Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 44

Sudah sebulan Andika Puteri tinggal di rumah Mak Cik Ruslina. Sebulan juga dia sudah mula bekerja semula di rumah Dwen sebagai pembantu rumah. Setiap pagi sebelum pergi kerja, dia akan pastikan dia mengemas dan membantu kerja-kerja Mak Cik Ruslina.

Pagi itupun sama. Macam lipas kudung dia menyudahkan mengemas dan menyiapkan sarapan untuk keluarga itu.

“Andika, tak payahlah buat kerja tu semua. Mak cik masih kuat lagi. Sekejap lagi Pak Nordin sampai. Pergilah bersiap.”

“Tak apa mak cik. Biar saya siapkan dulu. Pak Nordin boleh tunggu kalau dia sampai,” balas Andika Puteri tanpa menoleh. Mak Cik Ruslina hanya mampu gelengkan kepala. Dia sangat senang hati dengan tingkah laku dan tutur kata Andika.

“Mama suka sangat dengan Andika tu. Kalaulah dia bukan milik Dwen, mak nak pinangkan dia untuk kau,” kata Mak Cik Ruslina kepada Syerif.

“Mama ni. Agak-agak kalau nak bergurau. Rif ni muda lagi. Belum baligh,” jawap Syerif dengan ketawa.

“Muda? Nak tunggu umur empat puluhan baru nak kata dah akil baligh?” Mak Cik Ruslina ketawa.

Syerif ikut ketawa. santai dan senang hati.

“Rif kalau nak cari isteri, cari yang macam Andika. Baik budi bahasa, beriman dan pandai serba serbi. Tambah lagi satu, rajin dan ringan tulang.”

“Mana nak cari yang cukup pakej macam tu sekarang ni, mama.”

Mak Cik Ruslina terdiam. Memang benar. Dalam dunia hari ini, amat sukar nak cari orang yang macam Andika lagi. Yang ada cantik tetapi kurang ajar. Ada pula yang cantik tetapi pemalas!

“Untunglah Dwen,” rungut Mak Cik Ruslina perlahan.

“Belum tahu lagi, mama.” Syerif menyampuk.

Mak Cik Ruslina berpaling ke arah Syerif. Wajah anaknya dipandang. Dia mencari makna apa yang tersurat di sebalik kata-kata itu.

“Rif, ada apa sebenarnya?” Mak Cik Ruslina menaruh sangsi.

Syerif diam berfikir. Perlukah mamanya tahu semua yang berlaku kepada Dwen?

“Mama, mama tanya dengan Dwen sendiri kalau dia datang.”

“Aik? Besar sangat ke masalahnya?”

“Antara hidup dan mati,” jawab Syerif sambil bangun dengan ketawa yang mencurigakan hati Mak Cik Ruslina.

“Rif! Mama belum habis cakap, kamu dah lari?” jerit Mak Cik Ruslina.

“Rif nak buang air, mama!” balas Syerif di celah ketawa.

Mak Cik Ruslina tersenyum dengan alasan Syerif itu. Nampak sangat alasan itu hanya direka.

“Apa yang Lina menungkan?” sapa Pak Cik Zaki yang baru balik dari kedai. Di celah ketiaknya terkepil senaskah surat khabar. Sejak pencen, itu sahaja yang mampu dibuatnya. Membaca akhbar untuk mengetahui cerita dan berita yang berlaku.

“Tak ada apa. Abang tak beli apa-apa untuk sarapan?” tanya Mak Cik Ruslina, cuba mengalihkan tajuk.

“Eh, belum buat sarapan ke? Abang tak beli apa-apa sebab selalunya Andika dah masak untuk kita,” jawab Pak Cik Zaki, terjengah-jengah ke dapur.

“Abang ni, sejak Andika ada di sini bukan main lagi ya! Asyik nak order je budak tu masak. Tak kesian ke dengan dia tu. Nak pergi kerja, terkejar-kejar siapkan kita sarapan,” jawab Mak Cik Ruslina, tersenyum.

“Yalah, dah awak yang tak nak masuk dapur. Dia buatlah.”

“Bukan saya tak nak masuk, tak sempat. Saya masuk dapur, dia selalu dah ada. Dan dia tak beri saya buat kerja. Budak tu rajin betullah bang. Untung Dwen tu dapat Andika sebagai isteri,” balas Mak Cik Ruslina.

“Abang tak tahu jadi ke tidak. Dah sebulan, diam je Si Dwen tu.”

“Kalau tak jadi, kita pinangkan untuk Syerif ya bang.”

“Awak ni. Takkanlah Syerif tu nak. Dia tu sahabat baik Dwen. Tentu dia takut dikata orang, harapkan pagar pagar yang makan padi.”

Sekali lagi Mak Cik Ruslina termenung.

