Home Novel Cinta GULAI SIPUT DAUN KADUK
Bab 9

Hari terakhir di Kampung Teratak Batu yang permai. Dwen duduk di pelantar rumah dan mengadap ke sawah. Di belakangnya adalah banjaran bukit bukau yang segar menghijau. Udara sepoi-sepoi bahasa disedut nyaman. Tidak puas rasanya.

“Bila pula Dwen nak ke sini lagi?” tanya Mak Timah yang duduk di hujung pelantar yang bertentangan dengannya.

“Mak cik carikan cepat tukang masak gulai siput tu untuk saya. Akan keraplah saya ke sini,” jawab Dwen dengan ketawa.

Mak Timah termenung lama. Kemudian keluhannya mendesah.

“Sayangnya budak tu dah pindah. Kalau tak, memang kena mengikut kehendak kamu.”

“Siapa mak cik?”

“Mak cik baru teringat pada seorang gadis. Dia cantik dan sangat pandai memasak. Tapi dia dah pindah balik ke kampung ibunya di Medan.”

“Medan? Dia tak balik ke sini lagi?”Dwen mula berminat.

“Sejak kecil dia tinggal di sini bersama ayahnya. Tapi selepas ayahnya mati, dia diambil oleh ibunya.”

Dwen termenung.

“Cerita mengenai apa ni?” tanya Pak Nordin sambil duduk di hadapan Dwen.

“Alah…Hal anak gadis arwah Pak Said yang dibawa pulang ke Indonesia tu,” jawab Mak Timah.

“Puteri? Dia dah gembira bersama keluarga barunya,” kata Pak Nordin.

“Dia ada tulis surat pada kawan-kawannya di sini. Katanya, kalau ada peluang dia teringin nak balik ke sini. Tak selesa di sana, katanya. Tapi tak ada orang yang nak jaga dia di sini. Jadi ibunya tak benarkan dia ke sini lagi,” balas Mak Timah.

Dwen diam. Akalnya kosong. Rasa terujanya hilang.

“Kesian dengan budak Andika Puteri tu. Dia tak biasa dengan ibunya. Susah juga dia nak sesuaikan diri di sana,” kata Mak Timah, perlahan seolah-olah mengeluh kepada dirinya.

Serta merta Dwen tersentak. Nama yang baru disebut oleh Mak Timah ibarat guruh yang berdentum di dadanya. Dia merenung Pak Nordin.

“Kenapa Dwen?” Pak Nordin pula rasa hairan melihat perubahan wajah Dwen.

“Siapa Andika Puteri tu?” tanya Dwen, sangat teruja.

“Oh! Gadis anak arwah Pak Said tulah. Nama penuhnya Andika Puteri. Tapi orang kampung ni panggil dia Puteri saja,” jawab Pak Nordin.

Dwen semakin tidak keruan. Nama itu terasa dekat dengannya. Bibirnya pernah menyebut nama itu sebagai bakal tunangnya. Bibirnya memang berbohong tetapi kini nama itu benar-benar telah wujud. Seperti jodohnya semakin dekat.

“Pak Nordin, macam mana nak cari gadis itu?” Tiba-tiba Dwen memegang lengan Pak Nordin.

“Untuk apa Dwen?”

“Mungkin ini calon kita yang pertama untuk misi mencari tukang masak gulai siput tu,” jawab Dwen. Bibirnya menguntum senyuman. Matanya bersinar dengan harapan.

“Kita cari calon lainlah.Dia dah ada jauh di Medan sana. Susah nak cari.”

“Kita cari dia. Keluarganya mesti ada alamatnya. Saya nak sangat berkenalan dengan dia. Tolonglah mak cik. Tolong cari alamatnya, mak cik. Saya tak kisah berapa kosnya,” kata Dwen bersungguh-sungguh.Dia merenung wajah Mak Timah tanpa berpaling.

“Baiklah. Mak cik akan cuba. Tapi tak tahulah mereka ada simpan ke tidak,” kata Mak Cik Timah pula.

“Atau mak cik tanya kepada kawan-kawan dia.Mak cik kata dia selalu tulis surat kepada mereka,” usul Dwen lagi.

Mak Cik Timah angguk faham. Kemudian bibirnya menguntum senyuman.

“Kenapa mak senyum ni?” tanya Pak Nordin, hairan.

“Mak cik suka dengan Puteri tu.Kalau Dwen dapat cari dia, memang sesuai sangat. Dia pandai masak dan cantik pula. Setakat gulai siput dengan daun kadok ni, tak heran dia. Tapi…”

“Kenapa mak cik?” Dwen menatap wajah Mak Timah.

“Dia jauh di sana.Mampukah kamu nak cari dia? Banyak belanjanya tu,” jawab Mak Timah.

Dwen segera menoleh kepada Pak Nordin. Mata mereka bertemu dalam rona rasa yang sama. Kemudian Dwen tersenyum-senyum.

“Pasal duit tu, mak cik jangan bimbang. Saya ada simpan sikit duit selama kerja ni. Saya akan gunakan duit tu. Nanti lepas ni, saya kenalah kerja kuat untuk simpan lagi.”

“Benar tu mak.Dwen ni rajin dan pandai simpan duit. Tugas mak sekarang ialah pergi cari alamat Puteri. Yang lain-lain, serahkan kepada kami,” balas Pak Nordin pula.

“Mak cik, pergilah sekarang. Malam ni kami dah nak balik,” suruh Dwen.

