Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 51

Urusan pernikahan sudah selesai semuanya. Dwen dan Andika sudah melepasi kursus kahwin. Mereka sudah lulus ujian HIV. Semua dokomen juga sudah siap diuruskan. Mereka akan bernikah berwali hakim kerana bapa saudara Andika yang sepatutnya mewalikan tidak dapat hadir. Dia sudah menandatangani semua surat yang perlu.

Dwen menarik nafas lega. Dia hanya menanti hari. Menurut pihak Jabatan Agama, dua hari lagi pernikahan akan diadakan. Pernikahan itu akan dibuat di pejabat itu. Dwen tidak mahu ada orang tahu. Ia akan dibuat secara tertutup.

Selepas kejadian hari itu, Karina jarang datang ke pejabat.

“Kalau datang pun sekejap, dia akan keluar dan tak balik lagi,” kata Nora memberi laporan kepada Dwen.

“Mama saya ada kata apa-apa?”

“Datin pun jarang ada. Nampaknya semua dah tenang dan aman. Kerja saya pun dah senang sikit. Tak ada tekanan!” jawab Nora.

Dwen tidak yakin keadaan sudah tenang. Mungkin belum masanya, Datin Rodziah akan bertindak. Atau mungkin Karina belum membuat aduan. Tunggu sahaja, masa akan sampai. Itu yang Dwen rasa.

Beberapa hari kemudian, apa yang diduga Dwen pun berlaku. Semua dugaannya menjadi benar. Karina tidak akan berdiam diri. Datin Rodziah adalah senjata yang akan digunakan untuk melawan Dwen.

“Mama nak Dwen balik rumah malam ni. Mama ada hal nak cakap dengan Dwen. Tak ada alasan. Titik.” Itu kata Datin Rodziah ketika menelefon Dwen petang itu. Dwen tidak diberi peluang menjawab panggilan itu. Datin Rodziah segera mematikan talian.

Dwen kenal suara marah mamanya. Dia tahu, perang akan bermula.

“Mama saya akan mengamuk malam ni, Pak Nordin. Karina pasti dah ceritakan semuanya,” kata Dwen ketika Pak Nordin datang ke rumahnya untuk mengambil Andika pulang.

“Habis tu macam mana?” Pak Nordin mula bimbang.

“Saya dah bersedia untuk menghadapinya,” jawab Dwen, tenang.

“Saya harap awak tidak bergaduh dengan keluarga awak kerana saya,” kata Andika.

“Tidak sama sekali, Andika. Keluarga saya belum tahu pun pasal awak. Ini adalah pergeseran pendapat saja. Kami tak bergaduh. Awak jangan risau, sayang,” jawab Dwen. Matanya menyapu wajah Andika. Sedap mata memandang. Tenang juga jiwa yang melihat. Itu yang Dwen rasa.

Pak Nordin segera menghabiskan minuman yang dihidangkan Andika.

“Saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa, telefon saya. Dwen jangan hadapi seorang diri. Saya ada untuk sama-sama berkongsi masalah,” kata Pak Nordin, bangun dan berjalan ke pintu.

“Terima kasih Pak Nordin, kerana sudi menemani saya selama ini,” balas Dwen, jujur.

“Saya pergi dulu, awak. Awak kena sabar ya. Jangan berkasar dengan mereka,” kata Andika sebelum mengekori Pak Nordin.

“Andika!” panggil Dwen.

Andika menoleh. Mata mereka bertemu.

“Terima kasih. Awak memang baik,” kata Dwen dengan senyum senang.

“Bye baby! Jangan sedih ya!” Andika melambaikan tangan. Ketawanya mengekek.

Hati Dwen berdebar lagi. Suara Andika memang sangat lunak di pendengarannya. Semakin lama hatinya semakin tertambat dengan Andika. Banyak perkara yang ada pada Andika semakin menawan hatinya.

Malam itu, Dwen sampai ke rumah banglo Datuk Haris tepat jam 9-00 malam. Dia terus masuk dan duduk di ruang tamu seperti seorang tetamu. Memang dia tetamu Datin Rodziah malam itu.

Sebagai tetamu, dia akan menjaga adab bertamu.

Tidak lama, Datin Rodziah turun dan duduk berhadapan Dwen. Wajahnya masam.

Dengan penuh hormat, Dwen bangun dan mencium tangan mamanya.

“Mama sihat?” tanya Dwen, cuba berlagak tenang.

Datin Rodziah tidak menjawab. Matanya merenung tajam ke arah Dwen.

“Apa yang Dwen buat ni?” serang Datin Rodziah.

“Apa yang Dwen buat?”

“Dwen tak payah nak berlakon dengan mama. Dwen tahu apa maksud mama. Dwen tahu, mama sukakan Karina. Tapi, Dwen sengaja nak buat mama sakit hati.”

Dwen diam. Dia tidak ingin berlawan cakap dengan Datik Rodziah kerana Karina.

“Dwen tahukan, Karina itu calon isteri Dwen? Kenapa selalu nak sakitkan hati dia. Dwen saja nak buat mama malu dengan keluarga Tan Sri Halim tu kan?”

Dwen mencari-cari ayat yang sesuai untuk menjawab. Namun sebelum sempat dia menjawab, Datin Rodziah telah memberi hukuman mati.

