Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 10

Suasana di pejabat biasa sahaja. Sejak dua hari kembali bekerja, Dwen masih belum melupakan nama Andika Puteri dari hatinya. Belum pernah melihat wajahnya. Tidak pula mengenali siapa orangnya. Kenapa dia angau sangat dengan gadis itu?

Dwen menggeliat. Dia mula teringat akan agenda malam nanti. Undangan makan malam dengan keluarga Tan Sri Halim yang memang tidak disukainya.

“Jangan balik lambat. Dwen kena bersiap rapi. Malam ni Dwen nak jumpa bakal isteri.” Itu kata Datin Rodziah semasa dia sedang menyarung kasut pagi tadi.

Interkom di hadapannya berbunyi.

“Encik Dwen, ada orang nak jumpa.”

“Siapa?”

“Cik Narita.”

Muka Dwen berkerut. Kenapa gadis itu muncul dalam saat kepalanya berdenyut dengan masalah Karina?

“Okey, suruh dia masuk. Nureen, macam biasa ya!”

“Baik, encik.”

Dwen membetulkan duduk. Narita adalah seorang gadis yang sudah lama dikenalinya. Gadis itu lincah dan periang. Banyak perkara yang sering dikongsi bersama selama mereka kenal. Dia tahu Narita menaruh hati padanya. Namun, entah kenapa hatinya langsung tidak terbuka untuk jatuh cinta kepada Narita.

“Hai, sayang!” tegur Narita ketika pintu terkuak.

Dwen bangun dan menjawab salam sayang itu dengan senyuman.Dia mempersilakan Narita duduk dengan isyarat tangannya.

“Mana sayang pergi ni?Minggu lepas setiap hari Ita call, langsung tak berjawab. Kemudian Ita call ke sini, mereka kata sayang bercuti. Sampai hati, langsung tak beritahu Ita,” kata Narita, dengan suara merajuk.

“Saya memang dah lama tak cuti.”

“Yalah, kita kan boleh pergi sama-sama.”

“Awak mesti tak nak pergi kalau saya ajak.”

“Sayang belum pernah ajak pun. Kenapa sayang kata Ita tak nak pergi. Ita kan dah kata, Ita akan ikut ke mana saja sayang pergi. Apa lagi nak pergi bercuti macam ni,” balas Narita.

Dwen tersengih-sengih.

“Kenapa sengih je ni?Tak percaya cakap Ita ya?”

“Memang saya tak percaya. Sebab saya pergi bercuti di kampung Pak Nordin, bukan ke Paris atau London. Saya ke Pasir Puteh, Kelantan. Ita nak ikut?” tanya Dwen, sengaja menduga.

Narita terdiam. Wajahnya yang mulus dengan olesan alat solek itu ikut berubah.

“Sayang! Apa yang awak buat ni?” Narita separuh menjerit.

“Kenapa, salahkah? Saya rasa saya tak buat salah. Saya memang sukakan suasana kampung,” jawab Dwen selamba.

“Ita tak faham dengan perangai sayang sejak akhir-akhir ni. Dulu masa baru balik dari luar negeri, tak macam ni perangai sayang.Sekarang? Benda yang pelik sayang buat. Makan di warong. Bercuti ke kampung. Apa ni?” Narita menyergah.

Dwen tidak segera menjawab. Dia sudah membulatkan tekad.Hari itu, dia perlu memberikan kata putus kepada Narita sebagaimana dia telah berikan kepada Melisa. Semakin hari dia semakin penat dengan kerenah gadis-gadis yang berlagak diva itu.

“Sayang, kenapa jadi macam ni?”

“Jadi apa ? Saya biasa-biasa saja. Saya cuma nak cari pengalaman hidup di kampung. Nak rasa angin kampung. Nak rasa masakan kampung. Dan kalau boleh, nak kahwin orang kampung,” jawab Dwen dengan ketawa.

Narita menarik muka masam.

“Tak payahlah nak uji Ita begitu. Ita tahu hati sayang tu macam mana? Walaupun sayang tak pernah ucapkan kata cinta, tapi sayang sangat cintakan Ita kan? Kata orang cinta tak perlu diucap.”

Dwen terdiam. Dia mencari-cari ayat yang sesuai untuk menutup pintu cinta di hati Narita.

“Ita, saya minta maaf. Nampaknya Ita dah salah faham tentang hubungan kita ini.”

“Apa maksud sayang ni?”

“Saya tak pernah pun jatuh cinta pada awak. Hubungan kita tak lebih dari seorang kawan. Bila pula saya kata saya cintakan awak, Ita?”

Narita terkedu. Dia merenung tajam wajah Dwen. Namun, Dwen memang sudah bersedia. Dia melawan renungan itu tanpa mengalah.

