Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 38

Desa Mangga, Kabupaten Langkat.

Sudah masuk hari keempat Dwen berulang alik ke rumah Andika Puteri dari Pekan Stabat. Dia masih tidak berputus asa. Dia akan menanti.

“Kenapa encik masih berdegil nak tunggu saya. Saya dah kata saya tak akan ikut encik balik ke Malaysia!” tegas Andika Puteri setiap kali Dwen muncul di muka pintu rumahnya.

“Saya pun dah kata, saya tak akan balik tanpa awak.” Itu pula yang dijawabnya. Dia melihat wajah Andika Puteri yang tidak berpuas hati dan geram.

Dwen sudah melihat kehidupan Andika Puteri di desa itu. Dia memang sendirian. Arwah ibunya tidak mempunyai saudara mara di situ. Hanya jiran tetangga yang mengambil berat tentangnya.

Dalam masa berulang alik itu, Dwen sempat merisik cerita dari jirannya Pak Dasin.

“Keluarga almarhum ibunya memang bukan asal orang sini. Dia dari daerah yang lain. Mereka beli kebun di sini dan mulakan hidup di sini. Almarhum Ratna pergi bekerja di Malaysia dan berkahwin di sana. Sejak itu, lama kami tidak dengar khabar beritanya. Hingga ketika ibu bapanya meninggal pun dia tidak pulang. Selepas lima belas tahun, baru dia pulang kerana suaminya di sana sudah meninggal.”

Pak Dasin menyedut sebatang rokok di tangannya. Dwen sabar menanti cerita seterusnya.

“Dia berkahwin dengan Masron tapi tidak dikurniakan zuriat. Lalu dia pergi ke Malaysia dan membawa pulang Andika Puteri ke sini.”

“Lalu, kenapa Andika Puteri melarikan diri ke Malaysia semula?” tanya Dwen.

“Masron itu berwajah manusia tetapi berhati binatang. Dia cuba perkosa Andika Puteri. Aku yang suruh dia lari selepas beberapa kali Masron mencuba. Aku bimbang satu hari dia akan tewas.”

Dwen terkedu. Tidak disangka liku-liku hidup gadis itu begitu tajam dan menjunam.

“Arwah ibunya tahu hal ini?”

“Dia ada bilang sama ibunya, tapi Ratna tak percaya. Dia anggap Andika cuba merosakkan rumah tangganya. Biasalah, Maskon itu pandai memujuk rayu Ratna.”

Simpati Dwen semakin melaut. Hajatnya semakin menebal.

“Saya kurang faham macam mana dia boleh lepas lari.”

“Aku suruh dia curi paspot ibunya. Aku uruskan dia lari melalui jalan gelap,”

“Jalan gelap?” tanya Dwen, semakin keliru.

“Aku kirim dia melalui tekong yang bawa bot ke Malaysia. Aku dan beberapa orang kawan seludupkan dia ke sana!” jawab Pak Dasin dengan selamba. Dia menyedut rokok dan menghembuskan dengan rasa tidak bersalah.

Andika Puteri, sungguh malang nasibmu...

“Sekarang aku lagi takut,” sambung Pak Dasin. Kali ini dia mematikan rokoknya dan menyelitnya di celah telinga.

“Kenapa, pak?”

“Andika tinggal sendirian. Masron akan datang bila-bila masa sahaja. Lelaki itu sangat buas nafsunya!” Pak Dasin mendengus kuat. Api marah sedang menyala di matanya!

Hati Dwen semakin penuh dengan tekad dan keinginan.

“Pak, aku sebenarnya aku datang ke sini bawa hajat yang besar. Selepas dengar cerita bapak, aku rasa tak mahu balik kalau hajatku itu tidak sampai,” kata Dwen.

Pak Dasin segera menoleh. Matanya menatap wajah Dwen dengan tajam dan penuh makna.

“Aku datang untuk membawa Andika Puteri pulang ke Malaysia. Dia pernah bekerja di rumahku selama seminggu sebelum pulang ke sini. Dan aku sangat sukakan dia,” kata Dwen tidak mahu menunggu lama.

“Apa maksudmu?”

“Aku berhajat untuk mengambil dia sebagai isteriku.”

Mata lelaki itu semakin tajam melorot ke dalam mata Dwen. Ada keraguan. Ada kebimbangan.

“Kamu jujur?”

“Ya. Aku datang dari jauh kerana itu. Tapi...”

“Andika Puteri nggak setuju?”

Dwen angguk, perlahan dan lemah.

“Biar aku yang bicara sama Andika. Aku rasa lega kalau dia ikut kamu. Tugasku selesai. Aku akan pujuk dia. Kamu usah bimbang,” kata Pak Dasin dengan senyum senang.

Hati Dwen sedikit riang. Namun kebimbangan tetap merimbun di hati. Bagaimana kalau Andika tetap berkeras walaupun sudah dipujuk oleh Pak Dasin sendiri.

**

Hari itu masuk hari kelima. Pagi-pagi dia sudah bersiap untuk ke rumah Andika Puteri sekali lagi.

