Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 14

Ketika sedang memandu, tiba-tiba dia teringat sesaorang. Syerif. Sudah beberapa bulan tidak didengar khabar berita. Sudah lama juga kakinya tidak singgah di rumah Syerif dan merasai masakan Mak Cik Ruslina.

Dia mencari jalan untuk membuat pusingan U. Dia mesti ke rumah Syerif. Dia mesti jumpa Syerif dan keluarganya.

Sampai di sebuah supermarket, dia berhentikan kereta. Dia perlu membawa sedikit buah tangan untuk Mak Cik Ruslina dan Pak Cik Zaki. Tidak elok bertandang dengan tangan kosong. Apa lagi pada pagi minggu begitu. Tentu seronok dapat bersarapan dengan keluarga itu.

Hanya setengah jam sahaja, dia keluar dari supermarket itu dengan menjinjit dua plastik penuh dengan barang-barang makanan. Dengan siulan, dia berjalan ke kereta.

“Selamat pagi encik.” Satu suara menegur ketika dia sedang memasukkan barang-barang itu ke dalam kereta.

Dwen menoleh.

Seorang gadis tersenyum manis.

“Ada apa ya?”

“Ini.” Gadis itu memegang sebuah wallet.

“Itu saya punya.”

“Memanglah encik punya. Encik tertinggal di kaunter tadi,” jawab gadis itu sambil menghulurkan wallet itu kepada Dwen.

“Adui! Saya terlupa. Terima kasih cik,” kata Dwen sambil menjeling nama pada name tag di dada gadis itu. Puteri?

Gadis itu berlalu pergi. Namun Dwen masih berdiri tegak macam tiang gol. Dia teringat kepada Mak Timah. Nama Puteri itu sangat mekar di bibir Mak Timah sebagai gadis yang sangat pandai memasak gulai siput.

‘Ah, dalam dunia ni ada ramai orang yang bernama Puteri.’

Dia tersenyum sendiri. Kemudian dia segera masuk dan menghidupkan enjin. Sebelum keretanya bergerak, deringan telefon berbunyi.

“Helo.”

“Sayang, you ada kat mana?” Suara Melisa merengek manja. Hati Dwen rasa geli geleman. Dia tidak menyangka kalau Melisa masih tidak serik dengan peristiwa tempoh hari.

“Di supermarket, beli lauk.”

“Hah? Biar betul sayang.”

“Kenapa? Tak boleh?” Dwen bertanya kasar.

“You dengan mother you ke?”

“Tak. Dengan bakal isteri.”

Diam. Senyap seketika. Dwen sedang membayangkan wajah Melisa merah menahan marah.

“Ada apa awak call saya ni?”

“Ingat nak ajak you bersarapan. Kebetulan hari ni birthday I. Tapi...”

“Ya. Minta maaflah. Hari ni I dah janji dengan bakal isteri I untuk masak bersama. Jadi I akan bersarapan dengan dialah.” Dwen meniru cara Melisa bercakap.

“Kalau macam tu, tak apalah. Lain kali.”

“Lain kali pun tak boleh. Mama saya dah beri amaran tadi, saya dah tak dibenarkan keluar dengan gadis lain kerana bakal isteri saya tu kuat cemburu. Lagipun, saya tak nak rosakkan hubungan kami yang baru nak bermula,” kata Dwen, sengaja mereka-reka cerita.

“Romeo...”

“Maafkan saya kalau selama kita kenal, saya ada sakitkan hati awak. Niat saya dengan awak hanya nak berkawan. Saya tak ada niat nak jadikan awak bini. Kalau awak salah anggap, maafkan saya. Saya terpaksa pergi sekarang.” Dwen mematikan talian sebelum sempat dia mendengar pujuk rayu Melisa.

Dia menarik nafas. Hajat perjalanannya segera diteruskan.

Sampai di hadapan rumah Syerif, didapati sahabatnya itu sedang mencuci motor Harley Davidsonnya.

“Cuci motor bang...” tegur Dwen mengajuk suara Allahyarham Aziz Satar dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Syerif menoleh.

“Hantu kau!” Syerif segera bangun dan menumbuk bahu Dwen dengan ketawa. Kemudian halaman itu riuh rendah dengan gurau senda mereka.

“Aku ingat kau dah tak tahu jalan nak ke rumah aku ni. Maklumlah, ini kawasan perumahan orang miskin. Tak ada rumah banglo di sini,” kata Syerif bersama ketawanya.

Dwen berubah wajah. Serta merta ketawanya yang ceria, terhenti.

“Kenapa pula ni? Tak ada angin tak ada ribut, wajah kacak kau berubah?”

“Aku tak suka kau kata macam tu. Berapa kali aku nak ingatkan kau. Aku tak pernah bezakan kau. Tak ada istilah miskin dan kaya dalam hubungan kita. Tapi kau ni, saja nak buat aku marah!” Suara Dwen tiba-tiba tegang.

