Pak Nordin dan Nureen menerima
berita kepulangan Dwen bersama Andika Puteri dengan gembira dan rasa syukur.
“Alhamdulillah,
akhirnya dia berjaya juga,” kata Pak Nordin menyapu muka dengan kedua tapak
tangannya.
Nureen juga begitu.
Selain gembira, dia sangat teruja untuk bertemu pasangan yang baru ingin
berkasih itu.
“Pak Nordin rasa,
berjayakah Encik Dwen tu berkahwin dengan Andika Puteri tu?” tanya Nureen, cuba
menduga perasaan orang yang lebih tua darinya.
“Kita hanya mampu
merancang, ALLAH yang menentukan. Kalau
hajat Dwen tulus, dia akan mendapat rahmat ALLAH.”
“Tapi kita dah tahu
niatnya hanya nak lari dari Karina tu?”
Pak Nordin tidak
menjawab pertanyaan Nureen itu. Dia tahu itu niat awal Dwen. Dengan diat itu
dia mencari pilihannya. Kini, dia sudah menemui apa yang dicarinya. Tidak salah
Dwen mengambil Andika Puteri sebagai isterinya.
“Pak Nordin tak risau
kalau mereka benar-benar berkahwin?”
“Nak risau pasal apa
pulak?” tanya Pak Nordin pula.
“Kita tahu perangai
datin. Kita tahu kerenah datuk. Kita juga tahu apa yang mereka nak. Tidakkah
Pak Nordin bimbang kalau Andika Puteri hanya akan menjadi bahan cacian mereka.
Darjat mereka tak sama,” jawab Nureen, dengan wajah bimbang.
Pak Nordin termenung
seketika. Memang hal itu yang sudah diluahkan kepada Dwen dulu. Malah dia
terlebih risau kerana Andika Puteri itu orang kampungnya. Anak sahabat baiknya,
arwah Said. Juga dia yang menghantar surat memberi jaminan kepada Puteri. Kalau
apa-apa berlaku kepada gadis itu, dialah yang akan lebih sengsara dan
menderita.
“Saya percaya kepada
Dwen.”
“Apa janjinya kepada
Pak Nordin?”
“Dia berjanji untuk
menjaga Puteri dengan sepenuh jiwa raganya. Dia tak akan biarkan keluarganya
menyakiti Puteri,” balas Pak Nordin.
“Pak Nordin yakin
dengan janji dia? Dia tu orang kaya. Tidakkah Pak Nordin rasa pelik kalau dia
menolak orang yang setaraf dengannya kerana mencari yang tak sedarjat? Apa
muslihatnya?” Nureen semakin ingin menduga.
Pak Nordin tersenyum.
“Kenapa Pak Nordin
senyum? Kelakarkah soalan saya ni?”
“Nureen, kita berdua
tahu apa yang Dwen nak dalam hidupnya. Awak sebagai PA dia paling rapat dengan
dia, semasa di ofis dan di luar waktu pejabat. Kita tahu dia tu orangnya macam
mana. Dia bukan seperti anak orang kaya yang lain, yang hidup berpoya-poya
menghabiskan harta mak bapak. Dia bukan orang yang suka melepak di bar dan
pusat hiburan. Dia bukan orang yang suka menghina orang miskin dan menyanjung
orang kaya. Jadi, kita tak perlu nak sangsi pada kehendaknya,” jawab Pak
Nordin, sambil matanya meleret kepada Nureen.
Nureen tersenyum. Dia
mengiyakan kata-kata Pak Nordin itu di dalam hatinya.
“Atau awak ni cemburu
dengan Andika Puteri?” tanya Pak Nordin pula.
“Ish! Apa yang Pak
Nordin cakap ni?” Serta merta Nureen menoleh kepada Pak Nordin.
“Manalah tahu, awak ada
hati kat bos kita tu!”
Nureen ketawa
berdekah-dekah.
“Ni yang ketawa besar
ni kenapa pulak?” Pak Nordin rasa hairan.
“Kalau saya nak dia,
dah lama saya goda dia. Saya yang ada banyak peluang untuk berbuat begitu.
Kalau dia tak tergoda dengan saya, saya boleh mandram dia. Yang pasti,
kalau saya nak dia tak ada peluang orang kampung Pak Nordin tu nak dapat! Ini
Nureen tau!” jawab Nureen, masih ketawa.
Pak Nordin ikut ketawa.
Memang benar kata Nureen. Dia yang paling dekat dengan Dwen. Setiap hari mereka
makan dan minum bersama. Hanya hari minggu dan cuti kelepasan sahaja mereka tidak bersama.
“Pukul berapa flight
mereka sampai?” Pak Nordin mengalih topik. Dia membelek jam di tangannya. Jam
itu hadiah dari Dwen setahun lalu semasa dia menyambut hari lahirnya. Untuk
pertama kali dia menerima hadiah hari lahir seumur hidupnya. Daripada bos pulak
tu! Memang dia sangat bangga dan sering memakai jam itu ke mana sahaja.
“Kalau tak ada apa
aral, pukul 6.00 dah mendarat.”
“Kalau macam tu, dari
ofis kita mesti terus ke sana. Nanti kalau jalan jamned, habis kita!” kata
Pak Nordin.
Nureen angguk setuju.
