Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 48

Dwen sangat bangga bila Nureen dan Nora memuji masakan Andika yang sedap. Pak Nordin pula tersengih-sengih, ikut bangga kerana Andika adalah orang kampungnya.

“Nampaknya, encik dah dapat apa yang encik cari,” bisik Nora ketika Andika berada di dapur.

“Alhamdulillah. Semoga kami ada jodoh.” Wajah Dwen bersinar, ceria.

“Harimau tu macam mana?” tanya Nora lagi.

“Mama saya dah janji. Kalau saya dapat cari calon sebelum tarikh yang diberikan, dia akan ikut pilihan saya,” jawab Dwen.

“Encik yakin datin akan ikut kehendak encik?” tanya Nureen pula.

“Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.”

“Kalau dia mungkir janji?”

Dwen diam. Dia belum terfikir kalau itu akan berlaku.

“Sebab itu, saya dan Andika mesti segera bernikah. Kalau kami dah jadi suami isteri, tak ada alasan lagi untuk mama saya memaksa saya berkahwin dengan Karina tu,” balas Dwen.

“Saya tak rasa datin akan berpuas hati dengan keputusan encik ini. Dia akan tetap dengan kehendak dia. Kalau tidak, takkan dia bawa Karina masuk dalam Melati Holdings.”

Dwen angguk. Dia setuju dengan kata-kata Nureen itu.

“Dwen, awak kena kuat berdepan dengan semua ini.” Pak Nordin menyampuk.

“Encik Dwen, kami datang ada hajat dengan encik,” kata Nureen. Matanya beralih kepada Nora yang serta merta muram.

“Ada apa?”

“Sejak Karina masuk dalam pejabat kita, keadaan sudah tidak seperti dulu.” Nora memulakan bicara. Kemudian semua yang berlaku terluah dari bibir Nora.

“Saya tak selesa bekerja dengan Cik Karina tu. Nampak sangat, dia nak gunakan saya untuk mengorek rahsia encik. Hari ni dia ugut nak berhentikan saya kalau saya tak ikut arahan dia,” kata Nora.

“Hah? Berani dia buat begitu? Apa salah awak hingga dia nak buat macam tu?”

“Dwen, saya rasa Dwen kena balik ke pejabat. Hanya selagi Dwen yang boleh selesaikan masalah ini. Huru hara pejabat tu sejak Karina masuk. Semua kena dengar arahan dia, walaupun kita ni tak kerja dengan dia,” kata Pak Nordin pula.

“Saya akan balik bertugas selepas saya nikah dengan Andika, Pak Nordin. Pak Nordin faham kenapa kan?”

“Kalau macam tu, minggu ni Dwen kena selesaikan urusannya. Esok, pergi ke Pejabat Agama. Buat urusan resmi. Saya akan uruskan hal wali. Dwen tak nak bawa Andika jumpa datuk dan datin dulu? Mana tahu nak kenalkan calon menantu?” tanya Pak Nordin merenung Dwen.

“Dalam keadaan yang sangat tersepit ini, saya tak nak buat macam tu. Bila semua dah selesai, baru saya akan bawa Andika balik. Masa tu, tak ada apa yang mereka boleh buat pada saya lagi.”

“Kalau macam tu, apa yang saya harus buat. Ikutkan hati, saya memang tak suka nak kerja di situ lagi. Tapi, dalam masa yang sama saya juga nak tengok Cik Karina memecat saya. Kalau tanpa alasan kukuh dia pecat saya, saya tak akan berdiam diri,” kata Nora, bersungguh-sungguh.

Dwen termenung lama. Apa yang dikatakan oleh Pak Nordin itu akan dilakukan segera. Apa yang dikatakan oleh Nora itu memang benar. Pendapat Nureen juga sangat betul. Datin Radziah tidak membawa Karina ke ofis itu tanpa sebab.

Walaupun Melati Holdings dan Diamond Holdings ada pakatan untuk bekerjasama dalam sebuah projek, tidak perlu Karina diberikan pejabat di bangunan itu. Kerjasama boleh dilakukan tanpa bertemu setiap hari.

“Apa yang perlu saya buat, Nureen?” Dwen berpaling kepada Nureen.

“Saya rasa encik kena balik ke ofis. Saya bimbang keadaan akan bertambah teruk. Lagipun, encik tak perlu risau lagi. Encik dah jumpa Andika. Encik dah nak kahwin. Dalam masa dua minggu ini, semuanya akan selesai. Karina dah tak boleh nak kacau encik lagi,” kata Nureen, jujur.

“Nantilah, saya fikir dulu macam mana.”

“Kalau encik lambat bertindak, ramai yang akan tinggalkan syarikat,” kata Nora pula.

“Kenapa teruk sangat? Baru sebulan dia datang, kan?”

“Dalam masa sebulan ni, ada macam-macam benda yang dia buat. Semuanya menyakitkan hati kami. Ada saja yang kami buat tak kena. Dia buat macam ofis tu milik dia seratus peratus,” jawab Nora.

“Awak PA dia, kenapa tak tegur?” tanya Dwen.

Nora tersenyum sinis. Karina bukan bos yang boleh ditegur. Dia bos yang hanya tahu menegur kesalahan orang tetapi menutup kesalahan sendiri.

