Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 17

Karina memerhatikan Dwen makan dengan hati geram. Dwen pula sengaja mencicip-cicip asam pedas yang dimakannya untuk menggamit seleranya. Hatinya panas membara. Apa lagi bila dua tiga orang pelanggan di situ asyik tertoleh-toleh ke arahnya.

Dia tahu baju yang dipakai itu tidak kena dengan tempat. Baju yang gemerlap dengan labuci itu hanya sesuai untuk majlis makan malam di hotel-hotel!

“Abang Dwen, nak tambah nasi tak?” tiba-tiba Dila berdiri di hadapan meja Dwen.

“Cukuplah Dila. Abang dah kenyang sangat ni. Tunggu esok abang datang lagi,” balas Dwen dengan mulut yang penuh.

“Okey, Dila tunggu abang esok. Esok nak datang dengan siapa pula? Pak Nordin?” tanya Dila, menyengih.

“Ermmm...mungkin Narita. Mungkin Qalesya. Atau PA abang Si Nureen. Atau siapa-siapa saja yang nak ikut. Abang tak kisah.”

Dwen masih meratah baki ikan asam pedas yang ada. Dia kepedasan dan minum air. Dila memerhati dengan mata senang.

“Dila, boleh abang tanya sikit?”

“Tanyalah. Banyak pun Dila tak saman,” jawab Dila, bergurau. Dia menjeling ke arah Karina yang masam dan monyok.

“Dila tahu tak kat restoren mana yang ada jual masakan gulai siput daun kadok. Atau siapa-siapa yang pandai masak masakan tu?”

“Siput? Abang makan siput?” Dila bertanya dengan mata hampir terbeliak.

“Kenapa? Dila tak makan ke?”

“Itu kegemaran Dila. Tapi, Dila tak tahu nak masak. Kalau nak makan, Dia pergi ke warong tepi sungai di kawasan PWTC tu. Kat situ semua masakan kampung ada dijual.”

“Ya ke? Kenapa abang tak tahu sebelum ini. Kalau macam tu, esok abang nak cuba cari. Dah lama abang tak makan. Karina, awak makan siput tak?” Dwen berpaling ke arah Karina yang sejak tadi diam tidak menyampuk dan tidak pula tersenyum.

Dila berlalu meninggalkan meja itu.

“Siput? Eeee... yang merayap tu? You makan benda tu?” Karina hampir terjerit. Dia mencebik.

“Siput tu halal. Saya ingat, kalau kita kahwin nanti setiap hari saya nak suruh awak masak menu dari siput tu.”

“Jangan nak merepeklah.”

“Merepek apa?” Dwen rasa hairan dengan kata-kata Karina.

“You ingat I ni siapa? I tak akan kotorkan tangan I untuk buat semua kerja tu. Usahkan siput yang menjijikkan tu, memasak benda lain pun tak akan I buat!”

“Habis, siapa yang nak buat?” Dwen semakin tertarik. Wajah Karina ditatap lama.

“Kita ada duit. Apa salahnya kita menggaji seorang pembantu rumah. Sejak kecil I tak pernah buat kerja rumah tau!” Karina seperti mendabik dada.

Dwen tersenyum. Dugaannya benar. Dan ujiannya terhadap Karina, sedang dicatat.

“Boleh saya tanya awak beberapa soalan?” Dwen merenung Karina.

“Boleh tak you simpan soalan you tu ke lain hari. Atau kita segera pergi dari tempat ini. Kita ke tempat yang lebih selesa. Kemudian you nak tanya banyak mana pun boleh,” kata Karina.

Dwen tersentap.

“Saya selesa di sini. Kalau awak nak pergi, silakan.”

“Apa maksud you ni? You yang ambil I untuk dinner, tapi you nak suruh I pergi begitu sahaja?” Karina melenting.

“Habis, ajak makan tak nak makan. Buat apa nak tunggu?”

“I tak nak makan kat sini! You faham tak, tempat ini kotor dan panas. I tak selesa dan tak selera!”

“Nak makan pun nak pilih tempat? Awak tahu tak di Afrika sana, ramai yang mati kerana tak ada makanan? Awak di sini, dapat makan free macam ni pun nak bising!” balas Dwen, cuba bersikap selamba dan tenang walaupun darahnya semakin bergemuruh melihat gelagat Karina.

“Kalau setakat makan free kat tempat macam ni, tak payahlah. Kalau you nak, I boleh belanja you kat hotel atau restoren lima bintang!”

Dwen memaksa senyum. Dia melambai ke arah Dila.

“Nampak you ni suka sangat dengan pelayan tu,” kata Karina, berbau cemburu.