“Saya tak bohong. Janganlah awak harap yang lebih-lebih dari saya. Saya tak nak awak kecewa kerana dalam hati saya ni langsung tak ada nama awak,” kata Dwen, tegas.

Narita terhenyak. Dia terdiam kelu.

“Tiga tahun saya tunggu awak, ini yang awak cakap pada saya?”Suara Narita mula kasar. Kelembutan dan sopan santun yang dilihat selama ini hanyut ke laut.

Dwen tenang sahaja. Dia tahu dia akan berdepan dengan keadaan itu.

“Maafkan saya Ita. Saya tak pernah janji apa-apa dengan awak kan?Saya kawan dengan awak sama seperti saya kawan dengan gadis-gadis lain. Tiga tahun ke, sepuluh tahun ke, kita tetap kawan.”

“Jadi, benar memang awak tak akan kahwin dengan saya?”

“Mama saya dah uruskan calon isteri untuk saya. Malam ni saya akan temu janji dengan bakal isteri dan keluarganya.”

“Awak memang buaya besar, Dwen! Tak sangka awak tipu saya!”

“Apa yang saya tipu? Awak tu yang letak harapan salah tempat.”

“Sebab awak beri saya harapan. Awak ajak saya ke sana sini. Awak kepit saya ke hulur ke hilir,” kata Narita mula menangis.

“Ita, awak salah lagi. Selama kita kenal dan keluar, saya tak pernah pun sentuh tangan awak. Tak pernah pun saya bersalam atau berberpegangan tangan. Itu haram. Apa lagi kalau awak kata saya kepit awak, memang fitnah!” balas Dwen, meninggi.

Interkom berbunyi. Dwen menekan.

“Encik Dwen, mesyuarat dah bermula.”Suara Nureen segar ceria.

“Ita, saya ada mesyuarat.”

Narita bangun dan keluar dari bilik itu dengan marah.

Dwen sandarkan diri ke kerusi.Langkah Narita dihantar dengan ekor mata. Dwen mula tersenyum. Senang rasa hatinya kerana gadis itu sudah pergi.

Dia menekan interkom dan memanggil Nureen masuk.

“Terima kasih Nureen kerana selamatkan saya dari keadaan,” kata Dwen ketika Nureen masuk.

“Macam biasa,” jawab Nureen dengan senyuman, geli hati.

Dwen ketawa terbahak-bahak. Perkataan ‘macam biasa’ memang sudah dimaklumi oleh mereka berdua. Ketika menerima tamu yang tidak disenangi, Dwen akan minta Nureen menekan interkom dengan peringatan mesyuarat. Itulah ‘macam biasa’ yang dimaksudkan.

“Apa pula kali ni?” tanya Nureen.

“Biasalah, dia salah sangka. Dia ingat saya jatuh cinta dengan dia dan nak kahwin dengan dia.”

“Hai, ramainya peminat Encik Dwen ni. Patut juga kalau dipanggil Romeo.”

“Saya ni tak sampai hati nak tolak bila orang ajak keluar. Bila dah keluar, mereka salah anggap pula.”

“Jadi, selama ini encik tak pernah ajak gadis keluar?”

“Belum pernah melainkan awak,” jawab Dwen, jujur.

Nureen diam. Dia memang ada keluar makan tengah hari beberapa kali bersama Dwen. Tetapi ia tidak ketara dan menjadi buah mulut kerana hubungan mereka sebagai bos dan pekerja memang rapat. Dwen tidak pernah anggap dia sebagai pekerja. Banyak hal peribadi yang diceritakan. Itu yang membuatkan Nureen rasa selesa bekerja di syarikat itu.

“Nak tahu kenapa saya selalu ajak awak keluar makan?” tanya Dwen, setelah melihat Nureen terdiam.

“Sebab saya ni PA encik.”

“Sebab awak ni dah banyak berjasa kepada saya.Awak ni tukang simpan rahsia saya.”

“Oh… merasuah saya ya?”

“Bukan rasuah, tapi hadiah. Jasa awak perlu dikenang sebab lepas ni ada banyak lagi sesi bohong yang kena awak lalui. Malah awak ni layak untuk menjadi rakan kongsi saya. Rakan berbohong,” jawab Dwen dengan selamba.

Nureen mengekek. Matanya sampai berair.

“Nureen, saya dah bebas dari Melisa dan Narita. Mungkin esok lusa akan muncul pula sotong gurita yang datang mengaku saya ni kekasih mereka. Jadi, saya serahkan kepada awak untuk menguruskannya. Janji, saya tak perlu bertemu mereka. Saya letihlah…” keluh Dwen, mendesah.

“Termasuk Karina?” tanya Nureen. Wajah bosnya ditatap, minta penjelasan.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.