“Jemputlah masuk Dwen! Jangan dilayan sangat Rif tu!” Tiba-tiba Mak Cik Ruslina melaung dari dalam.

“Nasib baik mak kau dah panggil. Kalau tidak, aku rasa macam nak punch muka kau ni sekali. Biar berterabur gigi kau yang cantik tu!” kata Dwen, menggenggam penumbuk dan diacukan ke muka Syerif.

Syerif tergamam seketika. Dia belum pernah melihat Dwen marah seperti itu. Tak sangka gurauannya itu membuatkan Dwen begitu marah.

Dwen pula cuba membetulkan emosinya. Kalau boleh dia tidak mahu Mak Cik Ruslina dapat mengesan air mukanya yang marah. Dia bermanis muka.

Dari dalam kereta dikeluarkan barang-barang yang dibelinya tadi. Di muka pintu, Mak Cik Ruslina sudah menunggu dengan senyuman. Suasana mesra mula dirasa.

“Mak cik, apa khabar?” tanya Dwen sambil bersalam dan mencium tangan Mak Cik Ruslina.

“Alhamdulillah. Lamanya Dwen tak datang. Ingatkan Dwen dah lupakan kami,” balas Mak Cik Ruslina, mengusap-usap kepalanya.

“Mana boleh saya lupakan mak cik. Sibuk sikit sejak akhir-akhir ni. Pak cik mana?” Dwen memanjangkan leher ke dalam, mencari.

“Pak cik ada kursus RELA. Dah dua hari dah.”

“Rajin juga pak cik tu. Ada saja kursus yang dia ikuti,” kata Dwen.

“Dah pencen ni tak tahu apa nak buat. Daripada dia tidur baring, lebih baik dia mengikuti kursus yang macam tu. Dia minat benda-benda yang macam tu. Mak cik pun tak boleh nak cakap apa,” jawab Mak Cik Ruslina pula.

Dwen duduk di sofa dengan santai. Dia tidak silu di rumah itu. Sejak di bangku sekolah rendah, dia memang sudah biasa di rumah itu. Kemudian selepas belajar di London, setiap kali pulang bercuti di situlah dia banyak menghabiskan masa.

“Dwen, aku minta maaf.” Syerif masuk dengan tangan basah.

“Aku dah maafkan kau. Lain kali jangan buat lagi. Aku tak suka!” kata Dwen, memberi amaran.

“Kenapa ni? Apa yang terjadi? Dwen, Rif buat apa pada kamu?” Mak Cik Ruslina hairan.

“Tak ada apalah mak cik. Biasalah, gaduh-gaduh sayang!” jawab Dwen, tergelak. Syerif ikut gelak. Senang hatinya melihat wajah Dwen kembali ceria.

“Kalau macam tu, tak apalah. Dwen duduk dulu. Mak cik siapkan sarapan pagi.”

“Eh, tak payah susah-susah mak cik.”

“Tak susah. Semuanya dah siap, tinggal nak cedok ke pinggan saja,” jawab Mak Cik Ruslina sambil berjalan ke dapur.

“Macam mana dengan kerja kau?” tanya Dwen kepada Syerif selepas Mak Cik Ruslina pergi.

“Biasalah. Tapi aku dah naik pangkat dah. Dah jadi mandur.”

“Mandur tak apa apa, jangan mundur. Itulah kau, kalau kau kerja kat syarikat aku kan baik. Dah lama aku naikkan kau pangkat ketua jabatan,” balas Dwen.

Syerif ketawa.

“Itu yang aku tak nak. Aku tak nak aku dinaikkan kerana aku ni kroni kau. Lagipun, cukuplah kita jadi sahabat baik sejak dulu. Aku tak nak jadi kuli kau di ofis,” gurau Syerif.

“Dwen, jom kita sarapan,” ajak Mak Cik Ruslina.

Dwen dan Syerif segera berjalan ke meja makan. Aroma nasi lemak begitu kuat menyentuh hidung Dwen.

“Mak cik macam tahu saya nak datang hari ni,” kata Dwen sambil duduk.

“Kenapa pula?”

“Sebab mak cik masak nasi lemak kesukaan saya. Ini, sambal udang dan sambal kerang. Aduh!” jawab Dwen dengan ketawa.

“Sebenarnya, mak cik pun dah lama tak makam nasi lemak. Malam tadi tiba-tiba tergerak nak masak. Kalau mak cik tahu Dwen nak datang, mak cik masak juga sambal ikan bilis dengan petai,” balas Mak Cik Ruslina.

Dwen mula makan. Sambil makan, dia dan Syerif berbual rancak. Macam-macam cerita keluar. Hinggalah kepada percutiannya ke kampung Pak Nordin. Juga pasal cerita gulai siput dengan daun kadok.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.