Hajat hendak
mengembara, cuba diteruskan hari itu. Sudah nekad hatinya. Hari itu dia akan
keluar. Langkah pertama, dia akan ke Port Dickson. Itu yang ada dalam
fikirannya sejak seminggu ini. Itulah pantai yang terdekat.
Lalu seawal pagi dia
bersiap. Sebuah beg dimasukkan ke dalam
kereta. Sebelum keluar dari rumah, dia menulis sekeping nota.
Cik
Ratna, saya keluar dari KL. Mungkin seminggu dua. Awak tolong jaga rumah saya.
Kalau awak rasa tak nak datang setiap hari pun tak apa. Sebab kerja pun tak
ada. Sila telefon saya dengan nombor ini kalau ada yang mustahak. Atau awak
telefon Nureen- Dwen.
Nota itu diletakkan di
atas meja. Kemudian dia melangkah keluar dengan bismillah.
Sepanjang jalan, dia
rasa senang hati dan riang. Dia bernyanyi-nyanyi mengikut rentak lagu dari
radio yang dipasang. Dia memandu dengan selesa kerana tidak ada kesesakan
langsung. Mungkin kerana pagi masih awal.
Hampir satu jam memandu,
Dwen rasa haus. Dia meninjau-ninjau
warong atau restoren yang dapat disinggahi.
Dalam masa meninjau
itu, sebuah motorsikal melintasi keretanya dengan tiba-tiba. Dia membrek.
Penunggang motorsikal itu terpelanting jatuh. Dengan cepat dia keluar dari kereta.
Orang ramai mula berkerumun.
Penunggang motor itu
seorang gadis. Dahinya berdarah dan dia terlentang, mengerang kesakitak.
“Awak tak apa-apa?”
tanya Dwen dengan panik. Untuk pertama kali sejak ada lesen memandu dia
melanggar orang.
“Tak apa-apa apanya?
Awak tak tengok ke dia berdarah ni?” sergah seorang lelaki yang ada di situ.
“Maafkan saya. Mari
saya bawa ke klinik,” kata Dwen. Gadis itu diam. Ternyata dia dalam keadaan
lemah.
“Awak kena buat
report ni dik. Jangan biarkan orang
macam ni terlepas dari undang-undang. Dia ingat dia bawa kereta besar dan
mewah, dia boleh langgar orang macam langgar anak ayam!” marah lelaki itu lagi.
“Encik, kalau dia ni
melintas dengan tiba-tiba depan encik, apa yang encik nak buat? Encik pun akan
langgar kan? Ini nasib baik saya tak laju. Kalau saya laju tadi, pecah kepala
dia!” Dwen hilang sabar.
“Ah! Report je dik.
Jangan lepaskan dia!” kata lelaki itu, kasar.
“Baiklah. Mari kita ke
balai polis. Saya tak takut sebab saya tak salah. Encik tengok, ini jalan
siapa? Encik tengok itu, tanda apa? Tanda berhenti, tapi dia tak berhenti. Dia
ni terus je jalan macam dia sorang ada kat jalan raya ni. Jadi kalau nak ke
balai polis sangat, jomlah!” Dwen bangun dan berjalan ke kereta.
“E..e..encik... tunggu!
Tak payah report. Tolong bawa saya ke klinik. Sakit sangat ni...” kata gadis
yang masih terbaring di atas jalan raya.
Langkah Dwen terhenti.
Dia berpaling dan berjalan semula ke arah gadis itu. Dengan selamba dia
mencempung gadis itu dan membawa ke kereta. Lelaki yang berkasar tadi segera
angkat kaki, malu!
Orang ramai yang
berkerumun pun mula beredar.
“Motor awak tu macam
mana?” tanya Dwen setelah gadis itu sudah didudukkan dengan selesa dalam
kereta.
“Entahlah. Encik
tolonglah sorongkan ke tepi.”
“Nanti hilang macam
mana?”
Gadis itu diam. Dwen
termenung seketika. Memang dia tidak ada
pengalaman langsung dalam hal-hal macam itu.
“Macam nilah. Encik
tolak ke tepi jalan tu. Nah, ini rantai dan kuncinya. Encik rantaikan saja pada
tiang lampu tu. Nanti lepas balik dari klinik, saya datang ambil motor saya
ni.” Gadis itu menghulurkan rantai dan kunci yang dikeluarkan dari beg yang
disandangnya.
Dwen akur.
Selepas itu, dia
memandu mencari klinik yang berdekatan.
“Maaflah, saya tak
biasa sangat dengan tempat ini. Boleh cik beritahu kat mana ada klinik?” tanya
Dwen selepas berlegar-legar mencari.
“Encik jalan ke depan
sikit kemudian belok kanan. Ada sebuah klinik kat situ. Aduh...” tunjuk gadis
itu sambil menggosok-gosok kakinya.
Dahinya yang berdarah, ditekap dengan tisu.
