Pejam
celik pejam celik, sekejap sahaja tiga bulan masa berlalu.Datuk Haris dan Datin Rodziah sudah kembali ke tanah
air. Maknanya tugas Dwen di pejabat menjadi ringan sikit. Papa dan mamanya akan
menguruskan semuanya.Yang diberikan
kepadanya hanya tugas-tugas sampingan dan tidak berat.
“Ma,
Dwen rasa nak pergi bercuti. Dah lama tak keluar rumah dan ambil angin,” kata
Dwen ketika sedang mengadap makan malam.
“Nak
ke mana? London? Paris atau Turki? Nanti mama uruskan tiket.”
“Ala,
dalam negeri cukuplah. Jauh-jauh buang masa je.Nak rehat akan jadi penat,” balas Dwen. Makanan yang penuh dalam
mulutnya membuatkan kunyahannya menjadi lebih teliti dan perlahan.
“Dwen nak
ke mana?” tanya Datuk Haris pula.
“Kampung
Pak Nordin, di Kelantan,” jawab Dwen. Entah kenapa jawapan itu yang keluar dari
bibirnya. Tiba-tiba sahaja nama Pak Nordin yang disebutnya.
“Ada
apa di sana?” Mata Datin Rodziah mencari jawapan dengan renungannya. Anak
bujangnya semakin berperangai pelik. Sepatah kata Rofina adik kepada Dwen,
abangnya kadang-kadang melalut.
“Tak
ada apa. Dwen cuma nak rasa kehidupan kampung.”
“Tapi,
banyak kampung lain kenapa pilih kampung Pak Nordin. Kalau setakat nak rasa
kehidupan kampung, kat Kuala Selangor masih banyak kampung. Kenapa sampai nak
ke Kelantan?” tanya Datuk Haris pula.
“Entahlah. Mungkin
jodoh Dwen ada di sana kot!” jawab Dwen, selamba dan tersenyum-senyum.
“Dwen
jangan main-main. Mama dah ada calon untuk Dwen,” balas Datin Rodziah dengan
cepat.
“Siapa ma?”
tanya Dwen dengan cepat juga. Senyumnya terhenti. Siapalah agaknya gadis itu.
“Karina.”
“Kareena
Kapor?” Dwen sengaja bergurau.
“Jangan
main-main.Ini serius. Karina
anak Tan Sri Halim.Dia akan balik
dari luar negeri tak lama lagi. Dwen dan dia akan disatukan. Mama dah risik.
Dia pun tak pernah ada teman lelaki,” jawab Datin Rodziah, tegas.
Dwen
terdiam. Lalu dia teringat pada agenda mesyuarat di pejabat Tan Sri Halim.
Patutlah papanya beria-ia sangat mahu dia hadir. Konon atas alasan untuk
belajar dan mencari pengalaman. Rupa-rupanya, ada udang di sebalik mi!
“Mama,
jangan nak jual Dwen kerana perniagaan mama dan papa,” kata Dwen pula.
“Kenapa
Dwen cakap macam tu?” Datuk Haris berhenti mengunyah. Wajah Dwen direnung.
“Biasanya
orang bisnes macam tu. Suka nak cari menantu dari kalangan mereka juga. Kononnya,
agar dua perniagaan menjadi satu dan berkembang jadi empayar.”
“Bagus
macam tu kan? Kekayaan kita akan kekal dan bertambah,” balas Datin Rodziah.
“Ma,
itu idea lama.Itu cara berfikir
orang yang tak bermaruah. Kekayaan dari usaha sendiri itu lebih baik daripada
berteduh di bawah payung kejayaan orang lain.”
Datuk
Haris dan Datin Rodziah tersenyum, sinis.
“Itu
lagi pendapat lama, Dwen. Zaman ini zaman orang mencari peluang bukan nak
lepaskan peluang.”
“Peluang
apa, pa?”
“Dia
yang memberi peluang ni. Bukan papa yang buat cadangan ini, tapi dia.”
“Maknanya,
perigi mencari timba?” Mata Dwen terbuka luas, sambil bibirnya tersenyum sinis
ke arah Datuk Haris.
“Istilah
tu dah lapuk. Lagipun, apa salahnya? Siti Khadijah pun dulu melamar Rasulullah
s.a.w.”
Kali
ini, Dwen bukan lagi tersenyum malah dia ketawa perlahan.
“Kenapa
Dwen ketawa ? Salahkah apa yang papa cakap ni?” tanya Datuk Haris.
“Faktanya
memang benar. Tapi, Dwen musykil mengenai fikiran orang kita. Bila bab kahwin,
semua nak ikut Rasulullah s.a.w. Bab lain-lain, tak ada pula orang bersungguh,”
jawab Dwen dengan berani.
Datuk
Haris rasa tersindir. Datin Rodziah juga ikut terasa.
Dwen
segera bangun. Nasi masih berbaki di pinggan namun dia segera mencuci tangan.
Entah kenapa seleranya menjadi tumpul. Nama anak dara Tan Sri Halim itu juga
langsung tidak menarik hatinya.
“Dwen
ke bilik dulu ma, pa.”
“Dwen, bila nak pergi ke Kelantan tu?” tanya Datin
Rodziah.
