Datin Rodziah amat
kesal dengan sikap Dwen yang langsung tidak mahu mendengar arahannya. Dia malu
pada Karina kerana janjinya untuk membawa Dwen balik bertugas tidak mampu
dilaksanakan.
“Sabarlah Kay. Untie
dah beri dia masa sebulan lagi. Dia dah janji akan balik ke ofis bulan depan,”
kata Datin Rodziah.
“Tapi, Kay nak dia
balik segera. Kalau boleh esok. Lagi lama dia tak ada, lagi celaru keadaan di
ofis tu,” balas Karina pula.
“Celaru? Kenapa? Untie
tak dengar apa-apa pun?” Datin Rodziah rasa keliru. Apa yang berlaku di
belakangnya? Sungguhpun dia jarang masuk ofis, tidak bermakna dia lepas tangan terhadap
tanggungjawabnya. Mirna, pembantu peribadinya pun tidak pernah beritahu apa-apa
yang buruk berlaku di Menara Melati Holdings.
“Ramai staf yang tak
nak ikut arahan Kay. Nampak macam mereka terlalu taat pada Dwen. Dwen nampaknya
terlalu lembut dengan staf. Kay dengar, dia boleh duduk makan semeja dengan
orang bawahannya termasuk dengan Pak Nordin, pemandu syarikat tu!” jawab
Karina, dengan rasa kurang senang.
Datin Rodziah terdiam.
Hal itu memang dia maklum dan sedar. Namun dia tidak pernah jadikan hal itu
satu isu kerana dia tidak rasa itu menyalahi etika kerja.
“Dwen kena ubah cara
dia bergaul kalau dia nak orang bawahan hormat dia.”
Datin Rodziah hanya
tersenyum. Dia suka dengan pendapat Karina.
“Untie tahu dia bergaul
dengan Minah rempit?”
“Ya ke? Mana Kay tahu?”
“Hari tu ada seorang
gadis datang ke ofis. Dia nak ambil kunci motor yang ada pada Dwen. Gadis itu
sangat selekeh. Macam tomboy sikit.”
Wajah Datin Rodziah
berubah. Dia mula rasa tidak senang hati.
“Kenapa kunci motor dia
Dwen simpan?”
“Itu yang Kay nak tahu.
Mungkin dia ada hubungan dengan gadis itu,” jawab Karina, sengaja menanam
curiga.
“Tak mungkin. Dwen bukan
macam tu,” tingkah Datin Rodziah. Namun, wajahnya tetap dihurung bimbang.
“Untie, sebab tu Kay
tak nak dia bercuti lebih lama. Kita tak tahu di mana dia tinggal dan apa yang
dia buat selama bercuti ni.”
“Untie akan tanya Pak
Nordin.”
“Kenapa dengan Pak
Nordin? Dia kan hanya driver. Mana dia nak tahu semuanya?”
“Itu yang Kay tak tahu.
Dwen sangat rapat dengan Pak Nordin. Hari tu pun dia iktu Pak Nordin bercuti di
kampung. Pak Nordin banyak tahu rahsia Dwen,” jawab Datin Rodziah.
Mendengar hal itu, hati
Karina bertambah sakit.
“Kalau betul untie nak
kami kahwin, untie kena paksa Dwen balik kerja dengan segera. Kalau dia dah ada
depan mata, tahulah Kay nak buat apa.”
“Baiklah. Nanti untie
call dia. Kay sabar ya,” pujuk Datin Rodziah.
Karina memaksa sebuah
senyuman. Yang sebenarnya pujukan itu langsung tidak mengubati hatinya. Dia
tetap gelisah. Dia tetap merasa kalah! Selagi Dwen tidak datang melutut dan
merayunya, dia tetap rasa kalah. Dia tetap terbayangkan wajah Dwen yang tidak
pernah mesra dengannya.
Pen di tangan
dipusing-pusing ligat. Fikirannya juga ikut ligat. Apakah jalan terbaik untuk
mendekati Dwen dan membuatkan lelaki itu tewas di tangannya?
Dia menekan interkom,
mencari Nora. Namun beberapa kali tekan,
wajah Nora tidak juga muncul. Hatinya mendidih seperti panasnya gunung merapi.
“Ini mesti ada sesi
mengumpat lagi ni,” rungut Karina sambil bangun dan keluar dari biliknya. Dia
berhajat untuk menjerit dan memarahi Nora.
Ketika dia membuka
pintu, Nureen melintas di hadapan biliknya. Di belakang Nureen pula Pak Nordin
yang kelihatan ceria gembira. Ada apa? Mana Nora?
“Nureen! Nora mana?” laung Karina.
Nureen menoleh. Dengan
isyarat tangan, Nureen menunjukkan ke arah bilik Dwen.
Hati Karina berdebar.
Dia segera melangkah menuju ke arah bilik Dwen. Sebelum sempat dia membuka
pintu, namanya dipanggil.
“Cik Karina! Encik Dwen
pesan, dia tak nak diganggu!” Suara Nureen nyaring, separuh menjerit.
Tangan Karina melepaskan tombol pintu. Serta merta dia
gerakkan kakinya berjalan ke arah Nureen yang tercegat dengan beberapa fail di
tangannya.