Mak Cik Timah dan berjalan tergesa-gesa meninggalkan rumah itu. Dwen menghantarnya dengan mata yang penuh harap. Dalam hati, dia berdoa agar jejak gadis bernama Andika Puteri itu mudah ditemui.

Telefonnya berdering. Dia segera menjawab selepas melihat nombor yang tertera.

“Dwen, bila nak balik?” Kedengaran suara Datin Rodziah gemersik lembut di hujung talian.

“Malam ni mama. Kenapa? Mama ada nak beli apa-apa tak?Dwen tengok kain batik di sini sangat halus dan murah.”

“Kain batik? Ish, tak payahlah. Tak payah beli apa-apa. Dwen balik sudahlah. Kami tunggu Dwen balik. Malam minggu ni kita ada makan malam dengan keluarga Tan Sri Halim. Mereka nak kenalkan Karina kepada Dwen,” kata Datin Rodziah, ceria.

Dwen mencebik. Hatinya mula sebal. Nama Karina seperti kudis yang menyakitkan jiwa raganya. Sehingga perbualan usai, cerianya hilang.

“Mama saya memang dah teringin sangat nak bermenantu. Asyik-asyik Karina saja yang dia nampak dan kenal,” kata Dwen kepada Pak Nordin yang sejak tadi hanya mendengar perbualan telefon antara Dwen dan mamanya.

“Dia nak yang terbaik untuk anaknya. Setiap emak memang macam tu,” kata Pak Nordin.

“Mana dia tahu itu terbaik?”

“Mereka dah kawan lama.Mesti dia tahu dan kenal dengan Karina dan keluarganya tu.”

“Entahlah. Tapi hati saya ni memang berat dan tak suka sangat nak ikut kata mama tu. Saya ni dah bosan hidup dengan golongan orang kaya ni, Pak Nordin.”

“Dwen harus bersyukur. Ramai orang macam saya yang selalu berangan-angan nak jadi kaya. Itu yang ramai yang terpaksa mencuri dan merompak. Ada yang buat kerja haram. Semuanya sebab nak kaya,” balas Pak Nordin.

Dwen angguk, membenarkan kata-kata Pak Nordin. Tiba-tiba dia teringat kepada gulai siput dan Andika Puteri.

“Pak Nordin, saya mesti cari Andika sampai dapat. Pak Nordin mesti bantu saya,” kata Dwen, kembali teruja.

“Kalau tak dapat alamatnya, macam mana kita nak cari?”

“Pak Nordin cam muka dia kan?Kita ke Medan dan cari dia.”

“Dwen, itu namanya membuang masa.Medan tu besar. Kita macam mencari jarum di tengah padang pasir,” tingkah Pak Nordin.

Mendengar kata-kata Pak Nordin itu, Dwen tersedar. Ya, tidak mudah mencari sesaorang yang tidak dikenali tanpa alamat yang betul. Tiba-tiba, hatinya meruntun hiba. Pasti Datin Rodziah akan menang dengan usahanya. Bagaimanakah rupa dan perangai Karina, bakal isterinya itu? Adakah dia seperti anak orang-orang kaya yang lain, pemalas dan tidak pandai apa-apa selain membuta!

Mak Timah balik membawa berita yang sungguh gembira. Alamat yang dicari, akhirnya diperolehi. Sekeping kertas dihulurkan ke tangan Dwen dengan senyum senang.

“Kamu simpan alamat ni baik-baik. Susah payah mak cik pujuk budak Nana tu untuk dapatkan alamat ni.Puteri rupanya dah pesan agar alamatnya jangan diberikan kepada sesiapa.Dia tak nak saudara mara sebelah ayahnya di sini mencarinya,” kata Mak Timah. Dia duduk melepaskan lelah. Jauh juga dia berjalan mencari alamat itu. Peluh yang menitik di dahi dikesat dengan hujung bajunya.

Dwen membelek kertas yang dihulurkan dengan hati riang. Walaupun alamat yang dibaca itu amat asing baginya, namun dia gembira.

“Kita akan segera cari dia, Pak Nordin.”

Pak Nordin hanya angguk. Hatinya memang cuak.Misi Dwen dirasakan semakin gila. Anak hartawan itu sudah jemu menjadi kaya. Dia ingin hidup dalam dunia yang lain dari dunia dia dilahirkan. Oh, peliknya dunia!

“Andika… saya akan pastikan dia mengalahkan Karina dalam segala hal,” bisik Dwen mengucup alamat di tangannya.

“Dwen, saya semakin bimbang,” kata Pak Nordin.

“Kenapa Pak Nordin?”

“Entahlah. Hati saya memang berat nak teruskan misi ni. Nak cari dia, satu hal susahnya. Kemudian bila dah dapat, mahukah Puteri tu ikut kemahuan Dwen. Kalau dia setuju, apa pula kata mama dan papa Dwen. Saya tak nak Puteri dianiaya. Kesian nasibnya,” jawab Pak Nordin, bersungguh-sungguh.

“Benar Dwen.Hidup Puteri dah cukup sengsara selepas kematian Pak Said. Dia hilang tempat bergantung. Budak tu budak baik. Mak cik pun tak suka kalau kau aniaya dia,” tambah Mak Timah pula.

Pak Nordin, Mak Timah, saya berjanji nak jadikan dia isteri. Tak akan saya aniaya dia. Tak akan saya lukakan dia. Percayalah,” ikrar Dwen. Dia berkata benar dari lubuk hatinya.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.