“Encik ingat dia tu macam encik, boleh dibawa berunding?”

Dwen mengeluh, kasar dan keras. Mamanya telah melakukan kesilapan kerana membaca Karina masuk ke Melati Holdings.

“Dia nak saya korek smeua rahsia encik dari Nureen kerana saya baik dengan Nureen. Semua pergerakan encik, dia nak tahu. Dia ingat saya ni PI, yang kerjanya menyiasat. Saya ni hanya PA yang bertugas sebagai pembantunya,” gerutu Nora lagi. Wajahnya memang membayangkan rasa hatinya yang tidak gembira.

“Dwen, saya takut dia akan kacau Andika kalau dia tahu siapa Andika,” kata Pak Nordin pula.

“Pak Nordin, saya tak selemah itu nak biarkan dia kacau hidup saya. Sebab itu saya nak kami segera bernikah sebelum dia tahu hal kami.” Dwen berpaling kepada Pak Nordin. Dia cuba meyakinkan Pak Nordin bahawa Andika selamat dalam tangannya.

“Baiklah, kalau macam tu petang ni saya akan telefon mak saya dan suruh bincang dengan bapa saudara Andika yang masih ada di kampung. Kalau mereka tak dapat datang, kita guna wali hakim saja,” balas Pak Nordin, sedikit gembira.

“Nora, awak jangan bimbang. Selagi saya ada di syarikat itu, awak buat kerja macam biasa. Ikut arahan dia selagi tak melampau. Dua minggu saja. Lepas saya nikah, saya akan balik bekerja. Awak sabar. Saya akan tarik awak balik ke jabatan awak,” kata Dwen, memberi janji.

Nora angguk setuju. Dia tersenyum lega.

“Baby! Sini sekejap!” panggil Andika dari arah dapur.

“Baby?” Nureen dan Nora saling berpandangan. Kemudian mereka menutup mulut menahan ketawa.

“Ya! Sekejap ya!” balas Dwen sambil mencubit bahu Nureen. Dia ketawa perlahan. Hatinya tiba-tiba rasa segar. Dia berjalan ke dapur dengan wajah tersengih-sengih.

“Baby...” kata Nureen melepaskan gelak.

“Romantik juga Andika ni. Aku suka tengok mereka. Baru kenal, tapi dah mesra. Andika tu cantik, baik dan pandai. Memang cukup pakej yang bos nak. Sukanya aku,” kata Nora, ikut ketawa.

“Kau kena promote Andika pada bos kau lepas ni. Tapi biar lepas mereka jadi suami isteri,” kata Nureen.

“Kenapa?” Nora berpaling.

“Saja nak tengok muka dia yang cantik tu berubah jadi apa.” Nureen gelak.

“Tak baik kamu berdua niat begitu. Kita tak tahu lagi nasib Mek Yie macam mana. Saya risau juga ni,” kata Pak Nordin, perlahan namun wajahnya nampak risau.

“Pak Nordin, dari tadi Pak Nordin asyik sebut nama Mek Yie. Siapa Mek Yie tu?” tanya Nora.

“Syy... pelan-pelan. Nanti dia dengar,” bisik Pak Nordin sambil meletakkan jari telunjuknya ke bibir.

“Siapa? Andika?” tanya Nora lagi.

Pak Nordin angguk.

“Mek Yie tu panggilan Andika di kampung. Nama penuh dia kan Andika Puteri. Orang Kelantan akan panggil mek sebagai panggilan manja. Tapi jangan panggil begitu depan dia. dia tak suka. Sebab panggilan tu mengingatkan dia kepada ibunya.”

Nora mula faham. Dia ikut angguk.

“Nah, rezeki kamu semua hari ini. Andika masak pengat pisang sebagai pencuci mulut.” Dwen keluar dengan sebuah mangkuk besar di tangannya. Andika pula berjalan di belakangnya dengan menatang sebuah dulang.

“Terima kasih Andika. Awak memang pandai masak. Beruntunglah Encik Dwen dapat awak sebagai calon isteri. Kami pun tumpang senang juga,” kata Nureen.

“Apa kena mengena dengan awak pulak?” Dwen sengaja menjengilkan mata kepada Nureen.

“Yalah, seminggu sekali encik akan ajak kami makan free di sini. Kalau dulu, kita lepak kat kedai mamak, sekarang kita dah boleh lepak dan makan puas-puas di sini,” jawab Nureen dengan ketawa.

“Banyaklah awak punya lepak! Awak ingat Andika ni tukang masak awak?”

“Alamak! Kedekutnya bos ni,” balas Nureen, semakin galak ketawa.

“Janganlah kedekut sangat baby. Saya tak kisah kena masak tiap-tiap hari untuk Cik Nureen, Cik Nora dan Pokdeng,” sampuk Andika pula sambil mencedok pengat pisang ke dalam mangkuk kecil yang ditatangnya tadi.

“Ha! Dengar tu. Andika pun tak kisah. Baby je yang kedekut!” usik Nureen lagi. Dwen mengangkat tangan, olok-olok ingin memukul Nureen.

Nureen melarikan diri. Suasana di ruang tamu itu riuh rendah.


Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.