“Mak cik, pak cik, jemputlah sarapan. Semuanya saya dah siapkan. Saya bersiap dulu. Pak Nordin dah nak sampai tu,” kata Andika, yang keluar meletakkan teko minuman di atas meja. Dia terus menghilang ke biliknya.

Mak Cik Ruslina dan Pak Cik Zaki saling berpandangan. Kemudian saling pula berbalas senyuman.

“Kan saya dah kata. Andika mesti dah siapkan sarapan untuk kita,” kata Pak Cik Zaki dengan ketawa perlahan.

“Yalah. Sejak dia ada, selera makan abang bertambah-tambah. Saya bimbang kalau abang boroi nanti.”

“Saya ni ada juga buat senaman. Lina tu, yang asyik memerap je. Tahu-tahu jadi Madam Obes!” balas Pak Zaki.

Ketawa Mak Cik Ruslina serentak dengan sebuah cubitan di paha suaminya.

“Jom kita tengok, apa juadah yang Andika siapkan untuk kita.” Pak Cik Zaki bangun dan berjalan menuju ke meja. Ketika itu Syerif keluar dengan pakaian kerjanya.

“Rif, tak nak sarapan dulu?” tanya Mak Cik Ruslina.

“Tak sempat mama. Rif ada meeting pagi ni,” jawab Syerif sambil bersalam dengan Mak Cik Ruslina dan Pak Cik Zaki lalu terus ke pintu.

**

Sejak Andika ada, setiap hari dapur rumah Dwen semerbak dengan aroma dari resepi yang bertukar-tukar. Sudah sebulan. Masa berjalan tanpa menunggu. Dalam masa sebulan itu, sekali pun Dwen belum duduk dan berbincang dengan Andika mengenai rancangannya.

Dia benar-benar tidak pandai untuk memulakan. Apa lagi, Andika sering mengelak diri. Andika masih menggunakan nota yang diletakkan di atas meja untuk berkomunikasi.

“Encik kena tebalkan muka,” kata Nureen, bila Dwen mengadu.

“Saya dah cuba beberapa kali. Tapi, saya masih tak berjaya. Tak keluar suara saya bila berdepan dengan dia,” balas Dwen.

“Aik, jejaka Malaya yang ramai teman wanita akhirnya kelu nak sebut kata cinta?”

“Hoi, cakap tu biar berlapik ya. Saya belum pernah sebutkan kata cinta kepada sesiapa pun!” kata Dwen, meninggikan suara.

Nureen terdiam. Gurauannya terhenti. Dia segera faham kalau kata-katanya tidak disukai oleh bosnya.

“Nureen, apa nak buat ni?” desak Dwen selepas lama suasana sepi.

“Masa dah makin dekat.”

“Itu saya tahu.”

“Jangan sampai encik kena kahwin dengan Karina Kapor tu,” kata Nureen.

Hati Dwen mula gelisah. Kebimbangannya mula menjelma semula seperti menjelmanya wajah Karina di birai matanya.

“Saya tak tahu nak mula dari mana.” Dwen mengaku, jujur.

“Terus saja cakap, saya nak pinang awak jadi isteri saya. Awak nak tak? Atau encik cakap, awak nak tak jadi isteri saya?” ajar Nureen.

“Cakap memanglah senang. Saya nak berpuluh kali berlatih. Dah berpuluh kali juga cuba di hadapan cermin. Tapi tetap tak menjadi. Saya rasa membentang proposal depan client lebih senang lagi daripada nak luahkan rasa hati kepada seorang gadis,” jawab Dwen, merungut.

“Entahlah encik. Saya pun tak ada pengalaman. Cuma encik minta bantuan keluarga Syerif. Sebab Andika tinggal dengan mereka. Tentu lebih mudah. Kan?” Akhirnya Nureen mengalah. Dia sendiri buntu memikirkan hal seperti itu.

“Saya akan cuba dulu, baru akan serahkan kepada orang lain,” kata Dwen pula. Sememangnya dia ingin mencurahkan sendiri hasratnya. Dia mahu dengar sendiri semua jawapan terus dari mulut Andika.

“Lagi satu encik, semalam ada seorang gadis menelefon bertanyakan encik. Katanya dari Seremban,” kata Nureen lagi.

“Apa namanya?”

“Rina. Dia kata urusan motor.”

Dwen segera teringat akan gadis despatch yang dilanggarnya tempoh hari. Dia juga teringat pada kunci motor gadis itu yang ada dalam begnya.

“Awak call dia suruh datang esok. Saya akan kirimkan kunci motor dia pada Pak Nordin nanti,” kata Dwen.

“Baiklah kalau macam tu. Nanti saya call dia. Cantik tak orangnya, encik? Kalau cantik, encik boleh jadikan calon reserve.” Nureen mengekek.

“Awak ni. Yang ini saya belum lepas, awak dah suruh saya buat proposal baru,” balas Dwen pula.


Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.