir.
Akhirnya, dengan perlahan dia angguk.
Anggukan itu membuatkan
wajah Dwen berubah ceria. Dia rasa sangat gembira. Rasa mahu diangkat tubuh
Andika dan ditimang-timangnya.
“Alhamdulillah,
akhirnya awak terima juga lamaran saya. Saya janji akan jaga awak dengan baik.
Pak Nordin, kita uruskan yang wajib dulu. Majlis tu kita fikir kemudian,” kata
Dwen.