Daripada rumah Dwen,
Pak Nordin segera ke pejabat. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu Nureen
mengenai berita baik itu. Terasa sangat jauh pula perjalanan dari rumah Dwen ke
Melati Holdings hari itu.
Dalam kepalanya dia
memang sedang berkira-kira apa yang patut dibuat untuk membantu Dwen. Kalau
Dwen mahu segerakan yang wajib, maknanya bernikah sahaja dulu. Untuk bernikah,
Andika perlukan wali. Ertinya, Pak Nordin terpaksa memanggil bapa saudara
Andika di kampung. Hanya itu wali yang dia ada.
“Selamat pagi Pak
Nordin!” sapa Nureen ketika dia masuk ke pejabat.
“Nureen, semuanya dah
selesai,” bisik Pak Nordin sambil matanya melilau ke sekeliling.
“Apanya yang selesai?”
Mata Nureen melorot ke arah Pak Nordin. Cahaya ceria jelas pada wajah itu.
Apakah berita yang dibawa?
“Andika dah terima
lamaran Dwen.”
“Ya ke?
Alhamdulillah...” ucap Nureen sambil menyapu mukanya dengan dua tapak tangan.
“Lega hati saya.
Sekurang-kurangnya Andika ada masa depan,” kata Pak Nordin.
“Saya lagi lega.
Sekurang-kurang selepas ini, Encik Dwen tak kacau saya dengan soalan-soalan
peribadinya,” balas Nureen pula. Akhirnya mereka berbalas senyuman.
Tidak lama, Pak Nordin
terpandang ke arah pintu lif yang terbuka luas.
Karina melangkah keluar
dari lif dengan langkah angkuh dan sombongnya.
“Saya ke belakang dulu.
Harimau betina dah sampai,” kata Pak Nordin. Nureen segera faham. Dia ikut
beredar dari situ.
“Nureen! Tunggu
dulu!” Karina memanggil.
“Ada apa Cik Karina?”
Nureen cuba maniskan muka. Walhal dalam hatinya penuh dengan rasa meluat!
“Awak call bos awak
suruh dia datang ofis hari ni. Ada banyak perkara yang I nak bincang dengan
dia.”
“Maaflah Cik Karina,
Encik Dwen sedang bercuti. Dia tak nak diganggu. Katanya dia akan balik ke ofis
selepas dia puas bercuti dengan kekasih hatinya,” jawab Nureen sengaja membakar
hati Karina.
Wajah Karina berubah.
Kelat.
“Awak tahu dia bercuti
di mana?”
“Sebagai PA saya memang
tahu. Tapi PA tu bukan sahaja Personel Assistant tetapi Pemegang Amanah. Jadi,
saya mesti zip mulut!” Nureen tersenyum-senyum.
“Jadi, betul awak tahu
dan tak nak beritahu?”
“Yup!”
“Baik. Kita tengok
nanti!” Suara Karina meninggi.
“Yup, kita sama-sama
tengok,” balas Nureen, memperli. Tiba-tiba rasa meluatnya membakar hati.
Ketika itu pula, muncul
seorang gadis di pintu ofis. Gadis itu memakai jeans dan jaket serta mengelek
sebuah topi keledar.
“Assalamualaikum, boleh
saya jumpa Encik Dwen?” tanya gadis itu.
Serta merta Nureen dan
Karina berpaling.
“Awak siapa?” tanya
Karina sambil matanya meneliti tubuh gadis itu dari hujung rambut sehingga ke
hujung kaki. Kemudian dia seperti mencebik.
“Cik Rina ke?” tanya Nureen
pula sebelum sempat soalan Karina dijawab.
“Ya. Ni Cik Nureen ke?”
Nureen angguk.
“Ada apa awak nak jumpa
Encik Dwen ni?” Karina semakin tidak selesa.
“Saya datang nak ambil
kunci motor saya yang dia simpan,” jawab Rina.
“Hah? Kunci motor awak
ada pada dia? Awak dengan dia pergi mana naik motor?” Wajah Karina yang sedia
kelat menjadi tambah kelat dan masam.
“Saya... hmm...
Kami...” Rina tergagap.
“Mereka bersiar-siar.
Encik Dwen kan sedang bercuti. Jadi dia minta Rina temankan dia naik motor. Kan
Rina?” Nureen mengenyitkan mata.
Rina yang
terpinga-pinga dengan kata-kata Nureen akhirnya tersenyum.
“Benar-benar Dwen ni
tak ada citarasa. Dengan Minah motor macam ni pun dia berkawan!” kata Karina.
“Helo cik puan, cakap
tu biar beradap. Minah motor pun manusia. Apa yang awak nak bangga dengan diri
awak. Dan apa pula hak awak nak hina orang macam saya?” tengking Rina dengan
lantang. Suaranya bergema ke seluruh ruang ofis itu. Ada beberapa orang mula
berpaling.
Karina semakin rasa
tidak selesa. Dia melangkah meninggalkan Nureen dan Rina dengan muka retak
seribu.
“Bagus! Pandai juga
awak kenakan dia ya,” kata Nureen dengan senyum.
“Siapa tu?” tanya Rina
pula, ikut tersenyum.
