Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 50

Andika termenung di tepi tingkap. Hari itu memang dia tidak bekerja. Namun, dia akan dibawa keluar oleh Pak Nordin. Dia akan ke Jabatan Agama. Seharian itu dia akan bersama Dwen, menyelesaikan semua urusan pernikahan mereka.

“Andika, ada apa ni?” tanya Mak Cik Ruslina ketika melihat Andika muram termenung.

“Tak ada apa mak cik.” Andika cuba tersenyum ceria macam biasa. Namun Mak Cik Ruslina tidak melihat keceriaan itu.

“Kalau Andika ada masalah, beritahu mak cik. Jangan simpan seorang diri. Mana tahu ada yang mak cik boleh tolong,” kata Mak Cik Ruslina lagi. Andika gadis yang baik. Setiap pagi wajahnya ceria dan riang. Bila pagi ini dia berubah muram, sedikit sebanyak hati Mak Cik Ruslina ikut gundah.

“Mak cik rasa betul ke apa yang saya buat ni?” tanya Andika sambil merenung mata Mak Cik Ruslina. Dia mencari-carai jawapan yang tulus. Dia tidak ada keluarga. Sekarang, hanya Mak Cik Ruslina anak-beranak yang jadi keluarganya.

“Mengenai apa?” Mak Cik Ruslina rasa keliru.

“Keputusan saya berkahwin dengan Dwen. Tidakkah terlalu awal?”

Mak Cik Ruslina tersenyum. Itu rupanya yang mengganggu fikiran Andika.

“Andika, mak cik rasa keputusan itu tepat dan tidak salah lagi. Memang amat sesuai dan kena pada masanya,” jawab Mak Cik Ruslina sambil menggenggam tangan Andika.

“Tapi, kami tak setaraf. Dia tu...”

“Andika, tinggi rendahnya taraf seorang manusia itu hanya pada iman dan amalnya.”

“Tapi, kami baru saja kenal. Di hati saya ni, belum ada rasa apa-apa. Kami tak bercinta pun,” kata Andika lagi.

“Cinta bukan ukuran untuk menentukan kebahagiaan masa depan kita. Orang dulu-dulu, tak pernah kenal dan tak pernah bercinta. Tapi mereka boleh bahagia hingga akhir hayat.”

Andika termenung lagi. Baru sekarang dia rasa takut dan bimbang dengan keputusannya.

“Andika, mak cik dah anggap Andika macam anak mak cik. Percayalah, Dwen tu lelaki yang baik. Andika akan bahagia dengan dia. Dia tu tak seperti anak orang kaya yang lain. Dia lelaki yang sangat sederhana dan poyo,” kata Mak Cik Ruslina lagi.

Andika ketawa. Ceria dan mengekek.

“Ni kenapa ketawa ni?” tanya Mak Cik Ruslina, hairan.

“Pandai juga mak cik sebut poyo!”

Mak Cik Ruslina ikut ketawa. Dia senang hati kerana perkataan itu boleh buat Andika ketawa begitu.

“Syerif selalu sebut kalau berbual dengan kawan-kawan dia.”

“Oh! Mak cik sekodeng Syeriflah ni!” Ketawa Andika semakin mengekek.

“Sekodeng? Apa pulak tu? Baru hari ni mak cik dengar.”

“Sekodeng tu, mengintai.”

“Ish! Banyak sangat perkataan baru yang budak-budak sekarang cipta ya!” Mak Cik Ruslina masih ketawa.

Suasana muram bertukar ceria. Andika terlupa seketika apa yang dirisaukannya.

“Mak cik pergi dulu ya,” kata Mak Cik Ruslina, bangun.

“Mak cik nak ke mana?”

“Nak ke kedai. Pak cik order nak makan bubur kacang merah. Petang ni dia balik, bubur tu tak ada merungutlah dia,” jawab Mak Cik Ruslina.

Andika angguk. Langkah Mak Cik Ruslina dihantar dengan mata senang.

Dia masih menunggu Pak Nordin.

Tiba-tiba dia teringat semula apa yang dikatakan oleh Mak Cik Ruslina tadi. Betulkah dia memang telah membuat keputusan yang tepat? Apa akan jadi kalau dia tidak berkahwin dan lelaki hidung belang itu muncul lagi mengganggunya?

Wajah lelaki itu muncul. Pak Masron, bekas ayah tirinya. Tubuh manusia yang bernafsu syaitan.

Percubaan pertama lelaki itu ingin menceroboh hidupnya gagal kerana dia sempat menjerit dan ibunya muncul di muka pintu. Lelaki itu sempat melompat melalui tingkap.

“Kenapa dengan kamu Puteri?”

Tubuhnya menggigil dan dia rasa wajahnya pucat seputih kapas. Dia menangis. Tidak mampu menjawab apa-apa kerana terlalu terkejut. Dia tidak percaya kepada apa yang terjadi. Lelaki yang diharap dapat menggantikan tempat arwah ayahnya, Pak Said tiba-tiba seperti haruan yang suka makan anak!