“Memang saya suka dia dan semua pekerja di sini. Apa masalah dengan awak?”

“I tak suka. You tahu tak, you telah merendahkan maruah you sendiri.”

Dwen tergelak. Ketika itu Dila sampai berdiri di hadapannya. Gelak Dwen membuatkan Dila tidak berani bertanya apa-apa.

“Dila, bungkuskan asam pedas dan tomyam. Macam biasa,” kata Dwen di celah gelak tawanya.

Dila angguk dan berlalu.

Karina semakin masam mencuka. “You nak bungkus untuk siapa?”

“Untuk Pak Nordin, drebar kami.”

“Hah? Untuk apa? Apa you ni?” Karina semakin terbeliak mata. Dia nampak keliru dengan perangai Dwen.

“Salahkah?”

“Pak Nordin tu tak setaraf dengan you. Dia dibayar gaji oleh keluarga you. Jadi dia kuli you, bukan kawan. You kena bezakan kawan dan kuli. Mesti ada jurang pemisah!”

“Siapakah yang menggali jurang itu?”

Dwen semakin rasa tidak berkenan dengan Karina.

“Bila saya kahwin dengan awak, saya nak awak buang sikap meninggi diri awak tu. Saya nak awak jadi orang biasa. Campur dengan semua orang walaupun peminta sedekah. Makan di tempat yang biasa, tak payah tempat yang banyak bintang. Pakai pakaian yang sopan dan sederhana. Boleh?” Akhirnya Dwen terus kepada kehendak hatinya. Malas dia nak berlama-lama menduga Karina lagi. Dia seperti sudah dapat membaca perangai sebenar gadis itu.

“Apa? You ni nak jadikan I wife you atau you nak dera I?” Karina terjerit. Kali ini agak kuat hingga beberapa mata menoleh ke arah mereka.

“Itu isteri yang saya nak.”

“Kalau I tak nak ikut?”

“Kalau you tak nak ikut, you ikutlah jalan you dan I akan pergi dengan jalan kesukaan I,” jawab Dwen. Dia sekali lagi mengajuk cara Karina bercakap.

“Apa maksud you ni?”

“Maksud saya, awak pergi cari orang lain yang setaraf dengan awak dan saya akan cari isteri mengikut cita rasa saya.” Giliran Dwen pula meninggikan suara. Dia tidak mahu mengalah kepada telunjuk Karina. Dia akan menolak usul perkahwinan ini.

Karina bangun, “I tak sangka you berperangai seteruk ini. Nanti you jawablah dengan famili I. Malas I nak layan you lagi!”

Karina melangkah laju ke arah jalan raya. Dwen langsung tidak menahannya. Tidak lama, dia nampak Karina menahan sebuah teksi dan hilang dari pandangan matanya.

Dwen menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya masalah dia dengan Karina selesai. Namun, bagaimana pula dia akan berdepan dengan mama dan papanya.

“Kenapa tuan puteri tu, bang?” tanya Dila yang muncul dengan pesanan yang dibuat oleh Dwen tadi.

“Biasalah orang kaya...nak makan kat sini, panas. Nak makan kat hotel lima bintang konon!” balas Dwen dengan ketawa. Sedikitpun tidak ada rasa kesal di wajahnya.

Dila hanya menyengih. Dia tidak berani memberi komen.

“Kalau awak nak tahu, itu calon isteri pilihan mama saya. Sengaja saya bawa ke sini untuk menguji dia. Belum apa-apa dia dah melenting. Huh! Terus gagal ujian!”

“Jadi, lauk ni untuk siapa?” tanya Dila dengan keliru.

“Itu untuk Pak Nordin dan keluarga dia,” jawab Dwen. Dia keluarkan duit seratus ringgit sekeping dan menghulurkan kepada Dila.

Dila segera mengira dan memulangkan duit baki.

“Awak boleh tolong saya tak?” tanya Dwen ketika menerima duit baki daripada tangan Dila.

“Apa dia bang?”

“Awak carikan calon isteri. Orangnya ta perlu cantik. Tak perlu kaya. Tak perlu belajar tinggi. Apa yang saya nak ialah dia pandai masak dan pandai menguruskan rumah tangga. Yang paling baik, kalau dia pandai masak gulai siput daun kadok,” kata Dwen, tanpa segan .

“Adui. Yang lain mungkin saya senang cari tapi yang akhir tu, susah sikit. Saya sendiri kalau nak masuk senarai calon pun tak lepas sebab syarat yanga terakhir itu,” jawab Dila dengan ketawa mengekek.

Dwen tidak ketawa. Dia termenung seketika. Betulkah susah untuk cari calon isteri mengikut kemahuan hatinya?


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.