Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 11

Dwen tersentak. Matanya beralih tepat ke wajah Nureen. Kata-kata Nureen itu merentap fikirannya yang beransur tenang. Kini, badai lain pula yang sampai.

“Mana awak tahu pasal Karina?” tanya Dwen dengan hairan.

“Encik, selama seminggu encik tak ada di ofis ni setiap hari orang yang bernama Karina itu menelefon.Macam-macam saya kena jawab dengan dia.”

“Dia tanya apa?”

“Pasal diri encik. Kegemaran encik. Kawan-kawan encik. Aduh…”

“Habis, awak jawab apa?”

“Saya kata, saya ni cuma PA di pejabat. Kalau hal-hal yang berkaitan dengan kerja, saya tahulah. Yang lain tu kena tanya mak dia,” jawab Nureen.

“Betul. Awak memang bijak.”

“Tapi, saya dapat herdikan bodoh dan dungu dari dia,” balas Nureen dengan wajah kesal.

“Karina herdik awak?”

Angguk.

“Melampau budak ni.Belum apa-apa dah nak tunjuk kuasa.” Dwen menggenggam penumbuk. Dia rasa benar-benar marah. Dia sendiri jarang mengherdik Nureen.

“Awak tak tanya dia siapa hingga berani marah awak?”

“Siang-siang dia dah beritahu, dia anak Tan Sri Halim dan bakal isteri encik.”

Dwen termenung. Nampaknya Karina lebih kurang ajar dari Melisa dan Narita. Belum apa-apa, belangnya sudah terserlah.

“Saya belum pernah jumpa dia. Belum pernah kenal. Mama saya yang sibuk nak jodohkan kami,” kata Dwen, seperti sedang mempertahankan diri.

“Datin tahu apa yang terbaik untuk encik,” kata Nureen pula.

“Entahlah Nureen. Saya rasa sedang diperalatkan.”

“Kenapa encik cakap macam tu?”

Dwen mengeluh. Biasanya hanya dalam filem dan drama, ada kes kahwin paksa demi perniagaan dan empayar kekayaan. Sekarang, dalam kehidupannya yang nyata dia sedang melaluinya.

“Macam mana saya nak lepaskan diri saya dari Karina ni, Nureen?” Dwen segera bingkas. Dia perlu segera mencari jalan keluar. Belum bertemu orangnya, dia sudah rasa muak. Kalau berdepan dan hidup bersama mungkin dia termuntah!

“Entahlah encik. Bab macam ni memang saya belum belajar. Dalam kitab pengajian saya, tak ada bab nikah kahwin bos. Jadi, encik kenalah fikir sendiri,” kata Nureen, cuba bergurau.

“Loyar buruk ya!” Dwen membalingkan sebatang pen ke arah Nureen, dengan ketawa. Tidak lama ketawa itu terhenti. Wajah ceria bertukar kusam.

“Awak tahulah, saya ni tak pernah berahsia dengan awak. Saya tahu, ini bidang kerja awak. Tapi carilah jalan dan idea, sebagai kawan. Saya buntu ni!” Dwen menpuk dahi.

Nureen merenung lantai. Memang fikirannya kosong. Selain dia kurang arif dengan hal-hal seperti itu, dia juga tidak mahu terlibat banyak.

“Nureen? Apa yang awak menungkan?”

“Entahlah encik. Kalau betul encik tak nak dengan Karina Kapor tu, terus terang sajalah dengan datin. Mungkin dia faham,” jawab Nureen.

“Mama saya nak faham? Awak tahu tak, dari kecil hingga sebesar ini saya hidup atas kehendak dan kemahuan dia. Saya masuk universiti pilihan dia.Saya ambil jurusan yang dia suka. Saya kerja di sini atas arahan dia. Dan sekarang, saya terpaksa kahwin atas pilihan dia. Saya tak ada hak atas diri saya, Nureen!” Suara Dwen pecah bergetar.

Nureen gugup. Dia bimbang kalau bosnya naik hantu dengan isu itu. Ada belas dan simpati di hatinya. Namun, apalah yang orang kecil sepertinya mampu buat.

“Saya tak suka awak diam saja, Nureen.Saya nak dengar pendapat awak.”

“Saya… saya tak tahu nak cakap apa. Idea saya tengah beku,” jawab Nureen, jujur.

“Saya tak nak awak bercakap sebagai PA saya.Saya nak awak bercakap sebagai kawan. Kalau awak yang kena, apa yang awak nak buat. Awak nak berserah atau awak nak melawan?” Dwen merenung Nureen. Matanya tepat ke mata Nureen.

Kelam kabut Nureen mengalihkan pandangan matanya.

“Saya boleh berikan idea. Tapi, tak tahu encik boleh ikut ke tidak?”

