Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 23

Nora tersengih menang. Betul juga kata Nureen. Hari itu dia berkuasa. Gunakan kuasa itu dengan tegas.

“Apa sengih-sengih ni?” tegur Dwen yang masuk diiringi Pak Nordin dan Syerif.

“Melihat gelagat bakal isteri bos yang ke sepuluh tu. Dia datang lambat. Tapi dia bawa peluru nak tembak saya,” jawab Nora dengan ketawa mengekek.

“Awak tak sakit kena tembak?”

“Bos, saya ada perisai. Tembakan itu tak kena pada saya sebaliknya ia memantul kepada yang menembak. Itu yang masing-masing bermuka masam. Nasib baik bos berikan kuasa veto kepada saya hari ni. Kalau tak, mahu hangus saya berdepan dengan mereka,” kata Nora lagi.

“Siapa yang awak berkenan dalam ramai-ramai tu?” Dwen sengaja menduga.

“Ada seorang saja. Tapi tak tahulah. Ini hal hati bos. Bos tengoklah sendiri. Cantik-cantik semuanya. Rambang mata bos nanti.” Nora mengekek lagi.

Dwen termenung seketika.

“Kita akan mulakan sebentar lagi. Nureen mana?” tanya Dwen.

“Tadi dia ke surau, solat zuhur. Sedang bersiap agaknya. Hari ni kan dia jadi orang kuat majlis,” jawab Nora.

“Mengumpat saya?” Suara Nureen kedengaran dari arah belakang. Mereka semua menoleh. Semua mata terpaku. Lama mereka terdiam.

“Kenapa ni? Ada yang tak kena ke?” Nureen membelek dirinya. Gaun labuh warna merah hati dengan tudung kuning cair memang sangat kena dengan tubuh Nureen yang tinggi lampai.

“Wow! Nampak gayanya kau pun kena masuk calon ni,” kata Nora.

“Encik Dwen, tak payahlah adakan majlis ni. Calonnya dah ada depan mata ni,” kata Pak Nordin pula.

“Benar kata Pak Nordin tu. Bidadari dah ada depan mata, buat apa nak buang masa,” sokong Syerif pulak.

“Ish, Pak Nordin. Dia ni mana nakkan saya. Dia tunggu putera raja,” jawab Dwen dengan ketawa.

Gurauan itu membuatkan wajah Nureen merah padam. Dia rasa malu sangat.

“Apa awak pakai lawa sangat ni?” Dwen meneliti wajah dan pakaian Nureen. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dia menilai. Memang cantik.

“Encik juga yang kata suruh saya pakai lain dari biasa,” jawab Nureen, selamba.

“Ya, awak memang staf yang patuh. Hari ni awak memang luar biasa dari biasa. Kalau saya tak kuat iman, memang boleh pengsan saya!” gurau Dwen. Pak Nordin dan Syerif ketawa.

“Encik ni...” Nureen semakin rasa malu.

“Dahlah, kita dah lambat. Karang mengamuk puteri-puteri di dalam tu,” kata Dwen. Dia melangkah masuk ke bilik yang sudah dihias cantik. Pak Nordin, Nureen dan Syerif mengekorinya.

“Nora, awak pun masuklah. Dah tak ada orang yang awak nak layan di luar ni,” kata Dwen kepada Nora yang tercegat di meja penyambut tamu.

“Tapi, saya nak buat apa kat dalam tu?”

“Saya lantik awak jadi juri awam. Awak undi calon yang awak suka. Ini masanya awak nak kenakan balik mereka yang sombong tu!”

“Ya ALLAH! Tak adalah niat saya nak dendam mereka,” balas Nora pula.

“Kalau awak tak nak dendam, awak undi dengan ikhlas. Saya bagi awak peluang 20 peratus untuk buat undian.”

Nora ketawa.

“Ketawa kenapa?” tanya Dwen dengan hairan.

“Dah benar-benar rasa macam rancangan realiti.”

“Eh, siapa kata kita main-main. Kita memang tengah memilih calon yang paling sesuai untuk saya. Dah mari masuk,” ajak Dwen.

Pak Nordin, Syerif dan Nureen segera duduk di meja juri. Nora pula duduk di kerusi bersebelahan dengan Dwen, yang agak jauh dari semua meja dan terasing dari meja juri.

Mata para peserta melorot ke arah Nora.

“Dwen, apa makna semua ni? You jemput I ke sini hanya untuk melihat gelagat miang you saja?” Karina bangun dan mendekati Dwen dengan wajah marah.

“Sabar dulu Karina. Silakan duduk,” pujuk Dwen, cuba bersabar.

“Nak sabar apa? I tak nak duduk dengan mereka. I bakal isteri you. I mesti duduk sebelah you. Tapi kenapa pula budak ni yang you pilih?” Karina menuding jari kepada Nora.

“Karina, tolong jangan buat kecoh. Duduklah. Nanti saya akan terangkan kenapa saya buat majlis ini.”

