Seperti yang dirancang,
majlis pernikahan itu memang berlangsung dalam keadaan yang sangat sederhana
dan tertutup. Hanya di dalam sebuah bilik di Jabatan Agama Islam. Jemputan pula
hanya Nureen, Nora dan Pak Nordin merangkap saksi pernikahan itu.
Dengan sekali lafaz
sahaja, Dwen sudah sah menjadi suami Andika.
“Alhamdulillah,
akhirnya saya menjadi suami awak,” bisik Dwen ke telinga Andika. Kemudian dia
mengucup dahi Andika sebagai tanda kasih sayang yang halal antara mereka.
“Terima kasih kerana
sudi jadi suami saya,” kata Andika dengan terharu.
“Saya juga. Saya juga tak sangka awak sudi jadi isteri
saya. Terima kasih sayang,” bisik Dwen lagi.
Dwen menghulurkan
tangannya. Andika serba salah untuk menyambut huluran tangan itu. Seram sejuk
tubuhnya.
“Andika, jangan jual
mahal pulak. Dwen dah sah jadi suami awak. Tahniah!” usik Nureen.
“Yalah. Awak dah sah
jadi isteri baby!” kata Nora pula.
Andika benar-benar
gementar. Tersangat gugup. Dia rasa seperti bermimpi bila tiba-tiba dia menjadi
isteri orang. Apakah awan mendung di langit kehidupannya akan segera berarak
pergi?
Dengan perlahan, Andika
menyambut tangan itu dan mengucupnya. Air matanya tiba-tiba menitik. Dia sebak.
Tanpa rasa cinta, dia menjadi isteri Dwen. Tanpa rasa sayang, dia akan tinggal
serumah dengan lelaki itu. Mereka akan berkongsi susah dan senang, tawa dan
tangis.
Dalam perjalanan
pulang, Andika hanya berdiam diri. Dia hilang kata-kata. Lidahnya tiba-tiba
kelu. Ketakutan menghantui hati. Mampukah dia membina mahligai bahagia dengan
lelaki itu?
“Saya harap Dwen tak
akan sia-siakan Andika. Kalau dia buat salah, tegur dia. Bukan muhrim dia, tapi
dia dekat dengan saya kerana arwah abahnya kawan baik saya,” kata Pak Nordin.
“Hal itu Pak Nordin tak
payah bimbang. Seperti yang pernah saya kata, saya akan jaga Andika seperti
menjaga nyawa saya,” balas Dwen pula.
“Bila nak dibawa balik
ke rumah datin?”
“Saya tunggu masa, Pak
Nordin. Tapi, esok saya akan bawa Andika ke ofis. Saya akan kenalkan kepada
semua staf.”
“Karina?”
“Ya. Kalau Karina ada,
kepada Karina juga,” jawab Dwen selamba.
“Siapa Karina?” tanya
Andika dari tempat duduk belakang.
Dwen dan Pak Nordin
saling berpandangan.
“Baik Dwen berterus
terang saja. Jangan sampai Andika dengar dari mulut orang lain. Kalau dari mulut
orang ketiga dah ada tokok tambahnya.” Pak Nordin memberi izin.
“Nantilah. Sampai di
rumah nanti abang cakap ya,” kata Dwen.
Andika angguk. Memang
sudah lama dia ingin bertanya pasal Karina. Kerap sangat nama itu disebut-sebut
oleh Pak Nordin dan Dwen kalau berbual. Dulu, dia tidak mahu menyibuk. Sebab
itu dia diamkan sahaja. Sekarang, Dwen sudah jadi suaminya. Dia memang sudah
ada hak untuk menyibuk.
“Kamu berdua nak
berbulan madu di mana?” Pak Nordin mengubah topik.
“Kena tanya tengku
permaisuri. Beta ikut saja,” jawab Dwen dengan ketawa.
“Untuk sementara ni,
saya rasa Dwen jangan bawa Andika ke mana-mana dulu. Tunggu sampai line clear.”
“Line clear?” tanya
Andika, semakin keliru.
Sekali lagi Dwen dan
Pak Nordin berpandangan. Akhirnya ketawa mereka pecah berderai.
Andika diam, masam. Dia
berpura-pura merajuk. Terlalu banyak rahsia mengenai Dwen yang dia tidak tahu.
“Sayang, janganlah
merajuk. Nanti, abang akan ceritakan semuanya pada sayang. Takkan ada rahsia
lagi,” kata Dwen, memujuk.
Andika menahan tawa.
Dia tetap memasamkan muka. Tetap juga berpura-pura marah!
Malam itu malam pertama
untuk segala-galanya. Dwen menjadi imam dan Andika menjadi makmum yang setia di
belakang Dwen. Kemudian hati Dwen tersentuh ketika Andika mengucup tangannya.
Walaupun semuanya
berlaku dalam keadaan gugup dan gementar.
“Sayang, boleh abang
minta sesuatu dari sayang?”
“Mintalah. Saya dah
jadi isteri abang. Apa dia?” tanya Andika merenung ke dalam mata Dwen. Renungan
itu membuatkan dada Dwen tambah berdebar.