“Dia tu rakan kongsi
Encik Dwen. Dia juga calon isteri pilihan keluarga Encik Dwen. Kerana dia,
Encik Dwen bercuti dan mencari calon isteri pilihan hatinya,” jawab Nureen ikut
tersenyum. Dia tahu muslihat Karina datang ke syarikat itu dan berkongsi pejabat
dengan Dwen.
Nureen menyerahkan
kunci motor Rina. Dengan ucapan terima kasih, Rina meninggalkan bangunan Melati
Holdings.
Tanpa berlengah, Nureen
duduk dan ingin menyambung tugas yang tertinggal. Dia ternampak sekeping nota
kecil diletakkan di mejanya. Kertas itu ditarik keluar. Matanya membaca
bait-bait ayat.
Nureen, nampaknya kita
terpaksa buat kerja yang kita tak suka. Bos aku nak aku korek rahsia bos kau
dari kau. Adui... susahnya. Kalau macam ni, aku rasa tak selesa nak kerja lagi.
Bos kau tu baik. Takkan aku nak khianati dia. Tolong beri komen. – Nora.
Nureen tersenyum. Dia
tahu kegelisahan yang sedang dialami oleh sahabatnya itu. semuanya gara-gara Datin
Rodziah menggunakan kuasa vetonya. Dia melantik Nora sebagai PA Karina. Tujuannya
amat jelas, untuk menjadikan dia dan Nora sebagai kuda tunggangan untuk niat
mereka. Huh! Nureen merengus.
‘Kau akan tahu siapa
yang akan kenakan siapa, Karina,’ bisik hati Nureen.
Nureen mulakan tugas. Walaupun
Dwen bercuti, tugasnya sebagai PA tidak bercuti. Dia harus memangku semua tugas
Dwen yang tidak melibatkan tanda tangan dan kewangan.
Nora berjalan di
hadapan meja Nureen.
“Aku nak jumpa bos kau.
Mustahak!” kata Nora.
“Ada apa?” tanya Nureen
ketika matanya menyapu wajah Nora yang serius dan tegang.
“Aku dah tak tahan lagi.
Kalau lama lagi aku kerja dengan perempuan tu, boleh gila aku. Aku rasa dia
bukan nak khidmat aku, tapi dia nak balas dendam pada aku pasal kes kat hotel
dulu tu!”
“Maksud kau?”
“Kita jumpa bos kau
petang ni juga. Tolonglah!” Nora merayu.
“Baiklah. Aku call dia
dan kita pergi rumah dia. Boleh juga kau berkenalan dengan bakal isterinya.”
“Hah? Dah dapat?” Nora
teruja. Wajahnya yang muram, tiba-tiba cerah sedikit.
Nureen kerdipkan mata.
Nora senyum senang. Kemudian dia menutup mulutnya dengan tapak tangannya. Gembira
benar hatinya. Seperti abangnya pula yang akan mendapat jodoh.
“Aku pergi dulu. Kalau
harimau tu nampak, habis aku kena baham lagi. Jangan lupa petang ni,” kata Nora,
segera berlalu.
Sangkaan Nora benar.
Dari dalam biliknya,
Karina dapat melihat Nureen dan Nora sedang berbual. Walaupun dia hanya melihat
mimik muka dan tidak mendengar suara mereka, namun dia dapat agak perbualan itu
ada rahsianya.
Dia menekan interkom
dan memanggil Nora masuk.
“Ada apa Cik Karina?”
tanya Nora selepas berdiri di hadapannya.
“I tengok awak berbual
dengan Nureen. Ada apa-apa berita tentang Dwen?”
“Cik Karina, kami tak
berbual pasal Encik Dwen pun!” Nora cuba mempertahankan diri.
“Habis tu pasal apa? Kan
I dah kata, I nak awak cari rahsia tentang Dwen. Bukannya pergi berbual kosong
pada waktu kerja macam ni?” Karina mula menyeringai, marah.
Hati Nora yang sakit
semakin berdenyut. Namun dia malas nak menjawab. Dibiarkan Karina berleter. Dibiarkan
Karina meroyan.
“Ni yang diam saja ni
kenapa?” sergah Karina selepas perasan tidak ada jawapan balas dari Nora.
“Habis, Cik Karina nak
saya cakap apa?” tanya Nora pula. Suaranya ikut meninggi.
“Awak nak kurang ajar
dengan I?”
Nora menelan air liur. Susahnya
bercakap dengan orang sombong.
“Nora, I beri awak
amaran. Kalau awak tak ikut arahan I, that means awak memang dah tak sayangkan
kerja awak!”
“That means, Cik Karina
nak pecat saya? Oh, silakan!” Akhirnya Nora hilang daya tahan untuk bersabar. Dia
sudah lama bekerja di syarikat itu. Dia antara pekerja yang jarang buat salah. Dia
pekerja yang setia dan taat. Oleh itu, dia memang tidak pernah dimarahi oleh kaki
tangan atasannya. Dia bekerja dengan kebolehan dan ijazahnya. Bukan kerana dia pandai
membodek. Tiba-tiba bos barunya cuba mencabar! Baru sebulan, dia sudah
diberikan amaran yang sangat menggugat sabar!