Karina tidak terus
menjawab. Dia sedang berfikir dan seperti mencari ilham. Kuasa akal digunakan
sepenuhnya.
“Untie pun suka kalau
Kay sanggup jadi isteri kedua Dwen. Kita kerjakan budak kampung tu
habis-habisan. Sampai dia lari meninggalkan Dwen. Sampai dia tak berani muncul
dalam hidup Dwen dan tak ganggu rancangan kita lagi.” Datin Rodziah mula
bersemangat.
Karina angguk. Walaupun
perlahan namun wajahnya kelihatan bersemangat dan penuh yakin.
“Macam mana dengan
keluarga Kay. Mummy Kay mesti tak setuju.”
“Itulah masalahnya. Bolehkah
kalau kita rahsiakan perkahwinan Dwen ni dari mummy dan daddy Kay?”
“Dwen dah bawa bininya
tu ke pejabat dan kenalkan dengan semua orang. Dah tentu hal ini tak boleh nak
ditutup lagi.”
Karina mengeluh.
“Kay cubalah bincang dengan
mummy Kay dulu. Untie tak nak Kay dimarahi,” kata Datin Rodziah menepuk-nepuk
belakang tangan Karina dengan mesra.
Mereka berpisah. Datin
Rodziah terus ke pejabat sementara Karina pula terus memandu pulang ke rumah
kerana hari itu dia rasa tidak ada semangat langsung untuk bekerja. Dia perlu
mengatur strategi sebelum mula berperang merebut Dwen dari isterinya.
Siapa nama isteri Dwen?
Karina terpinga-pinga seketika. Kemudian dia segera menelefon Datin Rodziah.
“Untie, siapa nama wife
Dwen tu?”
“Ermm... untie pun tak
tahu, Kay. Terlampau marah hingga lupa nak tanya nama budak tu.”
“Tak apalah. Nanti Kay
tanya dengan Nureen, PA Dwen tu,” balas Karina sambil mematikan telefon.
Kereta yang dipandu
memasuki garaj. Karina keluar dan terus melangkah masuk ke banglo mewah milik
papanya dengan langkah lesu.
“Kay! Duduk sini
sekejap. Mummy ada hal nak cakap,”
panggil Puan Sri Norlaila.
Karina akur. Dia dapat
mengagak apa yang akan dikatakan. Hatinya berdebar. Seluruh tubuhnya gementar.
Dia kenal Datin Sri Norlaila.
“Betulkah Dwen dah
kahwin?” tanya Puan Sri Norlaila sebelum sempat punggung Karina berlabuh di
sofa.
“Ya mummy.”
“Dengan siapa? Anak
tengku mana? Anak tan sri mana?” Suara Puan Sri Norlaila mula meninggi. Suara
itu mengandungi marah.
“Bukan anak tengku dan
anak tan sri.”
“Habis tu? Anak siapa?”
“Entah budak mana.
Untie dan uncle pun tak kenal. Semua orang tak kenal dan tak tahu. Tiba-tiba
saja dia bawa balik dan kenalkan sebagai wife dia. Terukkan perangai calon
menantu pilihan mummy tu?” Karina menyindir.
Sepi. Serta merta wajah
Puan Sri Norlaila berubah.
“Mummy jangan susah
hati. Kay tak rasa sedih pun. Malah, Kay tetap nak kahwin dengan dia. Kay tetap
nak jadi wife dia.”
“Kay? Kamu nak
bermadu?” tanya Puan Sri Norlaila dengan cuak.
“Ya mummy. Kan mummy
yang suka sangat dengan Dwen? Apa salahnya Kay jadi isteri dia dan dia akan
jadi menantu mummy.”
“Sekarang, mummy tak
harap lagi. Kay jangan nak buat kerja gila! Belum ada dalam keturunan kita yang
berkongsi kasih. Mummy tak nak orang tuduh Kay perampas!” tegas Puan Sri
Norlaila.
“Mummy, dia yang rampas
Dwen dari Kay. Jadi sekarang, Kay akan rampas balik. Dwen tu hak Kay. Kay tak
nak dikalahkan oleh gadis kampung itu,” kata
Karina.
Puan Sri Norlaila
terdiam. Wajahnya berkerut.
“Mummy rasa daddy kamu
mesti tak setuju. Jatuh maruah kita, Kay. Kalau dia dah kahwin, biarlah. Bukan
tak ada orang lain yang lebih baik yang nakkan Kay. Lupakanlah hajat Kay tu.
Buat malu je!” Akhirnya Puan Sri Norlaila memberi komen.
Giliran Karina pula
berdiam diri. Memang hajat untuk menjadi isteri kedua Dwen itu tidak masuk
akal. Namun, dia rasa sangat tercabar. Sakit hatinya kepada Dwen dari mula
bertemu hingga sekarang, belum pernah sembuh.
“Mummy, berilah Kay
peluang merampas balik hak Kay itu!”
“Hak apa? Kay dengan
dia belum bertunang pun. Sedangkan orang berkahwin boleh bercerai. Bagus dia
tunjukkan awal-awal perangai sebenar dia. Sudah, lupakan dia. Esok, ikut mummy
ke Paris. Kita shopping. Kita lupakan semua ini. Mummy nak buang rasa sakit
hati ini.” Puan Sri Norlaila bangun.