“Ni mesti kamu mengigau ya. Kamu ni benar-benar cuai. Tengok, tidur pun tak tutup tingkap. Kalau ada pencuri, macam mana?”

Dia tetap menangis. Ingin dikatakan, pencuri itu memang ada dalam rumah itu.

“Sudahlah. Tak ada apa-apa berlaku. Usah menangis. Kamu tu hanya mengigau!” marah ibunya, Ratna Kesuma Dewi.

Memang dia rasa macam mengigau ketika kali pertama dirinya ingin diceroboh. Namun selepas itu, ada pula kali kedua dan kali ketiga. Tidak. Dia tidak mengigau lagi. Dia rasa sangat ngeri dan takut bila sendirian tidak kira siang atau malam.

Lalu, kepada ibunya dia cuba mencari perlindungan.

“Puteri! Kalau kamu tidak suka kepada suami aku, kamu tak usah buat fitnah. Dia bukan lelaki seperti itu!” jerkah ibunya, sangat marah.

Dia dipersalahkan. Cakapnya tidak laku langsung.

Apa lagi yang mampu dilakukan oleh seorang anak yang malang sepertinya selain termenung dan menangis. Benar-benar dia sedih dengan nasib yang dilaluinya. Semasa abahnya masih hidup, dia memang tidak pernah rasa sedih dan susah.

Abahnya penyayang. Abahnya sangat pengasih. Abahnya tidak berkahwin lain kerana tidak mahu dia beribu tiri.

Tangisannya selama berhari-hari langsung tidak menjentik simpati ibunya. Dia tetap dianggap pencipta fitnah.

“Mama, cuba dengar dan percaya cakapku walau sekali. Suami mama itu bukan orang baik-baik. Dia cuba...”

“Sudah! Hentikan fitnah kamu! Mama tak nak dengar lagi!” jerit ibunya sebelum sempat dia habiskan ayat.

Aduhai. Kepada siapa dia harus mengadu.

Hanya kepada ALLAH. Dia minta ALLAH melindunginya dari segala ancaman nafsu lelaki bernama Masron itu. Kemudian dia juga minta dihantar sesaorang untuk menolongnya. Dia tidak akan kuat untuk melawan kerakusan itu sendirian.

“Apa yang kamu tangiskan, Puteri?” tanya Pak Dasin, jirannya yang kebetulan melintas di halaman. Lelaki itu yang paling rapat keluarganya. Namun, belum pernah dia mengadu hal-hal dirinya kepada lelaki itu.

“Kalau ada masalah, kamu harus ngomong. Anggap bapak ini seperti pamanmu,” kata Pak Dasin lagi.

Dia memang perlukan sesaorang. Dan dia rasa doanya sudah dimakbul ALLAH. Pak Dasin, muncul sebagai tangan yang akan membantunya menyapu air mata yang sering basah di pipinya!

Lalu, tanpa silu dia menceritakan semuanya.

Dia teresak-esak selepas menyebut dosa yang dilakukan oleh bapa tirinya!

“Kalau macam tu, kamu kena pergi dari sini.”

“Ke mana?”

“Ke kampung halaman arwah abahmu. Di sana, kamu akan selamat.”

“Tapi mama...”

“Jangan risaukan dia. Dia ada suami untuk mengadu. Tapi, kamu kena fikirkan nasib kamu sendiri. Bapak akan bantu kamu pergi dari sini.”

Berhari-hari dia berfikir. Tidak sanggup dia meninggalkan ibunya. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Itu tidak diajar oleh arwah abahnya.

“Jangan fikir lagi Puteri. Aku bimbang kalau dia akan cuba lagi dan engkau tak mampu nak pertahankan diri!”

“Aku sayang mama,” katanya dengan air mata.

“Kamu kena sayangkan diri kamu juga! Malam ini, kamu curi paspot mama kamu. Esok malam, aku hantar kamu kepada orang yang akan bawa kamu ke Malaysia,” kata Pak Dasin, seperti memaksa.

“Kenapa aku perlu curi paspot mama? Aku ada kad pengenalan dan paspotku sendiri!”

“Sebagai langkah berjaga-jaga. Kamu mungkin boleh gunakan paspot itu untuk mencari kerja di sana. Kalau kamu gunakan paspot kamu sendiri, mungkin kamu akan senang dikesan. Jangan cakap banyak, pergi berkemas. Ikut cakap aku, jangan degil lagi. Aku buat ni demi kamu.”

Pak Dasin, lelaki itu sangat berjasa kepadanya. Kalau tidak kerana Pak Dasin, entah macam mana nasib dirinya hidup serumah dengan lelaki itu!

“Andika, dah siap?”

“Sudah bapak.”

“Eh, kenapa pulak kau ni Andika?” tanya Pak Nordin, keliru. Dia tahu Andika tidak ada dalam dirinya ketika itu.

Andika terkejut dan termangu-mangu, bingung seketika. Kemudian dia ketawa mengekek.


Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.