Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 22

Hotel Crown Plaza, 2.00 petang.

Tetamu mula sampai. Meja penyambut tetamu yang diuruskan oleh Nora agak kelam kabut kerana mereka yang datang itu bukan calang-calang orang. Masing-masing dengan kerenah yang berbeza. Masing-masing cuba menjadi ratu dan mengaku yang paling hebat.

“Kau jangan layan sangat kerenah mereka. Di sini kita berkuasa. Kau tegas dengan mereka. Kalau mereka buat bising, kita halau mereka dan jangan benarkan mereka masuk,” kata Nureen kepada Nora sebelum pendaftaran bermula.

“Bolehkah kita halau tetamu bos kita?”

“Aku akan jawab dengan bos. Lagipun, ini majlis untuk mencari calon isteri yang baik, pandai dan berbudi bahasa. Kalau belum apa-apa dan tunjuk angin, boleh jalanlah!” jawab Nureen dengan yakin.

Yang paling awal sampai ialah Melisa Syukri. Dia berjalan ke arah meja penyambut tetamu dengan lenggok sombongnya. Kad undangan diserahkan kepada Nora.

“I girl friend Romeo. I nak duduk semeja dengan Romeo.”

“Cik Melisa, Encik Dwen akan duduk di meja yang berasingan dari semua orang,” kata Nora.

“Why? Bukankah I ni jemputan khas dia? Kenapa dia tak duduk semeja dengan I?” tanya Melisa sambil membeliakkan matanya kepada Nora.

Nora tersenyum. Nasib baik Nureen sudah memberikan taklimat ringkas mengenai perangai setiap jemputan itu. Kalau tidak, mahu dia bercekak pinggang dengan Melisa.

“Cik Melisa, awak duduk dulu ya. Nanti kalau Encik Dwen datang, awak boleh tanya dia. Saya ni hanya jalankan tugas yang diarahkan.”

“Siapa yang beri awak arahan?”

“Encik Dwen dan Cik Nureen.”

“Nureen? PA dia tu?”

Nora angguk.

“Apa besar sangat kuasa dia, hingga boleh arahan macam ni? I tak kira. I nak duduk semeja dengan Romeo juga!”

“Duduklah.”

“Mana meja dia?”

“Tu!” tunjuk Nora ke arah sebuah meja panjang yang dihias rapi. Di atas meja itu ada tanda nama Ketua Juri, Juri 1 dan Juri 2.

“Apa makna semua ni? Ini majlis pertandingan apa?” Melisa semakin keliru.

“Pertandingan suka-suka saja. Cik Melisa tunggu dan lihatlah. Silakan duduk di meja ni,” kata Nora menunjukkan sebuah meja yang berhadapan dengan meja panjang itu.

Dengan langkah berat dan muka masam, Melisa terpaksa akur.

“Apa macam? Seronok melayan orang kaya dan cantik?” tanya Nureen dari belakang.

“Huh! Pening kepala aku,” jawab Nora, tersenyum.

“Itu baru satu. Ada sembilan lagi.”

“Semuanya macam ni?”

“Yang empat lagi, seakan-akan sama. Tapi yang lima lagi tu, aku tak kenal sangat. Nama mereka pun baru aku dengar. Mungkin sama dan mungkin tidak. Bergantunglah pada nasib kau,” jawab Nureen dengan ketawa kecil.

Seorang demi seorang muncul. Pakaian mereka, kalahkan para artis di Malaysia. Kebanyakannya memakai fesyen gaun ala-ala berkemban. Contengan wajah juga sangat beraneka warna. Bulu mata mereka melentik sejengkal. Sudah tentu palsu!

Narita, Qalesya, Maisara dan Yasmin muncul dengan lagak yang sama dengan Melisa. Semuanya mengaku kekasih Dwen. Semuanya cuba untuk mendapatkan tempat duduk di sebelah Dwen. Semua minta layanan kelas pertama!

Malah yang bernama Yasmin, siap menelefon Dwen dan merengek-rengek.

“B, kenapa I tak boleh duduk sebelah you? I datang dari jauh semata-mata kerana you. I rindu you B. Kenapa you buat I macam ni? Tolonglah B...” rengek Yasmin, tanpa malu.

Nora tersenyum-senyum dengan rasa nak termuntah!

Julie Hanan, Ernie Ros dan Dayana bersikap biasa dan selamba sahaja. Mereka daftar dan duduk di tempat yang disediakan tanpa banyak kerenah,

“Assalamualaikum, boleh saya jumpa Cik Nureen?” Seorang gadis memberi salam dari belakang. Nora menoleh.

“Cik Nureen ada di bilik VIP. Cik ni siapa?”

