Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 13

Makan malam yang santai mesra itu usai. Masing-masing sendawa panjang. Dwen yang tidak sendawa.Tetapi dia berpura-pura sendawa. Dia bersendiwara. Nak hidup kena pandai berlakon.

Mereka beralih ke ruang tamu dan duduk dengan lebih santai.Hanya Dwen yang tidak santai. Langkahnya sangat berat.

“Baiklah tan sri, perut pun dah kenyang. Sebelum mata mengantuk, apa kata kita terus saja kepada hajat kita ke sini,” kata Datuk Haris bersulam ketawa yang penuh arti.

Tan Sri Halim ikut ketawa, santai.

Lalu perbincangan pun bermula. Mula-mula Datuk Haris menyatakan hajat melamar Karina. Bersama lamaran itu, dinyatakan kelayakan yang ada pada Dwen. Ada ijazah dari universiti tersohor luar negeri. Ada pengalaman menguruskan syarikat. Seorang yang penyayang dan romantik.

‘Huh! Macam nak minta kerja. Siap ada taklimat kelayakan,’ detik Dwen dari hatinya.

Kemudian Tan Sri Halim mempromosikan kebaikan anaknya. Karina yang cantik. Karina yang pandai. Karina yang berbudi bahasa. Uh! Telinga Dwen rasa bernanah mendengarnya. Dialog Karina di luar rumah tadi segera diingat. Cara dia melayan Pak Nordin langsung tidak menggambarkan Karina seorang berbudi.

“Jadi, bilakah majlisnya akan dilangsungkan, datuk?” Puan Sri Norlaila semakin teruja.

“Kami serahkan kepada pihak di sini. Kami ikut saja,” balas Datuk Haris, melebar senyumannya.

“Karina? Ada idea?” tanya Tan Sri Halim, berpaling ke arah Karina.

“Kay ikut saja. Kena tanya Dwen juga,” jawab Karina, tersengih-sengih.

Semua mata tertumpu ke arah Dwen. Mereka menanti sebuah jawapan dari celah bibirnya. Lama dia membiarkan orang ternanti-nanti. Sambil itu, dia sedang berfikir samada hendak berterus terang atau berbohong?

“Dwen, apa pendapat you?” tanya Tan Sri Halim.

“Malulah pulak...” celah Datin Rodziah, cuba bergurau untuk meredakan suasana. Melihat wajah Dwen, hatinya bimbang. Pertengkaran kecil dalam kereta semasa datang tadi menghantuinya.

Dwen serba salah.

“Bolehkah saya berkata jujur?” tanya Dwen, meneliti semua wajah yang ada di hadapannya.

Wajah Datuk Haris dan Datin Rodziah berubah pucat. Apakah Dwen akan memalukan mereka?

“Itulah yang sebaiknya.” Tan Sri Halim menghadiahkan senyuman.

“Saya baru sekali berjumpa Karina. Bolehkah berikan kami masa untuk saling mengenali. Saya tak nak, lepas berkahwin baru terungkit keburukan masing-masing,” kata Dwen.

“Kalau begitu, baiklah. Kami tak jadi masalah. Tapi, janganlah lama sangat. Sebab kami ni dah teringin sangat nak timang cucu,” balas Tan Sri Halim. Kali ini kata-katanya itu disambut dengan ketawa oleh Datuk Haris.

Dwen membalas kata-kata itu dengan senyum senang. Maknanya dia masih ada masa untuk mencari helah agar Karina tidak akan menjadi isterinya!

“Tak lama, mungkin sebulan dua sahaja. Kalau saya rasa okey, mungkin lebih cepat dari itu. Tapi, kalau tak okey saya akan panjangkan masa,” jawab Dwen pula.

Itulah permintaan Dwen. Hendak atau tidak, kedua-dua belah pihak kena terima.

Dalam perjalanan pulang, Dwen termenung. Datuk Haris dan Datin Rodziah ikut diam. Kata-kata Dwen tadi sangat terkesan di hati mereka.

Sampai di rumah, Dwen terus masuk ke bilik tanpa sepatah kata. Hatinya rasa lapang. Dia menghempaskan diri ke tilam empuk. Namun, hanya seketika dia segera bangun. Dia menyalin pakaian. Lemas dengan baju kemeja T dan seluar panjang itu.

Dia ingin mengulit mimpi dengan lebih santai dan selesa.

Pagi hari minggu.

Deringan telefon mengejutkan tidur Dwen. Dia mencapai telefon sambil mata menjeling jam di dinding. Pukul 8.00 pagi.

“Helo, selamat pagi sayang.”

“Pagi. Siapa ni?” tanya Dwen dengan mata yang tidak terbuka sepenuhnya.

“I ni. You belum bangun ke? I ingat nak ajak you breakfast kat KLCC.” Suara itu merengek manja.

Dwen cuba mengecam. Gagal. Dia tidak pernah mendengarnya sebelum ini.

“You ni siapa?”