“Heh, apa yang
dibincangkan ni? Aku terlepas keretapi ke?” tanya Nora yang muncul dengan fail
yang penuh di tangan.
“Bukan keretapi, tapi
kau terlepas pesawat!” jawab Nureen dengan ketawa.
“Bos dah nak balik ke?”
tanya Nora lagi. Kali ini separuh berbisik. Matanya memandang sekeliling. Tidak
ada staf lain melainkan mereka.
Nureen angguk.
“Wah! Aku kangen bangat
sama dia ni!” gurau Nora.
Pak Nordin dan Nureen
ketawa.
“Kau dari mana ni?
Banyak fail ni?” tanya Nureen.
“Ada meeting
dengan datin, mengenai projek di Hulu Klang tu. Pelancaran akan dibuat tak lama
lagi. Dia nak semua pegawai bersedia.” Nora menjawap dengan nada yang agak kurang menyenangkan.
“Jadi, apa masalahnya? Kenapa
kau nampak risau ni?” tanya Nureen.
“Memang aku risau.
Projek ini adalah usahasama dengan Diamond Holdings.”
“Jadi?” Nureen semakin
keliru. Wajah Nora yang berubah serta merta itu ditatap.
“Kau tahu siapa CEO
Diamond Holdings tu?”
Nureen geleng.
“Karina Tan Sri Halim!”
“Hah?” Nureen dan Pak
Nordin terkejut. Mereka saling berpandangan. Kemudian ketiga-tiganya saling
tunduk bermuram.
“Bukan itu saja, Karina
akan ada ofis di sini. Dan, kau tahu siapa PA dia?”
Sekali lagi Nureen dan
Pak Nordin termangu-mangu.
“Siapa lagi kalau bukan
aku!” kata Nora, dengan wajah yang semakin kurang senang.
“Kau? Habis tugas kau
di sini macam mana?” Nureen semakin terkejut. Nampaknya Datin Rodziah sedang
menyusun strateginya.
“Itu aku tak pasti.
Mungkin dia akan ambil pegawai baru. Yang pasti, Karina yang minta aku jadi PA
dia. Dan datin, setuju dengan segala senang hati. Kau nampak tak permainan
Karina?”
“Saya tahu ini mesti
rancangan untuk menyatukan Dwen dan Karina. Datin tahu Dwen tak sukakan Karina.
Jadi dia letak Karina di sini,” kata Pak Nordin.
“Bukan hanya nak
satukan bos dengan Karina tu, tapi ini adalah agenda balas dendam Karina kepada
kita semua,” balas Nora pula.
“Maksud kau?” Nureen
semakin tidak mengerti.
“Dia sengaja nak aku
jadi PA dia kerana dia nak balas dendam pada aku. Kau ingat pada kejadian di
hotel hari tu? Kau dah lupa pada wajah marahnya pada aku dan kau? Sekaranglah
masanya dia akan membalas semua itu.”
Nureen termenung. Benar
kata Nora. Ini adalah strategi balas dendam Karina kepada mereka.
“Dia tahu kau PA Encik
Dwen. Maka dia nak aku jadi PA dia. Dia tahu kita berdua kawan baik. Dia akan
buat kita bergaduh. Matlamatnya nak huru-harakan hubungan kita. Kau perasan tak
rancangan dia?” tanya Nora.
Nureen mengangkat muka
dan merenung wajah Nora.
“Ya ALLAH! Begitu
teliti dia merancang. Apa kita nak buat sekarang?” Tiba-tiba Nureen rasa
bimbang.
“Jangan panik sangat
Nureen. Kita dah tahu taktik dia. Kita akan bincang dengan bos kita cara nak
elakkan diri dari ular tu,” kata Pak Nordin pula. Dia sendiri kurang senang
dengan berita itu. Seperti dapat diagak apa akan jadi pada pejabat itu nanti.
Dengan langkah sombong dan bongkak Karina, tentu tidak akan ada ketenteraman
lagi.
Seperti yang dirancang,
dari pejabat mereka terus ke lapangan terbang.
“Kita jangan ceritakan
dulu apa yang berlaku ini kepada Dwen. Kita biarkan dia bertenang, dan berehat.
Kita tunggu masa yang sesuai,” kata Pak Nordin sambil memandu.
“Dia kan bercuti selama
enam bulan. Sekarang dah tamat masa sebulan setengah.”
“Saya rasa datin akan
paksa dia masuk kerja. Datin pasti akan reka situasi baru agar Dwen masuk ofis.
Dia sengaja nak rapatkan Dwen dan Karina. Percayalah cakap saya,” kata Pak
Nordin lagi.
Nureen termenung sambil
matanya dilepaskan ke jalan yang mula sesak.
“Pak Nordin, saya
semakin takut.”
“Kenapa?” Pak Nordin
berpaling seketika sebelum meneruskan perhatian ke arah jalan raya.
“Entahlah. Tapi kalau
benar strategi Datin Rodziah dan Karina tu berlaku, kedudukan saya dan Nora
pasti akan terjejas,” jawab Nureen.
“Dwen bukan bodoh. Dia
tak akan biarkan keadaan buruk menimpa kamu. Dia tahu hati budi dan kesetiaan
kamu pada dia,” balas Pak Nordin dengan yakin.
Nureen mengeluh
perlahan. Dia berharap, semuanya akan selamat.