“Tak banyak yang abang
nak minta.”
Dwen diam. Dia menarik
tangan Andika.
“Abang tahu kita belum
saling mengenali. Kata orang, tak pernah bercinta. Tapi, abang janji untuk jadi
suami yang baik. Apa yang abang nak minta, sayang sabar dengan semua dugaan
yang datang. Kita sama-sama harungi apa jua cabaran. Jangan tinggalkan abang.
Taat dengan abang dan bantu abang jadi pemimpin
yang baik,” kata Dwen.
Andika
tersenyum-senyum.
“Kenapa sayang senyum?”
“Baby kata nak minta
satu saja. Tiba-tiba macam-macam baby minta.”
Dwen mencubit pipi
Andika. Dia senang dengan gurauan Andika.
“Malam ni baby nak
makan apa?” tanya Andika kerdipkan mata.
“Tak apa. Disebabkan
ini adalah hari pernikahan kita, kita makan kat luar. Untuk pertama kali, abang
akan bawa sayang makan kat luar. Sayang nak makan masakan apa? Jepun, China,
Indonesia. Cakap apa saja. Abang akan bawa,” jawab Dwen.
Andika termenung.
Sebenarnya dia tidak berapa suka makan di luar. Makanan yang dimasak sendiri
lebih bersih dan sedap. Itu fikirnya.
“Sayang cutilah hari
ni. Hari ni hari bahagia kita. Lagipun, abang tahu sayang penat,” kata Dwen
seolah-olah tahu apa yang ada dalam hati Andika.
Akhirnya Andika
setuju.
“Sayang nak makan kat
mana? Hotel atau restoren?”
“Warung pun jadilah.
Saya tak biasa makan di hotel. Orang kampung macam saya tak biasa makan makanan
pelik-pelik.”
“Okey, kalau macam tu
abang bawa sayang makan kat Dilla Corner di Gombak. Ada nasi lemak kukus dengan
ayam goreng berempah. Sedap.”
Andika angguk. Dia
setuju makan di manapun, asal bukan di hotel atau di restoren mewah. Kekok dia
nak makan di tempat seperti itu. Bimbang dia kalau sudu dan garfu terpelanting
ke lantai. Takut pula kalau ayam yang dihiris melantun ke meja sebelah!
Aduhai. Alangkah
malunya jika itu berlaku.
“Pergilah bersiap. Abang
tunggu,” kata Dwen.
Andika bangun. Dia berjalan ke arah sebuah beg yang
dibawa dari rumah Mak Cik Ruslina siang tadi. Dia membelek beberapa helai baju
yang ada. Hanya itu yang dia ada. Dia termenung. Baju apakah yang sesuai
dipakai. Semua baju dalam beg itu sudah lusuh. Dia belum ada peluang untuk
keluar dan membeli baju baharu.
Dwen menoleh. Dia
terpandang pada menungan Andika. Dia faham apa yang difikirkan.
“Sayang, lepas makan
kita beli baju ya.”
“Tak apalah. Saya pakai
mana yang ada ni saja,” jawab Andika, tidak menoleh.
Dwen tidak mahu
bertegas. Dia akan membawa Andika nanti. Itu hajatnya. Sebagai suami, dia akan
mencukupkan keperluan isterinya.
Alangkah kekoknya.
Pertama kali keluar
berdua-duan. Pertama kali berjalan berdua dan berpegangan tangan. Beberapa kali
Andika menarik tangannya kerana rasa kurang selesa dipimpin oleh Dwen.
“Hai Encik Dwen!
Lamanya tak singgah ke kedai saya ni? Ingatkan dah lupa,” tegur Nur Dila, tuan
punya kedai tersebut.
“Mana boleh lupa. Saya
cuma sibuk sikit sejak akhir-akhir ni. Dila sihat ke?”
“Alhamdulillah. Saya
macam nilah. Kalau tak sihat, tutuplah kedai ni nanti,” jawab Nur Dila, mesra
macam biasa.
“Dila, kenalkan. Ini
Andika, isteri saya,” kata Dwen. Ketika itu tanpa silu dia menarik tangan
Andika dan mengucupnya. Romantik.
Tindakan Dwen
membuatkan Andika tersipu malu. Sangat malu. Di kala bersendirian lagi dia
malu, inikan pula di hadapan orang.
“Alhamdulillah...” ucap
Nur Dila sambil bersalam dengan Andika. Bibirnya menguntum senyuman. Matanya
meneliti dari atas hingga ke bawah.
“Dila, kenapa?” Dwen
bertanya hairan. Ketika melihat cara lirikan mata Nur Dila, dia rasa ada
sesuatu yang ingin dikatakan.
“Saya turut gembira
dengan pilihan encik kali ni. Manis dan sopan. Contoh wanita Melayu yang
beriman,” kata Nur Dila mengangkat ibu jari. Kemudian dia ketawa mengekek.
Dwen berbuai senang dan
bangga dengan pujian itu. Betulkah Andika cantik?