“Saya Hayati. Saya terima kad undangan ini,” jawab gadis itu sambil menghulurkan kad di tangannya.

Nora mengambilnya. Dia meneliti orang yang bernama Hayati itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Sopan. Dia berbaju kurung dan bertudung. Make up pun nipis sahaja.

‘Mesti bos suka yang ini.’ Bisik Nora dalam hati.

“Oh, Cik Hayati duduklah di meja sana tu ya.”

“Maafkan saya, boleh saya tahu siapa Romeo tu?” tanya Hayati sebelum beredar ke arah meja yang disediakan untuknya.

“Cik Hayati tak kenal dia ke? Saya pun tak kenal. Sebab saya hanya penyambut tetamu sahaja,” jawab Nora, berbohong.

“Saya datang sebab nak tahu siapa Romeo. Sebab saya rasa saya tak ada kawan bernama Romeo atau bercirikan Romeo.” Hayati berjalan ke arah tempat duduknya.

Nora angguk perlahan. Dia mengekori langkah gadis itu dengan simpati. Apakah Dwen terlalu baik pada pandangan matanya hingga tidak ada ciri-ciri Romeo?

Tiba-tiba telefon Nora berdering. Dia segera menjawab.

“Semua dah sampai?” tanya Nureen di hujung talian.

“Tinggal seorang saja lagi.”

“Siapa?”

“Karina.”

“Kita tunggu sepuluh minit lagi. Kalau tak ada, maknanya dia memang tak datang. Kita akan mulakan majlis,” kata Nureen.

Nora duduk menanti. Dalam fikirannya semakin berserabut dengan banyak soalan. Sejak ‘bos kecil’nya masuk ke syarikat itu, dia agak keliru dengan perangainya. Sikapnya tidak sama dengan anak orang kaya yang lain. Dia rajin bersarapan dengan Pak Nordin, pemandunya. Dia tidak malu makan tengah hari dengan staf yang lain. Malah sekarang, mencari calon isteri yang berciri kampung!

“Helo, bos awak mana?” Seorang wanita mengetuk meja. Fikiran Nora terhenti. Dia tersentak dan terus berdiri. Wajah wanita itu direnungnya. Cantik. Rambut perangnya yang separas bahu membuatkan wajah berciri mat saleh itu tambah ayu. Tetapi, budi bahasanya amat kurang ajar!

“Cik nak jumpa siapa?” tanya Nora.

“Bos awak, Dwen Datuk Haris,”

“Cik ni siapa?”

“I bakal isteri dia, Karina Tan Sri Halim.”

Nora meneliti. Dia menyengih. Ramainya yang mengaku bakal isteri bosnya. Dan inilah rupanya peserta yang ditunggu itu.

“Cik Karina, biar saya periksa nombor meja cik dulu ya,” kata Nora sambil membelek senarai nama yang ada.

“Heh, you dengar tak I kata apa tadi? I ni bakal isteri dia. Buat apa nak semak nombor meja? Dah tentu I akan duduk di sebelah dia!” sergah Karina.

Nora masih mencari nama Karina.

“You ni pekak ke bodoh?” tanya Karina dengan kasar.

Darah Nora tiba-tiba menyirap. Inilah calon yang ke sepuluh. Dan inilah calon yang paling kurang ajar. Harapkan muka sahaja lawa. Harapkan harta sahaja menimbun. Budi bahasa dan kesopanan, kosong!

“Apa lagi yang termenung ni? Mana tempat duduk I?”

“Silakan cik puan. Itu, di meja hujung sana. Yang ada tiga orang gadis tu. Cik puan boleh duduk di sana. Mereka itupun bakal isteri bos,” tunjuk Nora dengan gaya memperli.

“What? Apa yang you merepek ni?”

“Tak ada apa. Silakan duduk. Nanti Cik Karina akan tahu langit tu tinggi ke rendah.”

“I tak nak berkongsi meja dengan mereka? Tidak. Mereka tak layak nak duduk semeja dengan I. I hanya akan duduk dengan Dwen. Kalau tak, I nak balik. You jawab dengan bos yiu nanti,” ugut Karina, semakin sombong.

Nora ketawa. Kali ini dia sengaja kuatkan tawanya. Dia sengaja membakar hati Karina.

“Apa yang lucu sangat ni?”

“Kalau Cik Karina nak balik, silakan. Saya pun boleh jawab dengan bos saya, calon yang ke sepuluh tarik diri. Alasannya? Dia rasa tak layak nak jadi isteri bos,” jawab Nora dengan berani.

Wajah Karina merah padam. Dia rasa tercabar sangat dengan kata-kata Nora itu.

“Jaga you!” Karina memberi amaran. Kemudian dengan langkah marah, dia berjalan meninggalkan Nora.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.