Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 33

Selepas makan, Dwen tidak segera ke biliknya. Dia masih ingin menikmati udara segar dari anjung resort yang permai itu. Entah kenapa saat dia terasa nyaman dengan hembusan angin laut itu, tiba-tiba dia teringat akan rancangan mamanya untuk menjodohkan dia dengan Karina. Ketika itu juga dia rasa sangat gerun dan susah hati!

Sikap kurang ajar dan kasar Karina, membuat dia jengkel. Semuanya tidak mampu dilupakan begitu saja.

“Dwen, apa makna semua ni? You jemput I ke sini hanya untuk melihat gelagat miang you saja?”

“Sabar dulu Karina. Silakan duduk.”

“Nak sabar apa? I tak nak duduk dengan mereka. I bakal isteri you. I mesti duduk sebelah you. Bukan dengan mereka!”

“Karina, tolong jangan buat kecoh. Duduklah. Nanti saya akan terangkan kenapa saya buat majlis ini.”

“No! Kalau you degil, I call your mom now!”

“Karina, dengar sini. Mama saya tak ada kuasa untuk majlis ini. Majlis ini adalah majlis untuk saya meraikan bakal-bakal isteri saya. Jadi, kalau awak nak terus jadi bakal isteri saya, tolong duduk di meja sana, diam-diam!”

“What! Bakal-bakal isteri? Mereka tu semua?”

“Kenapa? Awak ingat awak sorang saja yang hebat? Mereka tu semua pun hebat. Malah ada yang lebih hebat dari awak.”

“Dwen, awak tahu dengan siapa awak bercakap?”

“Saya tahu. Saya sedang bercakap dengan Karina anak Tan Sri Halim. Jadi, apa hebatnya?”

“Dwen!”

“Saya beri awak masa untuk pilih. Keluar dari sini atau duduk diam-diam dan ikuti acara seterusnya. Cuma satu saja, kalau awak keluar dari sini maknanya awak tak layak jadi isteri saya dan pertemuan kita sampai di sini sahaja. Faham Cik Karina?”

Huh! Sungguh merimaskan. Apa yang mamanya Datin Rodziah nampak pada Karina hingga begitu sekali berkenannya dia. Kalau gadis macam itu, rasanya dalam masa seminggu sahaja dia boleh dapat. Malah sekarang dia memang dikelilingi oleh gadis-gadis seperti itu!

“Jauhnya termenung?” Satu suara menegur dari belakang.

Dwen segera menoleh. Chef Ruszita berdiri dengan senyumannya.

“Eh, chef. Dah nak balik ke?” Dwen agak gugup dan gementar. Entah kenapa. Senyuman chef itu sangat manis pada pandangan matanya!

“Sepatutnya tadi lagi saya balik. Tapi disebabkan esok ada function saya kena buat sedikit persiapan. Apa yang Encik Dwen fikirkan ni? Saya nampak tadi, berkerut-kerut dahi,” jawab Chef Roszita.

“Chef mengendap saya ke? Atau pasang CCTV?”

“Saya nak melintas di sini tadi. Tengok Encik Dwen termenung, saya berhenti. Lama saya berdiri tapi encik tak sedar. Nampaknya ada masalah negara ni!” Chef Roszita ketawa lagi.

Akhirnya, ketawa Dwen ikut pecah berderai.

“Chef tinggal di mana?” tanya Dwen.

“Saya tinggal di kuaters berdekatan sini.”

“Dengan keluarga?”

“Tak. Keluarga saya di Ipoh. Saya sorang-sorang saja di sini,” jawab Chef Roszita, jujur.

“Chef, boleh saya minta sesuatu?”

Angguk.

“Mintalah. Asal jangan minta diri saya sebab saya ni milik suami dan anak-anak saya,” gurau Chef Roszita, santai.

“Boleh berikan saya resepi gulai siput tu?”

“Encik Dwen nak buat apa? Tak kan nak jadi chef juga kot? Habis, saya nanti nak jadi apa. Tak dapat cari makan saya...” Che Roszita semakin tidak segan untuk bergurau.

“Saya nak simpan. Mana tahu satu hari, kalau saya teringin nak makan gulai siput saya boleh suruh bibik saya masak. Taklah saya kena jalan jauh datang ke sini,” balas Dwen.

Alasan yang diberikan dirasakan logik. Dwen menunggu. Chef Roszita pula tersenyum-senyum.

“Encik Dwen serius ke nakkan resepi tu?”

“Eh yalah. Saya tak main-main. Memang saya sungguh-sungguh ni,” jawab Dwen.

“Esok, saya tuliskan untuk Encik Dwen. Tapi ingat, saya berikan sebagai tanda kita berkenalan. Sepatutnya saya tak berikan. Sebab ini harta dan hak milik saya.”

Dwen berwajah riang. Dia mengucapkan terima kasih dengan mata yang ceria. Kemudian dia menghantar langkah chef yang rasanya lebih tua darinya itu dengan senang.

