Dwen sangat bersyukur.
Akhirnya, Andika Puteri bersetuju juga dengan apa yang dirancangnya. Dia
bersetuju untuk balik ke Malaysia!
“Aku harap sangat kalau
kamu dapat keluar dari sini dengan segera Puteri. Bahaya sedang menanti kamu di
sini,” kata Pak Dasin ketika dipanggil
dalam perbincangan mereka.
“Tapi ibu baru saja pergi. Aku masih ingin berbakti
kepadanya, pak.”
“Puteri, bakti seorang
anak selepas ibu bapanya mati ialah sedekah dan doa. Hal itu kamu boleh lakukan
di mana saja. Tak semestinya kamu kena duduk atas kuburan. Pergilah Puteri.
Demi masa depanmu. Demi keselamatanmu,” balas Pak Dasin, bersungguh-sungguh.
Andika Puteri termenung
lama. Wajahnya begitu muram dan gusar. Dia agak keberatan untuk meninggalkan
rumah pusaka ibunya itu.
“Saya janji tak akan aniaya awak. Pak Nordin
sebagai saksinya. Awak masih sangsi pada kejujuran saya?” tanya Dwen pula.
“Tak. Bukan itu.
Kalaupun saya sangsi pada encik, saya masih ada keluarga sebelah ayah saya di
Kelantan. Tapi, saya risaukan rumah ini. Kalau saya tinggalkan entah apa jadi
pada rumah dan kebun yang ibu tinggalkan itu,” jawab Andika Puteri, jujur.
“Puteri, pergilah. Aku
akan jaga untuk kamu. Kelak, kalau kamu sudah tidak mahu pulang ke sini lagi
kebun dan rumah ini bisa dijual saja. Kamu pergilah dulu. Mulakan hidup barumu.
Jangan tunggu lama. Pergi sebelum bencana lain tiba. Tolonglah... ” rayu Pak
Dasin, sangat berharap.
Air mata Andika Puteri
menitik. Dia angguk sambil mengesat manik-manik yang berjuntaian itu. Sungguh
hiba dan pilu.
Hati Dwen ikut hiba
melihat keadaan gadis itu. Dalam masa yang sama, hatinya menguntum riang kerana
anggukan Andika Puteri itu!
“Kamu mesti bertolak
awal pagi. Kalau boleh jangan ada orang di desa ini yang melihat kamu
berangkat,” kata Pak Dasin, masih menatap wajah Andika Puteri.
“Tapi kenapa pak?”
tanya Dwen pula.
“Ini untuk keselamatan
kamu dan Puteri. Kalau Masron dapat tahu kamu ke sini untuk membawa Puteri, pasti
dia akan buat onar lagi. Kalau boleh malam ni kamu semua pergi tinggalkan desa
ini.”
Dwen angguk setuju.
“Macam mana Wanda?
Boleh kita bertolak malam ni? Kemudian kita bermalam di hotel sementara
menunggu flight esok,” kata Dwen kepada Wanda.
“Bisa saja, mas.
Sekarang pun boleh,” balas Wanda.
“Sekarang masih awal.
Tunggu lepas solat isyak. Sementara itu, Puteri ada masa untuk berkemas. Bawa
semua barang yang penting. Jangan tinggalkan apa-apa pun. Kalau Masron datang
bertanya, aku akan bilang tidak tahu. Pergilah Puteri!” suruh Pak Dasin kepada
Andika Puteri.
Dengan perlahan Andika
Puteri bangun. Dia perlu akur kepada suruhan Pak Dasin. Walaupun lelaki itu
hanya jirannya, tetapi dalam banyak perkara dia selalu dijadikan tempat
mengadu. Termasuk perkara keji yang cuba dilakukan oleh bapa tirinya itu!
“Kamu jaga dia
baik-baik. Dia memang anak yang baik. Kalau benar kamu mahu dia jadi isteri
kamu, harus disegerakan sebelum Masron datang ke sana.”
“Apakah dia akan
bertindak senekad itu?” tanya Dwen, dengan bimbang.
“Masron itu sangat
berkehendakkan Puteri. Bukan hanya kerana nafsunya, tetapi juga kerana dendam
kesumatnya. Dia rasa terhina dan tercabar
apabila tidak berjaya merosakkan Puteri. Aku kenal dia. Dia akan buat
apa saja, asal dia dapat apa yang dihajatnya. Mungkin sekarang dia sedang
merangka-rangka rancangan. Hanya tunggu masa.”
Dwen semakin
bersemangat dan nekad. Tidak ada orang lain yang boleh menyentuh gadis yang bernama Andika Puteri selagi dia
ada.
“Insya-ALLAH. Puteri
akan selamat, pak.”
“Berjanji dengan aku,
kamu tak akan seksa dia walaupun dia orang kampung yang miskin,” pinta Pak
Dasin sambil menarik tangan Dwen dan menggenggamnya erat, seakan tidak akan
dilepaskan lagi.
“Saya janji, pak.” Dwen
ikut membalas genggaman tangan lelaki itu. Dia berkata benar dan tidak
berbohong.
Jam 9.00 malam, mereka
membawa Andika Puteri keluar menyelusup keluar dari kampung itu. Dada Dwen
memang berdebar. Rasa takut dan bimbang
silih mendatang. Sepanjang jalan itu, mereka diam dan berserah dengan doa agar
ALLAH melindungi mereka dari segala perkara buruk.
Dalam perjalanan itu
juga, Wanda telah menghubungi pamannya Aditya Pratomo untuk memaklumkan apa
yang berlaku. Dia juga minta pamannya menguruskan tempat penginapan mereka
untuk malam itu.
Selepas agak jauh dari Desa Mangga, tiba-tiba
esakan Andika Puteri kedengaran memecah suasana.