“Apa dia?” Dwen teruja.

“Encik segera cari pasangan pilihan hati dan bawa jumpa datin.”

Dwen termenung. Memang itu yang ada dalam fikirannya. Tetapi siapa?

“Itulah masalah bagi saya. Siapa yang nak saya bawa? Saya ni bukannya ada cinta hati,” jawab Dwen dengan lemah.

“Pilih saja salah seorang dari teman wanita yang ada dalam senarai encik tu!” usul Nureen lagi.

“Huh! Itu menambah bala yang ada!”

“Kenapa encik cakap macam tu?”

“Sebab semuanya tak senonoh! Tak ada satu pun yang sesuai dengan jiwa saya.”

“Tapi mereka semua cantik dan anak-anak orang kaya.”

“Nureen, cantik rupa dan kaya harta tak ada maknanya buat saya.Saya tak cari orang cantik. Saya juga tak pilih orang kaya,” sanggah Dwen.

Nureen hilang idea. Dia termenung, mencari-cari idea baru untuk membantu bosnya yang tengah pusing kepala itu.

Dwen juga begitu. Suasana sepi. Masing-masing hilang dalam diri sendiri.

“Nureen! Saya nak cuti lagi.Saya nak ke Medan.” Tiba-tiba Dwen menepuk meja.

Nureen tersentak dan mengurut dada.

“Panggilkan Pak Nordin masuk,” arah Dwen sebelum sempat nafas Nureen lega.

Dengan patuh, Nureen bangun dan berjalan ke arah pintu. Dia tidak tahu apa yang ada dalam kepala bosnya. Dan dia tidak mahu bertanya.

“Nureen!” panggil Dwen ketika tangan Nureen sudah memegang tombol pintu.

Nureen menoleh.

“Terima kasih ya! Awak memang PA yang baik. Esok saya belanja awak nasi lemak kukus,” kata Dwen dengan ketawa.

Nureen angguk dengan senyuman. Dia segera melangkah, mencari Pak Nordin.

Dwen duduk berkira-kira. Sudah jam 5.00 petang. Sekejap lagi dia akan balik. Malam nanti dia akan berdepan dengan gadis bernama Karina. Uh! Dengusannya keluar dari bibir. Dia mengemas meja. Fail dan alat tulis yang berselerak disimpan rapi. Dia tidak mahu menyusahkan Nureen dengan tugas kecil itu.

Pintu biliknya diketuk. Dia tahu Pak Nordin sudah sampai. Dia bersyukur kerana ada Pak Nordin dan Nureen dalam hidupnya ketika itu.

“Masuk, Pak Nordin,” suruhnya tanpa mengangkat muka.

“Dwen? Belum balik?”

Dwen tersentak. Mukanya diangkat dan memandang ke pintu.Segera dia bangun sebagai tanda hormat.

“Kejap lagi papa.”

“Balik cepat.Nanti mama bising. Dwen tahulah mama Dwen tu!” kata Datuk Haris dengan ketawa. Dwen tersengih-sengih. Hatinya tengah sengal dan sebal. Senyumannya dirasakan amat sumbang.

“Pa, boleh Dwen tanya sikit?”

Datuk Haris angguk dan kerdipkan mata, tanda izin.

“Perlukah Dwen pergi ke majlis tu malam ni?” tanya Dwen memberanikan diri.

“Kenapa Dwen tanya macam tu? Memanglah perlu. Sebab ini majlis kenal-mengenal antara dua keluarga. Juga untuk temukan Dwen dan Karina. Dwen tak suka?”

Dwen tunduk. Dia mengumpul semangat. Dia perlu berterus terang dengan papanya. Sekurang-kurangnya ada yang tahu mengenai hatinya.

“Memang Dwen tak suka. Bolehkah kalau soal isteri ni, Dwen buat pilihan sendiri. Dah banyak perkara yang Dwen ikut kehendak papa dan mama. Sekali ni, berilah peluang kepada Dwen.”

Mata Datuk Haris tenang merenung Dwen. Sementara Dwen pula rasa hatinya puas. Dia menunggu untuk menerima apa jua kata-kata yang keluar dari bibir Datuk Haris.

“Dwen kena faham hajat kami. Setiap ibu bapa inginkan masa depan yang baik untuk anak-anaknya,” kata Datuk Haris, penuh hemah.

“Saya juga nak yang terbaik untuk diri saya, pa.”

“Karina tu yang terbaik, Dwen. Dia cantik, terpelajar dan kaya. Cukup pakej untuk dijadikan isteri,” kata Datuk Haris.

Dwen tersenyum sinis.Tidak mampu lagi dia bersuara. Memang itulah pakej yang dibanggakan oleh papa dan mamanya. Tetapi itu bukan pakej hatinya!


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.