Ketika sedang mengadap sarapan pagi di Warong Wong Solo tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera menjawab.

“Dwen, dah jumpa dengan Puteri?” Suara Pak Nordin segar di hujung talian.

“Dah. Dah empat hari saya bertemu dia.”

“Apa khabar dia?”

“Dia sihat dan baik-baik saja.”

“Dah sampaikan salam saya?”

“Alamak! Saya terlupalah Pak Nordin. Nanti saya sampaikan. Sekejap lagi saya nak ke rumahnya lagi.” Dwen benar-benar terlupa untuk menyampaikan salam itu.

“Bila nak balik? Saya dah tak sabar nak tunggu ni!”

Dwen terkebil-kebil. Pak Nordin harus tahu apa yang berlaku. Lalu semuanya diceritakan. Tidak ada yang tertinggal, termasuk juga kisah yang didengarnya dari Pak Dasin.

“Jadi, dia benar-benar tak nak ikut Dwen balik?”

“Saya masih berikan dia peluang berfikir. Saya akan tunggu sampai dia setuju.”

“Ya. Kalau benar cerita Pak Dasin tu, kita kena bawa dia kelaur dari situ secepat mungkin. Dwen tak boleh balik tanpa dia! Itu perintah saya!” tegas Pak Nordin.

“Saya akan cuba sampai berjaya. Mesti! Walau kena tunggu seribu tahun pun, saya rela.”

“Ish! Mana boleh tunggu macam tu lama?” tingkah Pak Nordin dengan cepat.

“Kenapa pula Pak Nordin?” Dwen tiba-tiba keliru.

“Dwen lupa janji Dwen dengan datuk dan datin? Masa semakin dekat.”

Dwen terdiam. Baru dia teringat akan janjinya. Dia tidak boleh membuagn masa lagi. Dia mesti memujuk bersungguh-sungguh. Apapun syaratnya, dia kena terima.

“Dwen dah berikan surat saya pada dia?” tanya Pak Nordin lagi.

Surat? Dwen termenung, cuba mengingati tentang surat yang dikatakan itu. Tiba-tiba dia menepuk dahi.

“Ya ALLAH! Saya terlupa langsung pasal surat tu Pak Nordin. Maafkan saya. Saya benar-benar terlupa!”

“Kenapa ni? Selalunya Dwen bukan begini orangnya. Dwen seorang yang sangat menepati janji. Sangat amanah dan sangat teliti. Kenapa kali ini, semuanya boleh lupa? Dah teruk juga angau Dwen ni ya?” kata Pak Nordin dengan ketawa.

Dwen rasa malu dengan kecuaiannya. Walaupun tidak dapat melihat wajah Pak Nordin, tetapi dia mampu membayangkan senyum sinis Pak Nordin.

“Sekejap lagi saya akan ke sana. Saya akan berikan surat itu,” kata Dwen.

“Mungkin surat saya itu boleh lembutkan hati dia.” Itu kata Pak Nordin sebelum talian dimatikan.

Dwen menghabiskan minumannya. Kata-kata Pak Nordin itu membangkitkan semangatnya. Walaupun dia tidak mengetahui apa isi kandungan surat itu, namun dia rasa yakin dengan kata-kata itu.

Dengan cepat Dwen mengajak Wanda terus ke Desa Mangga, ke rumah Andika Puteri.

Mereka sampai di halaman rumah Andika Puteri ketika gadis itu sedang menyapu daun-daun jambu batu yang berselerak.

“Encik lagi? Saya ingat pagi ni saya dah aman. Tak cukupkah encik guna khidmat Pak Dasin untuk memujuk saya?” Wajah Andika Puteri bertukar marah.

“Saya minta maaf kalau saya salah. Saya tak minta pun khidmat sesiapa. Kalau Pak Dasin memujuk awak, itu kerana dia sayangkan awak dan nak awak bekerja dengan saya. Dia nak awak selamat,” jawab Dwen, cuba bertenang dan sabar.

Andika Puteri tunduk. Penyapu di tangannya dikuis-kuis.

“Saya datang kerana nak serahkan surat ni. Saya terlupa. Baru hari ni saya ingat.” Dwen menghulurkan sampul surat itu kepada Andika Puteri.

“Dari siapa?”

“Dari Pak Nordin, orang kampung arwah ayah awak. Bacalah. Saya pun tak tahu apa isinya. Tapi dia suruh saya berikan surat ini kepada awak sebaik saja saya jumpa awak, tapi saya dah terlupa. Maafkan saya,” kata Dwen.

Andika Puteri membuka surat itu dan terus membacanya. Tidak lama wajahnya berkerut. Dia mendongak dan matanya bertembung dengan mata Dwen.

“Jadi, Pak Nordin kenal encik?”

“Dia kerja dengan syarikat papa saya. Dia yang berikan alamat awak ni kepada saya.”

Andika Puteri diam. Dia termenung lama. Dwen membiarkan.


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.