“Mama nak Dwen segera kahwin dengan Karina. Mama tak nak dengar Dwen tolak cadangan mama ini!”

“Mama...”

“Tidak. Apapun yang terjadi, Dwen mesti kena kahwin dengan Karina. Mama akan uruskan segalanya. Dwen hanya hadirkan diri saja!” tegas Datik Rodziah.

“Mama! Sejak bila mama jadi kejam macam ni?” Akhirnya Dwen hilang sabar.

“Apa yang kejamnya. Mama cuma nak Dwen berkahwin dengan Karina, salah ke?”

“Dari awal saya dah cakap dengan mama yang saya tak suka Karina. Mama juga yang beri syarat, kalau saya berjaya dapatkan calon sendiri mama akan lupakan Karina tu! Sekarang, saya dah ada calonnya dan mama pula buat keputusan ini,” jawab Dwen.

“Siapa pilihan Dwen tu? Budak tomboy yang naik motor tu? Mama tak berkenan!”

Dwen terdiam. Dia tahu siapa yang Datin Rodziah maksudkan.

“Dwen, tolong dengar cakap mama. Mama buat semua ni demi masa depan Dwen,” kata Datin Rodziah, menurunkan nada suaranya.

“Mama, masa depan apanya dengan gadis yang sombong macam tu? Jiwa saya tak sesuai dengan dia. Mama, tolonglah faham hati saya. Jangan paksa saya buat apa yang saya tak suka!”

Datin Rodziah terdiam.

“Saya dah ada pilihan sendiri. Mama, saya hanya akan kahwin dengan pilihan saya. Tolonglah mama... “rayu Dwen, penuh harap.

“Tidak! Mama tetap tak setuju. Dwen kena kahwin juga dengan Karina. Tak ada alasan lagi!”

“Kalau macam tu, biarlah saya kahwin dengan kedua-duanya!”

“Jangan mengarut! Jangan nak madukan Karina. Dwen kena tinggalkan gadis tu dan kahwin dengan Karina!”

“Tidak. Kalau betul mama nak saya kahwin dengan Karina, mama juga kena setuju saya kahwin dengan gadis itu.”

Datik Rodziah mendengus, kasar.

“Kalau mama setuju dengan syarat saya, saya akan ikut cakap mama. Karina akan jadi isteri kedua saya,” kata Dwen sambil tersenyum.

“Karina tu anak tan sri. Takkan dia nak jadi isteri kedua. Mesti dan dan keluarganya tak setuju.”

“Terserah! Itu syarat saya. Kalau setuju, saya akan kahwin. Itu saja. Saya balik dulu, mama. Mama bincanglah dengan dia,” kata Dwen sambil bangun.

“Tunggu dulu! Mama belum habis dengan Dwen,” kata Datin Rodziah.

“Apa lagi, mama?”

“Pasal kerja. Mama tak nak Dwen kacau Nora lagi. Dia sekarang dah jadi PA Karina.”

“Sepatutnya saya yang kata macam tu pada mama.”

“Kenapa?”

“Nora tu dah lama kerja dengan saya. Dia cekap dalam menguruskan projek. Mama tarik dia jadi PA Karina, untuk apa?”

“Untuk bantu Karina buat kerja.”

“Karina datang ke ofis itu bukan untuk buat kerja, tapi untuk nak dekat dengan saya. Mama, dia nak gunakan Nora untuk intip pergerakan saya. Bukan saya tak tahu semua ni,” balas Dwen.

“Lepas tu, dia kacau semua staf. Dia berlagak macam ofis tu bapak dia punya. Semua staf dah merungut, itu yang mama kata Karina tu bagus? Menantu macam tu yang mama nak sangat?” Dwen merenung wajah Datin Rodziah yang terkulat-kulat.

“Mama, hentikan dari buat kerja yang tak berfaedah ni. Gadis macam Karina tu kalau jadi menantu, hanya akan susahkan fikiran mama saja. Dwen akan segera habiskan cuti ni. Minggu depan, kalau Dwen dah balik ke ofis Karina akan tahu nasib dia!” kata Dwen. Dia terus melangkah keluar dan tidak menoleh lagi.

Datin Rodziah pun tidak menahan lagi. Dia menghantar langkah Dwen dengan hujung matanya. Kata-kata Dwen membuatkan hatinya semakin tidak keruan. Apa lagi teringatkan syarat yang diberikan Dwen tadi.

‘Gila! Dah tentu Karina tak nak bermadu!’ bisik hatinya.

Lama dia termenung di ruang tamu itu. Kenapa Dwen semakin berani menentangnya. Salahkah kalau dia nak berbesan dengan Tan Sri Halim?

“Untunglah you datin, dapat berbesan dengan Puan Sri Norlaila. Kita orang dah cuba nak offer diri. Tapi, dia pilih anak you. Hebat anak you, datin!” Itu kata kawan-kawan di Kelab Isteri-Isteri VIP.

Sekarang, mana dia nak letak muka kalau benar-benar Dwen bertegas dengan cakapnya. Bukan setakat dia akan malu dengan keluarga Tan Sri Halim tetapi juga dengan ahli-ahli kelab itu.


Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.