Dwen segera menuju ke
tempat yang ditunjukkan. Tidak lama, dia berhenti betul-betul di hadapan
klinik. Dengan cepat, dia keluar. Seperti tadi, dia mencempung gadis itu dan
dibawa masuk ke dalam klinik.
“Dia kemalangan. Tolong
berikan rawatan segera,” kata Dwen kepada kaki tangan klinik itu.
“Bawa dia masuk ke
bilik hujung sana. Kemudian encik boleh daftar di kaunter ya,” suruh seorang
staf yang ada.
Dwen akur.
“Mana kad pengenalan
awak?” tanya Dwen selepas gadis itu dibaringkan di katil. Gadis itu nampak
lemah. Dia tidak mampu membuka mata. Hanya tangannya meraba dalam beg
sandangnya dan mengeluarkan sebuah purse.
Dwen keluarkan sekeping
kad pengenalan. Tanpa melihat dia berjalan ke kaunter untuk membuat pendaftaran. Kemudian dia disuruh duduk dan tunggu kerana
ada beberapa orang yang sedang dilayan.
“Rina bt Rahman!”
panggil kerani di kaunter pendaftaran.
Tidak ada yang bangun.
Tidak ada yang memberikan reaksi. Termasuk Dwen. Dia diam, selamba sahaja.
“Encik, bukankah encik
yang bawa gadis tu tadi?” tanya staf di kaunter.
Dwen terpinga-pinga.
Dia tersedar lalu segera bangun menuju ke kaunter.
“Encik tak kenal dia
ke?”
“Tak. Saya cuma tolong
hantar dia.”
Gadis itu angguk sambil
menghulurkan semula kad pengenalan gadis itu. Dwen duduk semula dan menunggu.
Hampir setengah jam,
seorang pembantu klinik menolak gadis yang bernama Rina itu keluar dari bilik
rawatan dengan kerusi roda. Kakinya berbalut dan kepalanya sudah siap dijahit.
“Patah ke?” tanya Dwen
menghampiri Rina.
“Tak, terseliuh dan
luka je. Tak ada apa-apa.”
“Saya minta maaf,” kata
Dwen perlahan dan dengan rasa bersalah.
“Bukan salah encik.
Saya yang salah kerana gopoh sangat. Saya yang tak hati-hati.”
“Apa yang awak kejar?”
Diam. Rina seperti
tidak mahu menjawab. Dia sandarkan kepalanya yang bertampal plaster itu ke
kerusi.
Tidak lama nama Rina
dipanggil. Dwen bangun dan segera ke kaunter. Bil dibayar dan dia menolak
kerusi roda ke kereta.
“Saya hantar awak balik
ke rumah. Di mana rumah awak,” kata Dwen selepas enjin kereta dihidupkan.
“Tak payahlah. Encik
hantar saja ke tempat motor saya tadi. Nanti saya balik sendiri.”
“Heh! Macam mana awak
nak naik motor dengan kaki awak yang berbalut ni!” Dwen separuh menjerit.
Matanya melorot ke arah Rina.
Rina terdiam. Dia
terkebil-kebil berfikir. Tidak lama, dia angguk akur dan setuju Dwen
menghantarnya.
Dwen memandu dengan arah
yang ditunjukkan oleh Rina. Mereka sampai ke Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Deretan
rumah pangsa di sebelah kiri dan rumah teres kos rendah di sebelah kanan.
“Mana rumah awak?”
tanya Dwen, melilau melihat pemandangan kawasan yang sesak itu.
“Blok A tu.”
“Awak tinggal di flat
tu? Tingkat berapa?”
“Tingkat 3.”
Dwen terdiam. Dia terfikir
macam mana untuk membawa Rina meniti tangga untuk ke tingkat tiga!
“Encik, berhentikan di
depan tu. Nanti saya suruh adik saya turun ambil saya. Encik tak payah hantar,”
kata Rina ketika Dwen sedang berfikir-fikir.
Dwen akur. Kereta
diberhentikan di hadapan sebuah pondok menunggu bas. Kemudian dia turun dan
memimpin gadis itu keluar. Dia ingin mencempung seperti tadi, tetapi melihat ramai
orang yang sedang memerhatikan mereka dia rasa malu.
“Terima kasih encik. Saya
minta maaf kerana susahkan encik,” kata Rina selepas duruk dengan selesa di pondok
itu.
“Tak apa. Ini kad saya.
Dan ini ada sikit duit untuk membaiki motor awak. Kalau tak cukup, telefon
saya. Err... boleh saya dapatkan nombor telefon awak?”
“Untuk apa?” tanya
Rina, ragu-ragu.
“Mana tahu, kalau saya
nak datang melawat awak. Kita boleh berkawan kan?”
Rina diam seketika. Tidak
lama, dia menuliskan nombornya pada sekeping kertas dan menghulurkan. Dwen
menerimanya dengan senyum dan meninggalkan tempat itu.