Ada yang hendak dibuat dengan resepi itu? Entahlah. Dia rasa mungkin resepi itu akan berguna satu hari nanti.

Malam itu, sebelum tidur Dwen menelefon Nureen untuk mengetahui keadaan syarikat.

“Encik teruskan misi encik tu. Jangan bimbang pasal kami di syarikat ini,” kata Nureen.

“Saya tak risaukan awak. Yang saya risaukan ialah perjalanan syarikat. Mama dan papa saya ada datang ke?”

“Encik tak tahu ke? Datuk dan datin ke luar negeri.”

Dwen terdiam. Sejak dulu pun, Datuk Haris dan Datin Rodziah tidak pernah beritahu ke mana mereka pergi. Dalam rumah, dia hanya sebagai tetamu. Dalam pejabat pula, dia hanya seorang budak suruhan. Jadi, tidak penting sangat kepada mereka.

“Nureen, Pak Nordin ada berikan awak apa-apa tak?” tanya Dwen. Tiba-tiba dia teringat pada janji Pak Nordin nak berikan dia gambar Andika Puteri.

“Setakat ni tak ada. Dah dua hari saya tak jumpa Pak Nordin. Esok kalau saya jumpa, saya akan tanyakan ya. Kalau ada saja berita, saya akan terus beritahu encik. Encik jangan bimbang.”

Dwen terdiam lagi.

“Encik marah saya ke?”

“Nak marah awak kenapa pulak?”

“Yalah. Suara encik tu, perlahan dan tak ceria macam selalu. Macam orang sedang marah.”

“Nureen, saya bukan marah tapi saya ni semakin takut. Masa berjalan. Enam bulan itu tak lama. Sekarang dah berlalu seminggu. Tapi saya belum ada bunga-bunga akan dapat calon isteri. Bayangan wajah Karina yang gedik dan sombong tu pula semakin kerap muncul depan mata saya. Aduh! Sakit kepala saya ni, Nureen.” Dwen berkata jujur.

Memang dengan Nureen dia tidak perlu berbohong apa-apa. Sejak kenal gadis itu, dia tidak pernah rasa janggal untuk berbual. Apa sahaja.

“Kalau hal tu, saya tak dapatlah nak tolong. Apa kata kalau encik cari kat agensi mencari jodoh. Mereka mungkin ada calon-calon yang cantik,” usul Nureen.

“Helo! Saya bukan nak cari isteri yang cantik. Tapi saya nak isteri yang pandai jadi isteri. Bukan pandai jadi pengarah!”

Giliran Nureen pula terdiam.

“Tak apalah Nureen. Mungkin belum sampai lagi bayang-bayang orang yang saya cari tu. Awak doakan agar saya berjaya ya,” kata Dwen sebelum mematikan talian.

Dwen berbaring di katil. Dia cuba lelapkan mata. Dia cuba paksa diri untuk tidur.

Keesokan pagi, dia tersedar lebih awal dari biasa. Deburan ombak mengejutkan tidurnya. Selepas menunaikan solat subuh, dia berjalan-jalan di tepian pantai.

“Apa yang aku buat ni? Kenapa aku buang masa macam ni?” Dwen menyoal dirinya.

‘Yalah Dwen oi! Bukan macam ni cara nak cari bini. Kat tepi laut ni mana ada calon bini?’ kata hatinya, berbisik.

‘Habis, aku nak cari kat mana? Tak ada orang yang nak kenalkan aku dengan seorang gadis yang baik dan pandai uruskan rumah tangga. Pak Nordin kenal seorang gadis. Tapi, gadis itu pula tak dapat dikesan. Huh!’ keluh hatinya lagi.

Langkahnya perlahan menuju ke arah restoren. Dia perlu bersarapan sebelum naik ke biliknya.

“Selamat pagi chef,” tegur Dwen kepada Chef Rodzita yang keluar membawa hidangan.

“Hei! Pagi-pagi lagi dah turun? Ini mesti mengelamun di tepi laut. Berbual dengan pasir pantai...” jawab Chef Roszita dengan ketawa mengekek.

Dwen rasa malu. Namun dia cuba menutup rasa dengan ketawa juga.

“Apa menu sarapan yang istimewa pagi ni?” Dwen cuba mengalihkan topik.

“Oh! Ada macam-macam tu. Encik Dwen boleh pilih. Ada laksam Kelantan, ada mi rebus Johor, ada mi goreng Singapura, ada laksa Penang,” jawab Chef Roszita.

“Wah! Menu dari semua negeri ni. Saya mesti cuba ni,” kata Dwen berjalan ke arah meja buffet. Memang benar. Ada beraneka juadah hidangan sarapan pagi. Dia merenung tanpa selera.

“Encik nak makan ke?” tanya seorang pelayan menghulurkan pinggan.

Dia mengambil pinggan itu lalu mencedok serba sikit makanan yang ada. Tiba-tiba dia teringat nasi kerabu yang dimakannya semasa ke Kampung Teratak Batu dulu.

Entah bila dia dapat merasa lagi resepi seperti itu.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.