“Mungkin
hujung minggu ni, ma.”
“Okey,
tapi jangan lupa fikir-fikirkan hal Karina tu. Sebab kalau boleh kami nak
langsungkan tahun ini juga,” kata Datuk Haris.
Dwen tidak menunggu lama. Kakinya ringan meninggalkan
ruang makan itu. Dia rasa didesak. Dia memang paling tidak suka kalau dia
dipaksa dan didesak dalam membuat keputusan.Dia lemas.
Sampai di bilik, dia sandarkan diri ke katil. Nama Karina
menjadi tanda tanya yang mengelirukan. Lebih keliru bila mamanya yang dianggap
terbaik, akhirnya sama dengan orang lain. Pilih menantu kerana hartanya!
Dwen rasa sangat bosan. Dia mencapai telefon.
“Pak
Nordin kat mana?”
“Kat
rumah. Kenapa Encik Dwen?”
“Saya nak
ajak Pak Nordin keluar.Kita
minum teh. Di tempat biasa,” kata Dwen. Jawapan Pak Nordin pun macam biasa.
Lelaki itu memang tidak pernah menolak kalau diajak.Ternyata, dia pemandu yang sangat patuh.
Dwen
bersiap-siap.
“Anak
mama nak ke mana pulak ni?”
“Nak
keluar sekejap. Nak jumpa Melisa,” jawab Dwen, sengaja menduga hati Datin
Rodziah.
“Eee…
mama tak suka Dwen keluar dengan budak tu. Tak sesuai langsung!” kata Datin
Rodziah mencebik.
“Apa salahnya mama. Dia juga perempuan.” Dwen terus
melangkah. Dia tahu kalau dilayan, mamanya akan berleter macam berteh jagung.
Tidak
lama, deruman enjin keretanya berlalu pergi.Lapang dadanya dapat menyedut udara luar.
Setengah
jam memandu, dia sampai di tempat yang dikatakan ‘biasa’ itu. Sebuah warong di
tepi jalan menghala ke Shah Alam dari Subang Jaya.
“Dah
lama Pak Nordin sampai?” tanya Dwen sambil bersalam. Dari awal dia tidak pernah
rasa lelaki itu pemandu syarikat papanya. Malah dia rasa sangat dekat dan mesra
dengan lelaki itu lebih dari hubungan biasa. Seperti keluarga sendiri.
“Baru
je. Masa Encik Dwen telefon tadi saya memang dah siap mandi. Jadi tinggal
sarung baju je.”
Dwen
angguk. Dia memesan teh tarik.
“Ada
apa Encik Dwen nak jumpa saya ni?”
“Jangan
panggil saya encik. Ini bukan waktu pejabat. Panggil Dwen je. Saya lemas kalau
Pak Nordin berencik-encik ni,” kata Dwen dengan ketawa kecil. Pak Nordin nampak
kekok. Namun dia sedang mencuba untuk bersikap santai dan selamba.
“Saya
nak bercuti seminggu dua. Dah lama saya tak ambil cuti.Saya berhajat nak ke Kelantan. Kalau boleh ke kampung
Pak Nordin di Pasir Puteh tu. Apa pendapat Pak Nordin?”
Pak Nordin
terkejut. Dia kurang percaya kepada apa yang baru didengarnya.
“Tapi
kenapa?Biasanya orang
bercuti di luar negara. Ini…”
“Dalam
negara lagi cantik dan indah. Saya nak rasa kehidupan kampung. Pak Nordin
tahulah, saya ni nama je orang Melayu, tapi saya banyak dibesarkan dengan cara
hidup orang lain. Pak Nordin boleh tolong saya kan?” Dwen memegang tangan Pak
Nordin. Dia memang berharap sangat, tangan itu akan membantu misi cutinya.
“Apa
yang Dwen nak saya buat?” tanya Pak Nordin semakin tidak faham dengan perangai
pelik bos mudanya ini.
“Tak
banyak.Hanya bawa saya ke kampung Pak Nordin.”
“Tapi, saya
bimbang Dwen tak akan selesa. Rumah saya rumah papan yang kecil dan buruk. Tak ada
air-cond. Tak ada Astro. Tak ada apa-apa kemudahan.”
Dwen tersenyum.
Dia tahu keraguan yang ada dalam fikiran Pak Nordin.
“Itu yang
saya nak. Saya nak rasa hidup susah. Kalau saya nak semua kemudahan, lebih baik
saya tinggal di hotel. Tak apa. Saya akan bayar sewa kepada Pak Nordin. Hujung
minggu ni kita ke sana. Boleh?” tanya Dwen dengan mata bercahaya, ceria.
Pak Nordin
angguk.Mereka menghirup
minuman dengan rasa aman dan lega.
“Pak
Nordin, boleh saya tanya sikit?”
“Tanyalah,
banyak pun boleh.”
“Kat
kampung Pak Nordin tu, ada anak dara yang boleh saya buat bini tak?”
“Anak
dara tu ramai. Tapi yang boleh dibuat bini tu tak tahulah. Dwen kena pilih
sendiri. Kenapa tergesa-gesa nak kahwin ni?”
Dwen
tersengih-sengih.Kata-kata
mamanya diingat semula. Huh, Karina!