“Heh, you ni siapa nak
halang I dari masuk berjumpa bakal suami I?”
“Cik Karina, saya ni PA
dia yang amanah. Baru sekejap dia berikan saya arahan supaya dia tak diganggu.
Ada hal yang dia nak bincang dengan Nora,” jawab Nureen, berani.
Wajah Karina merah
padam.
“Saya berhak jumpa
dia!”
“Saya berhak menghalang
kerana itu arahannya!”
“Nora itu PA saya.
Apa-apa hal, Dwen kena minta izin dengan saya untuk berjumpa Nora.”
“Jangan lupa, Dwen
masih Pengurus Besar di sini. Nora masih staf dia juga,” balas Nureen lagi.
Suasana menjadi semakin panas.
“Saya tak peduli dengan
arahan itu. Saya akan jumpa dia sekarang!” jerit Karina.
“Silakan! Tapi kalau
Cik Karina kena tengking dengan bos saya tu, jangan salahkan saya dan kata saya
tak ingatkan Cik Karina!” jawab Nureen dengan senyuman sinis.
Karina rasa dicabar.
Kalau dia tidak masuk ke bilik Dwen, maknanya dia sudah kalah dengan Nureen.
Dia meneruskan langkah. Dia tidak peduli apa akan berlaku. Tidak mungkin Dwen
akan marah padanya.
Tangannya segera
menolak daun pintu. Dwen dan Nora sedang rancak berbincang.
“Helo Dwen!” sapa
Karina, cuma maniskan muka. Cuba mesrakan suasana.
Dwen dan Nora berpaling
ke arah pintu. Kemudian Dwen dan Nora saling berpandangan.
“Awak buat apa kat sini,
Karina?” tanya Dwen sambil mengetap bibir. Apa yang didengar dari Nureen, Nora
dan Pak Nordin sudah cukup untuk buat dia marah. Perbuatan Karina melayan
dengan buruk staf di bangunan itu, cukup untuk membakar hatinya.
“I nak jumpa you,
sekejap.”
“Buat temujanji dengan
Nureen. Sekarang saya sibuk. Awak tak nampak ke ni?”
“Takkan dengan I pun
nak kena buat appointment?”
“Ya, itu arahan. Kenapa
awak tak faham arahan?” Dwen jengilkan mata.
“Apa masalah you ni?
You ambil cuti panjang. You tinggalkan ofis tanpa sebab. Kenapa?” tanya Karina,
tidak pedulikan kata-kata Dwen.
“Apa masalahnya dengan
awak pulak? Ofis ni ofis saya. Bangunan ni bangunan papa saya. Apa kena mengena
dengan awak? Suka hati sayalah saya nak ambil cuti ke, nak berhenti ke,” jawab Dwen,
semakin meninggi.
Wajah Karina merah
seperti udang kena bakar. Apa lagi ketika matanya terpandang wajah Nora yang
tersenyum-senyum.
“Dwen, kenapa cakap
macam tu? You tahu tak, kita berdua terlibat dengan satu projek usahasama. Kita
kena bekerjasama, bukan bermusuh macam ni,” kata Karina, cuba bertenang dan
memujuk hatinya agar bersabar.
“Yang nak sangat
kerjasama tu mama saya, bukan saya.”
“Nora ni dah jadi
pembantu I. Dia tidak lagi bekerja
dengan you.”
“Itu perintah mama saya
kan? Sekarang saya dah balik dan saya nak Nora balik kerja di bawah saya. Jadi,
ada masalah ke untuk awak?”
Karina tidak tertahan
lagi. Dia meninggalkan bilik itu sambil membanting pintu. Dilepaskan semua
kesakitannya melalui dentuman yang kuat.
“Kurang ajar!” kata
Dwen.
“Bravo encik!” kata
Nora mengangkat ibu jari. Memang dia senang melihat air muka Karina yang merah
padam itu.
“Jangan sedap hati,
Nora. Kita akan berdepan dengan masalah yang lebih besar lepas ni,” kata Dwen.
“Maksud encik?”
“Awak tahu Karina tu
buah hati mama saya.”
“Tapi, encik anak dia.
Takkan datin nak buang encik kerana Karina,” kata Nora. Dia merenung wajah Dwen
yang jelas muram ketika menyebut hal itu.
“Apapun boleh jadi,
kerana duit. Manusia berubah kerana harta.”
“Saya rasa harta dan
kekayaan datuk dah cukup. Kenapa perlu nak bergabung dengan Tan Sri Halim? Saya
tak faham.”
“Awak tak akan faham
nafsu manusia. Saya sendiri tak faham apa yang papa dan mama saya cari dalam
hidup ini. Kami dah cukup kaya. Semuanya kami dah ada. Sampaikan saya dah bosan
jadi orang kaya dan cuba nak hidup dalam dunia orang miskin,” jawab Dwen,
tenang dan perlahan.
Nora menelan air liur.
Untuk pertama kali dia dengar ada orang kaya nak hidup sebagai orang miskin.
Yang biasa didengar adalah sebaliknya.
Kemudian Nora kembali
menyambung membuat laporan projek selama Dwen bercuti.