“No! Kalau you degil, I call your mom now!” kata Karina hampir menjerit.

“Karina, dengar sini. Mama saya tak ada kuasa untuk majlis ini. Majlis ini adalah majlis untuk saya meraikan bakal-bakal isteri saya. Jadi, kalau awak nak terus jadi bakal isteri saya, tolong duduk di meja sana, diam-diam!” tegas Dwen.

“What! Bakal-bakal isteri? Mereka tu semua?” Karina ketawa sinis.

“Kenapa? Awak ingat awak sorang saja yang hebat? Mereka tu semua pun hebat. Malah ada yang lebih hebat dari awak.”

“Dwen, awak tahu dengan siapa awak bercakap?”

“Saya tahu. Saya sedang bercakap dengan Karina anak Tan Sri Halim. Jadi, apa hebatnya?” Giliran Dwen pula ketawa sinis.

“Dwen!” jerit Karina.

“Saya beri awak masa untuk pilih. Keluar dari sini atau duduk diam-diam dan ikuti acara seterusnya. Cuma satu saja, kalau awak keluar dari sini maknanya awak tak layak jadi isteri saya dan pertemuan kita sampai di sini sahaja. Faham Cik Karina?” sergah Dwen dengan kuat.

Karina terkebil-kebil. Dengan langkah angkuh dia berjalan ke pintu. Namun sebelum pintu dibuka, dia menoleh.

“You jawab sendiri dengan mama you, Dwen!” jerit Karina.

Dwen membalasnya dengan ketawa yang sengaja dikuatkan. Ketawa perli.

“B, sampai hati you buat I macam ni. I ingat you cintakan I sorang je. Rupanya berderet girl friend you...” Yasmin juga ikut bangun dari tempat duduk dan berjalan ke arah Dwen.

Ketawa Dwen terhenti.

“Min, saya pernah kata saya cintakan awak ke? Kalau awak nak tunggu, awak tunggu dan jangan banyak songeh. Kalau awak pun nak ikut jejak Karina, silakan. Senang sikit kerja saya petang ni,” jawab Dwen, merenung tepat ke muka Yasmin.

Wajah Yasmin kelat. Dia mencapai beg tangannya dan melangkah keluar dari situ.

“Ada sesiapa lagi yang rasa dirinya tak layak untuk dinilai dan dicalonkan sebagai calon isteri saya? Saya beri peluang untuk anda menarik diri,” kata Dwen kepada lapan calon yang tinggal.

Diam. Sepi. Tidak ada yang bergerak dari tempat duduk. Dwen meneliti wajah Narita, Melisa, Dayana, Hayati, Qalesya, Enie Ros, Maisara dan Julie Hanan dengan senyum mesra.

“Baiklah. Nampaknya anda yang ada ini memang sangat sayangkan saya hingga sanggup terima apa jua cabaran. Sebenarnya, saya sayang anda semua. Cuma sekarang saya nak cari yang paling sesuai dengan saya. Saya tak nak berikan harapan palsu pada anda. Dan saya nak berlaku adil. Sebab itu saya adakan majlis ni. Maafkan saya kalau anda rasa tindakan saya ini tindakan sombong dan angkuh. Niat saya ikhlas,” kata Dwen.

“Boleh kami tahu apa yang patut kami buat sebenarnya?” Hayati yang sopan berbaju kurung dan bertudung bangun bertanya.

Mata Dwen sejuk memandang wajah Hayati. Tenang dan sopan.

“Tak susah. Hanya jawab soalan yang akan ditanya oleh juri. Markah akan diberikan sebanyak lapan puluh peratus.” Dwen menunjukkan ke arah meja juri. Semua mata peserta tertumpu kepada Pak Nordin, Syerif dan Nureen.

“Dua puluh peratus lagi akan diberikan oleh juri awam, Cik Nora.” Semua mata beralih pula kepada Nora.

“Jangan risau. Kita buat macam sembang biasa saja. Kita santai menyoal dan santai menjawab. Senangkan?”

“Huh! Berdebar saya Pak Nordin,” bisik Syerif. Untuk pertama kali dia berdepan dengan kerenah anak orang kaya.

“Saya akan jadi pemerhati saja. Sekarang saya serahkan majlis ni kepada juri. Silakan,” kata Dwen sambil duduk dengan selesa.

Pak Nordin, Syerif dan Nureen bersiap sedia.

“Kami tidak akan tanya kepada setiap orang. Kami akan tanya soalan secara umum. Siapa yang rasa bersedia nak jawab, dia boleh angkat tangan dan jawab. Siapa yang tak menjawab langsung, kami akan catitkan markahnya sifar. Adakah anda semua bersedia?” tanya Pak Nordin selaku ketua juri.

Semua peserta angguk. Pak Nordin menoleh kepada Dwen. Ketika itu, Dwen juga angguk sebagai tanda memberi izin, majlis dimulakan.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.