“Puteri, sabarlah,”
kata Dwen.
“Kenapa nasib saya
macam ni?”
Dwen diam. Dia tidak
tahu bagaimana untuk memujuk dan berkata manis agar gadis itu tidak bersedih.
“Neng, setiap yang
ALLAH beri itu ada nikmatnya. Jangan kita persoalkan kerja DIA.” Wanda
tiba-tiba memujuk. Dwen menoleh kepada Wanda yang sedang memandu. Anak muda itu
tersenyum nipis.
Hampir jam 11.00 malam,
baru mereka sampai ke Kota Medan. Keadaan jalan raya sudah mula lengang dan
tidak sesak seperti di waktu siang.
Aditya Pratomo juga
sudah sedia menunggu di hadapan Astana Hotel.
“Selepas mendapat
khabar dari Wanda, aku rasa takut dan cemas kalau kamu diganggu oleh mereka
waktu di jalanan. Syukurlah, kamu selamat sampai ke sini,” kata Aditya Pratomo
sambil memeluk Dwen.
“Terima kasih Aditya.
Kalau tak ada kamu, aku tak tahu nak buat apa di kota yang sesak ini,” balas
Dwen.
“Kita kan kawan. Kamu
lupa, masa di London dulu. Kalau nggak ada kamu, saya mesti sudah mati
kelaparan. Seumur hidup, saya tak akan lupakan kamu. Jadi, tiba masanya aku
membalas budi baik kamu itu, Mas Dwen.” Aditya Pratomo tersenyum senang.
“Aku buat tu dulu tak
pernah nak harapkan balasan kamu!”
“Memang kamu tak minta
dibalas, tapi ALLAH yang memberi peluang untuk aku membalas. Sudahlah. Pesawat kamu
jam 5.00 petang esok. Semuanya sudah aku aku atur.”
Dwen angguk. Wajahnya
diserbu rasa terharu yang amat sangat. Inilah maknanya sebuah persahabatan.
“Wanda, esok kamu harus
bergerak dari sini jam 2.00 petang. Dalam sampul ni ada semuanya. Paman mahu kamu
hantar mereka sampai selamat. Kalau kamu gusar, ajak dua tiga orang kawan kamu.
Tunggu sampai mereka sudah check-in, baru kamu tinggalkan kawasan itu,” kata
Aditya Pratomo kepada Wanda.
“Aditya, takkan sampai
macam tu kamu buat kawalan untuk kami. Aku tak rasa kami diekori dan diintip,”
kata Dwen pula.
“Mas, ini tempat aku.
Aku tahu perasaan dan pergerakan orang di sini. Jadi, kamu ikut saja. Pesanku,
jangan sekali-kali kamu buka pintu dan percaya pada orang yang kamu tidak
kenal. Sayangnya, aku tak dapat nak bermalam di sini dengan mas. Sebab di
rumahku juga tidak ada orang dan isteriku sedang hamil tua,” ujar Aditya
Pratomo.
“Jadi, kamu ini sudah
ada isteri?”
Angguk.
“Kenapa tak cakap?
Cepatnya kamu kahwin, Aditya.”
“Mas, kita sudah hampir
30 tahun. Aku tak mahu jadi bujang tua. Aku harap, mas dan neng ini akan segera
bernikah bila sudah sampai di sana nanti,” balas Aditya Pratomo dengan ketawa.
Wajah Andika Puteri
berubah. Dia segera berpaling dan mencari jawapan daripada Dwen. Ketika itu
Dwen menjadi gugup. Dia bimbang kalau Andika Puteri akan tersalah anggap dan
membatalkan semuanya.
“Kamu ni Aditya. Jangan
bergurau begitu, dong!” Dengan cepat Dwen menjawab dan mencubit bahu Aditya
Pratomo dengan ketawa yang dipaksa.
Nasib baik Aditya
Pratomo segera faham akan maksud cubitan Dwen itu.
“Oh, maafkan aku neng.
Aku hanya bercanda. Sudah lama tidak ketemu sama Mas Dwen ini. Sudah lama juga
tidak bercanda dengan dia.”
Ketegangan di wajah
Andika Puteri mula kendur. Dia membalas kata-kata Aditya Pratomo dengan senyum
nipis.
Dwen pula menarik nafas
lega. Sekurang-kurangnya dia mampu melihat Andika Puteri tersenyum. Sekurang-kurangnya juga, semua rancangannya
tidak terbongkar sebelum sampai masanya. Dia tahu, belum masanya Andika Puteri
tahu. Dia masih dalam keadaan berkabung. Biarlah keadaan menjadi tenang dan
aman dulu, baru hal sebenar misi pencarian itu didedahkan.
Malam itu, Dwen
langsung tidak dapat melelapkan mata. Tiba-tiba muncul kebimbangan terhadap
gangguan lelaki yang bernama Masron itu. Andika Puteri tidur sendirian di bilik
sebelah. Bagaimana kalau lelaki itu muncul dan melarikan gadis itu ketika
mereka tidur lena.
“Mas tidurlah. Biar aku
yang berjaga,” kata Wanda menawarkan khidmat.
“Kamulah yang tidur,
sebab esok kamu nak memandu lagi. Lagipun, aku ni jenis susah nak tidur,” jawab
Dwen pula.
“Kalau macam tu, biar
aku tidur. Mas jangan bimbang, Puteri selamat di biliknya. Tak akan ada orang
yang bisa masuk kalau pintunya dikunci dari dalam.” Wanda menarik selimut dan
sekejap saja, dia sudah terlena.
Dwen terkebil-kebil
sendirian. Fikirannya masih menerawang , berfikir agenda hari esok.