“Mummy, kalau Dwen dah
ceraikan isterinya adakah Kay boleh kahwin dengan dia?” tanya Karina sebelum
kaki Puan Sri Norlaila melangkah.
“Apa ni Kay? Kenapa nak
buang masa dengan budak tu? Dulu Kay juga yang tak suka dia?”
“Tapi, dulu mummy juga
yang nak Kay kahwin dengan dia. Mummy yang berkenan sangat. Tak salah kalau Kay
penuhi kehendak mummy tu kan?” Karina kerdipkan mata. Bibirnya diselitkan
sebuah senyuman.
“Suka hati kaulah! Tapi
pastikan Kay tak kahwin dengan laki orang. Mummy tak suka!” Puan Sri Norlaila terus
melangkah.
“Kay janji. Kay akan
berkahwin dengan Dwen selepas dia ceraikan isterinya. Kay janji, mummy!” laung
Karina.
Puan Sri Norlaila tidak
menoleh lagi. Hanya telinga menangkap kata-kata Karina. Hanya hatinya yang
sebal dan kurang senang dengan janji Karina itu!
Karina ikut melangkah
masuk ke bilik. Dia merebahkan badan ke
katil. Dia teringat pada kata-kata Puan Sri Norlaila, buat apalah hendak
membuang masa dengan lelaki itu. sudah terang-terang Dwen tidak suka padanya.
Akan timbul bermacam masalah kalau dia menjadi isteri Dwen.
Kemudian dia teringat
pula kepada barisan teman lelakinya sebelum ini. Dia tersenyum. Tidak sekalipun
dia tewas. Semua ditinggalkan begitu sahaja selepas dia jemu.
‘Kenapa aku tewas
dengan dia? Ish! Apa yang budak kampung tu beri Dwen makan, sampai dia tak
nampak aku yang cantik ni?’ bisik hati Karina.
Kemudian dia teringat
kepada janjinya dengan Datin Rodziah.
‘Aku mesti ajar
perempuan tu. Aku mesti nyahkan dia dari hidup Dwen. Tapi bagaimana?’
Dia mencapat telefon
bimbitnya. Dia perlu mencari maklumat dari Nora.
“Ya Cik Karina. Ada
apa? Cik Karina tak masuk ofis ke hari ni?” Suara Nora didengarnya riang.
“Kenapa? Awak happy
sebab I tak masuk ofis?”
“Eh, bukan macam tu.
Saya cuma tanya, sebab hari ni ada beberapa agenda yang Cik Karina kena hadir
hari ni.”
“Lupakan pasal agenda
tu. Awak suruh pegawai lain gantikan saya.”
“Tapi Cik Karina...”
“Awak bos ke saya yang
bos? Ikut saja apa cakap saya,” potong Karina separuh menjerit.
Senyap. Dia terbayang
wajah Nora yang terkulat-kulat bingung. Memang itu yang dia mahu.
“Saya nak awak pergi
tanya dengan Nureen, siapa nama isteri bos dia tu. Cari sebanyak-banyak
maklumat,” sambung Karina.
“Nak buat apa Cik
Karina?”
“Heh, jangan tanya nak
buat apa? Ikut apa yang saya suruh!” tengking Karina.
“Kalau setakat nama,
tak payah tanya Nureen. Saya pun tahu,” jawab Nora.
“Awak tahu? Jadi awak
kenal perempuan tu?”
“Kenal baik tu
tidaklah, tapi masa mereka nikah tu saya pun ada. Jadi saya tahulah namanya dan
saya dah lihatlah orangnya. Cantik dan baik budi.” Suara Nora didengarnya penuh
sindiran.
“Siapa namanya?”
“Kenapa Cik Karina nak
tahu ni. Nak pergi bomoh ke?”
“Hoi! Apa yang merepek
ni? Bomoh apa pulak?” jerit Karina, nyaring. Geram sungguh hatinya mendengar
kata-kata Nora itu.
“Mana tahu, Cik Karina
cuba nak pisahkan Encik Dwen dan isterinya.”
Karina diam. Hati yang
kecewa menjadi semakin sakit dan
berdenyut.
“Siapa nama dia?”
tengking Karina melepaskan rasa sakit.
Senyap. Nora tidak
terus menjawap. Karina tetap menunggu.
“Ermm... Ratna Kesuma
Dewi.”
“What? Perempuan
Indon?”
“Ibunya yang berasal
dari sana. Dia lahir di sini. Dia warganegara Malaysia. Dia ada kad pengenalan
sini. Cukup ke maklumat tu?” Suara Nora berselang dengan ketawa.
Sakit hati Kartina
bukan kepalang.
Tanpa mengucapkan
terima kasih, Karina mematikan talian!
Dia termenung lagi.
Sungguh-sungguh fikirannya tidak setenang dulu. Hasad dan cemburu mengalir
bersama aliran darahnya. Dendam pula berdenyut bersama denyutan nadinya.
‘Jaga kau, Ratna Kesuma
Dewi!’ Itu yang ada dalam hatinya.