“Dwen, you ni betul-betul tak cam atau you sengaja nak mengelak dari I?” Suara itu semakin meninggi. Hati Dwen tiba-tiba tesentap. Dia bingkas. Kalau ada depan mata, memang ditamparnya tuan empunya suara itu.

“Hoi, kau ingat kau sorang je dalam dunia ni yang aku kena ingat?”

“Apa maksud you? Ramai sangatkah girl friend you?”

“Keliling pinggang. Tapi semuanya orang-orang yang macam you nilah. Mengejutkan tidur orang tanpa budi bahasa!” Dwen mencampakkan telefonnya. Malas dia melayan panggilan yang entah dari siapa. Benar-benar dia tidak ingat dan tidak mampu mengecam suara itu.

Deringan kedengaran lagi. Awalnya Dwen ingin membiarkan. Namun, deringan itu tidak berhenti. Sakit telinganya!

“Helo! Nak apa lagi?” sergah Dwen.

“Hei, kenapa ni? I cuma nak ajak you breakfast, bukan nak ajak gaduh.”

“You siapa?”

“I Karina. Your future wife. Takkan you tak cam suara I?”

Dwen menelan air liur. Orang putih sesat itu rupanya.

“Minta maaf. Awak tak pernah telefon saya sebelum ini. Jadi saya tak simpan nombor awak. Memori otak saya juga belum simpan suara awak dalam peti. Jadi memang saya tak cam dan tak kenal,” kata Dwen, perlahan.

“PA you tak berikan nombor I pada you? Mama you pun ada. Takkan you tak ada?”

“PA saya hanya buat kerja ofis. Hal-hal peribadi dia tak akan campur,” jawab Dwen. Entah kenapa, hati mula mual.

“Okey. I maafkan you. Tapi, kita keluar breakfast sekarang.” Karina seperti memberi arahan.

“Maaflah. Hari ni saya dah ada program lain. Lain kali ya!” jawab Dwen memberi alasan bohong.

“You nak main golf ke? Kat kelab mana? I boleh ikut you?”

“Saya tak pandai main golf. Kayu golf pun saya tak ada.”

“Habis selama ini you main apa?” tanya Karina lagi.

“Saya main sepak takraw,” jawab Dwen dengan jujur.

Karina ketawa. Dwen membiarkan. Mungkin gadis itu rasa aneh, anak datuk macam dia tak pandai main golf. Mungkin juga dia rasa lucu kerana anak lelaki Datuk Haris ini hanya pandai main sepak takraw!

“Saya nak mandi. Kejap lagi nak keluar. Sampai di sini saja ya,” kata Dwen, memotong ketawa Karina.

“Kalau tak dapat breakfast, malam ni kita dinner. Boleh?”

Dwen diam. Dia berkira-kira.

“Kenapa diam? Ada hal juga?” sindir Karina.

“Tak saya cuba ingat kalau saya ada janji dengan sesiapa malam ni. Nampaknya nasib awak baik. Saya lapang malam ni.”

“Kalau macam tu, kita jumpa malam ni. Tapi di mana?” tanya Karina pula.

“Nanti saya call awak. Awak tunggu je,” jawab Dwen. Kemudian dia segera mematikan talian.

Dia bergolek-golek semula ke katil. Kemudian dia teringat pada menu sarapan pagi di kampung Pak Nordin tempoh hari. Nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk. Kemudian dia teringat pada ikan darat dan kuih badak.

Tiba-tiba bibirnya menguntum senyuman. Semuanya menjadi kenangan yang sangat manis untuknya.

Dia bingkas. Hajat untuk bermalas-malas di tilam empuk itu dibatalkan. Hajat mulut dan perut perlu diutamakan. Dia segera ke bilik air. Tidak lama, curahan air dan nyanyian lagu Getaran Jiwa kedengaran beriringan. Dialah penyanyi bilik air yang tersohor!

Keluar dari bilik air, irama lagu milik penyanyi kesukaannya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu masih disiulkan. Almari baju dibuka. Dia memilih baju yang paling selesa. Sehelai baju T yang agak lusuh menjadi pilihannya. Kemudian dia memilih sehelai seluar yang bergantungan dalam almari itu.

“Pinjam seluar jin sekejap ya!” kata Dwen dengan tersengih-sengih.

Selepas melihat dirinya di dalam cermin dan yakin keadaannya sudah kemas rapi, dia keluar dari bilik.

“Dwen, nak ke mana?” tegur Datin Rodziah yang kebetulan keluar dari biliknya.

“Nak keluar sekejap, ma. Nak sarapan kat restoren mamak tu.” Dwen tidak menoleh. Sebaliknya dia mencapai kunci kereta dan terus keluar memakai kasut.

“Mama tak nak dengar Dwen pergi jumpa gadis-gadis lain selain Karina. Ingat! Dwen bakal jadi menantu Tan Sri Halim. Jangan buat kerja tak senonoh. Kurangkan minum kat kedai mamak tu!” kata Datin Rodziah.

Suara amaran Datin Rodziah ditinggalkan. Dia seperti burung yang terbang di langit biru yang lepas bebas. Sungguh damai. Sangat tenang jiwa raganya.

Dwen masih tidak
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.